"Mesej Untuk Seorang Guru Dalam Filem Masam-Masam Manis."
Bagi peminat filem-filem klasik Melayu, pasti sudah biasa dengan filem Masam-Masam Manis (1965) lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Sharifah Hanim.
Di sebalik kelucuan gelagat mereka berdua sebagai jiran yang saling bermusuhan tetapi rupanya di luar saling mencintai, terdapat banyak pengajaran yang kita perlu ambil dan aplikasikan dalam hidup.
Antara babak yang saya anggap orang ingat berkenaan Masam-Masam Manis ialah bila Cikgu Shaari (P. Ramlee) terlelap semasa mengajar pelajar di sekolah kerana keletihan dan tidak cukup tidur gara-gara menyanyi di kelab malam.
Murid-muridnya semua mengulang ayat "Cikgu suka main bola, hari-hari cikgu main bola." Tapi tak lama lepastu, Cikgu Shaari pun dibuai mimpi. "Cikgu sudah tidur, mari kita main!"
Babak ini menunjukkan bahawa manusia terpaksa menjalankan dua pekerjaan untuk menampung kehidupan di kota besar dan tidak hanya terhad pada zaman ini saja.
Tak salah untuk menambah gaji sedia ada dengan melakukan pekerjaan sampingan tetapi jangan sampai mengganggu tumpuan pada pekerjaan utama.
Ini kerana jika pekerjaan sampingan tersebut mengganggu kesihatan kita dan menjejaskan produktiviti kerja kita, tidakkah itu secara tidak langsung menconteng arang kepada nama baik kita.
Bila mana kita bekerja, kena tahu bahagikan masa antara pekerjaan utama dengan pekerjaan sampingan selain menunjukkan teladan yang baik semasa di tempat kerja.
Siapa tahu, ia sebenarnya membuka langkah kita lebih jauh lagi pada masa hadapan seperti mana yang berlaku pada Cikgu Shaari.
Maka tidak hairanlah, selepas melihatnya terlelap, guru besar memanggil beliau ke pejabatnya dan memberi nasihat secara peribadi untuk beliau berhenti sebagai penyanyi kelab malam dan memberi fokus kepada kerjaya utama sebagai guru.
Beliau dengar nasihat guru besar tersebut dan siapa sangka, beberapa tahun selepas itu, Shaari jadi guru besar di sekolah beliau mengajar.
Satu perkara menarik bila mana guru besar hendak menegur Cikgu Shaari tentang tingkah laku dan etika kerja beliau, beliau tidak melakukannya secara terbuka di khalayak iaitu di hadapan pelajar-pelajar atau guru-guru, sebaliknya dilakukan dalam pejabat beliau.
Dan guru besar turut memilih perkataan-perkataan sesuai dan tona yang dipilih bersifat kebapaan bagi memperlihatkan teguran tersebut bersifat membina.
Malah semasa menegur, guru besar turut mengakui bakat yang dimiliki Cikgu Shaari sebagai penyanyi.
Kualiti sebegini yang harus dimiliki seseorang pemimpin dalam sesebuah organisasi tak kira sama ada organisasi tersebut ialah syarikat multinasional (MNC) atau unit keluarga.
Sebarang teguran yang dibuat hendaklah bersifat objektif dan sama sekali tidak menyentuh peribadi individu yang ditegur.
Dan teguran pula dibuat secara peribadi atau tertutup demi menjaga maruah individu tersebut dan menunjukkan bahawa pihak pengurusan, majikan atau orang tua nakkan individu tersebut berusaha memperbaiki dirinya dan tidak mengulangi kesilapan sama pada masa akan datang.
Orang yang suka menegur secara terbuka tanpa mengambil kira kesan pada individu tersebut atau pada orang lain dan suka menyentuh peribadi individu sebegini tidak layak berada di tampuk kepimpinan kerana tahu membuli dan tidak sensitif sama sekali dengan isu di tempat kerja.
Akhir kalam, kisah-kisah yang dipaparkan P. Ramlee terutama dalam Masam-Masam Manis, walaupun penuh dengan hilai tawa dan kelucuan, ia sebenarnya penuh dengan pelbagai mesej yang bersifat malar segar dan sesuai untuk sepanjang zaman.
Maka tidak hairanlah mengapa beliau selayaknya digelar Seniman Negara kerana cerita-cerita sebegini amat dekat dengan hati masyarakat dan kita boleh meletakkan diri kita dalam setiap situasi yang ditunjukkan.
Saya akhiri dengan ucapan, Selamat Hari Guru kepada semua pendidik yang banyak berjasa kepada kita semua.
Oleh: Azizul Farhan
___
Teringin nak tahu kisah hidup Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dari awal kelahiran hinggalah hilangnya sebutir permata industri seni negara?
Dapatkan P.RAMLEE, TIADA YANG KEDUA yang akan ke udara ketika PBAKL nanti!
Baca bab-bab awal SECARA PERCUMA di sini: https://thepatriots.store/pramlee/
0 comments:
Catat Ulasan