"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Rabu, 23 Februari 2022

Isu Video Viral:'Saya sangat terdesak, buntu' -Diwiyana

 

Keadaan ibu Diwiyana yang terlantar mendapat keprihatinan warga IPD Keadaan ibu Diwiyana yang terlantar mendapat keprihatinan warga IPD Hilir Perak yang membuat kunjungan ziarah pada Rabu.

TELUK INTAN - Buntu dan berada dalam keadaan terdesak membuatkan seorang wanita di sini nekad meluahkan rasa kekecewaannya terhadap permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) hingga videonya tular di media sosial sejak Selasa.

Diwiyana Mohammed, 37, dari Parit 1A, Sungai Manik di sini bertindak sedemikian kerana keadaan dirinya yang sudah kehabisan wang simpanan untuk menguruskan keperluan ibunya yang terlantar sakit.

Ibunya, Selamah Hamid, 73, mengalami lumpuh sejak enam tahun lalu hanya menggunakan lampin pakai buang dan minum susu khas serta memerlukan kelengkapan pembersihan yang lain.

"Saya berada dalam keadaan sangat terdesak dan di jalan buntu, sebab itu saya nekad buat video berkenaan.(Video boleh lihat dibawah)

"Semua ini demi emak kerana sudah lama kami menunggu permohonan untuk diluluskan, apatah lagi sekarang lampin pakai buang sudah habis, duit simpanan pun tiada.

"Lampin emak tidak boleh lambat ditukar, jika tidak dia akan buka lampin sendiri dan bermain dengan najisnya. Sebab itu, saya terdesak dan buntu apabila permohonan bantuan masih belum diterima," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.

Diwiyana berkata, akibat kesempitan wang, dia terpaksa memecah tabung syiling anaknya dua minggu lalu, namun hanya mampu memperoleh RM16.

Dia berkata, ikhtiar terakhir mahu dilakukan adalah dengan meminta bantuan dari rumah ibadat agama lain.

Hanya mereka pernah menjaga orang sakit saja tahu situasi ini.

Tambahan pula saya mempunyai masalah anxiety teruk dan tekanan perasaan, ikutkan nasihat doktor saya tidak sesuai untuk menjaga emak, tetapi saya tetap mahu menjaganya kerana adik beradik lain juga tidak berkemampuan," katanya.

Diwiyana bersama suami, Taufiq Ikhmal Mohd Yusuf, 25, ibu dan enam anak termasuk tiga daripada perkahwinan terdahulu sebelum ini tinggal di Cheras, Kuala Lumpur dan berpindah ke Sungai Manik dua tahun lalu.

Katanya, sejak berpindah dia dan suami menampung hidup dengan berniaga burger dan memperoleh pendapatan harian tidak menentu sekitar RM20 hingga RM100 sahaja.

Jelasnya, sebelum ini dia menerima bantuan bulanan JKM sebanyak RM350 sebagai penjaga ibu yang terlantar dan telah memaklumkan perpindahan kepada jabatan berkaitan di sana.

"Saya hantar borang permohonan baru kepada JKM di sini selepas berpindah, tetapi borang pertama dikatakan hilang.

"Saya hantar sekali lagi Januari lepas dan sehingga sekarang masih belum ada jawapan, permohonan kepada Baitulmal pula baru dikemukakan bulan ini.

"Alhamdulillah selepas video itu tular ramai yang membantu, termasuk JKM dan Baitulmal sendiri yang datang menemui kami untuk tindakan lanjut," katanya.

Diwiyana sebelum itu menerima kunjungan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri yang hadir bersama kaunselor dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam IPD Hilir Perak sebagai sokongan terhadap keluarga itu.

Ahmad Adnan turut menyampaikan bantuan berupa keperluan dapur dan lampin pakai buang bagi meringankan beban keluarga terbabit.

Klip video berdurasi tiga minit itu telah dimuat naik di aplikasi TikTok Dyana Mohammed mendakwa sudah dua tahun memperjuangkan bantuan untuk ibunya selain mempersoalkan berapa lama yang perlu ditunggu untuk mendapatkan bantuan.

-SH Online



Selasa, 22 Februari 2022

Dos penggalak berkesan kurangkan kes akibat Omicron: KP Kesihatan

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Keberkesanan dos penggalak vaksin Covid-19 dilihat berupaya mengurangkan peningkatan jangkitan wabak itu di Malaysia yang dicetuskan oleh gelombang varian Omicron ketika ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, Program Imunisasi Covid-19 Dos Penggalak (PICK-B) telah dimulakan sejak rasmi pada 1 Oktober 2021, di mana sehingga 21 Februari 2022, 14,078,456 dos telah diberikan kepada individu dewasa yang layak atau 59.8 peratus daripada penduduk dewasa di Malaysia.

Menurutnya data terkini dari empat minggu lepas iaitu dari 24 Januari hingga 21 Februari lalu, menunjukkan kumpulan individu tidak divaksin adalah yang paling berisiko dijangkiti Covid-19 yang serius terutama kategori empat dan lima bagi semua kumpulan umur.

“Data terkini dari 4 minggu yang lepas iaitu mulai 24 Januari 2022 sehingga 21 Februari 2022 bagi kes Covid-19 kategori 3 serta kategori 4 dan 5 (per 100 ribu populasi), dan juga kes kematian akibat Covid-19 per 100 ribu populasi.

“Kumpulan individu yang menerima dos penggalak adalah paling terlindung, apabila bawah 20 kes dilaporkan dan dilihat kurang kes jangkitan yang serius iaitu kategori 3, 4, dan 5 dan juga kes kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga semalam, seramai 14,078,456 atau 59.8 peratus populasi dewasa telah menerima dos penggalak.

Pada masa sama, data Covidnow menunjukkan 22,945,040 atau 97.5 peratus individu dewasa telah lengkap divaksinasi, manakala 23,222,810 atau 98.7 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di Johor, Kelantan, Kuala Lumpur dan Melaka menunjukkan peningkatan lebih 50 peratus.

“Johor mencatatkan peningkatan 70 peratus, Kelantan 61 peratus, Kuala Lumpur 58 peratus dan Melaka 54 peratus.

“Selain itu sejumlah 25,099 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif kepada 3,246,779 dan daripada jumlah kes baharu itu, 25,014 kes tempatan dan 85 kes import,” katanya.

Beliau berkata sejumlah 100 daripada kes baharu adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 24,499 terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Bagi kes sembuh pula sebanyak 17,749 kes dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif sembuh di negara ini adalah 2,955,404, katanya.

-Agenda Daily

Isu Zahid:Berapa kali nak bersumpah, sumpahlah, itu terpulang kepada dia kata Muhyiddin

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN Bil.3/2022 di Kementerian Kewangan hari ini.BERNAMA
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN Bil.3/2022 di Kementerian Kewangan hari ini.BERNAMA

PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhak untuk membuat sumpah laknat terhadap kenyataan bahawa beliau ada bertemu dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meminta bantuan membabitkan kes mahkamah yang dihadapinya ketika ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ia berikutan apa yang dikatakannya sebelum ini adalah benar dan beliau sendiri mempunyai bukti dan saksi.

Muhyiddin berkata, Ahmad Zahid perlu bercakap benar kepada rakyat mengenai perkara itu.

"Saya ada bukti dan malam itu saya dah tunjukkan saksinya. Tetapi kalau dia nak sumpah, berapa kali nak bersumpah, sumpahlah, itu terpulang kepada dia.

 "Saya tidak akan bersumpah kerana saya tidak pernah berbohong.

"Apa yang saya sebut itu adalah hak walaupun kadangkala yang hak itu adalah pahit didengar," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, kenyataannya sebelum ini mengenai tindakan Zahid membawa fail kes mahkamahnya selepas beberapa hari beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan pada Mac 2020, bukan sesuatu yang direka dengan sengaja kerana politik.

Beliau berharap rakyat akan memahami apa yang dikatakannya itu.

Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin, ketika berucap di Pentas PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh di Felda Tenggaroh 3, berkata Ahmad Zahid ada ke rumahnya ketika beliau berbincang dengan Presiden PAS, Tan Sri Abd Hadi Awang, dengan membawa satu beg berisi dokumen kes mahkamah.

Beliau dilaporkan berkata, dalam kejadian beberapa hari selepas beliau memegang jawatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid ada meminta tolong daripadanya kerana beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid pada Ahad lalu, berkata beliau sanggup dan bersedia melakukan sumpah laknat sebagai penafian kepada tuduhan Muhyiddin itu.

Sebaliknya, beliau mendakwa tidak pernah pergi berjumpa dengan Muhyiddin sepanjang tempohnya menjadi Perdana Menteri atau membawa timbunan fail untuk meminta dilepaskan daripada tuduhan mahkamah.

-BH Online

Isu Tiga Beradik:Mahkamah perintah anak diserahkan kepada Loh Siew Hong

 GAMBAR hiasan. Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP

GAMBAR hiasan. Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan tiga adik-beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Loh Siew Hong, selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, menurut perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 31 Mac 2021, pemohon diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas ketiga-tiga anaknya.

"Terdapat juga perintah ex-parte interim bertarikh 20 Disember 2019, memberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal anak-anaknya kepada pemohon.

"Perintah mahkamah masih kekal dan masih sah. Perintah mahkamah tidak boleh dilayan dengan sewenang-wenangnya dalam berhadapan penghinaan mahkamah. Oleh sebab perintah mahkamah masih kekal, saya membenarkan permohonan writ habeas corpus," kata hakim itu.

Dalam notis usulnya yang difailkan melalui Tetuan SS Thind pada 13 Februari, Loh menamakan Nazirah Nanthakumari Abdullah sebagai responden pertama dan pihak yang tidak dinamakan yang beliau dakwa menjaga tiga anaknya sebagai responden kedua.

Loh memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan anak-anaknya itu dibebaskan serta-merta daripada hak penjagaan persendirian responden, dan dikembalikan kepadanya.

Loh, 34, kelihatan menangis ketika hakim menyampaikan penghakiman.

Anak Loh, kembar perempuan berumur 14 dan seorang lelaki berumur 10 tahun, ditempatkan di bilik saksi ketika prosiding itu.

Beliau memfailkan permohonan habeas corpus atas alasan walaupun Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ketiga-tiga anaknya itu kepadanya, beliau tidak dapat bertemu mereka kerana bekas suaminya M Nagahswaran menyembunyikan mereka.

Loh mendakwa mendapat tahu anak-anaknya berada dalam kawalan responden pertama (Nazirah dipercayai pendakwah) di Yayasan Hidayah Centre di Bayan Lepas, Pulau Pinang, namun dia (Nazirah) tidak membenarkannya pemohon bertemu dan menjemput anak-anaknya.

Beliau mendakwa anak-anaknya kemudian dipindahkan ke Perlis dan menempatkan mereka di bawah kawalan dua responden.

-myMetro

Isnin, 21 Februari 2022

PRN Johor: Tun M beri amaran, dakwa negara bakal dikuasai kleptokrat jika Najib kembali berkuasa

 PRN Johor: Tun M beri amaran, dakwa negara bakal dikuasai kleptokrat jika Najib kembali berkuasa

Dr Mahathir (kanan) beri amaran sekiranya Najib (kiri) kembali berkuasa, negara akan dikuasai dan ditadbir seorang kleptokrat daripada kluster mahkamah untuk disamun dan dirompak. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kembali berkuasa, negara akan dikuasai dan ditadbir oleh seorang kleptokrat daripada kluster mahkamah untuk disamun dan dirompak.
Dalam surat kedua Dr Mahathir kepada pengundi Johor, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Najib masih tidak malu dan sedang berusaha untuk kembalikan kekuatan politik kerana percaya apabila memegang kuasa politik beliau dapat lepas daripada hukuman.
"Tidak ada dendam peribadi di pihak saya terhadap Najib.
Perlu diingatkan ketika skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memuncak, adik Najib, Tan Sri Nazir sendiri telah datang menemui saya meminta saya lakukan sesuatu kerana wang berbilion telah hilang dan keadilan belum lagi dicapai terhadap jenayah dilakukan.
"Nazir menulis panjang lebar mengenai skandal 1MDB dan jenayah-jenayah dilakukan abangnya; tulisan Nazir disebabkan perasaan malu keluarganya begitu bersalah.
Banyak lagi ditulis Nazir yang dedahkan skandal Najib ini secara terperinci," katanya pada Ahad.
Mengulas lanjut Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu turut menjelaskan, sebelum berlakunya skandal 1MDB, Najib turut mendapat sokongan beliau.
Malah tekanan turut diberikan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas Perdana Menteri ke-5) apabila lambat melantik Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri.
"Saya percaya Najib layak, saya juga berasa terhutang budi kepada bapanya Tun Abdul Razak kerana telah membantu kerjaya politik saya.
"Malangnya Najib bukan seperti bapanya. Tun Razak seorang nasionalis dan pejuang bangsa yang bermaruah tetapi Najib pula mencuri harta negara dengan bantuan Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan didakwa terlibat skandal 1MDB).
"Surat khabar luar negara menggelarnya 'plundering idiot' yang dalam bahasa Johor saya percaya bermaksud 'penyamun tongong'.
"Mahkamah Rayuan pula menghukum beliau sebagai 'national embarrassment' iaitu orang yang memalukan negara," ujarnya.
Dr Mahathir turut memaklumkan, beliau akan terus 'meratib' nama Najib atau sesiapa sahaja yang cuba untuk merosakkan negara dan menipu rakyat.
"Setelah surat pertama saya, Najib menyindir dan berkata apabila saya mulai ratib namanya bermakna saya sudah benar-benar pulih.
"Terima kasih juga kerana beliau sempat mendoakan kesihatan saya.
"Sebenarnya, saya amat malu 'meratib' nama Najib. Beliau memalukan negara, bangsa dan agama, malangnya beliau sendiri tidak malu malahan berpura-pura seolah-olah beliau teraniaya termasuk oleh saya.
"Beliau berharap rakyat Malaysia akan percaya beliau tidak bersalah dan sebenarnya mangsa penganiayaan saya dan musuh-musuh politiknya.
"Ada yang terpengaruh dan percaya serta tampil mempertahankannya malah ada yang sanggup memanggil Najib 'bos' dan mencium tangannya," katanya.
-AstroAwani

‘Penyewa Dari Syurga’ – Pindah Selepas 20 Tahun Sewa, Tinggalkan Rumah Dalam Keadaan Baik.

 

LAZIMNYA kita membaca perkongsian di media sosial yang mana tuan rumah meluahkan rasa geram dan kecewa berdepan dengan individu yang digelar ‘penyewa dari neraka’.

Namun kisah yang dikongsikan oleh seorang doktor pediatrik mengenai bapanya yang merupakan seorang ejen hartanah, benar-benar menjentik perasaan.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Dr Redza Zainol berkongsi kisah yang diceritakan bapanya mengenai seorang tuan rumah sewa dengan penyewanya.

“Dah hampir 25 tahun ayah jadi ejen hartanah. Sampai ke hari ni ayah masih bekerja, cuma lebih santai. Buat sekadar mengisi masa, buat sebab minat.

“Ayah pun mulakan cerita. Semalam ada seorang pemilik rumah minta ayah pergi ke rumah sewanya. Dia kata penyewa nak keluar dari rumah.

“Sempat pemilik rumah tu pesan pada ayah saya‘nanti kalau jumpa dia, tolong cakap baik-baik dengan dia. Dia dah 20 tahun sewa rumah saya tu’.

 

Penyewa berkenaan sudah 20 tahun menetap di flat berkenaan. Gambar hiasan.

“Terkejut ayah. Rupanya dia dah menyewa flat tu sejak umur 18 tahun. Dari bujang sampai dah beranak pinak. Dia budak bagus, bayar sewa elok. Rumah pun dia jaga elok. Ayah mengangguk,” tulis doktor tersebut.

Tiba hari yang dijanjikan, bapa doktor tersebut mengunjungi rumah sewa tersebut namun ia sudah tidak berpenghuni.

“Bila ayah hubungi penyewa, dia kata dia dah balik ke kampung. Kunci rumah dia sorokkan bawah karpet tepi pintu. Ayah masuk rumah dan tengok semua barang masih ada lagi.

“Peti sejuk, meja, mesin basuh, perabot semuanya terletak elok. Encik, barang encik semua ada kat sini…

 

Kisah menyentuh hati itu dikongsikan Dr Redza menerusi satu hantaran di Facebook.

“Belum sempat ayah saya habis cakap, penyewa tu kata yang dia memang biarkan semuanya di situ.Saya sebenarnya tak mampu nak sewa lori untuk pindah rumah. Saya baru kena buang kerja.

“Waktu saya dengar, badan terasa sejuk. Hati ada bermacam rasa. Sedihnya alahai,” cerita doktor yang bertugas di Hospital Muar itu.

Menurut Dr Redza, bapanya kemudian menghubungi pemilik rumah sewa dan menceritakan segala perbualannya dengan penyewa berkenaan.

Tanpa diduga, reaksi pemilik tersebut benar-benar membuatkan bapanya terkesima dan kagum dengan sikap lelaki berkenaan.

“Waktu ayah ceritakan tu, pemilik rumah tu menangis. Zainal, you tau tak dia ni sewa rumah saya sampai habis loan rumah saya. Dialah yang tolong bayarkan rumah saya ni sebenarnya. Sekarang, saya nak dia duduk rumah tu percuma. Selama mana yang dia nak.

“Bukan tu je, apa-apa kerosakan pada rumah tu, dia (pemilik) akan baiki secara percuma. Ayah kata, bukan penyewa je yang baik, pemilik rumah tu pun baik. Selama 20 tahun, dia tak pernah naikkan langsung sewa rumah tu. Saya terkedu.

 

Dr Redza sering berkongsi mengenai isu kesihatan kanak-kanak dan isu semasa di Facebook.

“Ini satu dari ribuan cerita rakyat Malaysia sekarang. Ada yang rajin bekerja tapi dibuang kerja. Ada yang kerja tak kira masa tapi masih tak cukup duit nak beli makanan untuk anak.

“Menyewa tapi jaga rumah orang lain macam harta kita sendiri, itu perbuatan mulia. Kebaikan itu akan dibalas tak di dunia, pasti dibalas di akhirat,” tulisnya lagi.

Sehingga kini posting menyentuh hati itu meraih perhatian ramai, selain dibanjiri ratusan komen netizen yang turut sama terkesan dengan kisah berkenaan.

Sumber : mStar via trendingsangat

Kredit:malaysiatimes.news

Ahad, 20 Februari 2022

Pertama Di Malaysia, Penginapan Dalam Kapal Terbang Tawar Pengalaman ‘Rare’ Buat Pengunjung

 


Jika sebelum ini ada bas yang dijadikan sebagai tempat penginapan, kini muncul pula penginapan daripada kapal terbang. Terletak di Broga, Negeri Sembilan, pastinya penginapan ini akan menarik minat anda.

Mana tidaknya, daripada hanya kapal terbang kini ia telah diubah suai menjadi satu tempat penginapan dan bakal dibuka tidak lama lagi. Untuk pengetahuan anda, ini adalah resort berkonsepkan kapal terbang pertama di Malaysia dan satu-satunya resort di dunia yang menggunakan 2 pesawat sebagai penginapan dan dewan bankuet.




Lokasinya yang dikelilingi alam semulajadi akan memberikan ketenangan buat anda yang menginap di sini. Pada waktu malam, anda akan dapat melihat kecantikkan bintang sambil ditemani udara segar.

Malah, anda juga akan berasa selesa sepanjang penginapan anda di sini. Jika anda tidak mahu menginap di penginapan jenis kapal terbang, terdapat penginapan biasa juga di Twin Jets Resort ini.





Menjengah ke laman sesawang, harga penginapan biasa di resort ini bermula dari RM900 dan untuk Premium Jet pula berharga RM18,000. Untuk maklumat lanjut dan membuat tempahan, anda boleh klik sini.

-thevocket.com

Ronaldo diikuti 92 juta akaun palsu tapi hasilkan pendapatan lumayan

 Cristiano Ronaldo, 37, adalah atlet paling laris di dunia dan mendapat tajaan untuk status dimuat naik bintang Manchester United itu. - Foto Instagram

Cristiano Ronaldo, 37, adalah atlet paling laris di dunia dan mendapat tajaan untuk status dimuat naik bintang Manchester United itu. - Foto Instagram

MANCHESTER: Cristiano Ronaldo dianggarkan menerima 388,000 pound (RM2.21 juta) bagi setiap statusnya yang ditaja daripada pengikut palsu di Instagram.

Bintang Portugal itu, dipercayai mempunyai 92 juta akaun palsu dalam 400 juta pengikutnya di platform media sosial berkenaan. Ia berpunca daripada peningkatan akaun bot di media sosial.

Bagi setiap status ditaja yang dimuat naik Ronaldo - individu paling popular di Instagram - dia menerima bayaran sehingga 1.69 juta pound (RM9.62 juta).

Namun jika 92 juta daripada pengikutnya adalah akaun palsu, bermakna RM2.21 juta daripada pendapatan itu adalah daripada akaun bot.

Ronaldo, 37, adalah atlet paling laris di dunia dan mendapat tajaan untuk status dimuat naik bintang Manchester United itu.

Minggu ini dia memuat naik berkenaan Nike dan jenama pakaian dalam CR7 miliknya. Ronaldo turut ditaja klinik rambut Insparya.

Selain Ronaldo, Lionel Messi juga dikatakan mempunyai 70 juta akaun palsu dalam senarai pengikutnya di Instagram. Neymar pula mempunyai sekitar 34 juta pengikut palsu. - AGENSI

Pegawai SPRM belanja sakan dengan duit curi RM25 juta

 

Antara barangan mewah dan hartanah yang dibeli tertuduh menggunakan duit curi daripada simpanan SPRM.
Antara barangan mewah dan hartanah yang dibeli tertuduh menggunakan duit curi daripada simpanan SPRM.

SHAH ALAM - Menggemparkan dan mengejutkan. Itulah dua perkataan menggambarkan pengakuan seorang penguasa kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keputusan Mahkamah Sesyen pada Jumaat.

Tertuduh, Shahrum Nizam Baharuddin, 41, yang sudah 17 tahun bertugas di agensi itu akhirnya mengaku bersalah menggunakan wang rampasan agensi tersebut berjumlah AS$6.94 juta.

Berikutan pengakuan tertuduh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun yang berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 13 September 2021 dan sebat dua kali.

Bagaimanapun, perbuatan curang Shahrum Nizam yang pernah menerima Anugerah Pekerja Cemerlang sebanyak empat kali itu ternyata telah mencalarkan imej dan integriti SPRM.

Malah, kini ramai yang mempersoalkan sejauh mana ketatnya protokol keselamatan aset-aset rampasan di bawah simpanan SPRM.

Bagi memudahkan pemahaman pembaca, Sinar Premium menyusun semula secara terperinci perjalanan kronologi kes yang menggemparkan negara ini.

ASET HASANAH DIRAMPAS

- Pada 26 Ogos 2018, tertuduh dilantik sebagai Ketua Operasi dalam Ops Dinar 2 berkaitan dengan penyiasatan ke atas bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan (RD), Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang disyaki telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang milik Kerajaan Malaysia.

Malah, kini ramai yang mempersoalkan sejauh mana ketatnya protokol keselamatan aset-aset rampasan di bawah simpanan SPRM.

- Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan ketika itu ialah Datuk Hasanah Ab Hamid yang sebelum ini didakwa atas tuduhan pecah amanah mencecah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

- Wang rampasan tersebut kemudian telah diserahkan oleh pegawai penyiasat kepada Ketua Cawangan, Cawangan Tindakan Khas (KC CTK) untuk disimpan dalam peti besi.

- Pada 17 Disember 2018, Shahrum Nizam telah meminta KC CTK untuk menyerahkan sebahagian wang rampasan tersebut untuk pengiraan semula dan disahkan ketulenannya.

Sebanyak AS$1.9 juta daripada jumlah keseluruhan wang rampasan diserahkan kepada tertuduh bagi tujuan itu tetapi Shahrum Nizam hanya mengambil AS$800 ribu manakala bakinya diserahkan semula pada KC CTK.

Sebaik sahaja mengambil wang tersebut, Shahrum Nizam telah membawa wang AS$800 itu keluar daripada bangunan SPRM untuk ditukarkan kepada Ringgit Malaysia dengan bantuan seseorang di Kota Damansara. Hasil tukaran pada ketika itu ialah RM1.6 juta.

- Pada 9 April 2019, tertuduh sekali lagi meminta wang rampasan yang berada dalam simpanan KC CTK untuk proses pengiraan semula dan pemeriksaan keselamatan. Selepas diserahkan, Shahrum Nizam telah membawa keluar wang tersebut untuk ditukar kepada Ringgit Malaysia.

- Penukaran kali kedua tersebut membabitkan wang sebanyak AS$2,470,000 yang mana hasil tukaran ialah sebanyak RM9,880,000. Tertuduh turut menyerahkan sebuah beg berwarna ungu berisi AS$4.07 juta untuk disimpan oleh kenalannya untuk dijadikan modal perniagaan.

PERBUATAN MULA TERBONGKAR

- Pada 12 APril 2021, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Hasanah daripada pertuduhan melakukan pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia, tiga tahun lalu.

- Pembebasan Hasanah menyebabkan perbuatan Shahrum Nizam mula terbongkar.

- Ini kerana pada 23 Ogos 2021, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah memerintahkan supaya wang eksibit yang dirampas dalam kes terhadap bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan (RD), Jabatan Perdana Menteri (JPM) termasuk wang US$6.94 juta tersebut dipulangkan semula kepada bahagian tersebut.

- Selepas diserahkan, pemeriksaan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) RD JPM, Mohd Yani Daud mendapati wang rampasan dalam Dolar Amerika itu diragui ketulenannya selepas mendapati ada di antara not-not wang tersebut hanya bercetak pada sebelah permukaan sahaja, mempunyai nombor siri yang sama, warna yang tidak seragam dan berkualiti rendah.

- Pada September 2021, SPRM mengesahkan penahanan tiga pegawainya bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes dan aset Hasanah.

- Pada 4 Januari 2022, Shahrum Nizam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah AS$6.94 juta.

BERBELANJA MEWAH

- Hasil siasatan mendapati tertuduh telah membelanjakan RM2,713,730 untuk membeli aset-aset dari tempoh 17 Disember 2018 hingga kini.

- Hasil daripada penukaran wang itu, tertuduh telah menjadikan wang eksibit tersebut untuk kegunaan sendiri dengan membeli aset-aset mewah dengan membuat 13 kali transaksi bayaran secara tunai untuk membeli sebuah rumah dua setengah tingkat di Kota Warisan, Sepang.

- Tertuduh telah membeli jam tangan berjenama iaitu empat unit jam tangan jenama Hublot Big Bang, dua unit jam tangan jenama Tag Heuer dan dua unit jam tangan jenama Rolex secara tunai di sebuah kedai jam di Mid Valley City dengan nilai keseluruhan pembelian berjumlah RM397,580.

- Tertuduh juga telah membeli sebuah kenderaan jenis 4x4 jenama Ford Raptor 2.0 secara tunai berjumlah RM219,000, membeli dua bidang tanah, masing-masing seluas 2.9967 hektar bernilai RM333,220 atas nama tertuduh dan 1.244 hektar bernilai RM150,000 atas nama isterinya di Jerantut, Pahang.

- Dia juga membeli sebuah kereta jenis Honda Civic Type R 2.4L Turbo bernilai RM290,030 yang mana pembayaran dibuat secara tunai berjumlah RM265,930

- Tertuduh juga membeli sebuah motosikal Ducati 1299 Panigale R Final Edition bernilai RM278,000 dan sebuah lagi motosikal Ducati 1199 Superleggera bernilai RM300,000 yang mana pembelian motosikal itu telah dibuat dengan cara 'trade in' motosikal Panigale 1199R oleh tertuduh berjumlah RM110,000 manakala sebahagian lagi RM190,000 dibayar lima kali oleh tertuduh kepada kedai motosikal.

- Selain itu, tertuduh turut membeli sebuah kereta Mercedes Benz A250 Sport secara tunai bernilai RM130,000

- Tertuduh turut meminta seseorang untuk menyimpan wang tunai sebanyak RM1.4 juta (sebahagian yang telah ditukar kepada Ringgit Malaysia) sebagai `persediaan’ untuk dijadikan modal perniagaan kayu balak.

- Pada 24 September 2021 SPRM telah menyita sebuah beg bagasi mengandungi wang tunai berjumlah AS$4.07 juta di Wisma D.H.R, Kampung Tanjung Mas, Kota Bharu, Kelantan, daripada saksi sama yang diserahkan oleh tertuduh kepada saksi itu untuk disimpan bagi dijadikan modal perniagaan tertuduh kelak.

-SH Online

Sabtu, 19 Februari 2022

Allah laknat pengundi pilih pemimpin, pengamal rasuah-Hadi Awang

 

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan rakyat yang melantik dan mengundi pemimpin rasuah atau memilih individu yang mengamalkan rasuah, akan dilaknat Allah

Menurutnya bencana yang diikuti dengan penyakit rasuah menjadi suatu wabak, bermula daripada golongan atasan sehinggalah kelompok paling bawah, sebelum datang penyakit kemungkaran yang lebih parah.

“Datangnya bertalu-talu, apabila pagarnya memakan padi serta apabila rakyat dibeli dan pemimpin juga dapat dibeli,” katanya dalam kenyataan hari ini, tatkala Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan berlangsung bermula dengan hari penamaan calon pada 26 Februari 2022 ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata wabak itu akan disusuli dengan penyakit masyarakat yang datang secara bertalu-talu dan bertali arus, sehingga memusnahkan semuanya, khususnya apabila ia turut merosakkan pembangunan termasuk alam sekitar.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, adalah mustahil negara yang masih mengamalkan politik wang dapat menghapuskan rasuah, kerana wabaknya menjadi payung negara.

Pencegahannya kata beliau, sekadar laksana menampar nyamuk di kawasan yang dibiarkan longkangnya terdedah sehingga membiakkan nyamuk berkali ganda banyaknya.

Beliau memberi amaran bahawa rakyat yang memilih pemimpin kerana politik wang yang berkonsepkan kebendaan pasti akan menempah kemusnahannya.

“Hal ini berlaku setelah urusan mereka dijual beli dengan rasuah dan penipuan, semata-mata untuk mengejar kemewahan yang melampau kerana sudah tidak bermoral lagi.

“Bahkan, mereka juga sekadar bergembira pada masa kehidupan dunia yang pendek, tetapi berdukacita dalam tempoh masa yang panjang. Begitu juga, mendapat kecelakaan buat selama-lamanya sekiranya tidak bertaubat dengan kembali kepada petunjuk Allah SWT.

“Maka, Allah SWT melaknat pelaku, penerima, pemberi dan semua yang terlibat dengan rasuah, termasuklah rakyat yang melantik atau mengundi pemimpin dengan rasuah dan memilih yang mengamalkan rasuah,” katanya.

Sebaliknya Abdul Hadi berkata, Islam menunjukkan pendekatan politiknya dengan meletakkan rukun kehidupan manusia itu mengikut tertib maqasid al-syari‘ah ialah memelihara agama, akal, keturunan, maruah dan harta.

Pada masa yang sama, katanya Islam meletakkan syarat integriti syakhsiah berprinsipkan akidah agama, akhlak dan ilmu bermanfaat menjadi konsep tanpa mendahului harta.

“Hal ini demikian kerana, harta tanpa syakhsiah yang berintegriti tidak akan mampu menguruskan harta dan masyarakatnya. Akan tetapi, harta boleh dihasilkan dengan kemampuan ilmu dan syakhsiah yang berintegriti.

“Harta kekayaan sahaja tanpa integriti boleh merosakkan dan menghabiskan harta dengan sia-sia. Ilmu tanpa integriti menjadikan seseorang itu penipu, semuanya akan merosakkan diri, masyarakat dan negara,” katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac 2022 sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Johor, manakala hari penamaan calon adalah pada 26 Februari 2022 dan hari mengundi awal pada 8 Mac 2022.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN itu adalah Daftar Pemilih Induk 2021 yang dikemas kini sehingga 21 Januari 2022.

Daftar Pemilih tersebut mengandungi 2,597,742 orang pengundi yang terdiri daripada 2,574,835 orang pengundi biasa, 10,955 orang anggota tentera dan pasangan, 11,576 orang anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta 376 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

-Agenda Daily