"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Sabtu, 6 Januari 2024

Ketua jabatan kena kawal pinjaman penjawat awam - KPPA

 Foto hiasan.

Foto hiasan.

Kuala Lumpur: Ketua jabatan diarah memantau jumlah gaji penjawat awam bagi tujuan membayar hutang, selain tidak menyokong atau meluluskan permohonan pinjaman baharu sekiranya ia boleh menyebabkan pegawai awam berkenaan menerima pendapatan bersih kurang daripada 40 peratus.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed, berkata semua ketua jabatan juga perlu mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan yang didapati melakukan penipuan, termasuk ada yang memalsukan penyata gaji bagi tujuan mendapatkan pinjaman.

Beliau bimbang jika jumlah pinjaman diambil kakitangan awam tidak dipantau ia boleh menyebabkan mereka terjerumus dalam masalah hutang yang serius.

"Kerajaan mengawal permohonan pinjaman peribadi dengan menetapkan bahawa pemotongan yang dibuat menerusi Angkasa juga hendaklah dikemukakan kepada ketua jabatan terlebih dahulu untuk kelulusan.

"Kerajaan sentiasa memberi perhatian serius terhadap pegawai awam supaya tidak terjerumus dalam hutang kewangan yang serius kerana keadaan itu boleh menyebabkan pegawai terbabit dengan perlakuan rasuah," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian mengulas amalan berhutang dalam kalangan penjawat awam hingga menyebabkan ada antara mereka yang dikatakan membawa pulang pendapatan bersih yang kecil bagi menyara kehidupan keluarga sepanjang bulan susulan beban hutang yang tinggi.

Satu kes yang dirujuk berdepan masalah hutang serius itu membabitkan pasangan penjawat awam yang mempunyai tiga anak, dengan isteri bekerja sebagai guru Gred 41, manakala suami anggota polis berpangkat konstabel. Pasangan itu dilaporkan mempunyai dua kereta iaitu Proton X70 dan Perodua Bezza.

Susulan masalah hutang dan pinjaman yang ditanggung kedua-duanya, baki gaji bulanan guru berkenaan adalah RM400, manakala suaminya hanya tinggal RM150.

Malah, ada laporan sebelum ini mendedahkan kumpulan penjawat awam berhadapan masalah hutang yang serius dan terjebak dengan pinjaman along.

Patuhi peraturan ditetap

Mengulas lanjut, Zulkapli berkata, kerajaan menetapkan peraturan yang perlu dipatuhi oleh semua pegawai awam menerusi subperaturan 13(1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) [P.U. (A) 395/1993] yang memperuntukkan mereka tidak boleh dengan apa-apa cara menyebabkan diri berada dalam keterhutangan kewangan yang serius.

Katanya, subperaturan 13(7) P.U. (A) 395/1993 menjelaskan keterhutangan kewangan yang serius bermaksud keadaan hutan seseorang pegawai yang setelah diambil kira amaun hutang yang ditanggungnya, sebenarnya menyebabkan kesusahan kewangan yang serius kepadanya.

Selaras dengan subperenggan 13(8)(a) P.U. (A) 395/1993, seseorang pegawai awam dikatakan berada dalam keterhutangan kewangan yang serius apabila jumlah hutang yang tidak bercagar adalah melebihi 10 kali emolumen bulanannya.

Ini bermaksud baki gaji akhir adalah kurang daripada 40 peratus. Oleh yang demikian pegawai awam hanya dibenarkan berhutang 60 peratus daripada emolumen dan mempunyai baki gaji sekurang-kurangnya 40 peratus.

Turut menjadi panduan adalah Surat Edaran JPA bertarikh 24 Januari 2017 dengan nombor rujukan JPA.BK(S)328/2 Jld.13(9) berkaitan Pemantauan Ke Atas Pegawai Yang Berada Dalam Keterhutangan Kewangan Yang Serius," katanya.

Zulkapli berkata, walau apapun, subperaturan 13(3) P.U. (A) 395/1993 memperuntukkan jika keterhutangan kewangan yang serius sudah berlaku akibat malang yang tidak dapat dielakkan, kerajaan boleh memberi pegawai itu apa-apa bantuan sebagaimana yang wajar mengikut hal keadaan.

Katanya, dalam hal ini, ketua jabatan boleh merujuk pegawai terbabit kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan bantuan bagi menguruskan hutang.

"Bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran mengenai pengurusan kewangan yang berhemah, kerajaan juga mengadakan kursus literasi kewangan peribadi kepada semua pegawai awam.

"Ia dilakukan menerusi pusat latihan seperti Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan pelaksanaan kursus secara in house (dalaman) yang dilaksanakan menggunakan peruntukan latihan yang dirangka di bawah pelan operasi latihan (POL) kementerian dan jabatan masing-masing," katanya.

-BH Online 

Aksi Harimau Malaya disiarkan secara langsung di RTM

 SKUAD negara sedang giat menjalani latihan. FOTO IHSAN FAM

SKUAD negara sedang giat menjalani latihan. FOTO IHSAN FAM

Kuala Lumpur: Berita gembira buat peminat bola sepak di Malaysia apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengesahkan akan ada siaran langsung kejohanan Piala Asia di Qatar bermula 12 Januari ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, RTM akan menyiarkan setiap perlawanan membabitkan pasukan Malaysia malah bukan itu sahaja, peminat turut dapat menonton perlawanan pasukan lain di saluran rasmi itu.

"Ada beberapa pihak yang bertanya sama ada ia akan disiarkan dalam RTM. Jawapannya adalah ya, ia akan disiarkan bermula 12 Januari.

"Saya telah mendapatkan pengesahan daripada pihak-pihak yang berwajib dan Insya-Allah akan disiarkan. Jadi kita boleh tonton di RTM. Jangan risau pihak kerajaan akan pasti kita dapat tonton perlawanan melibatkan perlawanan bukan hanya Harimau Malaya tetapi juga pasukan-pasukan yang lain di Piala Asia ini," katanya.

Ketika ini, skuad kendalian Kim Pan-gon sudah berada di Qatar bagi mempersiapkan pasukan termasuk perlawanan persahabatan pada 8 Januari dengan Syria.

Di Piala Asia nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama gergasi Asia, Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dengan aksi pertama berdepan Jordan pada 15 Januari ini di Stadium Al Janoub.

Selepas itu, skuad Harimau Malaya akan meneruskan kempen bertemu Bahrain pada 20 Januari di Stadium Jassim Bin Hamad sebelum menutup saingan peringkat kumpulan dengan Korea Selatan lima hari kemudian di Stadium Al Janoub.

-myMetro

Jumaat, 5 Januari 2024

Minda TGHH:Gempar Langkah Dubai

 Minda Presiden PAS

GEMPAR LANGKAH DUBAI

Dimulakan jenama langkah untuk mengubah kerajaan oleh kumpulan Langkah Kajang dan juga kumpulan demonstrasi jalanan yang mahu memaksa kerajaan diubah berslogankan ‘Reformasi’. Kemudiannya, mereka meletakkan jenama Langkah Sheraton dan kerajaan tebuk atap kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mendapat Akuan Berkanun (SD) yang mencukupi mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

Pihak yang mengambil langkah dan berusaha menarik wakil-wakil rakyat, melakukannya dengan janji diberikan jawatan menteri, kedudukan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan lain-lain. Di samping itu, mereka memberi sogokan wang bagi menjatuhkan Kerajaan PN dan Barisan Nasional (BN), sehinggakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) terpaksa diadakan. 

Maka, terbentuklah sebuah Kerajaan Perpaduan yang setiap parti komponennya mempunyai masalah dalaman masing-masing, apa lagi kalau mahu membentuk perpaduan dengan komponen lain yang nyata mempunyai ideologi yang berbeza dan saling bercakaran antara satu sama lain dalam kempen pilihan raya yang baru saja berlalu.

Dalam sistem demokrasi, perubahan dilakukan oleh rakyat secara langsung melalui pilihan raya atau wakil rakyat yang dipilih mengadakan undi tidak percaya di Parlimen atau menyatakan SD yang mencukupi jumlahnya. Bertindak menolak kerajaan yang ada dengan jumlah sokongan yang mencukupi, secara rela hati tanpa diugut atau disogok dengan jawatan mahupun wang, atau dengan maksud yang lainnya tanpa rasuah.

Pengalaman suka menipu, berbohong, memberi sogokan, ugutan, boleh melakukan apa-apa sahaja, dan boleh berpura-pura bersih dan telus, termasuk dalam kalangan mereka laksana kata pepatah Arab:

ضَرَبَنِي وَبَكَى، سَبَقَنِي وَاشْتَكَى.

“Dia yang memukul diriku, dia pula yang menangis. Dia yang berlaku zalim terhadapku, dia pula yang mengadu.”

Saya sangat bersetuju dengan komen wartawan veteran, Abdul Kadir Jasin berkenaan politik wang dan Langkah Dubai, bahawa ia mestilah datang daripada pihak yang mempunyai wang dan menguasai kalangan yang diharapkan mendapat wang, dikatakan mahu bertindak menjatuhkan kerajaan yang berjenama Madani. Sedangkan, pihak kerajaan sekarang yang menguasai wang dan dapat mempengaruhi mereka yang mencari segala projek yang menghasilkan kewangan dengan cara yang paling mudah. 

Adapun pihak pembangkang pula disekat peruntukan yang wajib diberikan, bahkan dibekukan perjalanan kewangannya dan juga disita. Pada masa yang sama, pihak yang menyokong pihak pembangkang pula dilakukan sekatan dan disusahkan kerana dianggap menjadi pencabar paling bahaya terhadap kerajaan.

Kerajaan Madani yang tidak nyata asas tamadunnya telah menubuhkan kerajaan laksana pokok yang reput akarnya, sehingga ditakuti ia akan tumbang disebabkan oleh angin yang bertiup perlahan sahaja, apa lagi kalau berlaku taufan dan tsunami. 

Mendengar guruh di langit sahaja sudah disangkakan mesti akan datang angin yang dapat menumbangkan pokoknya yang tidak berakar tunjang kuat. Laksana kata-kata dalam pantun Melayu yang tidak lupa: 

Melukut di tepi gantang,

Buka sanggul mencari kutu,

Orang yang takut akalnya hilang,

Jumpa tunggul dikata hantu.

Telah ditubuhkan sebuah kerajaan berjenama perpaduan dan Madani yang kabur makna madani yang diuar-uarkan, sehingga dikatakan penyokong juga ikut membangkang terhadap ucapan-ucapan di Parlimen dan kenyataan media secara terbuka. 

Malah, banyak janji yang tidak mampu ditunaikan, cakapnya pula tidak serupa bikin. Banyak kenyataan yang bercanggah, sekali gus menandakan kerapuhannya umpama retak mencari belah. 

Keadaan ini menjadikannya sedang berada dalam keadaan yang sentiasa mengganggu pentadbiran dan pengurusan. Semuanya sedang disaksikan oleh rakyat termasuk bukan pemerhati politik yang tidak berpolitik merasa bimbang dalam keadaan negara yang sebegini rupa, laksana penumpang yang berada dalam kenderaan yang pemandunya tidak diluluskan lesennya.

Walaupun sudah berada dalam blok kerajaan yang berkuasa, tetapi lantang suaranya dan cepat langkahnya mengulangi perangainya semasa menjadi pembangkang dahulu.  Sentiasa mencari kesalahan pihak yang menyebut kelemahannya atau mengetahui kesilapannya atau dianggap ingin mencabar kuasanya, maka cakapnya berdegar-degar, terus tidak menunaikan janjinya, lain yang ditanya lain yang dijawab, atau gelabah bertindak dahulu sebelum disiasat, tangkap dahulu sebelum nyata penyiasatannya.

Kerajaan Perpaduan yang melangkah laksana anak ayam kehilangan ibu, kerana ibunya ke sana ke mari mencari makanan dengan meninggalkan anaknya sehingga boleh disambar helang yang sentiasa mencari peluang. Bapak ayam pula memang tidak mempedulikan anak kerana sibuk mengejar ayam betina lain.

Semua parti yang memilih konsep demokrasi mahu menjadi kerajaan, bukan sekadar menjadi pembangkang sepanjang masa. Pihak kerajaan pula tetap akan mempertahankan kedudukannya. 

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan rakan-rakan dalam PN memilih pendekatan mempertahankan kepercayaan rakyat secara langsung dan tidak langsung, tidak perlu kepada budaya ‘shopping’ Ahli Parlimen dengan menggunakan duit yang banyak dan janji-janji, tetapi berpijak di bumi yang nyata mengamalkan politik demokrasi yang sebenar. Kami bergantung kepada rakyat dan pengorbanan mereka bersama PAS sejak penubuhannya sehingga kini. Orang yang tidak boleh bertahan melalui ribut dan gelombang politik ini umpama mereka yang mabuk kapal di lautan. Apa yang dapat dirempuh oleh gelombang yang diadakan ini, laksana gerak air kopi yang dikacau dalam cawan oleh sudu yang kecil.  

PAS terus bersabar sejak ditubuhkan pada tahun 1951 dengan hanya satu kerusi, diikuti pasang surut politik kerana gelombangnya dan terus beristiqamah dalam semua keadaan. Walau bagaimanapun, PAS tetap bersedia dan berusaha menunggu perubahan kerajaan melalui proses demokrasi dan Raja Berperlembagaan. Menarik diri daripada demonstrasi jalanan kerana ia dahulu pernah menyusahkan rakyat dan tidak mempunyai wang yang banyak melainkan daripada sumbangan rakyat terutama kalangan yang miskin.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 22 Jumada al-Akhirah 1445 / 5 Januari 2024


[Bil: 1 / 2024]

Isnin, 1 Januari 2024

DAP, SILA HORMATI UMAT ISLAM.

 DAP, SILA HORMATI UMAT ISLAM.

1. Ameerah Malaysia menjunjung kasih atas titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang mengingatkan rakyat Malaysia khususnya mereka yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia.

2. Titah Baginda adalah merujuk cadangan Ahli Parlimen DAP, Datuk Ngeh Koo Ham bahawa kerajaan melantik pakar daripada kalangan orang bukan Islam untuk terlibat dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk menggubal Undang-Undang Islam.

3. Ameerah Malaysia menghargai ketegasan Baginda yang mengingatkan penganut agama lain agar mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di Malaysia.

4. Prinsip di dalam ayat ke-6 Surah 

Al-Kafirun  “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku” haruslah sentiasa dipegang.

5. Ameerah Malaysia membantah sebarang campur tangan ke atas urusan umat Islam terutama berkaitan Undang-Undang Islam termasuklah yang terkini mahukan penglibatan bukan Islam dalam jawatankuasa berkaitan Undang-Undang Islam.Batas sempadan agama ini jika terus dilanggar khususnya oleh ahli politik DAP, bakal merosakkan keharmonian dan kesejahteraan rakyat berbilang agama dalam negara ini.

YB Mardhiyyah Johari

Ketua Pengarah Ameerah

Dewan Muslimat PAS Malaysia

ADUN Pengkalan Kundor

30 Disember 2023

Ahad, 31 Disember 2023

NARATIF DAN WARNA SEBENAR DAP: ‘WAKE UP’ CALL KEPADA PARTI-PARTI MELAYU

 NARATIF DAN WARNA SEBENAR DAP: ‘WAKE UP’ CALL KEPADA PARTI-PARTI MELAYU

Tahun 2023 menjadi saksi bahawa DAP adalah parti yang tidak layak dihormati dalam negara ini. Oleh kerana satu parti yang bernama DAP ini, negara yang bertuah ini menjadi huru hara, tiada hala tuju, terhakis identiti sejati.

DAP sememangnya bertegas bahawa agenda ‘Malaysian Malaysia’ dan ‘Negara Sekular’ tidak akan dikesampingkan oleh mereka dan inilah yang menjadi dasar dan punca kepada tercetusnya idea-idea negara yang menggoncang keharmonian negara pada hari ini.

DAP hakikatnya tidak dapat mengawal keazaman politik serta wajah sebenar perjuangan parti mereka. Meskipun telah dikecam dengan maha dasyat ketika dalam kerajaan PH 1.0 sebelum ini namun sekali lagi apabila mereka hampir genap setahun berada di Putrajaya mereka menjadi semakin berani tampil secara terbuka membawa naratif-naratif beracun mereka.

Antaranya ialah tindakan Ahli Parlimen DAP daripada Perak yang menafsirkan al-Quran mengikut tafsirannya sendiri sehingga mencetuskan huru hara dalam negara ini. Menggunakan al-Quran sesuka hati demi memenangkan naratif politik DAP adalah tindakan yang amat kurang ajar dalam medan politik negara kita.

Kita juga telah dikejutkan dengan satu idea yang dicetuskan oleh Tan Sri Lim Kit Siang melalui ‘Impian Malaysia’ bahawa rakyat bukan Melayu di negara ini boleh menjadi Perdana Menteri. Ini adalah naratif yang sangat keji dan penuh dengan racun yang akan merosakkan sendi dan identiti negara sekiranya ia berlaku.

Belum reda dengan kehangatan ‘Impian Malaysia (DAP)’ Malaysia gegak gempita pula dengan idea Persempadanan Semula Pilihanraya yang dibawa oleh DAP. Sememangnya strategi ini melalui kaedah ‘gerrymandering’ pastinya akan dapat meluaskan pengaruh dan kedudukan politik DAP dalam Dewan Rakyat dengan pertambahan kerusi-kerusi parlimen di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu khususnya di Wilayah Persekutuan dan negeri Selangor.

Kita tidak pernah lupa pada November yang lalu, Ahli Parlimen DAP ada mengusulkan agar bekas Pengerusi BERSIH, Datuk S. Ambiga dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu. Umum kita maklum bahawa urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya merupakan bidang kuasa SPR. Bayangkan apa akan berlaku sekiranya SPR dipimpin oleh orang seperti Datuk S. Ambiga?

Porak peranda politik dalam negara kita diteruskan lagi dengan idea oleh Ahli Parlimen DAP yang mahukan Pilihanraya PBT dilaksanakan bermula di Wilayah Persekutuan. Ini adalah secara jelas bahawa DAP dengan bernafsunya ingin menguasai PBT khususnya di kawasan-kawasan bandar yang terdiri daripada majoriti pengundi bukan Melayu.

Ini ternyata merupakan langkah yang sangat strategik bagi DAP untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruh politik mereka.

Hakikatnya, pilihanraya PBT ini hanya akan mencetuskan krisis polarisasi kaum yang semakin menebal dalam negara disamping kos ratusan juta yang akan meningkat serta bertentangan dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Inilah akibatnya apabila sesebuah kerajaan itu terpaksa bergantung kepada sokongan parti DAP yang mempunyai kerusi terbanyak dan paling kukuh dalam sesebuah koalasi.

Selain itu, DAP juga disifatkan oleh beberapa penganalisa politik negara sebagai ‘menang besar’ dalam kerajaan PHBN apabila menjawat jawatan yang sangat strategik dalam kabinet seperti Menteri Pengangkutan, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Menteri Belia dan Sukan, Menteri Digital serta Menteri Sumber Manusia.

Kesemua kementerian ini adalah kementerian yang amat penting melibatkan survival jangka masa panjang kepada pembangunan negara dan rakyat Malaysia.

Terkini, negara kita digemparkan pula dengan tindakan yang amat berani oleh seorang Ahli Parlimen DAP yang mencadangkan kerajaan agar melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan awal bulan ini.

Tindakan ini ternyata telah melanggar garis sempadan serta lampu merah kebebasan bersuara dan berpolitik dalam negara ini.

Justeru patik menjunjung kasih ke atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang mengingatkan rakyat Malaysia khususnya bukan Islam agar tidak mencampuri hal ehwal agama Islam. Tuanku berpesan agar mencontohi umat Islam yang tidak mengganggu urusan agama lain.

Patik serta sekalian umat Islam di Selangor menyokong penuh titah KDYMM Sultan Selangor. 

Raja-Raja Melayu adalah benteng kedaulatan agama Islam.

Kesimpulannya, DAP adalah parti yang sangat konsisten dengan naratif beracun mereka. Saya yakin, ini hanyalah permulaan bagi mereka dan kes-kes yang berlaku ini hanyalah ‘litmus paper’ untuk mereka ‘test water’ ke atas keadaan dan perkembangan politik negara kita pada hari ini. 

Sekiranya parti-parti yang meletakkan Islam dan Melayu sebagai asas perjuangan masih leka dan meredai naratif beracun DAP ini, nantilah saat kehancuran perjuangan parti kamu.

Semoga Allah memberkati kita semua.

Sekian

YB DATO' DR AB HALIM TAMURI

Pesuruhjaya PAS Selangor

ADUN Paya Jaras

31 Disember 2023

Sabtu, 30 Disember 2023

Apa Itu Sistem Pangkalan Data Utama PADU? Cara Daftar Dan Kemaskini Maklumat

 Pangkalan data utama (PADU) mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia. PADU merupakan sistem yang diperoleh melalui pengintegrasian data daripada pelbagai sumber yang menggabungkan lebih 200 pangkalan data untuk menyelaras pengumpulan maklumat negara secara berpusat dan bersepadu.


SISTEM PADU

Data sistem PADU dibangunkan merangkumi pangkalan data daripada kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri dan badan berkanun melalui perjanjian perkongsian data sedia ada dan apabila Akta Omnibus diluluskan di Parlimen nanti, ia akan mengambil alih tata kelola perkongsian data sistem berkenaan dan menggantikan perjanjian itu.

Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan memastikan agihan subsidi bersasar lebih adil dan meminimumkan kumpulan berisiko tercicir berlaku, kelak akan menjadi satu pangkalan data paling lengkap pihak kerajaan.

Objektif PADU adalah bagi menyediakan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan near real time bagi digitalisasi dan penghasilan analitik tepat, penggubalan dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data dan membolehkan pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.

Matlamat PADU adalah untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan, mengoptimumkan penggunaan sumber yang terhad, memperkasa sistem sosial melalui peningkatan kesejahteraan ekonomi dan rakyat serta merapatkan jurang sosioekonomi dengan mengimbangi keperluan rakyat.

Melalui PADU, perincian data penduduk tidak hanya tertakluk kepada kelas pendapatan tetapi merangkumi aspek jumlah tanggungan, jenis pekerjaan, pemilikan aset, jarak ke lokasi pekerjaan serta komitmen yang dipikul.

Pengelasan ini sekaligus membantu negara lebih memahami kumpulan penduduk yang selayaknya menerima bantuan tanpa mengikut tahap pendapatan mereka semata-mata.

Selain ketersediaan sistem ini, mulai 2024 juga kerajaan akan membentangkan rang undang-undang omnibus untuk membenarkan perkongsian data antara kementerian dan agensi dilaksanakan.

Menerusi langkah itu, ia akan memudahkan pentadbiran tanpa perlu meminda setiap akta yang memberi kuasa kepada kementerian atau agensi.

3 LANGKAH DAFTAR PADU

Terlebih dahulu, sila lawati laman web rasmi PADU; https://padu.gov.my/

Langkah 1: Maklumat Asas

Maklumat pendaftaran mestilah sama seperti yang tertera pada Kad Pengenalan. Isikan nombor telefon bimbit dan e-mel yang sah serta aktif untuk penerimaan "One-Time Password".

Langkah 2: Pengesahan Akaun

Anda perlu mengisi "One-Time Password" yang diterima melalui e-mel atau SMS. Permohonan semula diperlukan sekiranya tidak menerima "One-Time Password" dalam tempoh ditetapkan atau tamat tempoh pengisian.

Langkah 3: Tetapkan Kata Laluan

Kata laluan mestilah mengandungi sekurang-kurangnya 8 aksara dengan kombinasi huruf kecil, huruf besar dan simbol istimewa (contoh: b8&H@2aM).

Kata laluan ini diperlukan untuk log masuk bagi proses semakan dan pengemaskinian maklumat.

KEBERHASILAN PELAKSANAAN PADU

PADU akan meningkatkan kecekapan pengurusan dengan memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai sumber.

PADU juga akan membolehkan Kerajaan menyampaikan perkhidmatan yang lebih baik dan cekap kepada rakyat.

PADU juga akan membolehkan pemantauan dan penilaian yang tuntas dan berkesan terhadap pelaksanaan dasar negara.

Pangkalan data yang berintegrasi dan berpusat mampu menjimatkan sumber secara signifikan.

SOALAN LAZIM (FAQ) PADU

Siapakah yang boleh mengemaskini maklumat dalam sistem PADU?

Semua warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas.
Apakah manfaat yang saya perolehi dengan mengemas kini maklumat?

Anda berpeluang untuk menerima bantuan atau perlindungan sosial yang sewajarnya.

Adakah saya perlu mendaftar akaun dengan PADU?

Ya, anda perlu mendaftar akaun bagi membolehkan log masuk serta menyemak dan mengemas kini maklumat anda.

Bagaimana untuk membuat semakan & pengemaskinian profil individu dalam sistem PADU?

Setelah selesai membuat pendaftaran kali pertama, tekan butang "Log Masuk". Isikan nombor Kad Pengenalan dan kata laluan dan tekan butang "Log Masuk".

Berapa lama tempoh diambil untuk mengetahui status aduan/pertanyaan?

Maklum balas aduan/pertanyaan mengambil masa dalam tempoh lima (5) hari bekerja dari tarikh aduan diterima.

Anda akan menerima maklum balas melalui e-mel atau boleh membuat semakan dengan menekan menu "Hubungi Kami" > "Semak Aduan" menggunakan ID tiket yang telah diberi.

Saya tidak memerlukan bantuan kerajaan. Adakah saya perlu mendaftar?

Anda digalakkan mendaftar dan membuat pengemaskinian bagi memastikan anda tidak tercicir untuk mendapat manfaat daripada inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Adakah PADU sama dengan program ID Digital Nasional (IDN)?

Tidak. PADU merupakan pangkalan data Kerajaan yang mengandungi maklumat individu, manakala IDN merupakan sistem pengesahan identiti individu secara digital yang membolehkan individu mengakses pelbagai urusan dalam talian dan tidak menyimpan pangkalan data individu.

Buat masa ini, sistem PADU menggunakan pengesahan identiti individu melalui e-KYC sahaja.

Semoga memberi manfaat.

Sumber artikel: Sentiasa Panas 

Rabu, 27 Disember 2023

MENANGIS KETIKA MELALUI NEGERI YANG DILAKNAT ALLAH

 MENANGIS DI NEGERI MUSUH ALLAH


SOALAN :

Saya masih ingat dalam satu ceramah tentang kematian lama dahulu seorang ustaz ada menyebut sunat menangis jika lalu dekat negeri yang dilaknat atau kubur musuh-musuh Allah seperti kubur firaun dan seumpamanya kerana ada hadith yang menyebut demikian.

Mohon penjelasan.

JAWAPAN :

Sungguhnya para ulamak telah menyebutkan siapa yang pergi ke tempat atau negeri musuh-musuh Allah yang telah dibinasakan dengan azab atau kubur mereka atau orang yang pergi berjalan melihat tinggalan-tinggalan istana dan kota mereka mereka disunatkan dia menangis kerana telah sabit dalam hadith-hadith yang sahih Nabi sollallahu alaihi wasallam memerintahkan yang demikian itu.

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. beliau telah berkata :

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- لأَصْحَابِ الْحِجْرِ: «لاَ تَدْخُلُوا عَلَى هَؤُلاَءِ الْمُعَذَّبِينَ، إِلاَّ أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ أَنْ يُصِيبَكُمْ مِثْلُ مَا أَصَابَهُمْ

Artinya : “Telah bersabda olih Rasulullah sollallahu alaihi wasallam  tentang Ashabul Hijir : Jangan kamu sekelian pergi ke tempat mereka itu yang sekelian mereka itu diazab melainkan bahawa kamu sekelian menangis kerana takut menimpa akan kamu sekelian seumpama azab yang telah menimpa mereka itu.” (Hadith riwayat Bukhari)

Dan diriwayatkan daripada Salim bin Abdullah dari bapanya r.a. :

أنَّ النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم لَمَّا مَرَّ بالحِجْرِ قَالَ لاَ تَدْخُلُوا مَساكِنَ الَّذِينَ ظلَمُوا إلاَّ أنْ تَكُونُوا باكِينَ أنْ يُصِيبَكُمْ مَا أصَابَهُمْ

Artinya : “Sungguhnya Nabi sollallahu alaihi wasallam ketika baginda melalui dengan negeri kaum Al-Hijir baginda telah bersabda : Jangan kamu sekelian masuk ke negeri-negeri orang yang zalim mereka itu melainkan dalam keadaan kamu sekelian menangis kerana takut bahawa menimpa akan kamu sekelian azab yang telah menimpa mereka itu.” (Hadith riwayat Bukhari)

Yang dimaksudkan ashabul Hijir itu ialah kaum Tsamud dan negeri Al-Hijir ini ialah negeri kaum Tsamud dan kedudukannya antara Madinah Al-Munawwarah dan Syam.

Adalah kaum Hijir ini mendustakan olih mereka akan Rasul yang diutuskan kepada mereka.

Firman Allah Taala :

ولَقَدْ كَذَّبَ أصْحَابُ الحِجْرِ المُرْسَلِين

Artinya : “Dan sungguhnya Ashabul Hijir telah mendustakan Rasul-Rasul.” (Al-Hijr : 80)

Dan adalah peristiwa ini berlaku ketika Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersama tentera Islam melalui negeri Al-Hijir pada tahun berlakunya perang Tabuk.

Dan tidaklah tertentu disuruh menangis ini ketika pergi negeri kaum Tsamud sahaja bahkan sekelian tempat atau negeri kaum yang seumpama mereka itu seperti Sodum yaitu negeri kaum Luth di Jordan dan tinggalan kerajaan Firaun di Mesir dan seumpamanya.

Berkata Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar :

هذا يتناول مساكن ثمود وغيرهم ممن هو كصفتهم

Artinya : “Perintah menangis dan mengambil iktibar ini mencakupi tempat tinggal kaum Tsamud dan juga selain mereka itu dari orang-orang yang sifatnya seperti mereka.” (Fathul Baari)

Hukum menangis ketika pergi ke negeri atau tempat kediaman atau tanah perkuburan musuh-musuh Allah ini ialah sunat dan hikmahnya supaya bertafakkur memikirkan nasib orang-orang yang kufur dengan Allah dan mendustakan Rasul-Nya kerana menangis itu membawa kepada berfikir olih hati dan mengambil iktibar.

Berkata Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar :

ووجه هذه الخشية أن البكاء يبعثه على التفكر والاعتبار، فكأنه امرهم بالتفكر في أحوال توجب البكاء من تقدير الله تعالى على أولئك بالكفر مع تمكينه لهم في الأرض وأمهالهم مدة طويلة، ثم إيقاع نقمة بهم وشدة عذابه

Artinya : “Dan gambaran rasa takut dalam hadith ini bahawasanya menangis itu membangkitkan seseorang atas berfikir dan mengambil iktibar maka seolah-olah Rasulullah menyuruh mereka itu dengan tafakkur pada segala hal yang mewajibkan menangis daripada takdir Allah Taala ke atas kaum tersebut dengan kekufuran mereka itu pada hal Allah memberikan mereka negeri dan tempat tinggal di bumi dan harta benda dalam masa yang panjang kemudian ditimpa kemusnahan ke atas mereka dan bersangatan azab.” (Fathul Baari Syarah Sahih Al-Bukhari)

Berkata Imam ibnu Rajab Al-Hanbali :

هذا الحديث: نص في المنع من الدخول على مواضع العذاب، إلا على أكمل حالات الخشوع والاعتبار، وهو البكاء من خشية الله وخوف عقابه الذي نزل بمن كان في تلك البقعة، وان الدخول على غير هذا الوجه يخشى منه إصابة العذاب الذي أصابهم

Artinya : “Hadith ini adalah nas pada melarang dari pergi ke tempat-tempat azab melainkan dalam keadaan sempurna khusyuk dan mengambil pengajaran. Dan yaitu menangis kerana takutkan Allah dan azab-Nya yang telah turun azab itu atas orang-orang di tempat itu dan sungguhnya pergi dengan tidak menangis dan tidak ada rasa takut kepada azab Allah dibimbangi mengenainya azab yang telah menimpa mereka itu.” (Syarah Sahih Al-Bukhari)

Kesimpulannya disunatkan orang yang lalu atau pergi ke tempat atau negeri kaum yang telah di azab olih Allah bahawa lalu ia atau masuk ia dalam keadaan menangis dan takut dan mengambil iktibar dengan perbuatan kaum tersebut yang telah kufur kepada Allah.

Dan adalah kebanyakkan ulamak memakruhkan sengaja berjalan makan angin atau melancung mengunjungi negeri-negeri kaum yang telah diazab olih Allah ini melainkan kerana keperluan.

Dan jika ada keperluan lalu pada negeri tersebut hendaklah dalam keadaan menangis dan takut dengan azab Allah dan bukannya bergembira bersuka ria seperti yang banyak dikerjakan olih orang awam.

wallahua’lam

ustaz azhar idrus

Isnin, 25 Disember 2023

12 Aurat Wanita Dalam Agama Islam

 DUA BELAS AURAT WANITA

1. Bulu kening - Menurut Bukhari, Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening - Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki) semacam hantu loceng - Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan -Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31. Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng……

3. Wangian - Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidong belang - Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

4. Dada - Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka - Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.

5. Gigi - Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya -Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah -Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

6. Muka dan leher - Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu. Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

7. Muka dan Tangan - Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja -Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.

8. Tangan - Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya -Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.

9. Mata - Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.

10. Mulut (suara) - Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik - Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.

Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi - Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.

11. Kemaluan - Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya - Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.

Tiada seorang perempuanpun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.

12. Pakaian - Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah.

Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.

Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

Sumber

Ahad, 24 Disember 2023

ASHABUL KAHFI, TIDAK BERTUHANKAN TRINITY

 ASHABUL KAHFI, TIDAK BERTUHANKAN TRINITY

Assalamualaikum.

Ada pihak bertanya berkenaan Ashab al Kahfi dan kaitannya dengan Kristianiti. Maka, sebagai muqaddimah, al Hafiz Ibn Kathir menyebutkan dalam tafsirnya:

وقد ذُكر أنهم كانوا على دين عيسى ابن مريم عليه السلام، والله أعلم. والظاهر أنهم كانوا قبل ملة النصرانية بالكلية، فإنه لو كانوا على دين النصرانية ، لما اعتنى أحبار اليهود بحفظ خبرهم وأمرهم، لمباينتهم لهم...

 فدل هذا على أن هذا أمر محفوظ في كتب أهل الكتاب، وأنه متقدم على دين النصرانية، والله أعلم

-teks tidak diterjemah-

Maksudnya kerana para Ahbar Yahudi mencatatkan kisah Ashab al Kahfi ini, maka pastilah ianya kisah sebelum zaman kemunculan agama Nasrani.

Kalau pun Seven Sleepers of Ephesus yang merujuk kepada Ashab al Kahf dikatakan mengikut agama Nabi Isa AS, maka pastilah agama yang asal. Bukan Kristianiti yang sudah diseleweng dengan konsep tri-tunggal (trinity).

Ini kerana, al Qur'an menyebutkan bahawa Ashab al Kahfi adalah para pemuda yang beriman sedangkan al Qur'an juga menyebutkan bahawa konsep trinity adalah kekufuran.

Bahkan, tidak ada disebutkan tentang Seven Sleepers atau Ashab al Kahfi secara jelas dalam The Bible pun.

Britannica menyebutkan :

"Some scholars attribute a Greek account by Simeon Metaphrastes as the source of the legend. Other versions include a Latin account by St. Gregory of Tours and a Syriac version by Jacob of Serugh, from which Coptic and Georgian accounts likely arose. The story is also found in an Anglo-Norman poem and in an Old Norse fragment."

Tambahan lagi, terdapat ilmuwan Kristian yang menegaskan bahawa kisah Seven Sleepers of Ephesus (versi Kristian) berlaku selepas Bible selesai ditulis.

Apapun, mengaitkan Ashab al Kahfi sebagai para penganut agama Kristianiti yang bertuhankan tuhan trinity adalah tertolak.

Jika dirujuk Ashab Al Kahfi sebagai Kristian awal iaitu pengikut ajaran Nabi Isa AS yang asal, maka kekeliruan mungkin timbul pada mereka yang menyangka kalimah Kristian sekadar merujuk kepada golongan yang sudah menganut Trinity. Ada yang membenarkan kalimah Kristian merujuk kepada pengikut Nabi Isa AS secara umum.

Pun begitu, Seven Sleepers of Ephesus yang dikatakan Ashab al Kahfi versi Kristian pun sepatutnya bukan mereka yang berfahaman trinity, berdasarkan catatan ilmuwan Kristian sendiri. Walaupun golongan Kristian mengaitkan mereka kepada ajaran Kristianiti.

Walaupun Bible sendiri tidak pernah menyebut tentangnya, namun menurut catatan golongan Kristian lain dalam pelbagai versi, Seven Sleepers of Ephesus hidup dan bersembunyi dalam gua pada zaman Emperor Decius pada kurun ke-3 Masihi. Kemudian mereka ditemui bangun semula setelah dua kurun berikutnya, iaitu pada zaman Emperor Theodosius the Younger pada kurun ke-5 Masihi.

Adapun trinity mula dipegang secara rasmi oleh majoriti golongan Kristian setelah 'First Council of Nicaea' dan 'First Council of Constantinople', pada kurun ke-4 Masihi, ketika Seven Sleepers sedang ditidurkan. 

Maka secara tidak langsung, Seven Sleepers of Ephesus versi Kristian sendiri, masih tidak dicemari oleh trinity.

Wallahu a'lam.

Catatan :

Ustaz Raja Ahmad Mukhlis Al-Azhari

Pengerusi ISLAMI Kebangsaan

(Suntingan oleh admin dari 2 artikel berbeza)

.....................................................

CATATAN ADMIN

-----------------------------

Kesimpulan artikel :

Pertama :

Garis masa Ashab al Kahfi diperselisihkan oleh ulama. Berdasarkan keprihatinan Yahudi tentang kisah ini, maka ada ulama mengatakan mereka sebelum zaman Nabi Isa AS lagi.

Kedua :

Jika Ashab al Kahfi mengikut ajaran Nabi Isa AS pun, maka ia mengikut ajaran yang asal, sama ada dipanggil Nasrani asal ataupun Kristian asal bagi pihak yang toleransi tentang kalimah Kristian merujuk kepada mereka yang mendakwa sebagai pengikut Nabi Isa AS.

Ketiga :

Jika orang Kristian berpegang bahawa Seven Sleepers of Ephesus beragama Kristianiti pun, mereka perlu tahu bahawa dalam ukuran maklumat ilmuwan Kristian sendiri, 'Kristianiti'nya Seven Sleepers of Ephesus tidak dicemari Triniti.

Jumaat, 22 Disember 2023

Benarkah Pemuda Al-Kahfi Kristian?

 Pemuda Al-Kahfi Kristian?


Pening selalu kalau keluar dari mulut beliau tu. Cakap 10, 11 tak boleh percaya. Itulah perumpamaannya.

Isu argumen:

1. Adakah pemuda Al-Kahfi itu beriman?

Ya. Pemuda Al-Kahfi itu beriman dengan percaya kepada Allah Ta’ala bahawa Allah itu esa tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Itulah fahaman ambe tentang “beriman”.

Ditambah dengan dalil dari Al-Quran dalam surah Al-Kahfi ayat 13 :

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk”.

Jelas kat situ bahawa pemuda Al-Kahfi adalah orang yang beriman.

2. Apa itu Kristian?

Ni apa yang ambe tahu mengikut ilmu yang ada:

1. Agama Kristian itu muncul selepas Jesus disalibkan.

2. Mereka mempercayai bahawa Jesus itu anak Tuhan.

3. Mereka menggunakan Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa a.s sebagai asas untuk menulis semula Bible.

4. Agama Kristian tidak diiktiraf oleh Allah Ta’ala sebagai agama yang diredhai. 

5. Tak pernah dengar dalam Al-Quran menyebut agama Kritian itu sebagai sebuah ajaran agama selain kaum Nasrani (orang-orang Kristian) itu sebagai kaum yang sesat.

Kita kembali ke persoalan utama; adakah pemuda Al-Kahfi itu Kristian?

Dua argumen di atas boleh di lihat secara logiknya begini;

Apabila Allah sebut pemuda Al-Kahfi itu beriman, ini bermaksud pemuda Al-Kahfi tak mempercayai keimanan orang Kristian bahawa Jesus itu anak Tuhan.

Ini bermaksud pemuda Al-Kahfi itu mungkin hidup selepas zaman Nabi Isa a.s tetapi tidak menyertai Kristian dan kekal berpegang dengan ajaran dibawa dari Nabi Ibrahim.

Sebab apa?

Sebab Al-Quran dah bagitau Allah menjaga pemuda Al-Kahfi ini sehingga mereka benar-benar faham tentang ketauhidan Allah Ta’ala.

Allah sebut dalam surah Al-Kahfi ayat 14;

“Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

Masakan dengan ketauhidan pemuda Al-Kahfi itu mereka mempercayai Jesus itu anak Tuhan yang menjadi punca pegangan Kristian.

Nampak tak poin yang ambe nak jelaskan ni?

Maksudnya di sini Allah pelihara pemuda Al-Kahfi walaupun katanya mereka hidup selepas zaman Nabi Isa a.s atau Jesus disalibkan, tetapi mereka tidak menganut Kristian sebab agama Kristian bukan agama Allah.

Sebab agama Kristian itu tidak beriman kepada Allah.

Hanya orang gila dan jahil murakkab aje yang cakap Kristian itu agama orang yang beriman. Kristian tu kafir.

Full stop!

kredit :

Jihadi Yusof 

Kejahilan apakah si Dajjal kecil ni bawa entah