Ahad, 31 Disember 2023

NARATIF DAN WARNA SEBENAR DAP: ‘WAKE UP’ CALL KEPADA PARTI-PARTI MELAYU

 NARATIF DAN WARNA SEBENAR DAP: ‘WAKE UP’ CALL KEPADA PARTI-PARTI MELAYU

Tahun 2023 menjadi saksi bahawa DAP adalah parti yang tidak layak dihormati dalam negara ini. Oleh kerana satu parti yang bernama DAP ini, negara yang bertuah ini menjadi huru hara, tiada hala tuju, terhakis identiti sejati.

DAP sememangnya bertegas bahawa agenda ‘Malaysian Malaysia’ dan ‘Negara Sekular’ tidak akan dikesampingkan oleh mereka dan inilah yang menjadi dasar dan punca kepada tercetusnya idea-idea negara yang menggoncang keharmonian negara pada hari ini.

DAP hakikatnya tidak dapat mengawal keazaman politik serta wajah sebenar perjuangan parti mereka. Meskipun telah dikecam dengan maha dasyat ketika dalam kerajaan PH 1.0 sebelum ini namun sekali lagi apabila mereka hampir genap setahun berada di Putrajaya mereka menjadi semakin berani tampil secara terbuka membawa naratif-naratif beracun mereka.

Antaranya ialah tindakan Ahli Parlimen DAP daripada Perak yang menafsirkan al-Quran mengikut tafsirannya sendiri sehingga mencetuskan huru hara dalam negara ini. Menggunakan al-Quran sesuka hati demi memenangkan naratif politik DAP adalah tindakan yang amat kurang ajar dalam medan politik negara kita.

Kita juga telah dikejutkan dengan satu idea yang dicetuskan oleh Tan Sri Lim Kit Siang melalui ‘Impian Malaysia’ bahawa rakyat bukan Melayu di negara ini boleh menjadi Perdana Menteri. Ini adalah naratif yang sangat keji dan penuh dengan racun yang akan merosakkan sendi dan identiti negara sekiranya ia berlaku.

Belum reda dengan kehangatan ‘Impian Malaysia (DAP)’ Malaysia gegak gempita pula dengan idea Persempadanan Semula Pilihanraya yang dibawa oleh DAP. Sememangnya strategi ini melalui kaedah ‘gerrymandering’ pastinya akan dapat meluaskan pengaruh dan kedudukan politik DAP dalam Dewan Rakyat dengan pertambahan kerusi-kerusi parlimen di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu khususnya di Wilayah Persekutuan dan negeri Selangor.

Kita tidak pernah lupa pada November yang lalu, Ahli Parlimen DAP ada mengusulkan agar bekas Pengerusi BERSIH, Datuk S. Ambiga dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu. Umum kita maklum bahawa urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya merupakan bidang kuasa SPR. Bayangkan apa akan berlaku sekiranya SPR dipimpin oleh orang seperti Datuk S. Ambiga?

Porak peranda politik dalam negara kita diteruskan lagi dengan idea oleh Ahli Parlimen DAP yang mahukan Pilihanraya PBT dilaksanakan bermula di Wilayah Persekutuan. Ini adalah secara jelas bahawa DAP dengan bernafsunya ingin menguasai PBT khususnya di kawasan-kawasan bandar yang terdiri daripada majoriti pengundi bukan Melayu.

Ini ternyata merupakan langkah yang sangat strategik bagi DAP untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruh politik mereka.

Hakikatnya, pilihanraya PBT ini hanya akan mencetuskan krisis polarisasi kaum yang semakin menebal dalam negara disamping kos ratusan juta yang akan meningkat serta bertentangan dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Inilah akibatnya apabila sesebuah kerajaan itu terpaksa bergantung kepada sokongan parti DAP yang mempunyai kerusi terbanyak dan paling kukuh dalam sesebuah koalasi.

Selain itu, DAP juga disifatkan oleh beberapa penganalisa politik negara sebagai ‘menang besar’ dalam kerajaan PHBN apabila menjawat jawatan yang sangat strategik dalam kabinet seperti Menteri Pengangkutan, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Menteri Belia dan Sukan, Menteri Digital serta Menteri Sumber Manusia.

Kesemua kementerian ini adalah kementerian yang amat penting melibatkan survival jangka masa panjang kepada pembangunan negara dan rakyat Malaysia.

Terkini, negara kita digemparkan pula dengan tindakan yang amat berani oleh seorang Ahli Parlimen DAP yang mencadangkan kerajaan agar melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan awal bulan ini.

Tindakan ini ternyata telah melanggar garis sempadan serta lampu merah kebebasan bersuara dan berpolitik dalam negara ini.

Justeru patik menjunjung kasih ke atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang mengingatkan rakyat Malaysia khususnya bukan Islam agar tidak mencampuri hal ehwal agama Islam. Tuanku berpesan agar mencontohi umat Islam yang tidak mengganggu urusan agama lain.

Patik serta sekalian umat Islam di Selangor menyokong penuh titah KDYMM Sultan Selangor. 

Raja-Raja Melayu adalah benteng kedaulatan agama Islam.

Kesimpulannya, DAP adalah parti yang sangat konsisten dengan naratif beracun mereka. Saya yakin, ini hanyalah permulaan bagi mereka dan kes-kes yang berlaku ini hanyalah ‘litmus paper’ untuk mereka ‘test water’ ke atas keadaan dan perkembangan politik negara kita pada hari ini. 

Sekiranya parti-parti yang meletakkan Islam dan Melayu sebagai asas perjuangan masih leka dan meredai naratif beracun DAP ini, nantilah saat kehancuran perjuangan parti kamu.

Semoga Allah memberkati kita semua.

Sekian

YB DATO' DR AB HALIM TAMURI

Pesuruhjaya PAS Selangor

ADUN Paya Jaras

31 Disember 2023

0 comments:

Catat Ulasan