"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Selasa, 31 Januari 2023

Dr M, Muhyiddin dinamakan dalam saman berhubung HSR KL-Singapura

 

Dr Mahathir Mohamad menangguhkan projek HSR KL-Singapura ketika menerajui kerajaan PH pada 2018, manakala semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin, projek itu dibatalkan. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Dua bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin, dinamakan sebagai defendan dalam saman berhubung pembatalan Projek Landasan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan pada 30 Dis, Hatta Sanuri mendakwa Mahathir cuai dan telah melakukan tort misfeasans dalam jawatan awam apabila memutuskan untuk menangguhkan projek itu ketika menerajui kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Hatta mendakwa kerajaan Malaysia dan semua rakyat Malaysia kemudiannya perlu membayar pampasan sebanyak RM46 juta kepada Singapura.

Beliau mendakwa Muhyiddin juga cuai dan melakukan tort misfeasans dalam jawatan awam apabila pentadbirannya menamatkan projek itu pada 1 Jan 2021, dengan Malaysia perlu membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura sebagai sebahagian daripada kewajipannya bawah perjanjian dua hala tersebut.

Hatta turut menamakan bekas menteri ekonomi Mustapha Mohamed, bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong, dan kerajaan sebagai defendan.

Beliau mendakwa 70,000 pekerjaan berpotensi bergaji tinggi daripada projek itu, potensi meraih keuntungan RM70 bilion, serta pampasan lebih RM366 juta kepada Singapura adalah antara kerugian yang dialami semua rakyat Malaysia berikutan pembatalan projek itu.

Beliau berkata, pembatalan projek itu juga mengakibatkan hilangnya keyakinan pelabur asing.

Hatta memohon deklarasi bahawa pembatalan projek itu terbatal dan tidak sah dan kedua-dua defendan telah melakukan tort misfeasans dalam jawatan awam apabila membayar pampasan berjumlah RM366 juta kepada Singapura; pengembalian jumlah pampasan yang telah dibayar; serta ganti rugi dan pampasan berjumlah RM1 juta kepada setiap rakyat Malaysia atas kelewatan pembinaan HSR.

Malaysia dan Singapura mula-mula menandatangani perjanjian dua hala berhubung projek itu pada 13 Dis 2016, tetapi menamatkan projek pada 1 Jan 2021 susulan beberapa kali kelewatan.

Projek yang melibatkan pembangunan 350km itu akan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada hanya 90 minit.-FMT

Isnin, 30 Januari 2023

ADA MAKSUD TERSIRAT SIDANG AKHBAR PRESIDEN UMNO SELEPAS MESYUARAT UMNO SABAH

 

JIKA boleh diterjemahkan kandungan tersirat sidang akhbar Presiden Umno selepas mesyuarat khas Umno Sabah pada petang Isnin, bahawa Umno/BN mahu membina semula kerjasama dengan GRS, seperti mana kerjasama sebelum/selepas PRN-16 Sabah.

Persoalannya, apa kah hasrat Umno/BN itu dapat diterima GRS?

Mungkin Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri boleh bertolak ansur, akan tetapi pemimpin parti lain dalam gabungan tersebut, sukar menerima semula hasrat tersebut.

Bagi sesetengah pemimpin dalam GRS terutama para ADUN, mereka tidak mahu dipatuk ular pada lubang yang sama, dan jika pun “terpaksa” bersetuju maka memadai, dengan para ADUN yang setia pada kerajaan, ditambah dengan mereka yang membuat pusingan U.

Jika Umno/BN ikhlas secara en-blok, maka para ADUN yang telah menarik sokongan tersebut bertindak lah  sebagai backbencher. Sokong lah barisan kabinet yang telah dibentuk sehingga tamat penggal terutama para ADUN parti itu.

Di atas kertas, cukup mudah melupakan pengkhianatan, akan tetapi selagi pemimpin itu adalah manusia, maka tidak mudah melupakan tindakan tersebut.

Seperti kata Ketua Menteri Sabah, kabinet yang dibentuk selepas gerakan menjatuhkan kerajaan gagal, adalah terdiri daripada mereka yang beraspirasi sama, berlandaskan pada faktor hormat dan saling mempercayai.-sumber

Sabtu, 28 Januari 2023

Info Herba:Manfaat Rumput Siti Khadijah Dipercayai Dapat Rawat Pelbagai Jenis Penyakit

 

Tidak ramai yang mengetahui kewujudan rumput yang begitu indah namanya ini iaitu Rumput Siti Khadijah. Terlalu banyak nama jolokan untuk tumbuhan ini seperti Rumput Cina dan Rumput Beijing.

Melalui perkongsian Ardi Tani, tumbuhan ini dipercayai membekalkan seribu satu khasiat untuk merawat pelbagai penyakit. Mungkin tumbuhan ini boleh digunakan sebagai jalan ikhtiar lain, selain mendapatkan rawatan di hospital untuk bantu anda yang mempunyai penyakit-penyakit seperti di bawah.

MANFAAT RUMPUT SITI KHADIJAH DIPERCAYAI DAPAT RAWAT PELBAGAI JENIS PENYAKIT

Nak biak senang je. Tanam 2 atau 3 keratan macam ni je boleh membiak dengan banyak. Contoh pasu ni tanam 3 pokok, sekarang dah penuh padat.

Rumput Siti Khadijah

Eloklah tanam sepasu dua kat rumah untuk kegunaan sendiri. Pokoknya pun senang je nak jaga dan juga senang membiak. Banyak khasiatnya. 

Boleh membantu kepada mereka yang ada kanser.

Boleh lembutkan daging.

Cara yang senang nak guna, ambil 3 atau 5 helai. Basuh bersih-bersih, carik-carik atau potong kecil rendamkan dalam segelas air panas. Buat malam, esok paginya bangun minum.

Sebelum ini pada Januari 2020, Ardi Tani pernah berkongsi info mengenai Rumput Siti Khadijah (RSK) atau nama lainnya Rumput Beijing. Dia telah berkongsikan dengan lebih mendalam mengenai tumbuhan ini.

Rumput Beijing atau Rumput Siti Khadijah (RSK) ni pada pandangan saya sesuai diletakkan ditempat yang bukan direct kena matahari. Boleh lihat berbezaannya di gambar. Asal dari satu polibag kini sudah menjadi 9 polibag yang merimbun.

Antara khasiat yang saya tahu berupaya membantu pesakit psoriasis, cancer, kencing manis, darah tinggi.

KENALI RUMPUT CINA/RUMPUT BEIJING/RUMPUT SITI KHADIJAH

Kena matahari sekejap sahaja & terlindung dengan pokok lain. Diletakkan bawah garaj kereta. Pokok subur, daun kelihatan besar & panjang. Baja menggunakan baja XY. Ditanam dalam pasu HLT.

Ini copy paste hasil carian di Google.

Rumput Cina iaitu Beijing Grass Plant atau nama saintifiknya (Murdannia Loriformis).

Nama lain Rumput China: Beijing Spiderwort, Spiderwort, Pan Ki Lian, Pandan Jambi, Rumput Aur Beijing, Rumput Anugerah, Rumput Pada Suka, Rumput Pak King.

Rumput Beijing (Murdannia Bracteata) atau “Ya pak-king”, ??? ialah herba yang diketahui mempunyai khasiat untuk meningkatkan daya tahan badan dan ciri anti-radang amat terkenal di China dan Thailand. Ianya banyak ditanam secara komersial untuk menghasilkan pelbagai jenis ubatan dan supplement.

Terdapat beberapa kajian saintifik yang membuktikan kesan anti-bakteria tumbuhan ini. Walaupun ada kajian potensi rawatan kanser bagi tumbuhan ini ianya masih diperingkat awal. Namun bagi pengamal perubatan alternatif, Rumput Beijing telah lama digunakan untuk merawat kanser. 

Khasiat dia: mencuci buah pinggang, mencuci darah dan buang angin dalam badan.

Berdasarkan buku Chinese Medical Herbs of Hongkong, tumbuhan ini manis, menyejukan dan berupaya mencairkan kahak.

Ini dalam polibag diletakkan kena matahari penuh. Pokok subur juga cepat membiak tapi daun tak besar dan banyak bunga keluar. Mungkin sebab pernah bagi & sekali baja novatec premium. Selebihnya baja biji organik.

Berasal dari selatan negara China. Manakala di Thailand, rumput ini dikatakan tumbuh meliar namun masyarakat di sana berusaha mengenalkan rumput ini melalui produk supplement untuk penyakit kanser dan lain-lain penyakit yang berkaitan.

Lazimnya daun ini direbus keseluruhan bersama akarnya untuk membantu penyembuhan barah payudara, usus, ulser, batu karang, radang kulit, lawas kencing dan buah pinggang.

Manakala di sini, saya tidak pasti sampai ketahap mana penerimaan rumput ini dalam masyarakat setempat. Namun yang pasti komuniti Cina lebih terarah menanam rumput ini kerana umum mengetauhi akan kepekaan dan ilmu mereka dalam penggunaan herba adalah tinggi.

Pokok ini senang membiak melalui biji benihnya yang ringan dan mudah tersebar. Juga boleh ditanam melalui keratan ruasnya.

Dan yang paling terbaharu saya dapat perkongsian mengenai penggunaan rumput ini ialah daunnya juga boleh melembutkan tekstur daging dalam masakkan. 

DIPERCAYAI DAPAT MERAWAT PENYAKIT-PENYAKIT INI:

Ini pun sama matahari penuh. Bunga banyak. Bunga dia banyak khasiat juga. Dikeringkan buat teh.

1. MERAWAT KANSER TEKAK, HATI & KULIT

Di Thailand, tumbuhan ini digunakan untuk merawat kanser tekak, hati, rahim, ileum, kulit dan sebagainya.

Caranya: Ambil enam tumbuhan ini dan gunakan pengisar untuk menghancurkannya + 4 sudu besar air. Tapis dahulu dan minum sebelum makan pagi dan sebelum tidur.

2. MENYEJUKKAN BADAN

Bagi menyejukkan badan.

Caranya: Rebus 5 helai daun dia dengan 3 cawan air + gula perang dan minum.

3. BATU KARANG & GINJAL

Cara menggunakan rumput Cina ni, untuk batu karang dan ginjal:

Ambil 7-9 pokok (keratan) rumput Cina bersama-sama akarnya, dicuci bersih dan di rebus bersama sukatan air 1.5 liter (sukatan botol coca cola).

Di rebus dengan api yang sederhana kecil, padam la rebusan itu bila airnya telah mendidih dan minum la air tu apabila suam dan lebihannya simpan dalam peti sejuk.

CARA MEMBUAT JUS RUMPUT BEIJING

Yang ini ditanam dalam pasu HLT juga. Menggunakan baja XY 60% & 40% air paip. Percambahan subur tapi daun tak besar sebab dapat matahari penuh.

CARA PENYEDIAAN JUS RUMPUT BEIJING:

1. Basuh seluruh rumput termasuk batang dan akarnya bersih-bersih dengan air.

2. Rendam rumput ini ke dalam air garam atau cuka. 2 sudu besar garam atau 2 sudu besar cuka dilarutkan dalam 1 liter air. Tujuannya untuk menyingkirkan serangga atau ulat yang terdapat pada daun rumput.

3. Tumbuk rumput ini menggunakan lesung tanah liat atau lesung kayu hingga menjadi pes.

4. Masukkan 2 sudu besar air mendidih.

5. Tapis dengan menggunakan penapis kain.

Dos yang disyorkan untuk pesakit kanser dewasa ialah 2 sudu besar jus ini, diambil 30 minit sebelum sarapan pagi dan 30 minit sebelum tidur. Kanak-kanak pula 1 sudu makan setiap kali. 

Sumber: Facebook Ardi Tani via Berkebun D Rumah

Credit:siraplimau.com

Bakar al-Quran: Anwar lambat panggil Duta Sweden menghadap

 

Demonstrasi Solidariti Bantahan Penghinaan Agama Islam berhampiran Kedutaan Sweden di Jalan Mayang Sari, Hampshire Park, Kuala Lumpur pada hari ini, 27 Jan 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Jamal Kemala)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dilihat lambat bertindak memanggil Duta Sweden menghadap bagi memberi penjelasan berhubung isu membakar al-Quran digesa untuk memberi kata putus kepada kerajaan Sweden.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan biadab dan Islamofobia ahli politik kanan Sweden, Rasmus Paludan itu bukan pertama kali dilakukannya. 

“Saya menggesa kerajaan Malaysia Madani untuk memanggil Duta Sweden datang menghadap, desak mereka mengeluarkan penjelasan dan mengutuk sekeras-kerasnya serta mengambil tindakan terhadap ahli politik berkenaan (Rasmus Paludan).

“Ini bagi membuktikan bahawa kerajaan Malaysia benar-benar bertindak, bukan hanya sekadar menghantar nota bantahan tiga perenggan sahaja tetapi benar-benar bertindak untuk membuktikan bahawa kita umat Islam terluka dengan perbuatan itu,” tegasnya.

Ahmad Fadhli (tengah) dalam Demonstrasi Solidariti Bantahan Penghinaan Agama Islam dekat Kedutaan Sweden, Kuala Lumpur. (FOTO: HARAKAHDAILY/Jamal Kemala)

Beliau berkata demikian dalam Demonstrasi Solidariti Bantahan Penghinaan Agama Islam oleh Ahli Politik Sweden berhampiran Kedutaan Sweden, di Jalan Mayang Sari, Hampshire Park, di sini, hari ini, yang disertai kira-kira 1,000 orang.

Turut hadir, Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Salamiah Mohd Nor; Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional, Ahmad Faizal Azumu; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah; Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya dan beberapa wakil badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  termasuk Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup.

Tambah Ahli Parlimen Pasir Mas itu, tindakan penghinaan Islam dilakukan ahli politik berdarah Sweden-Denmark itu telah mencabar kesucian agama Islam serta membangkitkan kemarahan dalam kalangan penganutnya. 

Demonstrasi Solidariti Bantahan Penghinaan Agama Islam bermula selepas umat Islam menunaikan solat Jumaat di Masjid KLCC sebelum berarak ke kedutaan Sweden, Kuala Lumpur. (FOTO: HARAKAHDAILY/Jamal Kemala)

“Membakar al-Quran adalah sepertimana membakar jasad-jasad kita, tindakan itu umpama membakar tubuh-tubuh kita, untuk mempertahankan al-Quran saya mencabar anak-anak muda mempertahankannya dengan tubuh kita.

“Demonstrasi ini merupakan amaran kepada kerajaan Sweden, jangan benarkan perbuatan ini berulang pada masa yang akan datang,” kata Ahmad Fadhli lagi.

Tiada istilah lambart dalam perjuangan Islam

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar, mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteriyang mengatakan bahawa perhimpunan solidariti ini sudah terlambat sebagai tiada istilah ‘lambat’ dalam perjuangan menegakkan kesucian Islam.

“Yang penting kami tahu, anda (Anwar) yang lambat panggil Kedutaan Sweden untuk menyatakan pendirian; hanya setakat tiga empat perenggan, maka kerja dah selesai – ia tidak (boleh) begitu (sahaja).

“Jadi, perhimpunan ini memberi mesej yang jelas supaya kerajaan mengambil tindakan lebih serius,” katanya kepada media selepas menghantar memorandum bantahan penghinaan agama Islam di Kedutaan Sweden di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa pihak berwajib negara ketiga terbesar di Eropah Barat itu untuk mengambil tindakan segera terhadap pemimpin pelampau tersebut. 

Kerajaan Malaysia Madani digesa memberi kata putus kepada Sweden berhubung tindakan ahli politik sayap kanan kerajaan negara itu, Rasmus Paludan membakar kitab suci al-Quran baru-baru ini. (FOTO: HARAKAHDAILY/Jamal Kemala)

Khairul Nadzir serta tiga individu lain iaitu Ketua Penerangan Armada Nasional Bersatu, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul, wakil daripada Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) dan  selebriti terkenal Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice mewakili pempengaruh media sosial dipercayai telah menghantar memorandum bantahan itu di Kedutaan Sweden, hari ini.

Terdahulu pada Sabtu lalu, Paludan yang merupakan pemimpin berhaluan kanan parti Stram Kurs  membakar kitab suci al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye selepas mendapat permit kerajaan Sweden dengan dikawal ketat pasukan polis.

Perbuatan biadab Paludan itu menyebabkan Turkiye bertindak balas membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden, Pal Jonson ke negara berkenaan.

Beberapa negara Islam lain juga mengecam perbuatan biadap pemimpin yang turut memiliki kerakyatan Denmark itu sebagai ‘provokasi kebencian yang amat melampau’. – HARAKAHDAILY 27/1/2023

Khamis, 22 Disember 2022

Puteri Sarah dedah Syamsul Yusof sudah berkahwin dengan Ira Kazar, Yusof Haslam mula bersuara

 Puteri Sarah dedah Syamsul Yusof sudah berkahwin dengan Ira Kazar, Yusof Haslam mula bersuara.

Datuk Yusof Haslam enggan mengulas kontroversi membabitkan anaknya, Syamsul yang didakwa sudah bernikah dengan wanita dikenali sebagai Ira Kazar.

Yusof berkata, Syamsul sudah cukup dewasa dan matang untuk memikirkan baik dan buruk sesuatu perkara.

“Saya tidak boleh komen. Sebaiknya, biarlah kenyataan itu keluar daripada mulut Syamsul kerana ini membabitkan hal rumah tangganya.
“Sebagai ibu bapa, kami sentiasa doakan yang terbaik untuk anak dan menantu (Puteri Sarah Liyana).
“Bagi saya, pada usia 38 tahun, Syamsul sudah cukup dewasa untuk memikirkan apa yang baik dan buruk,” katanya ketika dihubungi.

Puteri Sarah dedah Syamsul Yusof sudah berkahwin dengan Ira Kazar, Yusof Haslam mula bersuara

Semalam, Puteri Sarah memberi bayangan Syamsul dan orang ketiga yang didakwa sebagai perosak rumah tangganya, Ira, sudah berkahwin, melalui hantaran Instagram (IG) Story.

Menerusi hantaran itu, Puteri Sarah dipercayai menyindir Syamsul dan Ira.

Dalam hantaran berkenaan, Puteri Sarah berkata kebenaran akan terbukti suatu hari nanti.

“Soroklah selagi boleh sorok. Kebenaran akan terbukti suatu hari nanti.
“Narsistik seperti anda akan sentiasa memanipulasi kebenaran. Saya tidak mahu terbabit dengan toksik.
“Penipu akan sentiasa menjadi penipu. Semoga anda berdua berjaya. Dua-duanya toksik,” luahnya.
Puteri Sarah dedah Syamsul Yusof sudah berkahwin dengan Ira Kazar, Yusof Haslam mula bersuara
Puteri Sarah memuat naik hantaran dalam Instagram (IG) Story dipercayai menyindir Syamsul dan Ira Kazar. – Foto IG Puteri Sarah

Dalam hantaran berasingan, Puteri Sarah atau nama sebenar, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin memberi gambaran jelas apa yang berlaku dalam kemelut rumah tangganya.

“Apa yang saya tahu ia berlaku sehari sebelum Sarah melahirkan Sumayyah. Kejamkan manusia.
“Orang sekeliling kita ada masanya boleh menjadi sangat narsistik dan manipulasi. Pilihlah orang sekeliling dengan bijak.
“Semoga 2023 dapat membongkar semua. Segala-galanya sudah berakhir, hipokrit,” katanya.

Kemelut rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul bernikah pada 8 Mac 2014, mula diperkatakan sejak empat tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam yang berusia lima tahun dan Sumayyah, tiga tahun.

Sehingga petang ini, Syamsul belum mengulas mengenai dakwaan pernikahannya dengan Ira atau memuat naik sebarang hantaran dalam media sosial berhubung kontroversi itu.

-selayangpandang.net

Rabu, 21 Disember 2022

SURAT TERBUKA KEPADA JEMAAH HAJI DAN UMRAH YANG TIDAK MENGUNDI


Tulisan ini ditujukan kepada mereka yang tidak mengundi, khususnya kerana melaksanakan haji dan umrah, termasuk juga para peniaganya. Bacalah firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انْفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ٣٨ إِلَّا تَنْفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْئًا وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ٣٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya bila dikatakan kepada kamu: ‘Berangkatlah (untuk berjuang) pada jalan Allah (memenangkan Islam),’ kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempat kamu? Adakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal, keni‘matan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. (38); Jika kamu tidak berangkat untuk berjuang (meninggikan Islam), nescaya Allah akan menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan digantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (39)” (Surah al-Tawbah: 38-39)

Islam itu dilaksanakan kewajipannya secara fiqh (kefahaman yang betul) pada tiap-tiap rukun, cabang hukum dan amalannya. Termasuklah juga cara pelaksanaannya yang mengikut Fiqh al-Aulawiyyat (mendahulukan keutamaan).  

Perkara ini sangat penting supaya ketinggian dan kemurnian Islam wajib dipelihara dengan baik, adapun pelaksanaannya pula dilakukan dengan istiqamah dan teratur tanpa terpesong ke kiri mahupun ke kanan. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ١٥٣﴾

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan) inilah jalan-Ku yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Demikianlah, diperintahkan oleh Allah agar kamu bertaqwa.” (Surah al-An‘am: 153)

Rasulullah SAW dan para sahabat generasi awal merupakan teladan yang wajib diikuti, khususnya dalam melaksanakan petunjuk al-Quran secara amali dengan betul, berilmu dan penuh kefahaman. Antaranya, mendahulukan asas yang memelihara agama yang mulia wajib dipertahankan lebih dahulu berbanding perkara yang lain. 

Apabila Islam dalam keadaan bahaya, maka hukum jihad yang asalnya fardu kifayah bertukar menjadi fardu ‘ain dan hendaklah diutamakan. Sehinggakan, para huffaz (penghafaz al-Quran) dalam kalangan para sahabat ramai yang gugur syahid, apabila berlaku peristiwa riddah (murtad) yang mengepung Islam ketika wafatnya Rasulullah SAW.

Khalifah Abu Bakar RA mengarahkan supaya dikumpulkan al-Quran secara bertulis kerana ingin memeliharanya secara tulisan, kerana bimbang akan kehilangannya. Keadaan ini sekali gus menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja membaca al-Quran, bahkan menegakkannya dan mempertahankannya dengan nyawa dan harta, dan ia menjadi petunjuk kepada cara hidup manusia bagi keselamatan dunia dan akhirat, serta melangsungkan tugas dakwah dan meninggikannya hingga berkuasa dan bernegara yang mempunyai daulat.

Almarhum Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadawi RH, ulama’ besar dari India menegaskan: 

“Kini, umat Islam menghadapi zaman Riddah tanpa Abu Bakar lagi, akibat serangan pemikiran zaman penjajah yang menjatuhkan kerajaan Islam yang berdaulat melindungi agama Islam, dakwah dan umatnya.”

Justeru, perjuangan mengembalikan semula kuasa Islam wajib diutamakan. Inilah pendekatan para anbiya’ AS yang dinyatakan ceritanya dalam al-Quran. 

Ramai para sahabat terkemuka dikuburkan di luar Makkah dan Madinah di seluruh pelosok dunia kerana berjuang menegakkan Islam dan mempertahankannya daripada musuh. Hanya segelintir sahaja yang dikuburkan di dua tanah suci itu.

Ketika Islam mula diancam, Imam ‘Abdullah bin al-Mubarak RH (Amir al-Mu’minin dalam ilmu hadis) menulis surat kepada sahabatnya Imam Fudhail bin ‘Iyadh RH yang berada di Makkah:

‌يَا ‌عَابِدَ ‌الحَرَمِيْنِ ‌لَوْ ‌أَبْصَرْتَنَا … لَعَلِمْتَ أَنَّكَ فِي العِبَادَةِ تَلْعَبُ.

“Wahai orang yang sedang beribadat di dua Tanah Haram (Makkah dan Madinah), ketahuilah engkau hanya bermain-main dalam ibadat itu.”

مَنْ كَانَ يَخْضِبُ خَدَّهُ بِدُمُوْعِهِ … فَنُحُوْرُنَا بِدِمَائِنَا تَتَخَضَّبُ.

“Orang yang pipinya berlumuran air mata khusyuk beribadat. Ketahuilah bahawa leher kami berlumuran darah berjuang.”

أَوْ كَانَ يُتْعِبُ خَيْلَهُ فِي بَاطِلٍ … فَخُيُوْلُنَا يَوْمَ الصَّبِيْحَةِ تَتْعَبُ. 

“Orang yang kuda kenderaannya penat dalam kebatilan. Ketahuilah bahawa kuda yang menjadi kenderaan kami sejak awal pagi penat di medan perjuangan.”

Imam Fudhail RH menangis dan berkata: 

صَدَق أَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ.

“Sahabatku (Abu ‘Abdul Rahman) berkata yang benar.”

Lalu beliau menegaskan kepada pembawa surat supaya menulis sabda Rasulullah SAW:

“Kamu tidak boleh mencapai kelebihan orang yang keluar mempertahankan Islam dan meninggikannya kecuali kalau kamu sembahyang tanpa tidur dan berpuasa tanpa berbuka selama lamanya.” 

Ada pula golongan tertentu yang melemparkan tuduhan bahawa perjuangan untuk menegakkan Islam adalah semata-mata kerana mahu mendapat pangkat dan kedudukan yang lebih dalam kehidupan dunia. Inilah tuduhan yang pernah dilemparkan kepada para anbiya’ pada zaman dahulu oleh kumpulan jahiliah, sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ فَقَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ أَفَلَا تَتَّقُونَ٢٣ فَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَوْمِهِ مَا هَذَا إِلَّا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُرِيدُ أَنْ يَتَفَضَّلَ عَلَيْكُمْ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَأَنْزَلَ مَلَائِكَةً مَا سَمِعْنَا بِهَذَا فِي آبَائِنَا الْأَوَّلِينَ٢٤﴾

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, lalu dia berkata: ‘Wahai kaumku! Sembahlah Allah, (kerana) sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain Dia. Maka, mengapa kamu tidak bertaqwa (kepada-Nya)?’ (23); Maka, pemuka-pemuka orang yang kafir antara kaumnya menjawab: ‘Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi dari kamu. Dan kalau Allah menghendaki, tentu Dia mengutuskan para malaikat. Belum pernah kami mendengar (seruan seperti) ini pada masa nenek moyang kami dahulu.’ (24)” (Surah al-Mu’minun: 23-24)

Anggapan yang sama dikatakan terhadap Rasulullah SAW dan kumpulan Islam dalam kalangan umat yang menyambung perjuangannya yang tetap wujud sehingga akhir zaman. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ١٠٤﴾

“Dan hendaklah ada antara kamu satu golongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada perkara yang ma‘ruf dan mencegah perkara daripada yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali ‘Imran: 104)

Dan sabda Rasulullah SAW:

‌لَا ‌تَزَالُ ‌مِنْ ‌أُمَّتِي ‌أُمَّةٌ ‌قَائِمَةً ‌بِأَمْرِ ‌اللَّهِ، ‌لَا ‌يَضُرُّهُمْ ‌مَنْ ‌خَذَلَهُمْ ‌وَلَا ‌مَنْ ‌خَالَفَهُمْ، حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ عَلَى ذَلِكَ. 

“Masih ada dalam kalangan umatku kumpulan yang bangkit menunaikan perintah Allah (menegakkan Islam) yang tidak boleh dimudaratkan oleh sesiapa yang menentangnya atau mengecewakannya, sehingga datangnya ketentuan Allah.” (Riwayat al-Bukhari no. 3641 dan Muslim no. 1920)

Kumpulan penentang juga tetap ada mengikut ketetapan Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا فِي كُلِّ قَرْيَةٍ أَكَابِرَ مُجْرِمِيهَا لِيَمْكُرُوا فِيهَا وَمَا يَمْكُرُونَ إِلَّا بِأَنْفُسِهِمْ وَمَا يَشْعُرُونَ١٢٣ وَإِذَا جَاءَتْهُمْ آيَةٌ قَالُوا لَنْ نُؤْمِنَ حَتَّى نُؤْتَى مِثْلَ مَا أُوتِيَ رُسُلُ اللَّهِ اللَّهُ أَعْلَمُ حَيْثُ يَجْعَلُ رِسَالَتَهُ سَيُصِيبُ الَّذِينَ أَجْرَمُوا صَغَارٌ عِنْدَ اللَّهِ وَعَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا كَانُوا يَمْكُرُونَ١٢٤﴾

“Dan demikianlah Kami adakan pada tiap-tiap negeri penjahat-penjahat yang terbesar agar mereka melakukan tipu daya dalam negeri itu. Dan mereka tidak memperdayakan sesiapa pun melainkan diri mereka sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. (123); Apabila datang sesuatu ayat kepada mereka, mereka berkata: ‘Kami tidak akan beriman sehingga diberikan kepada kami wahyu yang serupa dengan apa yang telah diberikan kepada utusan-utusan Allah (para Rasul).’ Allah lebih mengetahui di mana Dia menempatkan tugas kerasulan. Orang-orang yang berdosa, nanti akan ditimpa kehinaan di sisi Allah dan seksa yang keras disebabkan mereka selalu membuat tipu daya. (124)” (Surah al-An‘am: 123-124)

Tugas Rasulullah SAW pada akhir zaman selepas kewafatan Baginda adalah dipikul oleh kumpulan Islam yang istiqamah dengan memenuhi segala syarat dan sifat yang nyata dalam al-Quran.  

Saya dihadiahkan oleh satu kumpulan pelampau sebuah kitab baharu yang dikarang dalam bahasa Arab, dengan tujuan bagi mengharamkan pilihan raya dan mengundi. Alasan mereka adalah demokrasi Barat bukan daripada Islam, dan amalannya yang tidak didapati pada zaman Rasulullah SAW. Hujah sedemikian adalah salah, menggambarkan mereka buta agama dan terpesong daripada sifat ajaran Islam yang sempurna dan mampu sepanjang zaman mengikut pelaksanaan generasi awal khususnya para sahabat RA. 

Saya juga pernah menjelaskan kepada mereka bahawa kamu memakai visa haji dan umrah serta penggunaan pasport pada zaman ini adalah amalan Barat, termasuk melaksanakan pengurusan haji dan umrah secara perniagaan dan pentadbiran terkini juga tiada pada zaman Rasulullah SAW. Semuanya adalah tajdid dan islah (pembaharuan Siyasah Syar‘yyiah) yang dilakukan sejak zaman para sahabat Khulafa’ al-Rasyidin dan Tabi‘in selepasnya mengikut konsep Islam dan banyak ijtihad para ulama’ muktabar yang menjadi rujukan. 

Mereka melakukan pemilihan Khalifah Abu Bakar RA, ‘Umar RA, ‘Uthman RA dan ‘Ali RA dengan pendekatan yang berbeza kerana perubahan jumlah penduduk dan penyusunan masyarakat yang sudah berubah. Termasuk adanya masyarakat majmuk daripada kalangan berbagai-bagai bangsa dan agama, serta keluasan wilayah Islam pada zaman mutakhir. 

Terdapat banyak penulisan para ulama’ yang kaya dengan ilmu pemerintahan negara mengikut Islam telah dikaji oleh pihak ilmuwan Barat daripada kalangan para orientalis yang meniru Islam tanpa menganut aqidahnya dan memisahkan politik daripada agama yang telah merosakkan mereka. Fahaman sesat memisahkan politik daripada agama dibawa masuk oleh penjajah ke dalam pemikiran umat Islam kerana kejahilan mereka terhadap agamanya sendiri.

Islam mewajibkan kepimpinan yang berintegriti yang disebut ‘adalah (عدالة)  , beraqidah, beriman, di samping berilmu dan berakhlak mengikut acuannya.

Para ulama’ rabbaniyyin (yang dekat kepada Allah) dan pewaris para anbiya’, bahkan termasuk yang mendalami lapangan tasawuf semata-mata juga tidak meninggalkan kewajipan menegakkan Islam seperti Imam al-Ghazali RH, Abdul Qadir al-Jilani RH dan lain-lain. Bahkan, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani ulama’ Melayu yang mengarang kitab tasawuf Hidayah al-Salikin yang terkenal dalam tulisan Jawi berjuang sehingga mati syahid di tanah Fatani. 

Syeikh Daud al-Fatani yang mengarang risalah khusus berkenaan pentingnya pemerintahan negara dilampirkan bersama kitab Munyatul Musolli yang terkenal, bukan sahaja dinyatakan berkenaan perkara solat. Para ulama’ yang bermukim di Makkah pada zaman penjajahan telah menubuhkan jemaah Islam yang berpusat di Pulau Penyengat, Riau bagi menjalankan gerakan menentang penjajah pada zamannya. Di samping itu, mereka juga menyedarkan para jemaah haji yang sentiasa berkunjung ke Makkah supaya menunaikan kewajipan menegakkan Islam di tanah air masing-masing dengan menentang penjajah. 

Secara halus, penjajah terpaksa mengundurkan diri memberikan kemerdekaan mengikut acuannya kerana terpaksa menyerah kepada tentangan yang bertubi-tubi daripada umat Islam, apabila umat Islam tidak menyerah kalah.

Penjajah meninggalkan tunggul yang dipacak di tanah air umat Islam dan racun berbisa ditanam ke dalam diri umat Islam dalam kalangan mereka yang lemah dan rapuh keimanannya kerana diselaputi kejahilan terhadap Islam yang masih dianuti dan dicintai, sehingga ia gagal dicabut oleh penjajah. Peranan meneruskan agenda penjajah dibantu oleh para pemimpin yang dididik oleh mereka dan ulama’ jahat yang ada sepanjang zaman sebagaimana yang pernah disebutkan oleh Imam al-Ghazali RH.

Orientalis Belanda, Christiaan Snouck Hurgronje menegaskan pentingnya dihalang penubuhan semula negara Islam yang bercirikan Islam itu yang mempunyai kuasa politik. Maka, para ulama’ dan pemimpin yang membawa alirannya hendaklah dihalang juga. 

Pendekatan memisahkan politik daripada agama adalah bentuk kemerdekaan yang diberikan kepada umat Islam dan negaranya. Maka, konsep sekularisme disuburkan ke dalam pemikiran penganut Islam yang jahil agama, walaupun mereka sayang kepadanya dan kuat berpegang dengan amalannya yang bersifat ibadat sahaja. Pada masa yang sama, mereka merosakkan agama dan menyerah diri kepada musuh Islam. 

Islam mendahulukan pendekatan damai dalam pergerakannya kepada seluruh manusia. Maka, demokrasi Barat memberikan kebebasan bersuara secara damai tanpa sebarang halangan. Inilah peluang yang diputuskan oleh para ulama’ dan pemimpin kumpulan Islam yang beristiqamah melangsungkan perjuangan Islam, walaupun banyak halangan dan tipu daya yang menjadi amalan musuh Islam yang mesti dihadapi.

Pendekatan damai melalui konsep demokrasi wajib diambil peluang oleh umat Islam secara fardu ‘ain ke atas tiap-tiap orang Islam dalam hukum jihad menegakkan Islam di tempat masing-masing. Hal ini demikian kerana, pilihan raya dan mengundi merupakan jalan bagi mendapatkan kuasa pemerintahan semula kepada Islam, maka ia menjadi wajib hukumnya. Ulama’ Usul Fiqh menegaskan satu kaedah:

‌مَا ‌لَا ‌يَتِمُّ ‌الْوَاجِبُ ‌إلَّا ‌بِهِ ‌فَهُوَ ‌وَاجِبٌ.

“Apa-apa perkara yang tidak dapat disempurnakan perkara yang wajib, melainkan dengannya maka ia menjadi wajib.” (Al-Ghazali dalam al-Mustasfa, ms. 217)

Kira-kira 98 peratus orang bukan Islam dari seluruh negara dan pelosok dunia yang jauh dikerah untuk mara mengundi bagi mendapatkan kuasa dalam tanah air kita ini dengan menyokong DAP dan kumpulannya yang menjadi wadah perjuangannya, walaupun mereka mengeluarkan belanja sendiri. 

Malangnya, orang Islam yang keluar mengundi hanya sekitar 60 peratus, menunjukkan orang Islam yang tidak menunaikan kewajipan mengundi walaupun alasannya kerana ibadat haji dan umrah, malah ada yang menunggu upah duit dan sebagainya. 

Keadaan ini dibimbangkan mereka itu melakukan dosa besar kerana telah melanggar perintah Allah SWT yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW:

وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ.

“Berundur ketika musuh mara menentang Islam.” 

Perkara ini adalah mengikut firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا زَحْفًا فَلَا تُوَلُّوهُمُ الْأَدْبَارَ١٥ وَمَنْ يُوَلِّهِمْ يَوْمَئِذٍ دُبُرَهُ إِلَّا مُتَحَرِّفًا لِقِتَالٍ أَوْ مُتَحَيِّزًا إِلَى فِئَةٍ فَقَدْ بَاءَ بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ وَمَأْوَاهُ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ١٦﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang yang kafir yang sedang mara menyerangmu, maka janganlah kamu membelakangi mereka (mundur). (15); Sesiapa yang membelakangi mereka (mundur) pada waktu itu, kecuali berbelok untuk (menyiasat dalam) perang atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya orang itu kembali dengan membawa kemurkaan daripada Allah, dan tempatnya ialah neraka Jahanam. Dan amat buruklah tempat kembalinya. (16)” (Surah al-Anfal: 15-16)

Jika tugas mengundi sebagai salah satu cara yang damai pun tidak ditunaikan kewajipannya bagi memenangkan dan mempertahankan Islam serta bukannya terpaksa berperang, maka akibatnya adalah lebih besar dan lebih parah. 

Syabas! Kepada anak muda yang tampil ke hadapan walaupun ada yang jahil agama, masih mentah umurnya, namun mereka mendapat hidayah Allah SWT, matang akalnya, sayangkan agama dan bangsa. 

Firman Allah SWT:

﴿...إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى١٣﴾

“...Mereka ialah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk.” (Surah al-Kahf: 13)

Benar-benar kita diuji Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

﴿تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ١ الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا  وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ٢﴾

“Maha Suci Allah pada tangan-Nya segala kerajaan, dan Dialah yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1); (Tuhan) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dialah Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun. (2)” (Surah al-Mulk: 1-2)

Berkata Muhammad bin ‘Ajlan RH:

وَلَمْ يَقُلْ أَكْثَرُ عَمَلًا.

“Allah tidak berkata; yang paling banyak amalannya (sebenarnya yang paling baik amalannya. Namun, Allah Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun dosa mereka yang bertaubat).”

Firman Allah SWT:

﴿أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ١٩ الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ٢٠﴾

“Apakah (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjid al-Haram kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian serta berjihad pada jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. (19); Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. (20)” (Surah al-Tawbah: 19-20)

Apalah guna Iblis dan Ahli Kitab yang banyak ibadatnya dan alim, tetapi tidak mendapat hidayah Allah SWT. Abu Lahab dan Abu Jahal yang lahir di Makkah, banyak khidmatnya kepada jemaah haji dan umrah juga tidak mendapat hidayah-Nya.

اللَّهُمَّ إِنِّي ‌قَدْ ‌بَلَّغْتُ، ‌اللَّهُمَّ ‌اشْهَدْ.

“Ya Allah ya Tuhanku! Aku telah menyampaikan. Ya Allah ya Tuhanku! Saksikanlah bahawa aku telah menunaikan kewajipanku.” 

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 26 Jumadal Ula 1444 / 21 Disember 2022

[Bil: 70 / 2022]

Selasa, 20 Disember 2022

Tiada bekalan telur ayam di Terengganu, mana Mat Sabu?

 


1. Tiada bekalan telur ayam di Terengganu, mana Mat Sabu?

Bekalan telur ayam di Terengganu dilaporkan kembali kritikal selepas kali terakhir beberapa pemborong hanya memperolehnya pada Khamis lalu, sekali gus rakyat mempersoalkan langkah dilakukan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan kerajaan PH-UMNO, Mohamad Sabu.

Memetik laporan media, tiga syarikat pemborong di sekitar bandar Kuala Terengganu mendapati premis kosong menyebabkan pengguna terpaksa pulang kehampaan.

Pengurus sebuah syarikat pemborong telur di Cabang Tiga di Kuala Terenggnu, Nursyzanil Adha Ramli berkata, kali terakhir bekalan telur ayam diperolehnya sebanyak 3,000 papan mengandungi 90,000 biji pada empat hari lalu.

Syarikat pembekal mendakwa permintaan bekalan telur ayam tidak mencukupi untuk diedarkan kepada pemborong.

“Syarikat pembekal berjanji untuk menghantar bekalan sumber protein itu pada Rabu atau Khamis depan.

“Syarikat pembekal juga tidak boleh memberi jaminan jumlah keseluruhan sumber protein yang akan dihantar kepada kami,” katanya menurut BH.

Tinjauan di dua lagi syarikat pemborong mendapati semua jenis sumber protein termasuk omega dan telur ayam biasa kehabisan sejak Rabu lalu.

Pengurus Syarikat Bigpoly Supplies, Fuan Chai Feng ketika dihubungi mengesahkan kali terakhir menerima bekalan sumber protein sebanyak 4,000 papan mengandungi 120,000 biji pada Selasa lalu.

Katanya, bekalan itu terus dihantar ke tiga premis cawangannya di Kuala Terengganu termasuk di Cabang Tiga dan di Gong Badak, untuk dijual secara runcit kepada pelanggan.

“Kita belum menerima maklumat penghantaran bekalan terbaru daripada syarikat pembekal,” katanya yang turut mengesahkan telur ayam jenis omega juga turut kehabisan di semua premisnya termasuk di Kota Baharu, Kelantan.

Sementara itu, tinjauan juga mendapati lebih 35 pengguna terutama suri rumah datang ke syarikat pemborong untuk mendapatkan bekalan telur ayam, tetapi hampa apabila sumber protein itu kehabisan.

Seorang pengguna, Halijah Awang, 48, dari Wakaf Mempelam, di Kuala Terenggnu, mendakwa kesukaran mendapatkan bekalan telur sejak Isnin lalu.

Katanya, bekalan telur ayam bukan saja sukar diperoleh di pasar raya dan kedai runcit, malah di syarikat pemborong.

“Kita terpaksa menjelajah ke tiga syarikat pemborong hari ini (semalam) untuk mendapatkan bekalan telur, tetapi hampa kerana sumber protein itu kehabisan.

Keadaan ini menyebabkan kami sudah tidak tahu di mana mahu mencari bekalan telur,” katanya. (https://www.agendadaily.com)

PM akui PAS bantah keras kenaikan cabutan khas judi

 

KUALA LUMPUR: Penjelasan Datuk Awang Hashim bahawa PAS tidak terlibat dalam keputusan menaikkan cabutan khas judi ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini diakui oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata: “Saya kecualikan PAS di sini, saya tahu kalaulah umpamanya…saya percaya kalau dibentangkan di jemaah menteri, sahabat-sahabat dari PAS akan membantah keras,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Pendang ketika mencelah ucapan Anwar berhubung isu itu, menafikan bahawa keputusan cabutan khas judi yang dinaikkan daripada lapan ke 22 ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini adalah sebulat suara.

Beliau menegaskan keputusan untuk menaikkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan itu adalah keputusan Timbalan Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan ketika itu.

“Berkenaan dengan judi dari 22 ke lapan dan daripada lapan ke 22…YB Tambun, pada ketika itu, saya bertanya ketika hendak diluluskan, saya bertanya kepada Timbalan Menteri Kewangan dari Umno, bincang tak dengan siapa ini. Dia kata ini tak perlu bincang dalam Kabinet. Hanya dengan Menteri Kewangan.

“Jadi kalau macam itu, ini tak adil kepada kami. Saya terus tanya, sepatutnya kita bincang dan buat keputusan,” kata Awang. – HARAKAHDAILY 20/12/2022

Bantuan Pusat: Kenyataan Rafizi hina rakyat Perlis

Mohd Shukri Ramli,Menteri Besar Perlis 

Kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mengaitkan Perlis sebagai negeri pertama memohon bantuan Kerajaan Persekutuan disifatkan sebagai  penghinaan kepada rakyat negeri ini.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, tindakan itu dianggap penghinaan buat rakyat negeri ini yang memilih Perikatan Nasional (PN) dan seolah-olah menggambarkan kerajaan Perlis meminta sedekah kepada kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, perkara itu sepatutnya tidak dipolitikkan dan Rafizi seharusnya lebih memahami konsep federalisme dalam pentadbiran kerajaan di negara ini.

“Ini merupakan satu penghinaan buat rakyat negeri Perlis yang telah memilih PN dan saya hadir berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu dalam suasana mesra dan harmoni,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di sini hari ini.

Semalam Rafizi ketika membahaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri mendakwa kerajaan Perlis pimpinan PN menjadi negeri pertama yang memohon bantuan daripada Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden PKR itu berkata demikian susulan daripada pertemuan Mohd. Shukri bersama Anwar pada 12 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, pertemuan beliau bersama Anwar sebelum ini adalah atas jemputan dan bukannya daripada permohonan kerajaan negeri sendiri.

“Jadi saya amat berbesar hati atas jemputan itu dan bukannya saya mohon untuk jumpa Perdana Menteri.

“Itu sebabnya saya rasa cukup bangga dan hal ini tidak perlu dipolitikkan kerana perjumpaan Menteri Besar dan Perdana Menteri adalah perkara biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, menerusi pertemuan itu juga, kerajaan negeri memohon peruntukan pendahuluan untuk emolumen bagi tahun hadapan dan turut diluluskan oleh Perdana Menteri.

Tambah beliau, pihaknya juga meminta pertimbangan Perdana Menteri agar dapat meneruskan semula pengoperasian zon aliran bebas di Wang Kelian bagi merancakkan kembali aktiviti ekonomi di kawasan itu.

“Kita telah minta perkara ini kepada Perdana Menteri dan beliau akan meneliti terlebih dahulu mengenai pembukaan semula Wang Kelian,” katanya.- UTUSAN

Isnin, 19 Disember 2022

Usul percaya lulus dengan undian suara, Anwar kekal PM

 


1. Usul percaya lulus dengan undian suara, Anwar kekal PM

Usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim lulus dengan undian suara petang ini.

Keputusan itu dicapai setelah speaker Johari Abdul tidak mengadakan undian belah bahagi.

Dengan keputusan itu, Anwar kekal sebagai perdana menteri, kira-kira tiga minggu selepas mengangkat sumpah jawatan selepas membentuk kerajaan perpaduan dengan BN dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Melalui undian suara, anggota parlimen perlu berkata “setuju” atau “tidak bersetuju” terhadap sesuatu usul.

Terdahulu, parlimen membahaskan usul itu terlebih dahulu.

Dalam sesi itu, anggota parlimen Perikatan Nasional (PN) Shahidan Kassim (Arau) mencadangkan gabungan itu tidak mengambil bahagian dalam pengundian.

Katanya, tiada keperluan berbuat demikian kerana Yang di-Pertuan Agong sudah pun melantik Anwar.