Rabu, 1 Januari 2025

Pemimpin Penipu Diharamkan Syurga

 Pemimpin Penipu Diharamkan Syurga

=====

1. Rasulullah memberi ancaman kepada pemimpin yang menipu rakyatnya. Sabda Rasulullah:

«مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللهُ رَعِيَّةً، يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ، إِلَّا حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ»

Maksudnya: Tidak ada seorang hamba yang diberikan tanggungjawab untuk memelihara rakyat sedangkan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkan baginya syurga. (Sahih Muslim, no: 142)

2. Malah dalam riwayat yang lain pula, ancaman yang diberikan kepada pemimpin yang menipu ini adalah mereka diharamkan daripada mencium bau syurga. Sabda Rasulullah:

مَا مِنْ عَبْدٍ اسْتَرْعَاهُ اللَّهُ رَعِيَّةً، فَلَمْ يَحُطْهَا بِنَصِيحَةٍ، إِلَّا لَمْ يَجِدْ رَائِحَةَ الجَنَّةِ

“Tidak ada seorang hamba yang diberikan tanggungjawab untuk memelihara rakyat sedangkan dia tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik (perkataan nasihah di sini membawa maksud suci, jujur atau telus), melainkan mereka ini akan diharamkan daripada dapat mencium bauan syurga.” (Sahih al-Bukhari, no: 7150). 

Menurut Dr. Mustafa al-Bugha, maksud “tidak dapat menghidu bauan syurga” ini adalah kiasan kepada mereka tidak dapat masuk ke syurga. 

3. Lebih menakutkan lagi, dalam riwayat al-Hakim pula, Rasulullah mengancam bahawa pemimpin yang menipu kaum muslimin ini akan dilaknat Allah. Sabda Rasulullah:

مَنْ وُلِّيَ مِنْ أَمْرِ الْمُسْلِمِينَ شَيْئًا فَأَمَّرَ عَلَيْهِمْ أَحَدًا مُحَابَاةً فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللَّهِ لَا يَقْبَلُ اللَّهُ مِنْهُ صَرْفًا وَلَا عَدْلًا حَتَّى يُدْخِلَهُ جَهَنَّمَ

“Barangsiapa yang dilantik untuk menjadi pemerintah kaum muslim, kemudian dia memerintah dalam keadaan sambil lewa, maka dia akan dilaknat oleh Allah. Allah tidak menerima pengurusan dan pengadilan ke atasnya sehinggalah dia dimasukkan ke dalam neraka jahanam. (Mustadrak al-Hakim)

4. Perhatikan betapa dahsyat ancaman yang berikan oleh Rasulullah terhadap pemimpin yang menipu rakyatnya. Ini semua bagi memastikan mereka melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

0 comments:

Catat Ulasan