Muhammad Haziq sangat yakin, bersungguh-sungguh dan penuh dengan informasi mencuri perhatian netizen, malah ramai yang meninggalkan komen berkata dia mempunyai bakat semula jadi untuk menjadi wartawan.
Dalam loghat utara, Muhammad Haziq menceritakan betapa dia dan penduduk sekitar sangat terkejut dengan penemuan ular sawa yang digambarkannya sebagai 'amat besar' dan amat dasyhat.
Bahkan, gambaran Muhammad Haziq mengenai kulit ular sawa yang 'merelit' itu membuatkan penceritaannya mudah menangkap perhatian penonton.
Kerana itu, dalam sekelip mata nama Muhammad Haziq menjadi popular dan dia diburu wartawan selain orang ramai mula mahu mengetahui kisah si cilik yang berbakat besar.
Sehubungan itu, Astro AWANI berkunjung ke Pasar Pagi Bukit Selambau di sini, untuk mendekati Muhammad Haziq.
Kisah wartawan cilik dan impian menjadi chef
Seperti mana dalam video yang tular itu, demikian juga keperibadian Muhammad Haziq yang petah bercakap.
Dalam kesibukan dia membantu ayahnya, Mohd Asyraf Ahmad, 37, berniaga di pasar berkenaan, Muhammad Haziq mendedahkan, dunia kewartawanan antara cabang kerjaya yang diminatinya selain menjadi chef tersohor yang merupakan cita-cita sebenarnya.
Namun begitu, lantaran terpengaruh dengan gaya penyampaian wartawan media elektronik, Muhammad Haziq terdorong melakukan laporan penemuan ular sawa yang menjadi bahan percakapan ramai itu.
Jauh lebih utama, laporan langsung penemuan ular sawa itu juga, jelas Muhammad Haziq, sebetulnya membuka ruang untuk dia memperkenalkan kampung halamannya, Bukit Selambau kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Saya memang minat mikrofon, minat cakap, (ada juga nak) jadi wartawan apa semua, (niat saya waktu kejadian) nak beritahu dekat semua orang (berkenaan penemuan) ular sawa, lepastu nak bagi Bukit Selambau terkenal sebab (nak) orang (ramai) datang (sini dan) viralkan apa semua.
"(Sebenarnya) ini pertama kali saya buat live video, tak sangka viral sebelum ini (saya) tak buat itu pertama kali (sebab sebelum ini hanya rekod untuk diri sendiri sahaja)," kata Muhammad Haziq berkongsi cerita.
Dia turut memberitahu bahawa kehidupannya mula berubah selepas video tular apabila ramai orang yang menyedari kehadirannya mahu merakamkan foto kenangan terutama dalam kalangan guru sekolah dan pengunjung Pasar Pagi Bukit Selambau.
"Semua orang kalau jumpa saya hendak tangkap gambar, kalau pergi sekolah cikgu tanya apa semua, tanya pasal (laporan) ular sawa apa semua, saya pun bercerita (kepada mereka)," katanya berkongsi pengalaman baharu yang dilaluinya.
Dalam wawancara itu, Muhammad Haziq juga sering menyebut cinta pertamanya adalah pada masakan terutamanya membuat kek serta pastri.
(YouTube ini adalah inisiatif Astro AWANI untuk mendapatkan interaksi tinggi dalam kalangan pengikut YouTube Astro AWANI. Adik Muhammad Haziq yang mula viral sejak semalam selepas membuat laporan berhubung dakwaan ular sawa di dalam longkang di sebuah pasar di Bukit Selambau.)
Menurutnya, bakat membuat kek dan kuih tradisional disedari sejak dia berumur 2 tahun dan minatnya itu sentiasa disokong keluarganya yang membeli perkakasan serta alatan bagi proses membuat kek dan pastri.
“Kadang kadang saya buat kek dan buat karipap ... saya ada macam-macam mesin (perkakas) di rumah, breadmaker, oven, mesin waffle… saya buat waffle untuk jual kepada penduduk setempat, buat donut, kek (saya) jual semua itu,” ujar kanak-kanak yang mewarisi bakat berniaga daripada ayahnya itu.
Pendedahan dalam dunia masakan, kata Muhammad Haziq, disedarinya berlaku semasa dia ditempatkan di rumah pengasuh.
"Dulu ada seorang pengasuh, dia buat karipap untuk jual kat pekan (Bukit Selambau), sewaktu dia menghayun saya atas buaian, dia fikirkan saya tidur tapi (saya) tak tidur, saya tengok dia menguli tepung untuk buat karipap, sejak dari tu saya minat (dengan apa sahaja berkaitan) tepung sampai sekarang," kata Muhammad Haziq mengenang memori yang masih terpahat di fikirannya.
Sementara itu, bapa kepada Muhammad Haziq, Mohd Asyraf Ahmad berkata, dia secara peribadi terkejut susulan video tular melibatkan anaknya itu.
Dia turut berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kejayaan anaknya di masa hadapan.
"(Sebagai ayah) rasa bangga pasal dia uar-uarkan kejadian yang berlaku di kampung sendiri, lebih kurang boleh perkenalkan Bukit Selambau kepada rakyat Malaysia.
-Astro Awani