Jumaat, 21 Mac 2025

Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dan Masjid MADANI.

 Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dan Masjid MADANI.

Kepada siapa yang ketinggalan nak tahu apa sebenarnya isu ini saya cuba kumpulkan kronologi apa yang telah berlaku berkaitan isu ini sejak semalam lagi. 

Agak panjang, tiada tokok tambah, hampir semua verbatim daripada apa yang disebut, boleh rujuk video rujukan diruangan komen. Silakan jemput baca.

19 Mac 2025,

- Ambiga umum sidang akhbar isu ‘bina masjid di tapak kuil’ pada 20 Mac 2025

Ringkasan:

1. Lawyers for Liberty (LFL) dijadual mengadakan sidang media berhubung rancangan perobohan sebuah kuil Hindu yang bersejarah bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid.

2. Kuil yang terlibat, Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, terletak di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, dilaporkan berusia 130 tahun - iaitu sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.

3. Menurut LFL, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) konon memberikan kebenaran merancang kepada sebuah syarikat swasta untuk membina masjid di tapak kuil itu.

4. Akan dedahkan lebih lanjut dengan lebih terperinci.

.

20 Mac 2025,

Ada 3 sidang media berasingan,

i- Datuk Bandar Kuala Lumpur lawat Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, secara mengejut dan panggil media

Ringkasan:

1. Datuk Bandar mengatakan ini kali kedua beliau ke kuil. Kali ini beliau hadir menyatakan langkah DBKL berkaitan isu kuil berkenaan di tanah swasta.

2. DBKL ambil maklum berhubung cadangan pembinaan sebuah masjid di tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India Kuala Lumpur.

3. Tegaskan projek merupakan cadangan dari pemilik syarikat swasta, bukan kerajaan,  walaubagaimanapun DBKL mengambil langkah proaktif mencari jalan terbaik buat semua pihak terlibat, untuk mengelakkan sebarang diskriminasi kepada mana mana kaum.

4. DBKL memberi jaminan bahawa setiap langkah yang sedang dan akan diambil akan berpandukan prinsip kebebasan beragama seperti dijamin oleh perlembagaan persekutuan kita.

5. DBKL telah mengenalpasti lokasi baru untuk pemindahan rumah ibadah terlibat supaya penganut hindu dapat terus melaksanakan aktiviti-aktiviti keagamaan mereka dengan harmoni dan selesa.

6. Proses pemindahan akan dilakukan secara telus dan adil serta membabitkan pihak berkaitan, tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan tanpa perbincangan dengan pihak terlibat.

7. Kuil boleh beroperasi seperti biasa sampai proses pemindahan selesai dan DBKL menyeru untuk semua mengekalkan keharmonian dan menghormati kesemua agama di negara ini.

8. Setakat ini masih belum ada garis masa bila pemindahan akan berlaku. Akan mengambil masa, kerana kuil perlu setuju tempat yang baru baru.

9. Dalam sidang media yang sama kuil bersetuju jika masjid dibina secara bersebelah dengan kuil dan harap cadangan ini boleh dibincangkan.

.

ii. Sidang Media oleh pihak swasta, JAKEL Trading Sdn Bhd.

1. Mendakwa plot tanah 328 di Masjik India adalah milik sepenuhnya JAKEL Trading Sdn Bhd dan memberitahu bahawa perbincangan pembelian plot tanah tersebut dengan DBKL telah berlaku sejak tahun 2009.

2. Pengasas Jakel Arwah Muhammad Jakel Ahmad telah membeli tanah itu dengan niat untuk MEWAKAFKAN kepada pembinaan sebuah masjid. Juga sebagai simbolik usaha 6000 pekerja Jakel yang telah menyumbang mengembangkan syarikat berkenaan. 

3. Pada tahun 2012 surat tawaran pembelian tanah, lot 328,  berkeluasan 1128 meter bersamaan 12ribu kaki ditandatangani mereka dan menjadikan plot tanah tersebut milik JAKEL dari DBKL.

4. Selepas pembelian tanah tersebut JAKEL mengakui telah berlaku perbincangan dengan pihak pengurusan kuil dan faham sensitiviti keagamaan, maka sebab itu lah perbincangan telah berlarutan lebih dari 8 ke 10 tahun mencari solusi yang sesuai.

5. Setakat ini isu belum sampai ke peringkat mahkamah kerana Jakel mencari win-win situation, perbincangan telah bermula sejak awal dan telah menawarkan untuk menanggung kos pemindahan sejak tahun 2017.

6. Jakel menafikan penggunaan terma roboh, terma yang mereka harap digunakan adalah pemindahan tempat berdekatan dengan bantuan DBKL dan agensi terlibat.

7. Menegaskan bahawa plan relokasi atau pemindahan telah berlaku sekian lama, namun tapak yang telah dicadangkan tidak diterima pihak kuil kerana dikatakan tidak sesuai, maka sebab itu ia masih belum selesai dan dalam perbincangan.

8. Selepas perbincangan yang berterusan dari 2017-2020, pada 2020 baru Jakel dapat perintah pembangunan(DO) untuk pembinaan sebuah masjid tiga tingkat dari DBKL dan tahun 2021 baru dapat kelulusan Pelan Bangunan dari pihak autoriti untuk membina masjid.

9. Namun JAKEL tegaskan tidak ada apa yang telah didirikan kerana menghormati pihak kuil, dan berhasrat mahu tunggu perkara/perbincangan selesai dahulu. Maka lanjutan kelulusan Pslan Bangunan telah diberikan sementara menunggu outcome perbincangan dengan pihak kuil.

10. Jakel memberitahu bahawa DBKL juga membantu mencari kawasan relokasi namun belum dapat tempat sesuai.

11.  Cadangan pecah tanah pada 27 Mac minggu hadapan adalah sempena bulan Ramadan juga akan tidak dilakukan didepan kuil, tetapi disebelah tapak kuil dan pihak kuil dijemput juga.

12. Memaklumkan bahawa upacara pecah tanah bukan bermaksud akan terus buat dan paksa kuil berpindah secara segera, sebaliknya sekadar komitmen pembinaan dari pihak JAKEL dan apa apa kerja hanya akan dimulakan selepas sesi pemindahan selesai.

13. Sekali lagi tegaskan tidak wujud istilah merobohkan, komitmen syarikat dan DBKL mencari tempat yang sesuai. Jakel turut menyatakan tujuan sidang media untuk address kebimbangan naratif roboh kuil untuk bina masjid, 

14. Jakel berharap tidak ada salah faham kerana perbincangan sentiasa harmoni dan tiada tekanan untuk kuil segera keluar, harap tidak ada pihak yang mensensasikan isu ini sementara DBKL cari tanah yang sesuai.

15. Ditanya kenapa Jakel pilih tanah berkenaan, Jakel menegaskan bahawa di dalam dokumen berkaitan ketika proses pembelian bahawa kuil adalah sementara, dan tiada restriction pembelian.

.

.

iii. Sidang Media oleh Ambiga, LFL dan pihak pengurusan kuil

Speaker Rajmohan pilai (Ketua Sami)

1. Tujuan sidang media adalah untuk menyelamatkan legasi kuil kerana menerima tekanan dan mungkin terpaksa merobohkan kuil.

2. Mendakwa kuil dibina sejak tahun 1893, tapak kuil yang ada sekarang menyimpan artifak, relik dari kuil asal yang lokasinya beberapa meter dari tapak sekarang.

3. Mendakwa pada 2008 kuil telah diminta pindah oleh DBKL ke kawasan sekarang lot 328 kerana sebelumnya berada di rizab jalan.

4. Ketika proses pemindahan upacara penyucian besar Kumbhabhishekham dilakukan bersama DBKL.

5. Walaubagaimanapun, tanpa pengetahuan jawatankuasa kuil, kerajaan melalui DBKL telah menjual tanah tersebut termasuk bahagian tanah kuil pada 2014 kepada sebuah syarikat swasta.

6. Bermula sejak 2016, syarikat swasta dan kerajaan telah memaksa pindah tempat tumpuan komuniti masyarakat india di Masjid India. 

7. Dikatakan selain pusat ibadah, kuil ini juga adalah pusat kebudayaan, ada kelas tarian, nyanyian dan yoga di kuil untuk kanak kanak dan dewasa.

8. Berkata jika rancangan diteruskan akan menghapuskan identiti masyrakat majmuk di Jalan Masjid Jamek.

9. Mengakui DBKL telah menawarkan tanah lain contohnya di Jalan Bunus namun ia separuh keluasan dan jauh dari masjid India dan tidak sesuai kerana kawasan banjir.

10. Terkejut dan gagal memahami kenapa walaupun rundingan masih berjalan, dimaklumkan akan majlis pecah tanah pada 27 dan akan dirasmikan oleh PM.

11. Masih ada ruang tanah di sebelah kuil, mengalukan tanah tersebut sebagai tapak masjid dan mencerminkan masyarakat majmuk.

12. Memohon tidak perlu roboh atau pindah kuil

dan meminta supaya kerajaan madani mengekalkan kuil di plot 328 dan tapak kuil tersebut digazetkan sebagai tanah kekal.

.

Speaker Surendran(LFL)

1. Lega bahawa DBKL akan memberi komitmen untuk tidak merobohkan kuil selagi belum selesai berbincang dengan pengurusan kuil.

2. Walaubagaimanpun masih nak membetulkan beberapa perkara yang tidak dirasakan tepat, sebagai contoh DBKL mengambarkan bahawa ini adalah projek swasta  semasa sedangkan DBKL yang memberikan DO pada 2020 kepada syarikat swasta, DBKL tahu akan pembinaan tersebut. 

3. Maka kes ini bukan kes bina kuil diatas tanah swasta sebaliknya penjualan tanah kerajaan yang mempunyai kuil kepada pihak swasta.

4. Berpendapat tidak sepatutnya pihak kuil dipersalahkan kerana seolah menolak faktor sejarah kuil yang juga komunitinya terlibat  sebagai sebahagian daripada masyarakat  yang menyumbang kepada pembinaan negara sejak berdekad yang lalu.

5. Mengingatkan PM ketika menjadi MP dan beliau berjuang untuk kuil raja Chulan pada 2014, PMX yang ketika itu merupakan ketua pembangkang penyokong beliau.  Dan beliau  harap semangat yang sama ketika 2014 PMX menyelamatkan kuil tersebut dapat ditunjukan oleh PMX dalam kes kuil di Masjid Jamek ini.

.

Speaker Ambiga

1. Menegaskan kuil ini lebih lama disini berbanding pemilik baru yang membeli pada tahun 2014.

2. Pihak kuil tidak diberi tahu akan tanah yang akan dijual, dan hanya tahu 2 tahun kemudian dan pihak swasta sepatutnya ambil tahu ada kuil ketika membeli tanah, kerana ia lebih 100 tahun di situ.

3. Turut persoal selama ini kawasan Masjid India aman makmur, kenapa perlu ada isu ini? Persoal apa yang cuba dilakukan kerjaan Madani?

4. Tekankan perlu melihat identiti dan karakter majmuk di masjid jamek maka mahukan tidak ada perobohan/pemindahan jika betul mereka mahu menghormati hak beragama semua rakyat. 

5. Turut berharap tidak perlu kemahkamah untuk elakan tekanan dan pergeseran masyarakat.

6. Terkejut dengan kepimpinan kerajaan yang pernah berjalan dijalanan bersama beliau untuk keadilan dan kesaksamaan yang kini membawa naratif MADANI yang turut membawa nilai keadilan dan inklusif tapi tidak mengambil jawapan(yakni membina masjid disebelah kuil dan tidak memindahkan kuil) yang sebenarnya berada didepan mata.

.

Speaker Zaid Malek (LFL)

1. Ulang nada kuil dibina sejak sebelum merdeka, maka bukan sahaja bersejarah, juga penting untuk komuniti sebab bukan saja untuk ibadah, tidak boleh diendahkan fakta ini.

2. Jika kuil diroboh, seolah kita menafikan hak untuk mereka beribadah dan kebebasan beragama serta sejarah kuil.

3. Mencadangkan solusi supaya kuil tidak perlu diroboh kerana ada tapak berhampiran (lot parkir yang juga dimiliki oleh jakel)yang lebih besar, dan lot disebelahnya(dimiliki kerajaan).

4. Maka tidak ada keperluan merobohkan kuil. Malah menurutnya akan lebih mudah pembinaan, serta akan lebih muhibah dan tidak bertentangan dengan prinsip madani.

5. Solusi ini dilihat lebih mudah, bina sebelah kuil kerana tidak ada kekangan dan kesalahan membina masjid dan kuil secara bersebelahan. Beri contoh masjid dan kuil bersebelahan di WangsaMaju.

6. Mengingatkan untuk menghormati penduduk setempat, akui kepentingan dan sejarah kuil tersebut.

7.  Jika kerajaan nak angkat prinsip kebebasan beragama dijamin dalam perlembagaan dan mengangkat nilai keharmonian dan muhibah majmuk, kena akui hak orang bukan islam untuk beribadah.

8. Beliau turut menyebut tidak sesuai nama 'Masjid Madani' jika melakukan perkara yang berlawanan dengan prinsip MADANI.

TAMAT.

Sumber 

Related Posts:

0 comments:

Catat Ulasan