“Atuk, lepas konsert tu, Zul pegi konsert ape lagi ye?”, tanya Sarah.
“Hehe…Setahu atuk, tak dop doh konsert hok Zul gi. Se tu je. Konsert pertame dang terakhir.”, kata Tok Aki tersenyum.
“Ok, Sarah. Atuk sambung cite ye. Panjang lagi cite kite ning.”. Tok Aki menyambung kembali ceritanya…
******************
“Insya-Allah, hari ning kite mulekang dengan hadis pertame dari kitab Mustika Hadis…”, Zul memulakan kuliahnya di Surau Kampung Kubang Kekura.
Sejak berada di Tahun 3 dan Tahun 4 Thanawi, Zul mula mengajar di sekitar Kuala Terengganu. Kebiasaannya di Surau Kuala Bedah di Kuala Bekah, Surau Kampung Kubang Kekura. Khairul atau saingnya Zuan yang membawa motosikal dan Zul membonceng untuk menyampaikan kuliah. Setiap kali giliran Zul mengajar, penuh surau dengan jemaah. Bahasanya yang mudah difahami masyarakat awam, diselitkan kisah-kisah salafussoleh dengan pendekatan yang santai, menarik minat penduduk setempat untuk mengikuti kuliahnya.
Selesai kuliah, jawatankuasa surau akan menyediakan sedikit kuih-muih. Ketika itulah Zul akan ditanya beberapa soalan keagamaan oleh jemaah yang hadir. “Ustak. Ape hukum makang tuppa[1]?”, Haji Din tiba-tiba bertanya semasa mereka sedang menjamu selera. “Guane gamok Haji Din beghehi kedaroh tuppa ning? Hahaha…”, persoalan Haji Din disambut hilai tawa bilal surau, Pok Mat.
“Para ulama’ kite ade pandangang yang berbeze dalam isu makang tupa ning. Imam al-Nawawi menghukumkang halal makang tupa dan sebahagiang ulama’ mazhab Syafie menghukumkang haram.[2] Syeikh Zakariyya al-Ansari pun halalkang sebab taring tupa ni lemoh, walaupung die jenih musang.[3] Ulama’ Melayu kite, Syeikh Daud al-Fatani pung halalkan.[4] Tapi, Syeikh Arsyad al-Banjari haramkang.[5] Secare peribadi, ambe cenderung kepada pendapat sebahagiang ulama’ mazhab Syafie yang mengharamkang. Tupa ni pung haiwang lior yang hampir pupus. Setahu ambe, kerajaang pung tok benarkang kite bburu tupa ning. Mematuhi arahang pemerintoh ni wojik[6] Wallahu a’lam.”, jawab Zul dengan penuh teliti.
“Haji Din, Pok Mat, ambe kelik dulu ye. Doh lewat ni..”, Zul memohon izin untuk pulang ke rumah. Pok Mat bersalam dengan Zul dan menyelitkan sampul berisi not RM10 dua keping sebagai saguhati kepada beliau.
Walaupun masih di bangku Thanawi, Zul memang kreatif dalam menarik penduduk kampung untuk hadir mengimarahkan Surau Kampung Kubang Kekura. Sesekali, beliau akan menjemput guru-guru bangsa Arab di SMAASZA untuk menyampaikan kuliah. Penduduk kampung sudah tentu teruja bila mendapat tahu ada “Pok Seh”[7] akan ke surau mereka. Ustaz Taha dan Ustaz Sa’id al-Qasabi adalah antara yang pernah berkuliah di Surau Kampung Kubang Kekura. Zul sendiri akan berperanan sebagai penterjemah. Setiap patah yang disampaikan, akan dicatat pada sehelai kertas dan beliau langsung menterjemahkannya.
“Nah, mung bace ape aku tulih.”, Zul memberikan kertas catatan terjemahannya kepada Khairul. Ketika itu, baru selesai ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Taha. Berkerut dahi Khairul. “Aku dop pahang starang abuk ape mung tulih!”, kata Khairul sambil tertawa kecil. “Mung nok jadi mutarjim[8], mung catat slalu ape hok penceramoh cakak. Catat dalam Bahase Arab. Dop soh terjemoh lagi. Pah tu baru terjemoh dari catatang mung…”, Zul mengajarkan Khairul teknik penterjemahan Bahasa Arab secara langsung bagi kuliah yang berbahasa Arab.
******************
Jika ada masa yang terluang, beliau juga akan mengikuti pengajian di Pondok Pasir Tumboh yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Hashim dan Tuan Guru Haji Atiqullah. Ini sebagai tambahan kepada pengajian-pengajian talaqqi lain turut disertainya di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Abbas, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Fatani dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, begitu juga silibus yang diajarkan semasa Thanawi di SMAASZA. Antara kitab-kitab yang sempat dipelajarinya adalah Maṭlaʿ al-Badrayn, Iqnaʿ, Tafsīr al-Jalālayn, Matn al-Ajurrūmiyyah, al-Naḥw al-Wāḍiḥ, Matan al-Binā’ wa al-Asas, Bulugh al-Marām, Jawharat al-Tawḥīd, Penawar Bagi Hati dan lain-lain.
Banyak kelebihan belajar ilmu agama dengan kaedah talaqqi. Firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya: Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
Al-Alusi berkata: “Hakikatnya, penggunaan ‘untuk mengajar’ (لِيُعْلِمُوْا) lebih sesuai berbanding ‘memberi peringatan’ (لِيُنذِرُوا) dan ‘supaya mereka faqih’ (يَتَفَقَّهُوْا) berbanding ‘berjaga-jaga dari melakukan larangan Allah’ (يَحْذَرُونَ). Akan tetapi, dipilih perkataan-perkataan tersebut berbanding istilah yang satu lagi sebagai isyarat bahawa matlamat guru hendaklah untuk memberi petunjuk dan peringatan. Sedangkan matlamat penuntut ilmu pula adalah untuk meraih rasa takut kerana Allah SWT, bukan bersenangan dan merasa takabbur dengan ilmu.
Syeikh al-Maraghi berkata: Ayat ini diturunkan bagi melengkapkan hukum-hukum yang bersangkut dengan perjuangan. Iaitu hukum mengenai pencarian ilmu dan mendalami urusan agama. Ertinya, melalui mempelajari ilmu secara mendalam itu merupakan suatu cara berjuang yang menggunakan hujjah dan menyampaikan beberapa bukti dan juga merupakan suatu rukun yang terpenting dalam aspek menyeru kepada keimanan dan menegakkan sendi-sendi Islam.[9]
Dengan memahami firman Allah SWT ini, jelas menunjukkan perintah untuk menuntut ilmu melalui pembelajaran dan berguru. Inilah yang asalnya. Hal ini diperkuatkan lagi dengan hadis daripada Abi Darda’ R.A, sabda Rasulullah SAW:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إنَّمَا الْعِلْمُ بِالتَّعَلُّمَ وَالْفِقْه بِالتَّفَقُّهِ
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, adapun sesungguhnya ilmu itu dengan mempelajarinya dan fiqh itu dengan tafaqquh (memahaminya).”[10]
Berkata Al-Hafiz Abu Bakr al-Khatib al-Baghdadi berkata: “Tidak diambil sesuatu ilmu agama melainkan daripada mulut-mulut para ulama’.”[11]
Imam Muslim meriwayatkan dalam muqaddimah kitab Sahih Muslim daripada Muhammad ibn Sirin bahawa dia berkata:
إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِيْنٌ فَانظُرُوْا عَمَّنْ تَأْخُذُوْنَ دِيْنَكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama maka kamu lihatlah daripada siapakah kamu mengambil agama kamu.”[12]
Abdullah Ibn al-Mubarak berkata:
الْإِسْنَادُ مِنَ الدِّيْنِ لَوْ لَا الْإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ
Maksudnya: “Isnad itu adalah sebahagian daripada agama, sekiranya tidak ada isnad maka berkatalah seseorang itu apa yang hendak dikatakannya (bergantung kepada hawa nafsunya)”[13]
____________________
[1] Tupai
[2] Lihat Majmūʿ Sharḥ al-Muhazzab, (9/12)
[3] Lihat Asnā al-Maṭālib Sharḥ Rawḍ al-Ṭālib, (1/564)
[4] Lihat Maṭlaʿ al-Badrayn wa Majmaʿ al-Baḥrayn, (2/26)
[5] Lihat Sabil al-Muhtadin, m. 258
[6] Wajib
[7] Pak Syeikh. Panggilan kepada orang Arab bagi orang Pantai Timur
[8] Penterjemah
[9] Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/2937
[10] Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (395)
[11] Lihat al-Faqih wa al-Mutafaqqih, 2/192
[12] Lihat Muqaddimah Sahih Muslim, 1/12
[13] Lihat Muqaddimah Sahih Muslim, 1/11
Sumber Asal: zulkiflialbakri.com
Artikel Barkaitan:
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Prolog
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 1- Budak Kampung
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 2 - Bukan Lagi Yang Dulu
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 3 - Ramadhan di Kubang Kekura
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 4 - 10 Malam Akhir Ramadhan
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 5- Indahnya Raya
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 6- Atlit Takraw SMASZA Ladang
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri :Bab 7 - Sambutan Hari Kebesaran Islam
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 8- 11A di SMASZA Ladang
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 9- Bekwoh di Tranung
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 10- Usrah, Tarbiah dan Dakwah
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 11- Cerita Budak Kubang Kekura di depan Syeikhul Azhar
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 12: Al-Arqam dan Nadamurni