Keceluparan Manusia dan Kuasa Allah
1. Ketika memberikan ancaman kepada P dalam isu tawanan, Presiden Amerika dengan angkuhnya memberikan amaran kepada P bahawa “all hell will break out” sekiranya pihak P tidak bekerjasama. Tidak lama selepas itu, kita dikejutkan dengan berita “hell” yang lebih menakutkan yang melanda Los Angeles.
2. Menurut BBC, sehingga kini, seramai 155000 diarahkan keluar dari kawasan penempatan mereka manakala 160,000 berisiko sama. Jumlah kemusnahan di Los Angeles dianggarkan sekitar 150 bilion dolar, jauh lebih besar dari jumlah untuk membangunkan semula P yang dianggarkan sekitar 18 bilion seperti yang dinyatakan oleh pihak World Bank.
3. Sebahagian pengulas melihat keceluparan Trump memberikan amaran bala kepada orang lain ini memakan diri. Ada yang melihat bahawa api yang marak dan angin yang bertiup itu sebagai bala tentera Allah yang tidak terlihat. Firman Allah:
وَمَا يَعْلَمُ جُنُودَ رَبِّكَ إِلَّا هُوَ ۚ وَمَا هِيَ إِلَّا ذِكْرَىٰ لِلْبَشَرِ
“dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan ingatlah, neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.” (Surah al-Muddathir)
4. al-Quran mengajak manusia merenungi fenomena kejadian yang berlaku disekeliling mereka. Dalam al-Quran, Allah mendidik Muslim agar menjadikan sesuatu musibah yang berlaku itu sebagai ruang untuk kembali kepada Allah. Firman Allah:
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَى أُمَمٍ مِنْ قَبْلِكَ فَأَخَذْنَاهُمْ بِالْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ لَعَلَّهُمْ يَتَضَرَّعُونَ * فَلَوْلَا إِذْ جَاءَهُمْ بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا وَلَكِنْ قَسَتْ قُلُوبُهُمْ
“Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul kepada umat yang dahulu, maka Kami uji mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri (serta insaf dan bertaubat). Maka alangkah baiknya andai mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras.
5. Menurut al-Imam Ibn al-Qayyim, segala musibah adalah ruang dan masa untuk hamba itu bermuhasabah. Kata beliau:
فالله يبتلي عبده ليسمع تضرعه ودعاءه والشكوى إليه
“Maka Allah menguji hambaNya untuk mendengar tunduk dan patuhnya hamba itu kepada Tuhannya, agar mereka berdoa dan mengadu kepada Allah.”
Semoga Allah membimbing kita.
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
0 comments:
Catat Ulasan