Ahad | 13-10-2024
Gandingan Din-Fei Berjaya Tumbangkan Bergu No. 2 Dunia Untuk Muncul Juara BWF World Tour Super 500 Arctic Open
Hari ini adalah hari yang amat bermakna sekali buat gandingan paling mantap Malaysia sekarang ini Goh Sze Fei-Nur Izzuddin apabila mereka berjaya muncul sebagai juara di Kejohanan BWF World Tour Super 500 Arctic Open selepas menundukkan Bergu No. 2 Dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang juga merupakan juara bertahan dalam pertarungan sengit yang berlanjutan sehingga ke set penentuan 15-21, 21-15, 21-19.
Namun, perjalanan mereka berdua untuk bergelar juara bukanlah mudah dan penuh berliku kerana mereka terpaksa berhadapan dengan bergu No. 1 Dunia dari China, Liang Weikeng-Wang Chang di Separuh Akhir semalam dan terpaksa bertarung sehingga ke set penentuan juga yang berakhir dengan keputusan 19-21 21-17 21-18.
Manakala di peringkat Suku Akhir, Din-Fei terpaksa bertemu dengan bekas bergu No. 1 Dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Rian Ardianto sehari sebelumnya. Pertarungan itu juga berlangsung sangat sengit sehingga ke set penentuan yang memihak kepada pasangan bergu Din-Fei dengan keputusan 23-21 19-21 22-20.
Dengan kejayaan muncul juara malam ini, bermakna Goh Sze Fei-Nur Izzuddin telah berjaya mencipta sejarah sebagai pemain pertama Malaysia yang berjaya memenangi kesemua level kejuaraan World Tour: Super 1000, Super 750, Super 500, Super 300 dan Super 100.
Tahniah Din-Fei! Kami kagum dengan semangat juang dan dedikasi yang anda berdua tunjukkan. Sesungguhnya, Malaysia tidak ketandusan bakat.
0 comments:
Catat Ulasan