"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Isnin, 11 Oktober 2021

Lumba kereta secara profesional hanya guna kaki

 BARTEK Ortalowski. FOTO Youtube/Bartosz OstaÅ‚owski

BARTEK Ortalowski. FOTO Youtube/Bartosz Ostałowski

Warsaw: Meskipun kudung kedua-dua tangan, seorang peminat sukan permotoran dari Poland berjaya mengejar impiannya bergelar pemandu profesional dengan hanya menggunakan kaki.

Oddity Central melaporkan lebih mengagumkan apabila Bartek Ortalowski dapat bersaing dengan pemandu yang berkebolehan dalam pertandingan lumba kereta.

Bartek, kudung kedua tangannya, selepas terbabit dalam kemalangan motosikal pada 2006 iaitu ketika dia berusia 20 tahun.

Sejak itu, Bartek berdepan cabaran untuk belajar memandu kereta di litar lumba, tetapi pemuda berkenaan dapat memberanikan diri untuk terus maju ke hadapan.

Kesungguhannya membuahkan hasil apabila dapat menguasai pemanduan kereta lumba menggunakan kaki dalam tempoh tiga tahun.

Kini, Bartek adalah satu-satunya pemandu sukan profesional di dunia yang memandu menggunakan kaki.

Bagi mengatasi keterbatasan fizikalnya, Bartek mengubah suai kereta Nissan Skyline GT-R sesuai dengan keperluannya selain menambah enjin baharu, kotak gear bebas dan transmisi yang lebih kuat.

Pemandu yang bercita-cita tinggi itu menggunakan kaki kanannya untuk mengawal pedal dan memandu dengan kaki kirinya.

"Selepas kemalangan, saya cuba mencari jalan keluar. Saya bertanya pada diri sendiri jika mahu berlumba lagi apa yang perlu saya lakukan?" katanya kepada Business Insider.

"Saya dengar ada kisah seseorang di Poland seperti saya, tidak memiliki anggota badan yang sempurna tetapi memandu kereta setiap hari tanpa masalah.

"Selepas bertemu dengannya, impian dan minat saya untuk sukan permotoran kembali 'hidup' serta ia mendorong membuat keputusan untuk kembali berlumba suatu hari nanti," katanya.

Selepas menempa nama di litar perlumbaan Poland, Bartek menyahut cabaran yang lebih besar.

Pada 2019, Bartek menduduki tempat kesembilan daripada 50 pemandu dalam Kejuaraan Drift Poland, salah satu siri kejuaraan paling kompetitif di seluruh Eropah

Setahun sebelumnya, dia memenangi siri kejohanan perlumbaan antarabangsa Czech mengalahkan puluhan pemandu profesional lain.

Bartek kini ibarat adiwira dan inspirasi bagi orang kurang upaya (OKU) di seluruh dunia.

"Sudah tentu saya galakkan OKU untuk terbabit dalam sukan permotoran.

"Ini adalah semangat yang indah dan bagi saya bentuk pemulihan yang hebat juga. Oleh itu, jadikan impian anda menjadi kenyataan, "katanya.


-myMetro

Wakil rakyat PAS puji Guan Eng berhubung bantuan sekolah tahfiz

 

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mendesak kerajaan segera membuat pengumuman bantuan sekali beri kepada sekolah tahfiz yang kebanyakannya sudah gulung tikar. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen PAS memuji bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng kerana tetap menyalurkan bantuan bernilai RM100 juta kepada sekolah tahfiz walaupun sering berbeza pendapat ketika era Pakatan Harapan (PH).

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) membuat kenyataan itu selepas melihat banyak sekolah tahfiz yang menderita dan tidak mampu meneruskan operasi kerana tekanan kewangan akibat pandemik Covid-19.

Justeru, beliau mendesak kerajaan segera membuat pengumuman bantuan sekali beri kepada sekolah tahfiz yang kebanyakannya sudah gulung tikar.

“Kita tak pertikai bantuan kepada sekolah aliran Cina tetapi dalam masa sama berapa sumbangan kepada sekolah tahfiz?

Ahmad Fadhli Shaari.

Kalau dulu era Bagan (Lim Guan Eng), walaupun banyak perkara kita tidak setuju tapi beliau tetap berikan RM100 juta untuk sekolah tahfiz jadi kenapa tidak dalam era ini, pengumuman segera dibuat berapa ratus juta untuk pendidikan dan bantuan segera kepada sekolah tahfiz,” katanya di Dewan Rakyat.

Fadhli juga mendesak Putrajaya membatalkan kenaikan cabutan nombor ramalan sebanyak 22 kali setahun pada tahun ini, sambil menegaskan ia tidak memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Beliau berkata, Putrajaya seharusnya tidak bertindak memaksa anggota kerajaan (wakil rakyat menyokong kerajaan) seperti PAS untuk membuat ugutan dalam kerajaan yang mempunyai majoriti kecil.

“Ia beri isyarat tidak baik, berapa banyak sangat wang yang dapat disalurkan kepada Kumpulan Wang Disatukan yang akhirnya mengundang ketidakberkatan dalam perbelanjaan negara.

“Saya harap jangan memaksa kita ahli kerajaan membuat ugutan dalam (kerajaan) majoriti yang kecil,” katanya.

Calon BEBAS Di PRN Melaka Akan Dibayar RM100,000?

MELAKA: Satu gerakan sedang dijalankan pihak tertentu untuk mencari individu profesional termasuk daripada ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertanding atas tiket calon Bebas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiap calon itu dikatakan dijanjikan habuan sebanyak RM100,000 jika bersetuju bertanding dan diletakkan di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Gerakan itu yang sedang bergiat aktif itu sekadar menghubungi calon-calon yang telah dikenal pasti berpotensi dan ada pengaruh menerusi telefon bimbit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, dia menerima panggilan telefon daripada nombor telefon bimbit tidak dikenali dua hari lalu.

Menurutnya, lelaki berkenaan bertanyakan sama ada berminat atau tidak untuk bertanding atas tiket calon Bebas pada PRN nanti.

“Saya terkejut sebab lelaki itu tahu serba-serbi butiran tentang diri saya, pekerjaan dan kerjaya sebelum ini. Pada mulanya saya terdiam seketika apabila dia meminta persetujuan saya untuk bertanding atas tiket Bebas.

“Lebih mengejutkan saya ditawarkan bayaran sebanyak RM100,000 jika bersetuju. Saya cakap dengan dia secara berseloroh, bayaran RM100,000 sangat rendah. Kalau jadi calon, saya terpaksa berhenti kerja dan jika sekiranya kalah macam mana saya nak cari rezeki,” ujarnya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, lelaki berkenaan memberitahu jika bersetuju, dia diletakkan bertanding di DUN Ayer Keroh.
“Saya tidak memberikan sebarang jawapan sehingga hari ini,” katanya lagi.

Jelas Ahmad, gerakan mencari calon Bebas itu nampak seperti ingin pecah undi memandangkan dia tinggal di Lorong Pandan tetapi disuruh bertanding di Ayer Keroh.

Secara logik tambahnya, jika bertanding untuk menang, sudah pasti dia akan diletakkan bertanding di kawasan yang berdekatan tempat tinggalnya dan masyarakat sekeliling mengenalinya.

“Ini tidak, duduk di tempat lain disuruhnya bertanding di kawasan lain. Nampak sangat gerakan ini sekadar nak pecah undi semata-mata,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Analisis: Bagaimana Anda Mahu Menjelaskan Gol Kontroversi Mbappe Yang Tumbangkan Sepanyol?


Bagaimana anda mahu menjelaskan gol kontroversi Kylian Mbappe untuk Perancis yang menjadi gol kemenangan untuk menewaskan Sepanyol di perlawanan akhir UEFA Nations League (UNL) pada awal pagi tadi?

Perancis bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Sepanyol 2-1 di perlawanan akhir UNL melalui gol lewat Kylian Mbappe. Gol tersebut terhasil selepas satu hantaran oleh Theo Hernandez pada ketika penyerang Paris Saing-Germain (PSG) itu berada di posisi offside.

Penjelasan pengadil perlawanan

Gol tersebut bagaimanapun dibenarkan oleh pengadil kerana Eric Garcia ‘memainkan’ bola tersebut terlebih dahulu sebelum ianya tiba kepada Mbappe.

Ketika bola dihantar ke Mbappe yang sudah berada di dalam keadaan ofsaid, Garcia juga jelas tersentuh bola dan pengadil perlawanan dari England, Anthony Taylor mengklasifikasikan sentuhan tersebut sebagai sentuhan terakhir (yang dimainkan) sebelum hantaran tiba kepada Mbappe.

Itu adalah penjelasan pengadil perlawanan kepada pemain Sepanyol yang tidak berpuas hati sebagaimana yang didedahkan oleh Sergio Busquets selepas perlawanan.

 “Mbappe sudah ofsaid. Tetapi pengadil berkata Eric memainkan bola dan itu bermakna ia satu lagi fasa permainan [hantaran],” kata Busquets kepada wartawan ketika ditanya mengenai gol kontroversi tersebut.

“Ia tidak masuk akan langsung. Beliau [Garcia] cuba untuk menghalang hantaran kerana Mbappe berada di situ, dan berpendapat Mbappe berada di dalam keadaan tidak offside. Garcia hanya melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pemain pertahanan.”

Di dalam situasi di atas, Garcia adalah pemain pertahanan terakhir yang cuba mengekang Mbappe.

Pandangan pakar

Pakar bidang kepengadilan di Sepanyol, Alfonso Perez Burrull turut tidak memahami keputusan oleh Anthony Taylor membenarkan jaringan Mbappe.

Malah Perez turut mempersoalkan mengapa UEFA tidak berani menunjukkan ulang tayang rakaman gerakan gol tersebut dengan garisan ofsaid dilukis seperti kebiasaan yang kita saksikan di dalam perlawanan-perlawanan antarabangsa yang lain.

Ia bagi membuktikan bahawa Mbappe berada di hadapan pemain pertahanan terakhir ketika hantaran oleh Theo Hernandez dilakukan.

“Lebih menakjubkan mereka tidak berusaha untuk meletakkan garisan kerana ia jelas [Mbappe] berada di posisi ofsaid,” kata bekas pengadil itu kepada stesen Radio MARCA.

“Mbappe terlibat dengan permainan [gerakan] dan beliau offisde. Ia adalah satu kenyataan walaupun bola tersentuh salah seorang pemain dari Sepanyol.

Kami pasti gol tersebut akan menghasilkan banyak pendapat

Apa Kata IFAB?

Sebab utama jaringan Mbappe kali ini dianggap kontroversi ialah kerana kedudukan Eric Garcia yang merupakan pemain pertahanan terakhir yang cuba menghalang pemain itu.

Daripada video yang dikongsikan, jelas sekali sentuhan daripada Eric Garcia itu bukan disengajakan dan dilakukan kerana mahu menghalang bola jatuh ke kawalan Mbappe. Apa kata Buku ‘Laws of the Game 21/22’ mengenai situasi ini?

Perkara pertama yang nyata sekali ialah Mbappe sememangnya berada di dalam kedudukan ofsaid. Peraturan yang dikeluarkan oleh IFAB jelas mengatakan: Seseorang pemain berada di posisi ofsaid jika mana-mana bahagian kepala, badan atau kaki berada di bahagian pihak lawan dan mana-mana bahagia kepala, badan, atau kaki lebih hampr dengan garisan gol pihak lawan adaripada kedua-dua bola dan pemain lawan kedua terakhir.

Bagaimanapun seseorang pemain tidak akan dipersalahkan hanya kerana berada di posisi ofsaid semata-mata sehinggalah kedudukan tersebut mampu mempengaruhi perlawanan, seperti menghasilkan gol. Kita lihat perkara seterusnya mengenai ofsaid oleh IFAB yang berkisar kepada situasi gol kemenangan oleh Mbappe.

 

Ada tiga perkara yang boleh menyebabkan pemain yang berada di dalam kedudukan ofsaid itu bersalah .

Pertama, pemain yang berada di posisi ofsaid akan dianggap bersalah apabila mendapat keuntungan dengan memainkan bola atau mengganggu pihak lawan.

Situasi terebut turut digunapakai apabila bola melantun atau terbias dari tiang gol, palang gol, pegawai perlawanan atau pemain lawan. Di dalam perlawanan tersebut, bola jelas terbias dari kaki Garcia dan bukan sengaja dimainkan.

Perkara kedua pemain di posisi ofsaid, iaitu Mbappe jelas bukan menerima bola daripada pihak lawan yang berniat memainkan bola, termasuk sengaja memegang bola.

Situasi tersebut adalah tidak dianggap mendapat keuntungan, melainkan ianya tindakan sengaja selamatkan bola oleh mana-mana pemain lawan. Sekali lagi frasa ini memberi kelebihan kepada Garcia.

Rumusan

Pada pendapat kami gol tersebut tidak seharusnya dibenarkan. Apa pula pandangan anda?

Wajarkah ia dibenarkan? Kongsikan pendapat dan hujah anda melalui platform yang kami sediakan.

-semuanyabola.com

Uniknya Kanak-Kanak Ini, Miliki Nama 19 Perkataan, Keluarga Bimbang Tak Dapat Sijil Kelahiran

NAMA itu adalah doa. Justeru, ibu bapa bertanggungjawab memberikan nama yang elok untuk bayi yang dilahirkan.

Sepasang suami isteri di Jawa Timur memilih nama yang baik buat cahaya mata mereka bagaimanapun ia terlalu panjang sehingga berhadapan masalah untuk mendapatkan sijil kelahiran.

Tidak seperti kebanyakan nama yang panjang hanya terdiri atas kombinasi tiga hingga empat perkataan sahaja, Arif Akbar dan Suci Nur Aiysiah memilih nama Rangga Madhipa Sutra Jiwa Cordosega Akre Askhala Mughal Ilkhanat Akbar Sahara Pi-Thariq Ziyad Syaifudin Quthuz Khoshala Sura Talenta buat anak lelaki mereka yang terdiri daripada 19 perkataan dan 115 huruf.

Kata Arif, nama yang dipilih untuk membawa makna adalah berkaitan dengan sejarah ketamadunan Islam. Ia dipilih hasil perbincangan saudara mereka yang juga seorang budayawan, Mujoko Zahid.

Berhadapan dengan masalah dokumen rasmi kelahiran, menurut laporan Detik, pasangan itu telah menulis surat kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa menyarankan agar pasangan berkenaan memendekkan nama anak mereka, lapor Kompas.

Ia berikutan tindakan pihak berkuasa yang menolak permohonan dokumentasi pasangan itu kerana had jumlah abjad yang dibenarkan ialah 55 abjad iaitu separuh daripada nama kanak-kanak yang mesra dipanggil Cordo itu.

Antara nama yang menjadi nama terpanjang di dunia ialah Willow Sullivan Corbett Fitzsimmons Jeffries Hart Burns Johnson Willard Dempsey Tunney Schmeling Sharkey Carnera Baer Braddock Louis Charles Walcott Marciano Patterson Johansson Liston Clay Frazier Foreman Taylor-Brown

Gadis itu berusia 13 itu berasal dari England memiliki nama tengah sebanyak 25 perkataan.

Kredit:sinarplus.sinarharian.com.my

Ahad, 10 Oktober 2021

Ronaldo Import Kebuk Ais Krioterapi Bernilai £50K Dari Turin Ke Manchester

 


Cristiano Ronaldo melalui tempoh tidak menentu sejak menyertai Manchester United, tetapi itu tidak menghalang pemain itu untuk mencari formula sendiri demi memastikan dirinya sentiasa berada di tahap terbaik.

Penyerang berusia 36 tahun itu dinamakan sebagai pemain terbaik Premier League bagi bulan September, selepas permulaan cemerlang sejak kembali ke England.

Di sebalik prestasi serba tidak menentu skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer, Ronaldo tidak menunjukkan sebarang penurunan prestasi walaupun ramai pemain pada usianya lebih gemar memilih untuk bersara.

Dan menurut laporan terkini dari Daily Mail, bintang Portugal itu kini telah membeli sendiri kebuk ais untuk rawatan Cryoterapi (krioterapi) berharga £50,000 (RM284,378) dari Turin.

Malah kebuk krioterapi itu dilaporkan sudah dihantar ke kediaman baharu yang disewanya di Manchester.

Kebuk tersebut berfungsi untuk merawat kembali tisu badan manusia, dan boleh mencecah suhu serengdah -200 Celsius.

Akhbar yang sama pernah melaporkan pada Ogos lalu bahawa Ronaldo akan berada di dalam kebuk tersebut pada suhu -160 Celcius selama tiga minit.

Rawatan menggunakan kebuk tersebut dipercayai dapat membantu peredaran darah dan menambah sistem imuniti badan. Ia juga akan merawat keletihan dengan segera selain membantu menyembuhkan kecederaan dengan lebih cepat.

Penggunaan teknologi tersebut bukanlah perkara baharu buat bintang Portugal itu. Malah Ronaldo dipercayai mulai menggunakan teknologi tersebut pada 2013 ketika masih bersama Real Madrid.

Sedar akan kesukaran beraksi di Premier League yang sememangnya kompetitif dan fizikal, membawa masuk kebuk krioterapi tersebut dari Turin ke Manchester sentiasa menjadi keutamaan Ronaldo.

Selain dari mengamalkan teknologi tersebut diet juga menjadi penyubang kepada kelebihan fizikal yang dimiliki Ronaldo pada hari ini.

Seperti yang kita semua tahu, Ronaldo memiliki diet pemakanan yang ketat, dengan pengambilan makanan berprotein tinggi selain tidak mengambil minuman bergula dan beralkohol.

Ini menjelaskan mengenai laporan perubatan Ronaldo yang membuatkan doktor kagum ketika beliau baru menyertai Juventus.

Badan Cristiano Ronaldo hanya mengandungi 7% lemak dan ianya kurang hampir 3% daripada kandungan lemak dalam badan yang dimiliki oleh atlet sukan profesional di dunia.

Otot (muscle) beliau pula 4% lebih tinggi daripada purata atlet profesional yang lain pada kadar 50%. Ini adalah rumusan daripada perubatan beliau:

Kandungan lemak: 7% (purata atlet profesional pada kadar 10-11%). Komposisi otot: 50% (purata atlet profesional pada kadar 46%).

Sumber:

Kredit:semuanyabola.com

Bolasepak: Cristiano Ronaldo lakar rekod lagi

 RONALDO meraikan jaringannya. FOTO EPA

RONALDO meraikan jaringannya. FOTO EPA

Faro: Cristiano Ronaldo mencatat rekod pada penampilan ke-181 di pentas antarabangsa dengan meledak gol ketika Portugal menewaskan tuan rumah Piala Dunia, Qatar 3-0 pada perlawanan persahabatan, hari ini.

Bintang Manchester United itu mengatasi rekod Sergio Ramos yang beraksi 180 kali bersama Sepanyol selaku pemain yang melakukan penampilan terbanyak untuk negara Eropah.

Ronaldo membuka jaringan minit ke-37 sebelum Jose Fonte menambah gol kedua tiga minit selepas bersambung separuh masa kedua.

Penyerang RB Leipzig, Andre Silva melengkapkan kemenangan Portugal dengan meledak gol lewat permainan.

Portugal akan meneruskan kempen kelayakan Piala Dunia awal pagi Rabu ini apabila menanti kunjungan Luxembourg.

Mereka kini menduduki tangga kedua Kumpulan A, kurang satu mata berbanding Serbia tetapi masih kurang satu perlawanan.

-myMetro

Tabahnya Seorang Puteri Rasulullah, Zainab Al-Kubra Binti Muhammad


Zainab merupakan anak kepada Nabi Muhammad bersama-sama dengan Khadijah binti Khuwailid. Zainab al-Kubra dilahirkan 10 tahun setelah Baginda diangkat menjadi rasul. Beliau membesar dengan penuh kasih sayang Baginda dan isteri, dan meneladani ketokohan Rasulullah SAW.

Apabila dewasa, Zainab menjadi seorang puteri dan muslimah yang tinggi akhlaknya. Disebabkan itu, sepupunya, Abul Ash bin ar- Rabi’ iaitu tokoh Quraisy Mekah yang dihormati dan berharta datang melamarnya sebagai isteri.

Walaupun Zainab bernikah di usia yang masih muda, beliau mampu menguruskan rumahtangganya dan dikurniakan dua orang cahaya mata bernama Ali dan Umamah.

Tahun itu, Baginda Muhammad diangkat menjadi Rasul Allah dan ketiika itu jugalah suami Zainab keluar berdagang. Zainab pada ketika itu, telah bersiap sedia untuk turut serta dengan ayahnya bersama-sama dengan agama yang baru itu.

Beliau yakin bahawa ajaran yang dibawa oleh ayahnya itu benar dan lurus untuk kehidupan umat manusia.

Beliau tidak sabar menunggu kepulangan suaminya yang tercinta untuk menceritakan segalanya berkaitan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Namun, sangkaanya meleset kerana Abul Ash memberi reaksi sebaliknya dan menolak untuk menerima akidah Islam. Zainab terdiam pada mulanya. Namun, Zainab tetap memujuk suaminya itu.

“Demi Allah, aku tidak memburukkan ayahmu, aku hanya tidak suka jika kau dituduh menghina kaumku dan meninggalkan agama nenek moyangku.” kata Abul Ash.

Bermulalah ujian besar dalam hidup Zainab apabila suaminya masih tidak mahu menerima agama Islam. Zainab sangat sedih, tambahan lagi ayahnya dan adik beradiknya sudah berhijrah ke Madinah. Ibunya pula sudah meninggal dunia. Dan dia masih tinggal bersama dengan suaminya di Mekah.

Ketika Perang Badar, Abul Ash turut menentang tentera Islam dan berjaya ditawan. Rasulullah meminta sahabat melayani Abul Ash dengan baik.

Zainab yang mengetahui berita itu segera mengirimkan seuntas kalung yang dihadiahkan oleh ibunya semasa pernikahannya dulu sebagai tebusan. Apabila sampai kepada Rasulullah, Baginda menjadi sangat sedih dan berkata.

“Jika kamu semua bersetuju membebaskan Abul Ash yang ditebus oleh Zainab dan mengembalikan harta tebusannya, silalah kamu semua lakukan!”

Serentak para sahabat menjawab, “Ya, Wahai Rasulullah.”

Mereka melepaskan Abul Ash dan mengembalikan kalung itu kepada Zainab. Rasulullah membuat perjanjian dengan Abul Ash untuk melepaskan Zainab kerana dalam agama Islam, mereka wajib bercerai kerana akidah yang berbeza.

Sebaik sampai di Mekah, Abul Ash menyempurnakan perjanjiannya. Zainab sangat sedih kerana terpaksa berpisah dengan suaminya, dan ketika itu juga beliau sedang hamil.

Namun penduduk Quraisy yang sengaja menghalang Zainab dan menakut-nakutkannya membuatkan Zainab keguguran dan tidak dapat meneruskan perjalan ke Madinah, lalu Abul Ash menjaga Zainab sehingga sembuh.

Selepas itu, Abul Ash menghantar Zainab semula kepada Rasulullah di Madinah. Tinggalah Zainab di sana selama enam tahun tanpa suaminya. Selama itu juga dia tidak henti berdoa agar suaminya menerima hidayah menerima islam.

Suatu hari, pada bulan Jamadilawal tahun ke-6 Hijrah Abu Ash datang menemui Zainab, Zainab sangat terkejut.

Abul Ash berkata, “Wahai Zainab, aku datang bukan untuk berperang, melainkan aku ini keluar dari Mekah untuk berdagang bersama orang Quraisy yang lain.

Dalam perjalanan kami bertemu dengan pasukan ayahmu seramai 170 orang dipimpin oleh Zaid bin Harithah. Mereka berjaya merampas barangan kami dan aku berjaya meloloskan diri, lalu datang ke sini untuk meminta perlindungan darimu.”

Zainab menjawab dengan terharu dan lemah lembut,

“Selamat datang, wahai anak ibu saudaraku! Selamat datang wahai ayah Ali dan Umamah!”

Ketika Rasulullah selesai melaksanakan solat subuh, Zainab bangkit dan berkata kepada Rasulullah, “Aku telah memberikan perlindungan kepada Abul Ash bin ar-Rabi.”

Rasulullah menjawab, “Berilah layanan yang sebaik-baiknya dan kamu harus terus berhati-hati agar dia tidak menyentuhmu, sebab kamu tidak halal lagi baginya.”

Zainab mengerti dan memohon agar Baginda memulangkan semula barangan Abul Ash dan kumpulannya yang dirampas. Lalu harta itu dipulangkan tanpa terkurang sedikit pun.

Seterusnya, Abul Ash pulang ke Mekah, dan mengembalikan barang-barang dagangan tersebut kepada ahli kumpulannya.

“Wahai orang Quraisy, masih adakah yang belum menerima kembali hartanya?”

Mereka menjawab, “Tidak, mudah-mudahan Allah membalasmu dengan balasan yang baik. Kamu seorang yang menepati amanah lagi mulia.”

Ketika itu juga Abul Ash berkata dengan yakin,

“Mulai hari ini, aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah dan Muhammad itu adalah utusanNya. Demi Allah, tidak ada alasan lain yang menghalangku untuk memeluk Islam ketika aku di Madinah kelmarin kerana aku khuatir jika dengan keislamanku itu kamu semua menganggap aku hanya ingin mengembalikan harta kamu semua. Oleh itu setelah Allah mengembalikan harta kamu semua dan aku telah menyelesaikan urusanku, maka aku umumkan bahawa aku telah memeluk Islam!”

Tidak lama kemudian Abul Ash berangkat ke Madinah untuk bertemu dengan Nabi Muhammad dan menyatakan keislamannya. Lalu, Rasulullah mengembalikan Zainab kepadanya sehingga mereka kembali hidup bahagia dalam satu akidah.

Namun, setahun kemudian iaitu pada pertengahan tahun ke-8 Hijrah Zainab menghembuskan nafasnya yang terakhir. Abul Ash sangat sedih dengan pemergian itu. Begitu juga dengan Rasulullah SAW yang kehilangan puterinya yang tersayang. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada puteri baginda yang tabah ini.

-tzkrh.com

'Real 10/10 celebration' - Garis masa laman sosial meriah, macam nak raya!

'Real 10/10 celebration' - Garis masa laman sosial meriah, macam nak raya!
Sembilan bulan terpisah dengan orang tersayang, ramai yang sudah mula merancang perjalanan pulang ke kampung bertemu keluarga. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Susulan pengumuman kebenaran rentas negeri untuk mereka yang telah lengkap divaksin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi, laman sosial dibanjiri dengan luahan keterujaan orang ramai.
Melihat kepada ciapan yang dimuat naik, tidak keterlaluan jika dikatakan inilah kali pertama garis masa di Twitter cukup meriah, positif dan penuh kebahagiaan, sejak pandemik melanda negara awal tahun lalu.
Sembilan bulan terpisah dengan orang tersayang, ramai yang sudah mula merancang perjalanan pulang ke kampung bertemu keluarga.
Bukan sahaja perjalanan rentas negeri, malah mereka yang berhasrat ke luar negara juga dibenarkan berbuat demikian tanpa perlu lagi mengemukakan MyTravelPass.

 Rentas negeri dibenarkan berkuat kuasa bermula 11 Oktober, susulan kadar vaksinasi individu dewasa yang lengkap menerima vaksin telah mencapai 90 peratus pada Ahad.

Kebenaran itu bagaimanapun hanya untuk mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

[TERKINI] Sidang Media Khas Perdana Menteri | 10 Oktober 2021
-AstroAwani

Penantian berakhir,PM umum rentas negeri dibenar mulai esok

 GAMBAR hiasan

GAMBAR hiasan

Kuala Lumpur: Seperti dijanjikan, kerajaan memberi kebenaran rentas negeri kepada individu lengkap vaksinasi bermula esok.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu susulan kadar vaksinasi mencapai 90 peratus.

"Mulai esok, bebaslah dan inilah sebenarnya yang ditunggu-tunggukan masyarakat selepas kerajaan sebelum ini terpaksa tegas dari segi pergerakan rentas negeri.

"Dengan keputusan ini, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang lama berpisah, melancong dan sebagainya," katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen dan platform media sosial Facebook, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebenaran pergerakan rentas negeri ini tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Selain itu, Ismail Sabri mengingatkan Keluarga Malaysia supaya tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan dalam usaha membantu negara bagi pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat.

Katanya, jika hal ini diambil mudah tidak mustahil penularan wabak akan kembali meningkat.

"Sekiranya ingin pulang ke kampung untuk berjumpa dengan ibu bapa atau merentas negeri, rakyat disaran untuk melakukan ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan.

"Bagi mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sesak nafas, saya nasihat tangguhkanlah dahulu perjalanan. Sekiranya didapati positif, kuarantin diri atau hubungi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera," katanya.

Walaupun tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) untuk mengawal pergerakan rentas negeri, katanya, pihak berkuasa akan melakukan pemeriksaan secara rawak mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Keluarga Malaysia atas kerjasama yang diberikan selama ini dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menyokong kempen imunisasi Covid-19.

-myMetro