SHAH ALAM: Fenomena dicetus sebaik mula bersiaran di konti Hot FM pada 15 Februari tahun lalu, mengangkat bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, 48, sebagai Penyampai Radio Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36.
Khairy atau mesra disapa KJ menewaskan penyampai radio lain yang lebih berpengalaman iaitu Tyzo, Haiza, DJ Sonic dan Sharifah Shahirah.
Kemenangan Khairy yang terkenal dengan kempen #KJJadiDJ dan #MenangSelfieMenang Undi' bagai sudah dijangka, mengambil kira sambutan hangat diberi kepada beliau sejak mula bertugas dengan Hot FM.
Tidak cukup bertemu pendengar secara bersemuka bersama kru Bekpes Hot, kempen melobi Khairy sebagai Penyampai Radio Popular dihangatkan dengan mendapatkan khidmat vokalis Butterfingers, Emmet menyanyikan lagu khas, Menang Selfie Menang Undi.
Sokongan padu rakan penyampai di Bekpes Hot iaitu Johan, Fara Fauzana dan AG yang turut berkempen termasuk deejay lain di stesen radio bawah Media Prima Audio (MPA) seperti Kool 101, turut memberi kesan kepada undian Khairy.
Khairy ketika menerima trofi di pentas ABPBH 36 berkata, dia percaya pasti akan ada rezeki lain yang dibuka oleh Allah SWT sekiranya gagal dalam sesuatu perkara.
"Nasib baik menang. Saya ucapkan terima kasih kepada Berita Harian, TV3, Hot FM, keluarga semua bos di Media Prima Audio (MPA).
"Terima kasih semua yang mengundi saya. Dalam hidup, jika satu pintu rezeki ditutup, Allah akan buka pintu rezeki yang baru," katanya.
Sementara itu, Khairy turut mengakui terharu berada dalam satu kategori bersama penyampai yang boleh dianggap senior dalam dunia radio.
"Saya ucapkan terima kasih dengan sokongan daripada semua pendengar. Ini juga hasil daripada keluarga Hot FM," katanya lagi.
Terdahulu, kemenangan penyampai Hot FM itu disambut dengan sorakan gemuruh penonton.
Sebelum ini, ketika diumum bersaing dalam kategori Penyampai Radio Popular ABPBH 36, Khairy memuat naik hantaran Facebook meminta pengikut menyokongnya.
Lebih setahun bertugas di Hot FM, Khairy mempunyai aura tersendiri untuk membuat pendengar terhibur dengan celotehnya yang bersahaja. Karisma sebagai bekas pemimpin juga terserlah terutama ketika membicarakan topik serius menerusi slot kendaliannya.
Suara Khairy buat kali pertama berkumandang di stesen radio Hot FM mengendalikan slot Bekpes Hot bersama Johan dan AG pada 15 Februari tahun lalu.
Khairy dilapor mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM dalam temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal pada 9 Februari tahun lalu.
Sebelum ini, kategori Penyampai Radio Popular dimonopoli DJ Lin yang meraih trofi berkenaan pada edisi ABPBH ke-29, 32, 33 dan 34. Tahun lalu, pada edisi ke-35, Tyzo diumum Penyampai Radio Popular.
Bertemakan Teguh, ABPBH 36 diinspirasikan oleh penaja utama, CONBOO.
-BH Online
0 comments:
Catat Ulasan