"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Selasa, 26 Oktober 2021

Najib jawab Mahathir: Layanan berbeza apa?


Najib Razak membidas dakwaan “layanan berbeza”yang dibangkitkan Dr Mahathir Mohamad ke atasnya, berhubung keputusan mahkamah membenarkan Najib mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara.

“Layanan berbeza apa? Saya mohon melalui mahkamah. Bukan minta pada kerajaan,” kata bekas perdana menteri keenam itu di Facebooknya.

Dia memberikan respons terhadap kenyataan Mahathir semalam yang menyifatkan Najib sebagai penjenayah VIP pertama di Malaysia kerana menerima layanan berbeza, dan pemulangan pasport itu sebagai satu 'kes yang luar biasa'.

 Kata Mahathir yang merupakan bekas perdana menteri keempat dan ketujuh, layanan terhadap Najib berbeza dengan layanan terhadap orang kebanyakan yang telah didakwa dan dihukum sehingga masuk penjara, sebaliknya Najib yang telah dihukum bersalah itu tidak masuk penjara, bahkan mendapat perkhidmatan pengiring seperti VIP.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib berhubung kesalahan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan, manakala Mahkamah Rayuan menyita pasport Najib ketika mendengar rayuannya.

Kata Najib, permohonan mendapatkan pasportnya itu dibuat hanya supaya dia dapat melawat anak perempuannya yang bersalin di Singapura, yang tidak dapat pulang ke Malaysia semasa hamil kerana peraturan dan larangan rentas negara semasa pandemik.

“Yang benarkan pelepasan ke Singapura pada saya adalah Mahkamah Rayuan dengan keputusan sebulat suara ketiga-tiga hakim.

“Melalui proses mahkamah. Bukan kerajaan yang benarkan.

“Jika Atok (Mahathir) tak puas hati, boleh lah kecam hakim-hakim mahkamah rayuan yang berpengalaman. Buatlah sidang media untuk kecam hakim-hakim, kita nak,” kata Najib.

Menurut Najib, ‘layanan berbeza’ sebenarnya dia terima semasa Mahathir menjadi perdana menteri ketujuh.

Antara lain, dia membangkitkan mengenai hakim perbicaraan kes SRC, yang kata Najib merupakan hakim mahkamah sivil tanpa sebarang pengalaman kes jenayah yang tiba-tiba ditukar ke mahkamah jenayah untuk menggantikan hakim bagi kes SRC, selepas perbicaraan bermula.

Kata Najib, hal itu, sehingga berlakunya 307 kekhilafan dalam keputusan bersalah yang dijatuhkan ke atasnya, seperti yang dikemukakannya dalam petisyen rayuan terhadap sabitan dan hukumannya itu.

“Inilah layanan berbeza pada saya semasa Atok jadi perdana menteri ketujuh. Apa komen Atok tentang layanan ini pula?” soal Najib lagi.

Awal tahun ini, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali diberitakan akan dipindahkan semula dari mahkamah jenayah Kuala Lumpur ke mahkamah sivil berkuat kuasa Mac, enam bulan setelah menjatuhkan hukuman terhadap Najib.

Nazlan dipindahkan dari mahkamah komersial ke mahkamah jenayah pada Julai 2018 untuk mengetuai perbicaraan dkes rasuah SRC bernilai RM42 juta oleh Najib. Dia mengambil alih dari hakim sebelumnya, Mohd Sofian Abd Razak.

Nyatakan sokong-malaysiakini

PRN Melaka:Anwar bimbang PH kalah tanpa Zahid yang akan ke Jerman

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang Pakatan Harapan kalah jika Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak ada ketika kempen Pilihan Raya Negeri Melaka.

Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang Pakatan Harapan (PH) akan kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa kehadiran anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama turun berkempen nanti.

Ketua Pembangkang yang dianggap cikgu kepada Presiden UMNO itu memerlukan sokongan Zahid sekiranya mahu menang PRN kerana gandingan mereka berdua terbukti berjaya menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Tan Sri Muhyiddin Yassin dipaksa meletak jawatannya, ia langkah sama yang ingin diulangi Anwar di Melaka.

Zahid akan Jerman bagi menjalani rawatan sakit belakangnya dan terlepas untuk turut sama berkempen di Melaka nanti.

Menyedari tanpa bantuan anak muridnya itu, Anwar tidak berkeyakinan mampu menang bergaya dan amat memerlukan sokongan Zahid bagi menghadapi PRN Melaka.

Zahid nampaknya berkeras dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan PAS mahupun Bersatu pada PRN kali ini, langkah yang dilihat akan menguntungkan PH kerana ia akan menyebabkan undi Melayu terpecah sekiranya berlaku pertembungan banyak penjuru.

Bagaimanapun, beberapa kenyataan pemimpin UMNO nampaknya sudah wujud penentangan terhadap keputusan yang diumumkan Zahid, malah difahamkan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan juga sudah bertukar kem tidak lagi bersama Presiden partinya itu yang dilihat membuat keputusan merugikan mereka.

Jika dahulu Ahmad antara yang sentiasa menuruti arahan Zahid, namun beliau dilihat bertukar nada apabila sudah berani menyanggah pendirian bosnya itu baru-baru ini, apabila mengatakan keputusan untuk bekerjasama dengan parti lain dalam PRN belum dimuktamadkan.

Kenyataan Ahli Parlimen Pontian (MP) tersebut secara tidak langsung menunjukkan berlaku perbezaan pendirian di kalangan pemimpin UMNO yang sudah tidak sehaluan dengan Zahid, malah sumber memberitahu Presiden itu kini sedang berdepan tekanan dalam partinya sendiri.

Walaupun menyedari peluang UMNO amat tipis untuk menang di Melaka, namun Zahid tidak menghiraukannnya dan masih yakin mampu menang besar tanpa sebarang kerjasama dengan parti lain.

Keputusan Zahid memberi mandat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat sedikit melegakan Anwar kerana ia sekurang-kurangnya dapat menghidupkan peluang PH untuk menang di Melaka.

Untuk rekod, Najib dan Anwar sebenarnya masih mempunyai hubungan rapat, ia walaupun Anwar dikhianati selepas tidak menunaikan janji mengikut kandungan surat yang tular dihantar ke Istana Negara tahun lalu.

Tahun lalu, tular sepucuk surat bertarikh 11 Oktober 2020 yang mempunyai tandatangan Zahid dan Najib memberi sokongan dan kepercayaan tidak berbelah-bahagi dan setia kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.

Kedua-dua mereka masih tidak menafikan berhubung kewujudan surat sokongan tersebut walaupun dicabar untuk membuat laporan polis sebelum bagi menafikan kebenarannnya.

Sementara itu, PH Melaka juga bertindak memfailkan cabaran undang-undang terhadap pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) awal bulan ini, menamakan empat responden: Ketua Menteri sementara Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Speaker DUN Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); dan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Langkah tersebut diambil susulan hasrat Anwar untuk melihat peralihan kuasa di Melaka dibuat tanpa sebarang PRN diadakan kerana menyedari sentimen rakyat yang masih marah terhadap PH yang gila kuasa.

Sebelum ini Anwar juga mengetuai gerakan menjatuhkan kerajaan PN bersama Zahid dan beberapa MP UMNO lain yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin. Namun, senario berbeza berlaku di peringkat pusat apabila Muhyiddin melepaskan jawatannya dan PM baharu digantikan tanpa sebarang pilihan raya diadakan walaupun boleh mengambil langkah sama seperti di Melaka.

Anwar dan Zahid tidak memikirkan krisis kesihatan Covid-19 yang sedang melanda negara dengan meneruskan komplot politik mereka demi menumbangkan kerajaan pimpinan Muhyiddin, keadaan sama juga berlaku di Melaka apabila UMNO dan PH masih berebut kuasa.

PRN Melaka akan berlangsung pada 20 November, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

-Agenda Daily

Isnin, 25 Oktober 2021

Hampir sebulan menyepi, mana Tiger Of Al Quds?

Kali terakhir Caprice berkongsi hantaran status Instagram pada 8 Oktober lalu.

PETALING JAYA – Lama tiada perkhabaran, rupa-rupanya telah hampir sebulan penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan sensasi Caprice menyepi daripada sebarang perkongsian media sosial.

Sepatutnya, 21 oktober lalu, pemilik nama lengkap, Ariz Ramli itu melancarkan single rap terbaharunya, Tiger of Al Quds selepas ditangguhkan 10 Oktober.

 Lagu dan muzik video berkenaan telah dirakamkan di Jordan dan Mesir ketika dia cuba untuk memasuki Palestin demi melunaskan misi kemanusiaannya di Palestin.

Kali terakhir pelantun lagu Dem Girls itu memuat naik hantaran status dalam Instagram adalah pada 8 Oktober lalu apabila memberi justifikasi dan pandangan tentang isu tular iaitu gangguan seksual di pejabat.

Ramai dalam kalangan netizen musykil di mana keberadaan Caprice sekarang apabila tiada langsung khabar berita daripadanya sejak awal bulan.

“Mana Caprice? Suarakanlah pendapat tentang benda-benda begini. What’s on the news today (signatur cogan kata Caprice) hello?,” ciap seorang seorang pengguna Twitter tentang isu viral melibatkan Fauzi Nawawi minggu lepas.

Usaha Kosmo! Online untuk mendapatkan komen lanjut tentang keadaan dan keberadaannya kini menemui jalan buntu apabila sebarang panggilan telefon dan pesanan WhatsApp tidak berbalas.

Awal bulan lalu, Caprice dimasukkan ke pusat perubatan di ibu negara disebabkan kesan daripada penyakit hipertiroid. Katanya, perasaan dan emosi bercampur-baur serta baran adalah disebabkan penyakit tersebut.

“Insya-Allah saya boleh menghadapi perkara ini. Saya berharap dapat pulang secepat mungkin, namun terpaksa menangguhkan hasrat itu,” ujarnya dalam satu muat naik InstaStory.

Tidak sebulu dengan pendakwah bebas, Ebit Lew yang kini sedang menikmati percutian di Switzerland bersama keluarga tersayang, permasalahan yang timbul antara mereka akibat perbezaan idealogi misi bantuan kemanusiaan Palestin masih tergantung sehingga kini. – K! ONLINE

Bayi kembar sembilan semakin sihat

Bayi-bayi tersebut terdiri daripada empat lelaki dan lima perempuan. – The Sun

 RABAT, MAGHRIBI – Bayi kembar sembilan dari Mali, Afrika Barat yang dilahirkan di Maghribi pada Mei lalu dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan akan pulang ke rumah bersama ibu bapa mereka tidak lama lagi, lapor akhbar The Sun semalam.

Bayi-bayi yang terdiri daripada empat lelaki dan lima perempuan itu dilahirkan menerusi prosedur pembedahan dan mempunyai berat sehingga 998 gram setiap seorang ketika dilahirkan.

Mereka menerima penjagaan rapi sepanjang masa oleh sepasukan empat jururawat bersama ibu, Halima Arby-Cisse, 26 dan bapa, Kader, 35.

Pasangan suami isteri tersebut turut mempunyai seorang anak perempuan yang berusia dua tahun.

Mereka diterbangkan dari Mali ke Maghribi sebelum ini bagi membolehkan kesemua bayi dilahirkan dalam keadaan selamat menggunakan kemudahan yang disediakan.

Sejak itu, kos penjagaan mereka yang ditanggung oleh kerajaan Mali adalah berjumlah  £1 juta (RM5.7 juta).

“Kesemua bayi kami amat sihat dan kami berasa gembira dapat menjaga mereka.

“Mereka semakin kuat setiap hari dan tidak akan memerlukan rawatan tidak lama lagi. Jadi, kami boleh membawa mereka pulang,” kata Kader. – AGENSI 

EPL:Klopp Akui ‘Bersimpati’ Dengan Nasib Solskjaer Selepas Kekalahan 5-0 United Kepada Liverpool!

 

Jurgen Klopp menegaskan yang dia rasa bersimpati dengan keadaan Ole Gunnar Solskjaer selepas kejayaan Liverpool membelasan Manchester United 5-0 pada Ahad.

Mohamed Salah meneruskan prestasi luar biasanya di hadapan jaring dengan meledak hatrik, sementara satu gol masing-masing disumbangkan oleh Naby Keita dan Diogo Jota, melengkapkan kemenangan bergaya buat anak buah Klopp.

Keputusan itu kini akan menambah lebih tekanan kepada kedudukan Solskjaer sebagai pengurus di Old Trafford, dengan United kini telah mengalami tiga kekalahan dari empat perlawanan terakhir mereka di Liga Perdana Inggeris.

Solskjaer dan para pemainnya telah menerima teriakan ‘boo’ dari peminat-peminat United selepas tamat separuh masa pertama perlawanan.

Tetapi Klopp mengatakan yang dia rasa bersimpati untuk Solskjaer selepas kemenangan besar buat Liverpool mengalahkan United.

Apabila ditanya sama ada dia bersimpati dengan keadaan Solskjaer, Klopp menjawab: “Ya sudah tentu.

“Saya telah katakan sebelum ini, perkara terakhir yang saya mahu lakukan adalah berada di tempatnya buat masa ini, tetapi itulah dia.
“Dalam keadaan seperti ini apabila anda tewas dalam perlawanan, terutama sekali apabila anda tewas dalam perlawanan derby, itu juga pernah berlaku pada diri saya, anda tidak mahu keluar sana dengan keadaan yang tidak begitu baik dan memberikan semua temu bual dan jawapan kepada semua persoalan ini.

“Jadi, tentu sahaja, ia bukanlah satu malam yang baik untuk dia, jadi ya saya bersimpati.”

Klopp juga memberi pujian kepada para pemainnya melihat betapa tajamnya para pemainnya di hadapan gol Manchester United.

“Di hadapan gol, di dalam kotak penalti lawan, kami adalah luar biasa,” kata pengurus Liverpool itu.

“Kami klinikal, kami tajam, high pressing yang kami tunjukkan adalah menakjubkan, kami benar-benar memenangi bola itu di kawasan yang baik, formasi yang kami gunakan adalah yang terbaik dan semua perkara ini adalah apa yang anda ingin lihat sebagai jurulatih, di mana semuanya berjalan dengan sangat lancar.

“Perbezaannya di sini adalah anda kebiasaannya tidak menjaringkan gol dalam setiap peluang yang anda miliki, tetapi itu adalah apa yang kami berjaya lakukan dan itulah sebabnya kami mendahului 4-0 di separuh masa pertama. Di separuh masa kedua, bermula dengan baik untuk menjadikan kedudukan 5-0 dan layangan kad merah diberikan, perlawanan tamat, jadi selepas itu kami hanya mengawal perlawanan dan cuba pulang dengan selamat.”

-majalahsukan.com

Ahad, 24 Oktober 2021

'Bukan babak drama, kami betul bertunang' -Sweet Qismina

Sweet dan Adam merancang mengikat pertunangan selama setahun. Foto Ihsan Sweet Qismina
Sweet dan Adam merancang mengikat pertunangan selama setahun. Foto Ihsan Sweet Qismina

KUALA LUMPUR: Tiga tahun menyulam cinta, pasangan sama cantik sama padan, Sweet Qismina dan Adam Lee mengikat tali pertunangan, petang tadi.

Majlis berlangsung di sebuah premis persendirian di Ampang, dihadiri 20 tetamu dalam kalangan ahli keluarga masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Bertemakan putih dan songket, majlis pertunangan lebih manis apabila Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi menyambut ulang tahun kelahiran ke-24.

Adam dan Sweet masing-masing finalis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, memuat naik foto pertunangan di Instagram (IG).

"Ini bukan babak penggambaran drama, kami betul-betul bertunang," kata Qismina yang meraih trofi Artis Baharu Wanita Popular ABPBH 3.0 ini.

Pada ABPBH 34, Sweet tercalon dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular bersama Adam bagi drama lakonan mereka, Bidadari Salju.

Pada majlis pertunangan itu, Sweet menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang daripada Adam.

Selepas tiga tahun menyulam cinta, Adam dan Sweet mengikat pertunangan di sebuah premis acara di Ampang, petang tadi. Foto Ihsan Sweet Qismina
Selepas tiga tahun menyulam cinta, Adam dan Sweet mengikat pertunangan di sebuah premis acara di Ampang, petang tadi. Foto Ihsan Sweet Qismina

Sweet berkata, majlis pertunangan itu sudah lama dirancang.

"Kebetulan majlis pertunangan kami berlangsung dalam 'perang' kempen ABPBH 34. Ini bukan gimik, sebenarnya rezeki.

"Peminat kami sudah lama menanti ikatan terjalin. Sama juga dengan peminat di Indonesia yang bertanya-tanya 'kapan' (bila) mahu ada ikatan sah.

"Jadi, ini mukadimah sebelum kami melangkah ke fasa seterusnya," katanya.

Sweet berkata, mereka sepakat mengikat tali pertunangan selama setahun.

"Perancangan atau keputusan untuk berkahwin belum ada lagi. Kita selesaikan yang ini (bertunang) dahulu.

"Lagipun, sektor kreatif sudah kembali aktif selepas kerajaan melonggarkan SOP. Ini masa untuk kami bekerja semula," katanya.

Hubungan pasangan ini dikatakan mekar selepas Sweet mempelawa Adam menemaninya menghadiri ABPBH 31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 2018. Sebelum itu, mereka digandingkan dalam drama Adam Chempaka.

-BH Online

Perghh...Ezlynn berhajat nak lengkapkan 'madu 4' buat suami!

EZLYNN bersama suami tercinta, Wan Mohd Hafizam.
EZLYNN bersama suami tercinta, Wan Mohd Hafizam.

Kuala Lumpur: Selepas mengumumkan perkahwinannya dengan penderma hati pertama negara Wan Mohd Hafizam Wan Ismail pada 11 September lalu, penyanyi Ezlynn tampil pula memberitahu dia mahu mencari madu atau 'isteri baharu' untuk suaminya lagi.

Ezlynn, 39, atau nama sebenarnya Azline Ariffin yang dihubungi berkata, keputusan itu dibuat kerana dia terlalu menyintai suaminya, selain mahu mencari 'saham akhirat'.

 "Dalam Islam pun membolehkan lelaki berkahwin empat. Saya nak cukupkan suami saya ada empat isteri. Kalau ada yang sanggup bermadu dengan saya, boleh terus mesej di Instagram.

"Kita hidup hanya sementara, mesti kena gembira. Jom mengorak langkah menuju 'jannah' (syurga).

 Saya mengangkat sunnah Rasullullah SAW, dan saya yakin boleh hidup bermadu," katanya berterus terang kepada Harian Metro.

Penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye ini mengakui, dia sudah mula bertanyakan beberapa orang individu dan ada yang sudah bersetuju untuk menjadi madu baharunya.

"Cuma saya masih lagi cari yang sesuai untuk dia. Suami memang tahu berkenaan perkara ini kerana saya mengutarakan 'hajat' dan kami sudah bincang mengenainya.

"Sebab itulah saya putuskan nak cari madu yang baik dan sesuai, yang sudi terima saya sebagai madu juga.

 "Maksudnya berkahwin dengan saya sekalilah dan bukan dengan suami saja. Sebabnya, nanti banyak perkara perlu dilakukan oleh kami bersama," katanya.  

Ezlynn berkata, mereka mengangkat sunnah Rasullullah SAW dan dia amat mementingkan kebahagiaan suaminya.

"Kebahagian suami penting bagi saya. Dalam dunia ini saya dah tak perlu apa-apa lagi. Saya nak cari saham akhirat saja.

"Mana-mana yang boleh saya dapat reda Allah dan 'syafaat Rasulullah', saya akan ikut. Inilah hadiah buat suami saya," katanya. 

Ezlynn sebelum ini berkata, Wan Hafizam, 45, memiliki ciri-ciri lelaki idamannya, kerana dia mencari seorang imam dalam hidupnya.

"Saya tertarik dengannya sebab hatinya. Dia orang yang hebat bagi saya dan tak berkira serta banyak membantu orang. Dia bukannya buat untuk dunia, tapi lebih kepada akhirat," katanya.

Detik perkenalan Ezlynn dan suami, Wan Hafizam bermula apabila sama-sama terbabit dalam aktiviti amal dalam sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada tahun lalu.

-myMetro

EPL:Pertembungan Ronaldo-Salah jadi tumpuan

 Cristiano Ronaldo (kiri) dan Mohamed Salah (kanan) bakal menentukan siapa peledak utama Liga Perdana Inggeris apabila Manchester United berdepan Liverpool esok. - Foto AFP

Cristiano Ronaldo (kiri) dan Mohamed Salah (kanan) bakal menentukan siapa peledak utama Liga Perdana Inggeris apabila Manchester United berdepan Liverpool esok. - Foto AFP

MANCHESTER: Cristiano Ronaldo dan Mohamed Salah bakal menentukan siapa peledak utama Liga Perdana Inggeris apabila Manchester United berdepan Liverpool esok.

Pengendali Liverpool Jurgen Klopp seperti tidak menghiraukan kehadiran Ronaldo apabila menobatkan Salah sebagai pemain terbaik dunia hujung minggu lalu.

Penyerang Mesir itu berada pada prestasi terbaiknya, meledak 12 gol dalam 11 perlawanan musim ini termasuk dua gol cantik ketika menentang Manchester City dan Watford.

Namun Ronaldo tidak kurang hebatnya apabila meledak beberapa gol penting untuk United sejak kembali bersama kelab itu musim ini.

Ketika gandingan Paris Saint-Germain Lionel Messi dan Kylian Mbappe juga dalam persaingan merebut status terbaik dunia, di Liga Perdana Inggeris ketika ini calon utama adalah Salah dan Ronaldo.

Pertembungan di Old Trafford esok akan memberi gambaran siapa kuasa sebenar di Liga Perdana Inggeris.

Tanpa sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir liga, United kini ketinggalan empat mata di belakang Liverpool yang menghuni tangga kedua liga.

United memerlukan Ronaldo untuk sekali lagi menjadi penyelamat mereka, manakala Liverpool yang belum tewas cuma perlu mengharapkan Salah meneruskan ketajamannya di depan gawang.

"Saya sentiasa menyokong Cristiano dalam mana-mana pertandingan. Dia unik. Bagaimanapun ketika ini, Salah berada pada prestasi terbaik.

"Kami sedar yang kami perlu berada pada tahap terbaik untuk menghalangnya. Kami perlu fokus sepanjang 95 minit untuk memastikan tidak dibolosi," kata pengendali United Ole Gunnar Solskjaer.

Klopp pula mengambil pendekatan lebih diplomatik dalam membandingkan kedua-dua pemain itu.

"Kenapa perlu membandingkan Cristiano Ronaldo dan Mo Salah? Jelas sekali kedua-duanya adalah pemain kelas dunia.

"Walaupun kaki kiri Ronaldo tidak begitu teruk, saya boleh katakan kaki kiri Mo lebih baik. Mungkin di udara Cristiano lebih baik dan kaki kanannya juga lebih baik.

"Tetapi daripada segi kepantasan, kedua-duanya cukup pantas, masing-masing dahagakan gol," kata Klopp. - AFP

Atlet remaja perempuan maut dipenggal

 MAHJABIN dilaporkan dipenggal Taliban.

MAHJABIN dilaporkan dipenggal Taliban.

Kabul: Atlet bola tampar pasukan remaja perempuan Afghanistan, Mahjabin Hakimi didakwa maut dipenggal pejuang Taliban, awal bulan ini.

Imej mengerikan leher atlet itu yang terputus tular di media sosial Afghanistan.

Seorang daripada jurulatihnya dalam satu wawancara bersama Persian Independent mendedahkan keluarga mangsa terpaksa merahsiakan kematian remaja itu yang dibunuh awal Oktober lalu akibat diugut Taliban.

Menurut jurulatih yang hanya mahu dikenali sebagai Suraya Afzali, semua pemain lain berada dalam risiko.

MAHJABIN
MAHJABIN

Katanya, ia kerana hanya hanya dua daripada rakan pasukan Mahjabin termasuk dalam puluhan atlet wanita yang berjaya melarikan diri dari Afghanistansejak Taliban menguasai kembali negara itu pada Ogos lalu.

"Semua pemain dalam pasukan bola tampar dan seluruh atlet wanita dalam situasi teruk, putus asa dan ketakutan.

"Setiap orang terpaksa melarikan diri dan tinggal di tempat yang tidak diketahui," katanya seperti dipetik New York Post.

Namun, laporan lain menyebut insiden itu berlaku lebih awal dengan bukti kematian yang menunjukkan remaja itu dibunuh pada 13 Ogos pada hari terakhir, sebelum Taliban berjaya menguasai Kabul.

Bagaimanapun, Pusat Kewartawanan Penyiasatan Payk berkata, sumbernya mengesahkan, Mahjabin dipercayai 'dipenggal' Taliban di Kabul.

Sehingga kini, kerajaan masih belum memberikan sebarang kenyataan.

Sementara itu, Persekutuan Bola Tampar Antarabangsa (FIVB) memberitahu Inside The Games, pihaknya mengambil maklum laporan pembunuhan atlet terbabit dan sedang mendapatkan pengesahan segera isu terbabit.

"Buat masa ini tiada lagi kenyataan akan dikeluarkan demi keselamatan dan kesejahteraan seluruh komuniti bola tampar yang menjadi kebimbangan utama kami," katanya.

Mahjabin antara pemain terbaik dalam Kelab Bola Tampar Perbandaran Kabul.

-myMetro

Sabtu, 23 Oktober 2021

Ali Kopi:40 tahun bancuh kopi, gaji tertinggi hanya RM1,500 sahaja


Ali Kopi, tukang bancuh kopi di kedai makan di Kangar sejak 40 tahun lalu akhirnya diberikan notis tiga bulan oleh majikan yang akan menamatkan perkhidmatannya kerana PKP.

Bayangkan perasaannya, selepas empat dekad mengabdikan diri sebagai pembancuh kopi!


Hanya itu kemahirannya, tiba-tiba diberikan notis tiga bulan sebelum dia hilang segalanya.

Selama 40 tahun itu juga, gaji bulanannya paling tinggi pernah dapat adalah RM1,500 sahaja.

Malang terus merobek hati Ali apabila gajinya juga diturunkan kepada RM1,000 sahaja gara-gara pertukaran pemilik kedai makan yang dia bekerja.

Untuk pendapatan sebegitu, Ali bekerja sehingga 12 jam sehari.

Tetapi ayah kepada empat cahaya mata itu tidak menyalahkan takdir, sebaliknya sebaik sahaja ditamatkan perkhidmatan, dia membuka warung dinamakan ALI KOPI di Kampung Kechor, Kangar.


Berbekalkan kemahiran yang ada, Ali mengambil keputusan membuka kedai miliknya sendiri di perkarangan rumahnya dengan menjual air bancuh, semestinya kopi dan roti bakar telur gedik.


Pelangi indah yang diberikan sang Pencipta buat Ali terus memberikan tapak lebih kukuh apabila dia turut menyewakan beberapa lot gerai untuk bersama-sama memeriahkan kedainya dengan pelbagai menu.

Sebelah pagi ada nasi lemak, kemudiannya goreng-gorengan dan juga makanan berasaskan sup.

Menariknya juga, warung Ali Kopi ini turut menjadi tempat persinggahan buat peminat sukan basikal. Ini membuatkan Ali menyediakan tempat parking basikal bagi memudahkan pelanggan kumpulan ini.


Inilah dikatakan rezeki warga emas yang usianya menginjak senja itu, walaupun warungnya terletak kira-kira 1km ke dalam kampung, tetapi rezekinya tidak putus, ada sahaja pengunjung.

Semasa perbualan kami, satu perkara yang Ali amat terharu, "saya tak dapat buka kedai macam ini kalau Tuanku Raja Muda Perlis tak bantu, baginda lah yang bantu beli bumbung dan beberapa kelengkapan bagi saya mulakan perniagaan ini.


Malahan baginda sendiri pernah datang minum kopi di kedai saya".

Bersungguh-sungguh Ali menunjukkan kepada saya gambar kunjungan Tuanku Raja Muda Perlis ke warungnya itu.

Ali Kopi beroperasi jam 7 pagi hingga 9 malam dan tutup pada hari Isnin sahaja.

Semoga rezeki Pak Ali terus melimpah ruah, jom support.

Kredit: Fb Mohd Fazli Zainul Abidin