Jumaat, 30 Julai 2021

CUEPACS tolak cadangan pinda Akta Pencen 1980

 Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat. - Foto fail NSTP

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menolak cadangan Akta Pencen 1980 dipinda bagi membolehkan pelantikan kakitangan awam ke jawatan tetap dengan pilihan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaksanakan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya bimbang pindaan akta itu akan memberi kesan kepada semua penjawat awam tidak lagi dibenarkan memilih skim tetap sama ada pencen atau caruman KWSP.

"CUEPACS sedikit khuatir dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa pasukan petugas khas dianggotai Kementerian Kesihatan (KKM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) akan melihat keperluan untuk meminda Akta Pencen 1980.

"Ini bagi membolehkan pegawai perubatan kontrak diserap ke jawatan tetap dengan pilihan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Sedangkan perkara ini sememangnya sudah sedia ada dalam Akta Pencen 1980 yang memberi pilihan kepada penjawat awam (sama ada memilih skim pencen atau KWSP)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Dr Noor Hisham dalam satu hantaran di Facebook berharap keperluan untuk meminda Akta Pencen 1980 dilihat demi kebajikan pegawai perubatan dan petugas kesihatan kontrak.

Beliau turut meletakkan harapan tinggi, langkah itu dapat dibentangkan di Parlimen, sekali gus memperoleh sokongan demi kebajikan pegawai kontrak.

Adnan berkata, sebarang pindaan ke atas Akta Pencen 1980 sepatutnya tidak mengurangkan apa-apa faedah yang diterima oleh penjawat awam atau pesara kerajaan ketika ini.

"CUEPACS menentang sepenuhnya apa-apa pindaan ke atas Akta Pencen 1980 yang bersifat mengurangkan lagi manfaat atau faedah yang diterima oleh penjawat awam.

"Apatah lagi buat masa ini tiada sebarang jaminan daripada kerajaan apakah pindaan akta ini tidak memberi kesan kepada penjawat awam yang lain atau ia hanya membabitkan penjawat awam di sektor kesihatan sahaja," katanya.

Beliau juga berkata, CUEPACS menyambut baik usaha sedang dilaksanakan kerajaan dan KKM bagi membela nasib petugas kesihatan termasuk doktor yang masih berstatus kontrak, bagaimanapun ia seharusnya turut mengambil kira kebajikan penjawat awam lain.

"CUEPACS meminta kerajaan dan pihak yang terbabit dalam menentukan masa depan petugas dalam sektor kesihatan menimbang semula keputusan untuk meminda akta ini dengan sebaik-baiknya.

"Pertimbangan ini harus dibuat dengan sewajarnya supaya tidak tersilap membuat keputusan terutama dalam isu pelantikan tetap tanpa pencen.

"Kami tidak mahu apabila perkara ini dipersetujui kelak, akan wujudnya perkara berbangkit seperti membuat perbandingan dengan penjawat awam yang berstatus berpencen," katanya.

Adnan berkata, bagi penjawat awam dalam sektor kesihatan terutama doktor, mungkin sesuai untuk dilaksanakan skim KWSP kerana mereka mempunyai peluang yang besar untuk keluar daripada sektor kerjaan dan bertugas di sektor swasta dengan tawaran gaji lebih lumayan.

"Dalam hal ini bukan hanya kebajikan sesetengah pekerja sahaja harus diperjuangkan kerana lebih ramai penjawat awam lain berhak mendapat perhatian sama," katanya.

-BH Online

0 comments:

Catat Ulasan