Beliau yang menjadi sebahagian daripada watak utama yang turut menyumbang kepada pembentukan kerajaan pasca PRU-15 itu menyatakannya menerusi hantaran di Facebook.
Menceritakan kisah di belakang tabir bagaimana bermulanya gerakan membentuk kerajaan menerusi pintu rundingan bersama parti atau gabungan di luar PH, katanya beliau bertuah kerana diberi peluang dan peranan seluas-luasnya untuk membina rangkaian politik rentas parti selama aktif dalam PKR, malah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri turut mendukung pendekatan itu.
“Kita sudah lama membaca perubahan landskap politik negara yang tidak memungkinkan sebuah parti atau gabungan membentuk kerajaan sendiri.
“Semua parti atau gabungan adalah potensi rakan untuk diajak berunding. Saya bertuah kerana pandangan jauh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ikut mendukung pendekatan ini (iaitu) pendekatan politik inklusif, meramaikan kawan dan mengurangkan musuh.
“Saya diberi peluang dan peranan seluas-luasnya untuk membina rangkaian politik rentas parti selama aktif dalam KEADILAN,” katanya, lapor Berita Harian.
Prinsip ‘percaya dan hormat’ kunci rundingan
Kerajaan Perpaduan dibentuk atas saranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas tiada mana-mana parti atau gabungan politik berjaya mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan selepas PRU15.
Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar sebagai Perdana Menteri dianggotai PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata atas dasar ‘percaya dan hormat’ hubungan sesama pimpinan dalam PH cukup akrab dengan masing-masing saling memahami gerak politik satu sama lain.
“Hubungan peribadi sekian lama dengan pimpinan BN pula khususnya UMNO, MIC dan MCA memudahkan saya berunding dan berbincang. Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Wee Ka Siong (Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong) dan Tan Sri Vicky (Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran) dan Saravanan (Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan) rakan dekat sejak puluhan tahun.
m“Rakan dari Sarawak Joseph Salang (Presiden Parti Rakyat Sarawak, Datuk Joseph Salang Gandum); Alex Linggi (Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi); Tiong (Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing); Ibrahim Baki (Ahli Parlimen Satok, Datuk Ibrahim Baki) dan Wan Junaidi (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Parlimen dan Undang-Undang, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar) antara beberapa nama amat mudah untuk diajak berbicara.
“Shafie Apdal (Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal); Darell Leiking (Datuk Darell Leiking) dan Hajiji (Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor) dari Sabah juga kalangan teman yang ikut mendokong,” katanya.
Gerakan rundingan pasca PRU15
Mengulas gerakan sejurus keputusan PRU15 diumumkan pula, beliau berkata memandangkan tiada parti memperoleh majoriti, pimpinan PH membuat ketetapan segera berunding dengan parti lain.
Beliau mengakui, menjadi pembangkang bukannya satu pilihan kerana PH mesti menjadi kerajaan dengan Anwar diletakkan sebagai Perdana Menteri.
“Bermula dari situ, saya diarah mengatur gerak mendekati watak utama parti bukan PH yang memenangi sejumlah kerusi untuk diajak ikut serta.
“Ternyata langkah diatur kali ini menjadi jauh lebih mudah tatkala idea Kerajaan gabungan dengan BN disyorkan tepat pada masanya oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Mengambil kira rentetan berlaku, Saifuddin mengakui pendekatan politik terbuka yang sentiasa diamalkan menjadi kunci kepada kejayaan pembentukan Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar.
“Politik itu dinamik, justeru pendekatan politik juga harus fleksibel
“Hormat kawan dan lawan kerana kita tidak tahu bila kita akan saling memerlukan, selain bersabar kerana politik suatu ‘marathon’ yang lambat untuk mencapai destinasinya,” katanya.
https://wartarakyat.com.my