Khamis, 6 Mac 2025

KISAH HARUN OSMAN, KERANI BANK NEGARA CURI RM22.2 JUTA!

 KISAH HARUN OSMAN, KERANI BANK NEGARA CURI RM22.2 JUTA!

Oleh:Syahril A.Kadir

Ramai yang request saya terus menulis dan bercerita mengenai kes-kes jenayah. Saya sebenarnya 'nak bersara' dah bab-bab ni, bagi jelah adik-adik baru nak up yang bukan main 'aktif' bertiktok, beryoutube bagai kat luar tu.

Maklumlah kita dah kertu, kita bagilah depa berkarya. Cuma ada satu kes yang ramai orang tak tahu dan izinkan saya bercerita mengenainya.

Anyway, lately ni kita banyak baca kes-kes jenayah kolar putih yang melibatkan wang yang berpuluh, beratus malah berbilion ringgit. Pelakunya kebanyakannya adalah golongan profesional, politikus berpengaruh tak terkecuali.

Ramai orang hanya ingat kes pegawai bank bernama Aman Shah yang berjaya ambil satu sen daripada akaun pelanggan bank sampai dapat kumpul RM4 juta tu.

Namun ramai yang tak tahu, dan mungkin ramai yang lupa, negara kita pernah digemparkan dengan kes kecurian wang sebanyak RM22.2 juta di mana pelakunya cuma seorang kerani! 

Kerani mana? Kerani Bank Negara!

Kisahnya panjang, kalau nak cerita sampai esok pun tak habis. Tak mengapalah, saya ringkaskan dan mudahkan untuk maklumat anda.

Pada sekitar Julai 1988, Harun Osman (ketika itu berusia 37 tahun), telah menggunakan pelbagai dokumen termasuk tandatangan yang dipalsukannya hingga membolehkan wang sebanyak RM22.2 juta dipindahkan ke Bank Bumiputra sebelum ia dikreditkan ke akaun bank sebuah firma guaman milik peguam bernama Che Man. 

Daripada akaun tersebut, beberapa pengeluaran telah sempat dibuat. 

Apa modus operandi lelaki bujang yang berasal dari Kodiang, Kedah ini? Anda boleh baca keratan akhbar NST di bawah. 



Harun kemudiannya memberi notis berhenti kerja di Bank Negara dan lari ke Jakarta, Indonesia, juga menggunakan dokumen perjalanan palsu. Dia sempat bawa lari RM6.5 juta masa tu.

Baik apa jadi selepas dia lari ke Jakarta? Harun terus tinggal di sana dan beli rumah banglo bernilai RM600,000 (bayangkan betapa besar dan mewahnya banglo tersebut pada tahun berkenaan). Dia juga sempat membeli kereta mewah BMW dan jongkong emas.

Harun kemudian mula menggubah penampilannya dan menggunakan nama baru - Ismail Abdullah. Dia juga menyimpan sebahagian daripada wang tersebut ke dalam beberapa akaun bank asing di sana. 

Setelah beberapa bulan di Indonesia, kehadirannya mula 'dihidu' dan menimbulkan syak pihak berkuasa republik tersebut. Dia ditangkap kerana kesalahan tinggal melebihi had masa dan memiliki pasport palsu tetapi berjaya melarikan diri dari pusat tahanan imigresen di Kalideris, Jakarta.

Namun kira-kira dua bulan selepas itu, Harun menyerah diri dekat kedutaan kita di sana sebelum dia dibawa pulang ke Malaysia bagi menghadapi tuduhan perbuatan jenayahnya.

Harun dengan tanpa membazirkan masa mahkamah terus mengaku salah atas satu daripada tiga pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. Disebabkan beliau mengaku salah atas salah satu pertuduhan itu, dua lagi tuduhan lain telah digugurkan.

Dia mengaku salah di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan (mencuri) yang memperuntukkan penjara maksimum 7 tahun, selepas merayu, hakim memerintahkan hukuman penjara selama 5 tahun dan denda RM50,000.

Peguam Che Man pula didapati tidak bersalah dan dibebaskan.

Kalau Harun masih ada, umurnya kini dalam lingkungan 71 tahun. Peguam Che Man pula saya difahamkan telah meninggal dunia kira-kira tiga tahun lepas.

Saya difahamkan daripada RM22.2 yang dicuri, pihak berkuasa hanya dapat menemui kembali separuh jumlah daripadanya. Yang lain Wallahualam.

Begitulah. Senang je, tanpa peluru dan pistol, berjuta duit Bank Negara Harun bawa lari. 

Masa keluar mahkamah lepas dijatuhkan hukuman, Harun masih boleh melemparkan senyuman...agak-agak apa dia berkata dalam hatinya masa tu ye?

Adeh deh deh...

SAK

0 comments:

Catat Ulasan