Sabtu, 31 Julai 2021

LATIFAH OMAR DIGILIS LANCANG KUNING, ISTERI DOLLAH SERAWAK YANG TUMPAH DARAH

 LATIFAH OMAR DIGILIS LANCANG KUNING,ISTERI DOLLAH SERAWAK YANG TUMPAH DARAH

Seniman Dollah Serawak, ayah kepada Siput Serawak, bukan saja seorang pelakon berkarekter, malah, beliau juga seorang pawang yang banyak mengubati orang dari berbagai jenis penyakit, sambil menjual minyak pengasih, pemanis, penyeri muka dan minyak untuk tersalah urat. Antara pelanggannya adalah bintang filem, penyanyi dan pemuzik. 

" Beginilah caranya saya menyara hidup tiga beranak dan untuk membayar sewa flat, " ujar Dollah yang tinggal di flat dua bilik di kawasan Toa Payoh, Singapura.

Nama sebenarnya ialah Mohamad bin Haji Sulaiman, lahir di Sungai Ara, Pulau Pinang. Selepas ibunya meninggal, ayah telah membawa Dollah pulang ke Yunnan, China ketika usia baru 10 tahun. Selepas dua tahun di Yunnan, Dollah dibawa ke Hongkong selama dua tahun, dan kemudian turun ke Singapura di mana beliau belajar menjadi tukang emas. Selepas itu, beliau dibawa ke Sarawak untuk mencari pengalaman baru. Di situlah Dollah buat bermacam2 pekerjaan - mandor tuba, pelayan restoran, office boy, penghantar surat, pemandu bas, warden penjara, penjaga pam minyak, dan akhir sekali menjadi pelakon dalam bangsawan. Sewaktu di Sarawak, Dollah dijadikan anak angkat kepada Tengku Syed Idrus, seorang kerani di Pejabat Tanah. Dari situlah Dollah belajar ilmu perubatan tradisional sehingga beliau fasih berbahasa Iban. Tengku Syed Idrus yang beri nama DOLLAH SERAWAK kerana mengikut pada Tengku, nama asalnya terlalu lembut dan SERAWAK adalah sempena nama negeri itu. 

" Apabila saya bermain bangsawan, nama DOLLAH SERAWAK lah saya gunakan sampai ke hari ini. Saya telah menubuhkan kumpulan bangsawan dan kami jelajah seluruh Malaya dan Singapura. Kemudian saya dipelawa untuk berlakon sebagai extra dalam filem NASIB pada tahun 1949, diikuti dengan NILAM dan RACHUN DUNIA, semuanya terbitan Shaw Brothers. Selepas itu, saya pindah ke Keris Films dan berlakon dalam filem BERBAHGIA DI-SINGAPURA. "

Filem LANCHANG KUNING arahan M. Amin merupakan filem lakonan Dollah yang ke 46. Itulah satu2nya filem yang tidak dapat dilupakan kerana sesuatu kejadian yang menimpa isterinya yang ke empat iaitu Aishah Ismail, yang juga bekerja sebagai jurusolek dengan Cathay Keris. 

" Dalam filem itu, Latifah Omar digilis oleh bahtera  lancang. Isteri saya pula meninggal dunia di Hospital Kandang Kerbau kerana tumpahan darah, " ujarnya, sambil mengesat airmata yang mula membasah pipi. Kejadian itu berlaku bertepatan dengan masa beliau berlakon dalam filem tersebut. Namun, beliau tidak mahu menyifatkan kematian isterinya itu ada kaitan dengan babak ngeri dalam LANCHANG KUNING, kerana secara kebetulan, sebelum shooting babak Latifah Omar digilis lancang itu, satu istiadat menyemah telah dilakukan bagi menghindari dari sebarang malapetaka ketika lancang menggilis perut Telani (Latifah Omar) yang sedang berbadan dua. Penyemahan itu diselenggarakan oleh Dollah Serawak, dengan menyembelih seekor ayam putih, serta menjamu bubur putih-merah kepada sekelian yang ada di situ.

Gambar atas kiri: Dollah Serawak bersama isteri ke empatnya, Aishah Ismail yang meninggal akibat tumpahan darah pada waktu sama dengan Telani digilis lancang.

Gambar atas kanan: istiadat menyemah dan menyembelih ayam putih yang dilakukan oleh Dollah Serawak, sambil diperhatikan oleh Noordin Ahmad (berdiri kanan) dan Haji Arshad (berdiri kiri).

Gambar bawah:  babak Telani ( berbadan dua) yang akan digilis oleh lancang kuning. 

fonzz

30.7.2021

0 comments:

Catat Ulasan