Sabtu, 26 Ogos 2023

PRK Simpang Jeram:Lebih 1,000 iringi Dr Mazri ke pusat penamaan calon

 

MUAR: Lebih 1,000 penyokong mengiringi calon PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram, Dr. Mohd Mazri Yahya.

Perarakan yang bermula di Jalan Haji Sulaiman itu membentuk perbarisan penyokong sejauh hampir satu kilometer menuju ke lokasi Pusat Penamaan Calon di Dewan Jubli Intan, di sini, sebentar tadi.

Dr Mazri yang diiringi beberapa orang pimpinan PERIKATAN NASIONAL Pusat dan negeri memasuki pekarangan pusat penamaan calon sekitar jam 8.42 pagi.

Terdahulu semua pimpinan dan penyokong memulakan perarakan dengan bacaan doa oleh Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail. (Foto atas)

Antara pimpinan yang hadir ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, AJK PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin, Rafiei Mustapha (Negeri Sembilan), Razman Zakaria (Perak).

PRK DUN Simpang Jeram diadakan serentak dengan Parlimen Pulai berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai pada 9 September sementara pengundian awal 5 September. – HARAKAHDAILY 26/8/2023

0 comments:

Catat Ulasan