Baling: Usianya baru 10 tahun namun Nur Saffiya Irdina Mohd Firdaus sudah mampu menguruskan ibunya, Roliza Md Zain, 31, yang terlantar sakit akibat kanser payu dara sejak setahun lalu.
Setiap pagi sebelum ke sekolah, Nur Saffiya akan membersihkan badan dan menukarkan lampin pakai buang selain memberi ibunya makan.
Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Tawar itu yang juga anak sulung daripada empat beradik itu menggalas tugas itu bapanya, Mohd Firdaus Marzuki, 35, meninggal dunia tahun lalu akibat penyakit jantung dan paru-paru berair.
Menurut Nur Saffiya, dia bersama ibu serta dua adiknya, Noureen Mikayla, 3, dan Nur Saffiya Elyana, 8, kini menumpang di rumah ibu saudara mereka, Rohani Md Zain, 44, di Kampung Charuk Purun, Tawar, Kuala Ketil, di sini.
Selain itu, adik bongsu mereka, Muhammad Waffiy Qayyum, 2, pula tinggal berasingan bersama seorang lagi ibu saudara mereka sejak ibu mereka jatuh sakit.
"Saya bangun awal untuk tukarkan lampin ibu setiap pagi sebelum pergi ke sekolah dan selepas pulang dari sekolah saya lakukan perkara sama.
"Selepas itu, ibu saudara pula akan ambil alih untuk jaga ibu ketika saya ke sekolah manakala pada waktu malam pula saya akan menemani ibu kerana tidak mahu dia kesunyian," katanya ketika ditemui di rumah ibu saudaranya, di sini semalam.
Manakala Rohani berkata, sebelum ini Roliza yang menjaga ibu mereka Safiah Che Din sebelum meninggal dunia akibat kanser usus kira-kira 10 tahun lalu.
Setiap hari saya sediakan dan masak apa jua makanan yang dia minta selain membantunya apa yang perlu termasuk ke bilik air," katanya.
Dalam pada itu, Roliza berkata, dia dikesan menghidap kanser payu dara tahap empat pada Ogos tahun lalu iaitu dua bulan sebelum suaminya meninggal dunia.
Katanya, selepas bersalin anak keempat, payu dara kirinya membengkak dan bidan kampung memberitahu yang dia hanya mengalami bengkak susu.
"Tapi bengkak itu sakit sehingga enam bulan sebelum saya menjalani rawatan di klinik kesihatan berhampiran dan disahkan menghidap kanser payu dara tahap empat.
"Sehingga kini saya masih berulang ke sebuah hospital di Ipoh, Perak untuk menjalani kemoterapi setiap dua minggu sekali.
"Tetapi sejak seminggu lalu, saya mendapati terdapat bengkak kecil seperti jerawat, tumbuh banyak di sekitar payu dara kiri," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 019-8673582 (Roliza) atau 019- 5739844 (Rohani) atau menyalurkan terus kepada akaun Maybank Roliza Md Zain bernombor 152040588376.