Ahad, 20 Ogos 2023

The Untold Story -MB Sanusi:Tunggul Nan Sebatang....

 Mengenang Mak yang terlantar di Hospital Sik sejak empat hari lalu. Semoga Mak cepat sembuh. 


Tunggul Nan Sebatang....

Asap dan reba

Asap yang berkepul-kepul berbunga awal tadi mula berkurang, api yang mula marak dalam timbunan reba kayu, ranting dan rumput menolaknya laju menjulang ke udara. Asap bewarna puteh bagai kepulan awan di langit tadi sudah kehitaman dan mula menghilang, diganti pucuk api menjulang merah menyala. Panas bahangnya mencucuk kulit muka dan batang betis setiap kali didekati untuk mencampak sampah dan rumput yang bergulung dirodok mata cangkul di tangan Mak.

Tanah sekangkang kera di tepi kongsi apek itu harus dicerahkan. Itulah rancangan Mak. "Jom tulong aku merong (memugar) petang ni... Kita kena tanam ubi kita sendiri jugak, tak cukup belanja kalu dok harap upah korek lubang, cabut upok (rumput) di kebun Ah Neow ja, nak buleh brapa duik!" Kata Mak. "Nak jual ni (nanti) tak payah dah, kita cabut, longgok, bale (biar) Ah Neow suruh koli dia wak nek lori. Kita tupang ubi dia".

Aku mula bayangkan lori Bedford kepala merah itu mengerang, tayarnya setinggi aku, dindingnya hijau, asap berkepul hitam dari ekzosnya yang bergedik gedik, bila Ah Bu menekan minyak. Ah Bu yang berdada merah bersinglet perang tu akan kaut ubi dalam raga cam, dan melemparnya masuk lori. Selonggok lepas selonggok, mak akan dapat duit.

Sebelum petang menjadi senja

"Hakok (angkut) cepat sikit, satgi malam gelap, nak menarah tak napak" Mak bergegas. Aku dan Ajik mengutip segala sisa kayu reba dan rumput berlari ke unggun yang sedang menyala...Prakkkk! Praaap..prap..prap..api meratah rumput basah.... Lepas Ajik buang aku pulak, kemudian berlari mengambil lagi.

Hari sudah petang, sekejap lagi senja akan menjelma. Mak berhenti menarah dan mengangkat dahan-dahan besar yang tak mampu kami angkat. Braummp! Mak mencampak kayu, bunga api berduyun-duyun seperti berebut menjulang ke udara. Waaahhh! Kami gembira sambil berlari mengekori mak.

Mak! bila Pak nak kelek Mak? Aku saja menduga. " Tak thu laaaa.... Nanti buleh duik, dia kelek la tuu"...

"Shi! Pa (cuba) mu denga molek-molek. Adik teriak ka apa tuu". Kata Mak. Pijah dan Siti ditinggalkan di rumah sedang nyenyak tidur, lebih kurang 30 meter dari situ. Adi terkodek kodek berjalan sendirian mengutip daun kapal terbang di bawah pokok cempedak depan kongsi apek. Rebah kemudian bangun.

Tusukan Tunggul Berdarah

"Buat cepat la, satgi adik jaga (bangun), dan dema teriak satgi payah, tadi lagi makan susu tuu". Mak munuju ke unggun reba dengan segumpal rumput dan dahan kayu di tangan, aku melihat Ajik memulas tunggul dari banir yang reput. Tajam dan panjang.

Mak tunduk membongkok sambil menyorong sisa kayu di tepi masuk ke tengah unggun. "Mu tengok ni aku nak lepa (lempar) masuk dalam api". Kata Ajik. Phiuuuu! Tunggul tajam itu berpusing-pusing di udara, menuju unggun api. Aah! Mak! Jagaaa! Aku menjerit... Allah! Maaakkk! ....

Chakk! Tunggul sial itu tepat tertusuk di ubun-ubun Mak, lalu jatuh di kaki... !! Ya Allah Ya Rabbi! Aduuuh laaa! Mak mengerang sakit lalu terduduk.

Hari kian senja, suasana hening, aku terpaku terkedu. Ajik tergamam, ternganga. Aku berlari mendapatkan Mak yang sedang menekup ubun-ubun dengan kedua belah tangannya yang dipenuhi tanah dan abu. Darah membuak dari celah jari Mak, meleleh hingga ke siku dan mencurah di wajahnya yang basah berkerut dijamah kesakitan.

Rambut hadapan kepala mak berjurai merah dan basah. Aduuhh! Aduh laaa...aduuuuh! Mak menangis. Mak! Mak! Jom balik Mak! Jom balik! Kita cari ubat! Suara aku tersekat-sekat. Anak yang tenggelam punca. Aku memegang tangan di kepala Mak. Tanganku basah dengan darah. Kepanasan api dan matahari petang, dengan peluh yang menyimbah seluruh tubuh Mak membuatkan darah melonjak memancut keluar.

Mak menggagahi diri bangun terketar ketar, matanya masih terpejam dalam kerutan wajah seribu garis. Bibirnya menggeletar. Dia membuka mata dan mula melangkah. Ajik meluru ke depan menyeret Adi. Cangkul, reba dan api kami tinggalkan tak peduli lagi. Mak sedang menahan lelehan darah yang tak berhenti.

Cari kopi dengan gula..lekaih! Mak berjuntai di jemoran. Aku meluru mencari tin gula dan botol kopi. Nah mak! "Ambik piring, kaco (gaul) dulu gula dengan kopi dalam piring, banyak sikit tak pa. Lekas laa, sakit ni. Aduuuh laaa!! Wuuuu!! Suara Mak tersekat sekat, air mata, darah dan air hidung mengalir serentak. Tak siapa peduli lagi. Kopi dan gula yang sudah rapat ke dasar tin dan botol aku selok dan raut dengan hujung jari-jemari, aku gumpal menjadi secekak.

Campuran gula dan kopi aku genggam untuk ditekup di kepala Mak. Aku nampak torehan tunggul itu membelah kulit kepala Mak hingga ke dalam, merahnya pekat hitam, darah masih membuak . Ajik mengoyak kain batik buruk, membalut luka sambil menangis, terhimpit rasa bersalah teramat sangat. Mak mengesat darah di muka, dahinya cekang berkerut dibirai rambut. Setiap celah garisan berkerut itu merah berdarah. Kain buruk melilit membungkus kepala hingga ke dagunya.

Demikianlah secebis kisah hidup yang dijalani, untuk mencari apa yang tidak dimiliki. 

Matahari kian beransur menggamit malam, aku masih terduduk di jemoran, gula kopi dan darah masih bersisa di celah kuku yang hitam. Ajik sedang membimbit timba di kedua belah tangannya mengangkut air dari telaga. Seliparnya mengiramakan bunyi cangkerik setiap kali dia melangkah. Dia sudah mandi membawa Adi dan Siti.

Demikianlah dugaan yang datang menimpa. Pak masih di Singapura, mengganyang tubuh sasa di celah timbunan batu bata untuk memintal nasib keluarga. Tiada siapa peduli, tiada siapa bertanya, tiada orang tampil berkongsi duka. Mungkin masing-masing sarat mengendong beban bersabung nyawa. Esoknya Pak Cik Mustafa berkunjung membelek-belek luka di kepala kakaknya. Hidup diterus juga.

Ya Allah! Ya Rahman! Ya Rahim! Tuhan sekelian alam yang Maha Pengasih Maha Penyayang... Sejahterakanlah kehidupan Mak dan Pak, limpahkan mereka dengan kebahagiaan di dunia, dan di syurga nanti. Sesungguhnya Ya Allah, jasa dan pengorbanan mereka berdua tiada taranya, menjamah duka mengharung derita, melunaskan amanahMu ke atas mereka .

Anugerahkan hari tua mereka dengan kebahagian, kesihatan tubuh badan dan ketenangan jiwa. Tambahkan kegembiraan di hati mereka berdua, jauhi mereka dari duka dan lara. Kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihani kami saat kami kecil, waktu kami merengek meminta itu dan ini. Rahmatilah mereka berdua, berkatilah mereka Ya Allah..Ameen! Ya Rabbal A' lamiin...


Muhammad Sanusi Md Nor

20 Januari 2013.

Kg Sungai Pau

Sik, Kedah

0 comments:

Catat Ulasan