Selasa, 1 Ogos 2023

Kenal atau tidak dengan So Loi Fat? Ini jawapan Sanusi kepada Saifuddin

 

ALOR SETAR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menegaskan bahawa warga China dikenali sebagai So Loi Fat, yang dikatakan terbabit dalam penerokaan unsur nadir bumi (REE) sudah berada di negara ini, sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Besar pada 2020.

Sanusi menjelaskan, selepas beliau dilantik sebagai Menteri Besar, Loi Fat yang juga pemilik syarikat, Prospek Suria, pernah datang ke pejabatnya bersama seorang peguam yang juga rakan baik kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

"Prospek Suria sudah menjalin usaha sama dengan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah untuk penerokaan REE sebelum saya jadi Menteri Besar. Tuduhan Saifuddin kata sayalah buat surat untuk So Lai Fat masuk Malaysia, dak (tidak), saya masuk di pejabat (sebagai Menteri Besar) dia (So Loi Fat) ada di Malaysia lama dah.

"Saya hanya sedar lelaki China yang menjadi sebutan Saifuddin selama ini ialah Mr So itu selepas melihat gambar yang didedahkan hari ini.

"Jadi Saifuddin kena check balik maklumat dia, kot depa ni perkena dia, agensi-agensi yang beri maklumat pada dia, perkena dia," katanya.

Beliau mendedahkan demikian ketika berucap membantu kempen calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) kerusi Kubang Rotan, Datuk Salleh Saidin, di Kuala Kedah di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak akan mendedahkan nama peguam yang mewakili Loi Fat kerana sudah tahu taktik Saifuddin dalam mendedahkan isu berkenaan.

Katanya, ketika pertemuan dengan Loi Fat sebelum ini, pemilik syarikat itu turut membawa sama penterjemah kerana tidak tahu berbahasa Melayu dan Inggeris.

Dialah cerita kat saya pasal dah bagi kat MBI (Perbadanan Menteri Besar Kedah) RM5 juta sebelum ini, dia dah habis RM30 juta, dia dah buat macam-macam persiapan dan dah ada perjanjian dengan MBI. Sebelum saya masuk office.

"(Bila saya jadi Menteri Besar) jadi saya kata teruskan saja. Buatlah apa yang nak buat tapi make sure (pastikan) ikut undang-undang," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, individu yang mencuri REE adalah rakyat Malaysia yang sudah dikompaun.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan kenapa Saifuddin terlalu 'teruja' untuk menyiasat kes REE di Kedah, sedangkan terdapat 59 lagi perlombongan haram bahan itu di seluruh negara.

"Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam Mesyuarat Majlis Mineral Negara sebelum ini akui ada 60 lombong haram REE seluruh negara, pasai apa Pudin (Saifuddin) attack (serang) Kedah ja.

"Dan kenapa attack masa pilihan raya dan pasai apa tak attack sebelum ini atau selepas pilihan raya, pasal hang nak main politik, nak ambil kesempatan isu REE ini nak burukkan orang.

"Dia tak elok, hati tak murni.. pi cari lagi 59 lombong tu...ada di Negeri Sembilan, Pahang, Perak. Awat tak pi siasat? Pasai apa mai di Kedah ja? Pasal hang nak bunuh Sanusi.. Nusi ni nyawa liat bos...dia payah 'mati'," katanya.

Terdahulu, Saifuddin dalam sidang medianya, mendedahkan bukti terbaru isu kecurian unsur nadir bumi (REE), termasuk gambar Muhammad Sanusi bersama seorang warga China yang dikaitkan dengan kegiatan itu.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), mendakwa gambar individu yang dipercayai Loi Fat itu adalah salah seorang daripada dua pekerja mahir yang dibawa masuk MBI Kedah.

Selain itu, Saifuddin turut mendedahkan dokumen permohonan Pas Lawatan Ikhtisas yang dipohon dan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Muhammad Sobri Osman.

-BH Online 

0 comments:

Catat Ulasan