Ahad, 5 Mac 2023

Saifuddin syok sendiri, anak muda cerdik sokong PN

 

DEWAN Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan mengecam kenyataan angkuh lagi sombong Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution yang merendah-rendahkan anak muda yang menyokong PERIKATAN NASIONAL dalam PRU15 baru-baru ini sebagai tidak berpendidikan tinggi.

Saifuddin Nasution dinasihatkan supaya tidak syok sendiri dengan dapatan data yang tidak berpijak di bumi yang nyata hanya kerana tidak dapat menerima hakikat penolakan besar-besaran anak muda terhadap Pakatan Harapan dalam pilihan raya yang lalu.

Anak muda bersama PERIKATAN NASIONAL di kawasan Parlimen luar bandar, separa bandar dan bandar. Ini dapat dibuktikan melalui kemenangan PN di banyak saluran undi anak-anak muda yang jauh meninggalkan PH dan BN termasuklah di kerusi yang dimenangi oleh PH dan BN.

Gelombang sokongan anak-anak muda juga berjaya memberi kemenangan kepada PN di kerusi kubu kuat PH dan BN. Sebagai contoh di DUN Manjoi yang berada di dalam Parlimen Tambun berjaya dimenangi oleh PN dengan majoriti undi sebanyak 6,768.

Kemenangan ini dicapai dalam keadaan keputusan PRU14 sebelumnya, PAS kalah dengan majoriti melebihi 10,000 undi ditambah dengan cabaran besar Parlimen Tambun yang ditandingi oleh Presiden PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim.

Menariknya, DUN manjoi terletak di tengah-tengah bandar Ipoh yang didiami masyarakat dengan pelbagai latar pendidikan mengagumkan serta antara komuniti masyarakat berpendapatan tinggi di Negeri Perak.

Ini adalah salah satu contoh daripada banyak lagi contoh lain yang ‘real‘ dan berpijak di bumi yang nyata. Realitinya, anak muda dalam PRU15 adalah anak muda yang cerdik apabila menyokong PN dan menolak BN yang bergelumang rasuah serta PH yang terpahat sebagai parti yang menipu rakyat dalam janji-janji manifesto pasca PRU14 yang lalu.

NURHAFIZUL BADRUL HISHAM
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan – HARAKAHDAILY 2/3/2023

0 comments:

Catat Ulasan