PETALING JAYA – UMNO meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk meletakkan jawatan secara terhormat.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Ahli-Ahli Parlimen UMNO mesti menzahirkan dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan ke atas Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
“Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku Ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan; memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa.
“Pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO,” jelasnya melalui satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, UMNO amat kesal dengan tindakan Kerajaan pimpinan Muhyiddin yang mengingkari titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan di Parlimen seiring dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutan.
Jelas Ahmad Zahid, lebih mendukacitakan apabila Tuanku sendiri mendedahkan bahawa pembatalan Ordinan-ordinan Darurat sebagaimana yang diumumkan Menteri Undang-Undang pada Isnin lalu di Parlimen amat mengelirukan, kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Tindakan ini jelas merupakan satu bentuk penderhakaan kepada baginda, bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya. -K! ONLINE
0 comments:
Catat Ulasan