"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Ahad, 19 Disember 2021

YDP Agong mencemar duli melawat situasi banjir yang melanda ibukota

 


19 Disember 2021 - KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, semalam, berkenan berangkat meninjau situasi banjir di ibu kota susulan hujan lebat yang melanda Ibu Kota sejak 24 jam yang lalu. 

Seri Paduka Baginda telah berkenan di tengah hujan, menuruni kenderaan Baginda di jalan susur menghala PWTC dan meredah air banjir bagi melihat sendiri situasi banjir di sekitar kawasan tersebut. 

Keberangkatan Seri Paduka Baginda bercemar duli adalah cerminan keperibadian tinggi dan kasih kepada rakyat baginda tanpa mengira tempat, masa dan cuaca.




#royal #malaysia #istananegara #agong #banjir

Sumber: Fb Istana Negara

Sabtu, 18 Disember 2021

Covid19: Sinovac berkesan 94 peratus terhadap Omicron

 Varian baharu COVID-19, Omicron dikesan di Afrika Selatan. - Grafik hiasan NSTP

Varian baharu COVID-19, Omicron dikesan di Afrika Selatan. - Grafik hiasan NSTP

KUALA LUMPUR: Dos penggalak vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Biotech (Sinovac) berkesan sehingga 94 peratus terhadap varian baharu COVID-19, Omicron.

Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) memaklumkan, itu antara hasil penemuan awal dalam kajian oleh Sinovac membabitkan tiga dos vaksin itu dengan dua strain Omicron yang diperoleh dari Hong Kong.

Keputusan ujian makmal terkini menunjukkan apabila diuji dengan strain Omicron, 35 peratus daripada 20 sampel serum membabitkan penerima dua dos vaksin CoronaVac diuji positif bagi antibodi peneutral virus.

"Bagi penerima tiga dos vaksin, 94 peratus atau 45 daripada 48 sampel dikesan positif dengan antibodi peneutral virus.

"Hasil ujian ini menunjukkan dos ketiga vaksin Sinovac berkesan meningkatkan keupayaan serum itu untuk meneutralkan strain Omicron. Kajian lanjut terhadap strain Omicron yang lain sedang berjalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Pharmaniaga, hasil kajian itu selari dengan kenyataan Pengarah Kanan Perniagaan Luar Negara Sinovac, Weining Meng, yang memaklumkan suntikan penggalak yang diberi dalam sela masa antara enam hingga 12 bulan selepas dos kedua, akan melonjakkan kekuatan tindak balas imun.

Jelas Pharmaniaga, kajian Akademi Sains China di Peking University dan Sinovac menunjukkan individu yang menerima tiga dos vaksin Sinovac, membolehkan tempoh perlindungan kekal lebih lama dan memiliki daya tahan lebih baik.

"Semua kajian saintifik ini selaras pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang meminta semua penerima vaksin Sinovac dengan dan semua penerima pelbagai jenis vaksin berusia 60 tahun ke atas, mendapatkan dos penggalak menjelang akhir Februari 2022.

"Kebanyakan penduduk dewasa China juga sudah menerima suntikan dos penggalak. Mereka mula memberi vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun sejak Oktober lalu.

"Walaupun memiliki penduduk lebih 1.4 bilion, China hanya merekodkan 546 kes baharu dan sifar kes kematian sepanjang minggu lalu," katanya.

Remaja lelaki menerima dos Sinovac di Banda Aceh, Indonesia. - Foto AFP
Remaja lelaki menerima dos Sinovac di Banda Aceh, Indonesia. - Foto AFP
-BH Online

[TERKINI] 11 Lagi Kes Baharu Varian Omicron Disahkan Di Malaysia

 Malaysia melaporkan 11 lagi kes melibatkan Covid-19 Varian Omicron hari ini. Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 Varian Omicron di Malaysia menjadi 13 kes.

Screenshot 2021 12 18 At 3.25.50 Pm

Berita pertambahan kes Covid-19 Varian Omicron itu dilaporkan oleh @redzuanNewsMPB menerusi Twitter. Walau bagaimanapun, kesemua kes baharu yang dilaporkan itu adalah kes import dan bukan dari penularan dalam komuniti.

Screenshot 2021 12 18 At 3.17.51 PmScreenshot 2021 12 18 At 3.18.04 PmScreenshot 2021 12 18 At 3.18.13 Pm

Varian Omicron sebelum ini berjaya dikenal pasti oleh pihak perubatan Afrika Selatan dan dipercayai mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi berbanding varian-varian lain terutamanya Varian Delta.

Diingatkan kepada orang ramai untuk sentiasa patuh dengan SOP seperti memakai pelitup muka, basuh tangan dengan sabun atau hand sanitizer, dan elakkan daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai.

Usaha ini sedikit sebanyak dapat memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 terutamanya varian Omicron yang lebih ganas ini.

-Lobak Merah

Saintis beri amaran Matahari ‘tidak stabil’


Gambar daripada Agensi Angkasa Eropah (ESA) menunjukkan imej Matahari, kira-kira separuh jalan antara Bumi dan Matahari diambil oleh The Extreme Ultraviolet Imager (EUI) dan instrumen Polarimetric and Helioseismic Imager (PHI) di atas kapal angkasa pengorbit solar. - Twitter

 LONDON – Ahli-ahli astronomi mengeluarkan amaran mengenai keadaan Matahari yang dikatakan kini tidak stabil, lapor laman berita Wion News semalam

Mereka berkata, keadaan itu berlaku selepas letusan sebutir bintang yang dikenali sebagai Bintang Naga atau EK Draconis. Bintang kerdil itu  terletak pada jarak 110.71 tahun cahaya dari Bumi. Cahaya bergerak pada kelajuan 300,000 kilometer sesaat.

Saintis-saintis sebelum ini menyatakan bahawa suar suria menghamburkan jisim yang mempengaruhi alam sekitar di Bumi.

“Penghamburan  jisim ini secara teori boleh juga berlaku pada Matahari kita. Pemerhatian ini dapat membantu kami untuk lebih memahami bagaimana peristiwa serupa mempengaruhi Bumi, malah Planet Marikh sejak berbilion-bilion tahun lalu,” kata pengarang bersama kajian itu, Yuta Notsu dari Makmal Fizik Atmosfera dan Angkasa Lepas (LASP).

Kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal Nature, menunjukkan bahawa bintang merah kerdil jenis M adalah tidak stabil seperti yang disangkakan sebelum ini. Bintang-M merujuk kepada bintang yang banyak terdapat di cakerawala dan bintang paling kecil yang mempunyai bahan bakar hidrogen. Bintang jenis ini biasanya mempunyai jisim sekitar 0.6 kali ganda berbanding jisim Matahari.

Bagaimanapun, matahari kelihatan kurang aktif daripada bintang serupa dari segi variasi kecerahan yang disebabkan oleh tompok matahari dan fenomena lain.

Penyelidik-penyelidik berkenaan berkata kelmarin bahawa mereka melakukan kajian  terhadap 369 bintang yang serupa dengan matahari untuk melihat suhu permukaan, saiz, dan tempoh putarannya. Kajian itu menunjukkan bintang-bintang tersebut secara purata memaparkan perbezaan kecerahan lima kali ganda lebih banyak  daripada Matahari.

Matahari mengambil masa kira-kira 24 hari setengah untuk melengkapkan putaran pada paksinya.

‘’Perubahan kecerahan  ini disebabkan oleh bintik-bintik gelap pada permukaan bintang yang berputar,’’ kata ahli astronomi, Timo Reinhold dari Institut Penyelidikan Sistem Suria Max Planck di Jerman.

Matahari secara ringkasnya adalah sebiji bola panas terdiri daripada gas hidrogen dan helium. Ia adalah bintang bersaiz biasa yang terbentuk lebih 4.5 bilion lalu dan kini dikatakan mencapai separuh usianya.

Matahari mempunyai diameter sekitar 1.4 juta kilometer, manakala suhu permukaannya adalah kira-kira 5,500 darjah Celsius. – Agensi 

Jumaat, 17 Disember 2021

Ibu, anak berkongsi pelamin

 ASNIDA (tudung biru) dan suami serta anaknya bersama pasangan bersanding bersama. FOTO  Asnida Ramli.

ASNIDA (tudung biru) dan suami serta anaknya bersama pasangan bersanding bersama. FOTO Asnida Ramli.

Kuala Lumpur: Lazimnya, masyarakat biasa melihat adik beradik bersanding di atas pelamin sama.

Namun, berbeza bagi Asnida Ramli, 41, dan anak perempuannya, Amira Asyira Mohd Hasrizal, 22, yang sepakat untuk bersanding bersama pada hari bahagia mereka.

Asnida diijabkabulkan dengan pasangannya Mohd Fandi Ahmad Daud, 40, pada 12 Disember lalu di kediaman ibunya di Jelebu, Negeri Sembilan.

Sementara, Amira Asyira melangsungkan pernikahan bersama pilihan hatinya, Faizal Lestari Syapril, 27, Jun lalu.

Asnida ketika dihubungi berkata, anaknya yang memberi cadangan untuk bersanding sekali memandangkan dia tidak dapat mengadakan majlis pada Jun lalu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Majlis persandingan ini diadakan secara kecil-kecilan sahaja bagi menjaga keselamatan dan kesihatan tetamu.

"Kami hanya menjemput 350 tetamu yang rata-rata terdiri daripada keluarga dan sahabat terdekat," katanya.

Katanya, mereka turut mengenakan pakaian pengantin berwarna kelabu walaupun tidak dirancang.

Menceritakan kisah perkenalannya dengan suami, Asnida berkata, mereka tinggal di kampung yang sama sebelum ini, bagaimanapun tidak pernah bertegur dek segan.

"Satu hari kami bertegur di Facebook dan bermula dari situlah detik perkenalan antara satu sama lain, dan dia melamar saya untuk menjadi isteri.

"Alhamdulillah anak-anak kami juga menerima dengan hati yang terbuka, malah mereka banyak mendorong saya untuk berkahwin lagi," katanya.

Ibu kepada lima orang anak ini turut berkata, kehadiran dua insan baharu dalam kehidupannya seperti membuka lebaran baharu dalam hidupnya selepas lima tahun hidup sendiri bersama anak-anak.

Katanya, mereka juga menerima berita gembira berganda apabila anaknya, bakal menimang cahaya mata.-myMetro

Youtuber Apit Wan Lebo didakwa hantar komunikasi jelik

ROSHAFEEZ Abdul Malik (tengah) hadir ke Mahkamah Seksyen Ipoh hari ini atas pertuduhan membuat hantaran komunikasi jelik menerusi akauan Facebook miliknya, Mei lalu. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

 IPOH: Seorang Youtuber dikenali ‘Apit Wan Lebo’ didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan membuat hantaran komunikasi jelik menerusi akaun Facebook miliknya, Mei lalu.

Roshafeez Abdul Hamid, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu melalui Facebook dengan menggunakan laman profil ‘Apit Wan Lebo’ di pautan https://www.facebook.com/204937103653555/posts/933730184107573 pada pukul 1.30 petang, 9 Mei 2021.

Pautan itu kemudiannya dibaca pada pukul 10.30 pagi di pejabat siasatan jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah pada 10 Mei 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi manakala tertuduh diwakili peguam Sukhdave Singh dan Keshvinder Singh.

Terdahulu, Liyana Zawani menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin namun Keshvinder memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana tertuduh hanya berniaga nasi lemak dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500 selain menanggung lima anak dengan dua daripadanya masih bersekolah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Januari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

Media pada 11 Mei lalu melaporkan, Apit Wan Lebo yang dikenali dengan video-video sindiran atau parodi ditahan polis bagi membantu siasatan susulan video tularnya yang mengkritik cara kerajaan mengendalikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara.

Video berdurasi empat minit 15 saat itu memaparkan lelaki terbabit melahirkan perasaan tidak puas hatinya terhadap kerajaan kerana melaksanakan PKP 3.0 yang disifatkan sebagai longgar berbanding PKP 1.0. – UTUSAN ONLINE

WARISAN jadi parti nasional lebar sayap ke Semenanjung

 Presiden WARISAN, Datuk Seri Shafie Apdal berucap ketika menghadiri ketika menghadiri majlis Perasmian Parti Warisan Peringkat Nasional di Pusat Konvensyen Sime Darby. - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail

Presiden WARISAN, Datuk Seri Shafie Apdal berucap ketika menghadiri ketika menghadiri majlis Perasmian Parti Warisan Peringkat Nasional di Pusat Konvensyen Sime Darby. - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail

KUALA LUMPUR: Parti Warisan (WARISAN) akan melebarkan sayapnya ke seluruh negara bermula hari ini, dengan fokus untuk menarik penyertaan keahlian daripada pelbagai kaum dan etnik.

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata parti itu juga terbuka untuk membentuk gabungan dengan mana-mana blok sama ada Pakatan Harapan (PH) atau parti-parti yang kini membentuk gabungan kerajaan.

"Buat setakat ini, kita dengan MUDA, bukan kata kita tutup pintu dengan parti lain, tidak. Kita akan maklumkan nanti.

"Setakat ini, kita juga tidak lantik ketua bahagian, belum lagi. Kita pun belum umumkan pengerusi negeri," katanya selepas Majlis Pelancaran WARISAN Peringkat Nasional di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, di sini.

Turut sama hadir, Presiden MUDA, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, beliau berkata, WARISAN juga belum menentukan kawasan mana akan ditandingi mereka khususnya di semenanjung dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Mungkin ada kawasan yang kita tidak masuk langsung. Kita akan lihat nanti. Kita tak boleh beranggapan semua negeri kita akan bertanding. Saya perlu pragmatik. Itu yang saya akan perincikan dengan rakan saya presiden MUDA," katanya.

Ditanya keupayaan WARISAN untuk melebarkan sayap ke semenanjung, sedangkan parti itu lebih dominan di Sabah, beliau yakin tanggapan itu boleh diatasi selepas ini.

"Saya pun pernah jadi Pengerusi Perhubungan (UMNO) di Kedah dulu dan waktu itu, kita mampu ambil alih pentadbiran dari PAS. (WARISAN) terbuka kepada pelbagai bangsa, ia dibuka kepada semua bangsa di semenanjung.

"Dalam perlembagaan parti kita pun cukup jelas, ia didfatarkan di ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) di Putrajaya. UMNOboleh bertanding di Sabah, kenapa WARISAN yang didaftar di Putrajaya juga tidak boleh bertanding di semenanjung," katanya.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu menjelaskan, kini adalah masanya semua pihak melakukan perubahan dalam landskap politik negara, dengan menolak politik berteras kaum tertentu disamping menumpukan pentadbiran yang bersih dan menolak sebarang habuan politik.

"Sebab itu, kita perlu bermula hari ini, tidak boleh lagi tunggu esok atau minggu depan atau tahun depan. Kita mulakan di sini, di Kuala Lumpur ini," katanya.

Mohd Shafie menubuhkan WARISAN selepas keluar UMNO susulan pemecatannya daripada anggota Kabinet Datuk Seri Najib Razak pada 2015.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, WARISAN menjadi sekutu kepada PH, serta membentuk kerajaan pusat bersamanya selain menguasai kerajaan Sabah ketika itu.

-BH Online

Beza Skandal FOREX Dan 1MDB Yang Najib Pura-pura Tak Tahu..

 


KERUGIAN pertukaran wang asing yang dialami Bank Negara Malaysia pada akhir 1980-an hingga awal 1990-an berbeza dengan kerugian 1 Malaysian Development Berhad (1MDB) yang dialami di bawah Najib Razak, kata Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri ketika itu berkata apabila kerugian diketahui umum, perkara itu dibawa ke Parlimen untuk dibincang dan dibahaskan.

“Ini tidak seperti reaksi Najib terhadap fitnah 1MDB apabila Parlimen diarahkan untuk tidak membenarkan isu itu dibentangkan apatah lagi dibincangkan,” katanya dalam satu catatan di blognya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata Najib terus menyalahkannya dan terus menyebut tentang kerugian - dilaporkan kira-kira RM30 bilion.

“Semasa beliau menjadi perdana menteri beliau menubuhkan suruhanjaya diraja untuk meneliti peranan yang didakwa saya mainkan dalam menutup kerugian berkenaan.

“Tuduhan itu hanya secara lisan. Seorang pegawai bank menyatakan Bank Negara kerugian RM30 bilion melalui perdagangan mata wang. Bank menyembunyikan kerugian dan kononnya saya juga menyembunyikan kerugian.

“Saya tidak terlibat dalam operasi sebenar bank itu. Jika benar wang itu hilang, siasatan sepatutnya berkaitan dengan operasi bank itu,” katanya.

Dr Mahathir juga berkata pegawai tertinggi Bank Negara berulang kali menegaskan mereka tidak melaporkan kepada perdana menteri atau menteri kewangan mengenai kerugian forex serta bersedia untuk bertanggungjawab.

“Semua fakta ini boleh didapati dalam rekod awam. Dalam analisis akhir, adakah terdapat bukti saya sudah mendapat manfaat daripada kerugian tersebut?

“Saya percaya prinsip cui bono yang mendapat manfaat, terpakai. Adakah sebarang wang masuk ke dalam akaun saya? Jelas sekali, tiada,” katanya.

Beliau berkata situasi itu bagaimanapun tidak sama dengan skandal 1MDB di mana wang itu berada dalam akaun Najib.

“Dalam kes 1MDB dan SRC berjuta-juta masuk ke dalam akaun Najib dan dia dengan senang hati membelanjakan wang itu untuk kepentingan peribadinya.

“Ini adalah keputusan mahkamah dan dia didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan,” katanya.

Dr Mahathir memberi maklum balas terhadap rujukan Najib baru-baru ini mengenai kerugian forex sejurus selepas beliau kalah dalam rayuannya untuk membatalkan sabitan bagi pertuduhan berkaitan dana RM42 juta yang dikaitkan dengan 1MDB yang ditemui dalam akaun bank peribadinya.

Najib menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai kerugian forex yang berlaku antara RM1987 dan 1992 dengan Dr Mahathir dipanggil sebagai salah seorang saksi.

RCI bagaimanapun tidak diteruskan berikutan kejatuhan Najib daripada kuasa pemerintahan ~ The Malaysian Insight

Muntah Kayangan: UMT terima sampel muntah paus untuk analisis

 LAPORAN Harian Metro sebelum ini

LAPORAN Harian Metro sebelum ini

Kuala Terengganu: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan membuat analisis terhadap objek yang didakwa muntah ikan paus atau ambergris yang dijumpai seorang wanita di Marang, baru-baru ini.

Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) UMT Prof Madya Dr Hasrizal Shaari berkata pihaknya sudah menerima sampel tersebut daripada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

"Kita terima sampel seberat empat gram itu malam tadi dan keputusan analisis akan diketahui dalam tempoh seminggu lagi.

"Ini selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) yang terjalin antara UMT dengan Jabatan Perikanan untuk sentiasa bekerjasama dalam apa sahaja berkaitan spesies marin terancam dan kelautan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selasa lalu, media melaporkan seorang wanita dari Kemaman menjumpai objek yang dipercayai muntah ikan paus itu ketika memancing berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang pada akhir November lalu.

Susulan itu, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu pergi ke rumah wanita tersebut keesokannya untuk mengambil sedikit sampel bagi tujuan kajian sama ada ia benar-benar muntah ikan paus atau hanya gumpalan sisa-sisa lain yang dibawa ombak.

Di Malaysia, hanya UMT satu-satunya universiti yang berupaya untuk menentusahkan ketulenan sampel ambergris itu berdasarkan kepakaran PPPL yang turut dibantu oleh pakar di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT serta Universiti Plymouth di England.

Muntah ikan paus yang bernilai tinggi akan mempunyai bahan aktif yang terdiri daripada tiga bahan utama iaitu ambrein (25 hingga 45 peratus), epicoprosterol (30 hingga 40 peratus) dan coprostanone (tiga hingga empat peratus).

Mengikut rekod UMT, sebanyak 18 sampel objek yang didakwa muntah ikan paus telah dibuat kajian setakat ini namun hasil analisis yang dijalankan mendapati kesemua sampel tersebut tidak menunjukkan kehadiran tiga bahan aktif itu dan tidak mempunyai harga di pasaran.

Beliau berkata ramai yang tidak sabar untuk mengetahui apakah objek ditemui wanita tersebut adalah muntah ikan paus yang asli atau sebaliknya dan mengakui turut teruja untuk menjalankan proses analisis tersebut.

"Proses analisis ini hanya menggunakan sedikit sahaja daripada kuantiti sampel yang diberikan, bakinya akan kita kembalikan kepada Jabatan Perikanan," katanya.

-myMetro

Jawatan PM bukan tangkal sakti untuk pasti menang jawatan Presiden UMNO

 


Apabila Kelab Penyokong Kerajaan atau BBC mengadakan sidang media menyatakan sokongan terbuka agar Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob diberi tempoh berkuasa menerajui negara sehingga tahun 2023, tujuan paling mudah difahami di sebaliknya ialah agar beliau menjadi Presiden UMNO terlebih dahulu sebelum PRU-15 hendak diadakan.

Ini berikutan tempoh akhir UMNO mesti mengadakan pemilihan ialah pada Disember 2022, sementara tempoh penggal Parlimen berakhir Mei 2023.

Dengan jika Ismail Sabri berjaya menjadi Presiden UMNO sebelum PRU-15 diadakan, ia bukan saja dipercayai membolehkan beliau menyusun dan membentuk pasukannya dalam pilihanraya tersebut, bahkan lebih penting daripada itu ialah dapat menyelamatkan nyawa politik golongan kluster kabinet yang sebahagian besarnya tiada jawatan dalam hierarki kepimpinan UMNO.

Besar kebarangkalian, kalau pun tidak semua, beberapa orang daripadanya mungkin tidak akan dicalonkan lagi untuk bertanding dalam PRU-15 jika ia dilangsungkan sebelum pemilihan UMNO berikutan pendirian mereka menentang kepimpinan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dalam beberapa isu, terutama soal bekerjasama dengan Bersatu.

Antara pemimpin berjawatan menteri yang tiada kedudukan dalam hireaki kepimpinan MT UMNO ialah Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Annuar Musa, Shahidan Kassim, Dr Adham Baba dan Halimah Saddique.

Tetapi jika PRU-15 dapat dilewatkan sehingga 2023 dan pemilihan UMNO diadakan sebelum itu, maka bukan saja Ismail Sabri dipercayai mudah menewaskan Zahid Hamidi, malah pemimpin-pemimpin yang berjawatan menteri juga dirasakan tiada masalah memenangi sekurang-kurangnya sebagai ahli MT.

Namun, apakah benar dengan jawatan Perdana Menteri dan menteri, seseorang itu mudah menang jawatan Presiden UMNO dan ahli MT?

Selain sejarah UMNO telah beberapa kali memperlihatkan sudah ramai menteri yang kalah bertanding sebagai ahli MT, lebih daripada itu, kedudukan sebagai Perdana Menteri juga bukanlah tangkal azimat untuk membolehkan menang mudah jawatan Presiden UMNO.

Meskipun di era BN, semua Perdana Menteri adalah Presiden UMNO, realitinya jawatan tertinggi dalam kerajaan itu bukanlah jaminan mutlak untuk laluan mudah menguasai parti.

Contoh paling klasik dalam hal ini ialah Tun Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun di era BN iaitu antara 1981 hingga 2003.

Tun Mahathir pernah ditentang oleh Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Presiden UMNO pada 1987 dan berjaya memenanginya dengan kelebihan 43 undi.

Meskipun Tun Mahathir menang dalam pertandingan itu, tetapi banyak misteri timbul berkaitan pemilihan tersebut, antaranya dakwaan lampu terpadam ketika proses pengiraan undi dan kewujudan 30 cawangan tidak sah daripada empat bahagian yang menyebabkan isu itu dibawa ke mahkamah oleh Kumpulan 11.

Kes itu dibawa di mahkamah dengan tujuan supaya pengiraan atau pengundian semula dapat diadakan bagi memastikan siapa pemenang sebenar sebagai Presiden UMNO.

Proses mahkamah itu juga diambil kerana duluan keputusan mahkamah terhadap pemilihan MCA yang turut dibelenggu kewujudan cawangan-cawangan tidak sah sebelum itu yang memutuskan pemilihan semula hendaklah diadakan.

Malangnya, dalam kes UMNO, keputusan hakim ketika itu tidak mencadangkan pemilihan semula, sebaliknya mengisytiharkan UMNO sebagai pertubuhan yang tidak sah atau haram, lalu Tun Mahathir kemudian menubuhkan UMNO Baru yang menghalang sama sekali Tengku Razaleigh dan pengikutnya daripada menjadi ahli parti baru itu.

Cuba kita bayangkan apakah nasib Tun Mahathir ketika itu jika pemilihan UMNO diadakan semula atau kalau pun UMNO Baru hendak ditubuhkan, tetapi semua bekas ahlinya diterima semula tanpa syarat sebagai ahli?

Kemudian pada pada 1998, Anwar Ibrahim yang ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah dipecat oleh Tun Mahathir atas pelbagai pertuduhan jenayah, di samping dalam waktu yang sama beliau dipukul hampir setengah mati dengan tangan terikat serta mata tertutup ketika dalam tahanan polis.

Lima tahun sebelum dipecat iaitu pada pada 1993, Anwar telah berjaya menyingkirkan Tun Ghafar Baba sebagai Timbalan Presiden UMNO dengan kemenangan hampir mutlak dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sejak Anwar memegang jawatan nombor dua dalam kerajaan, namanya sering disebut-sebut sebagai bakal peneraju masa depan negara dan dalam keadaan yang sama, kehadirannya dilihat sebagai ancaman kepada Tun Mahathir.

Sementara pertuduhan dan cara Anwar dilayan ketika itu banyak yang boleh dipersoalkan, namun rata-rata mereka yang arif dalam politik mengakui bahawa soal politik adalah sebab utama pemecatan itu dilakukan.

Sekali lagi, cuba kita bayangkan apakah nasib Tun Mahathir dalam pemilihan UMNO seterusnya jika beliau tidak memecat Anwar daripada jawatan dalam kerajaan dan sebagai ahli UMNO pada tahun 1998 itu?

Pendek cerita, baik Ismail Sabri atau BBC, renungkan kembali dua episod sejarah itu jika masih berfikir jawatan Presiden UMNO boleh senang-senang untuk direbut hanya dengan bersandarkan jawatan Perdana Menteri.

Kalau Tun Mahathir pun tidak begitu kebal untuk menang sebagai Presiden UMNO bersama jawatan Perdana Menteri yang dipegangnya, berapa peratus kehebatan Ismail Sabri kalau hendak dibandingkan dengan bekas Perdana Menteri itu?

Shahbudin Husin

Pemerhati dan penganalisis politik

-Agenda Daily