Zainab merupakan anak kepada Nabi Muhammad bersama-sama dengan Khadijah binti Khuwailid. Zainab al-Kubra dilahirkan 10 tahun setelah Baginda diangkat menjadi rasul. Beliau membesar dengan penuh kasih sayang Baginda dan isteri, dan meneladani ketokohan Rasulullah SAW.
Apabila dewasa, Zainab menjadi seorang puteri dan muslimah yang tinggi akhlaknya. Disebabkan itu, sepupunya, Abul Ash bin ar- Rabi’ iaitu tokoh Quraisy Mekah yang dihormati dan berharta datang melamarnya sebagai isteri.
Walaupun Zainab bernikah di usia yang masih muda, beliau mampu menguruskan rumahtangganya dan dikurniakan dua orang cahaya mata bernama Ali dan Umamah.
Tahun itu, Baginda Muhammad diangkat menjadi Rasul Allah dan ketiika itu jugalah suami Zainab keluar berdagang. Zainab pada ketika itu, telah bersiap sedia untuk turut serta dengan ayahnya bersama-sama dengan agama yang baru itu.
Beliau yakin bahawa ajaran yang dibawa oleh ayahnya itu benar dan lurus untuk kehidupan umat manusia.
Beliau tidak sabar menunggu kepulangan suaminya yang tercinta untuk menceritakan segalanya berkaitan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Namun, sangkaanya meleset kerana Abul Ash memberi reaksi sebaliknya dan menolak untuk menerima akidah Islam. Zainab terdiam pada mulanya. Namun, Zainab tetap memujuk suaminya itu.
“Demi Allah, aku tidak memburukkan ayahmu, aku hanya tidak suka jika kau dituduh menghina kaumku dan meninggalkan agama nenek moyangku.” kata Abul Ash.
Bermulalah ujian besar dalam hidup Zainab apabila suaminya masih tidak mahu menerima agama Islam. Zainab sangat sedih, tambahan lagi ayahnya dan adik beradiknya sudah berhijrah ke Madinah. Ibunya pula sudah meninggal dunia. Dan dia masih tinggal bersama dengan suaminya di Mekah.
Ketika Perang Badar, Abul Ash turut menentang tentera Islam dan berjaya ditawan. Rasulullah meminta sahabat melayani Abul Ash dengan baik.
Zainab yang mengetahui berita itu segera mengirimkan seuntas kalung yang dihadiahkan oleh ibunya semasa pernikahannya dulu sebagai tebusan. Apabila sampai kepada Rasulullah, Baginda menjadi sangat sedih dan berkata.
“Jika kamu semua bersetuju membebaskan Abul Ash yang ditebus oleh Zainab dan mengembalikan harta tebusannya, silalah kamu semua lakukan!”
Serentak para sahabat menjawab, “Ya, Wahai Rasulullah.”
Mereka melepaskan Abul Ash dan mengembalikan kalung itu kepada Zainab. Rasulullah membuat perjanjian dengan Abul Ash untuk melepaskan Zainab kerana dalam agama Islam, mereka wajib bercerai kerana akidah yang berbeza.
Sebaik sampai di Mekah, Abul Ash menyempurnakan perjanjiannya. Zainab sangat sedih kerana terpaksa berpisah dengan suaminya, dan ketika itu juga beliau sedang hamil.
Namun penduduk Quraisy yang sengaja menghalang Zainab dan menakut-nakutkannya membuatkan Zainab keguguran dan tidak dapat meneruskan perjalan ke Madinah, lalu Abul Ash menjaga Zainab sehingga sembuh.
Selepas itu, Abul Ash menghantar Zainab semula kepada Rasulullah di Madinah. Tinggalah Zainab di sana selama enam tahun tanpa suaminya. Selama itu juga dia tidak henti berdoa agar suaminya menerima hidayah menerima islam.
Suatu hari, pada bulan Jamadilawal tahun ke-6 Hijrah Abu Ash datang menemui Zainab, Zainab sangat terkejut.
Abul Ash berkata, “Wahai Zainab, aku datang bukan untuk berperang, melainkan aku ini keluar dari Mekah untuk berdagang bersama orang Quraisy yang lain.
Dalam perjalanan kami bertemu dengan pasukan ayahmu seramai 170 orang dipimpin oleh Zaid bin Harithah. Mereka berjaya merampas barangan kami dan aku berjaya meloloskan diri, lalu datang ke sini untuk meminta perlindungan darimu.”
Zainab menjawab dengan terharu dan lemah lembut,
“Selamat datang, wahai anak ibu saudaraku! Selamat datang wahai ayah Ali dan Umamah!”
Ketika Rasulullah selesai melaksanakan solat subuh, Zainab bangkit dan berkata kepada Rasulullah, “Aku telah memberikan perlindungan kepada Abul Ash bin ar-Rabi.”
Rasulullah menjawab, “Berilah layanan yang sebaik-baiknya dan kamu harus terus berhati-hati agar dia tidak menyentuhmu, sebab kamu tidak halal lagi baginya.”
Zainab mengerti dan memohon agar Baginda memulangkan semula barangan Abul Ash dan kumpulannya yang dirampas. Lalu harta itu dipulangkan tanpa terkurang sedikit pun.
Seterusnya, Abul Ash pulang ke Mekah, dan mengembalikan barang-barang dagangan tersebut kepada ahli kumpulannya.
“Wahai orang Quraisy, masih adakah yang belum menerima kembali hartanya?”
Mereka menjawab, “Tidak, mudah-mudahan Allah membalasmu dengan balasan yang baik. Kamu seorang yang menepati amanah lagi mulia.”
Ketika itu juga Abul Ash berkata dengan yakin,
“Mulai hari ini, aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah dan Muhammad itu adalah utusanNya. Demi Allah, tidak ada alasan lain yang menghalangku untuk memeluk Islam ketika aku di Madinah kelmarin kerana aku khuatir jika dengan keislamanku itu kamu semua menganggap aku hanya ingin mengembalikan harta kamu semua. Oleh itu setelah Allah mengembalikan harta kamu semua dan aku telah menyelesaikan urusanku, maka aku umumkan bahawa aku telah memeluk Islam!”
Tidak lama kemudian Abul Ash berangkat ke Madinah untuk bertemu dengan Nabi Muhammad dan menyatakan keislamannya. Lalu, Rasulullah mengembalikan Zainab kepadanya sehingga mereka kembali hidup bahagia dalam satu akidah.
Namun, setahun kemudian iaitu pada pertengahan tahun ke-8 Hijrah Zainab menghembuskan nafasnya yang terakhir. Abul Ash sangat sedih dengan pemergian itu. Begitu juga dengan Rasulullah SAW yang kehilangan puterinya yang tersayang. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada puteri baginda yang tabah ini.
-tzkrh.com