"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Jumaat, 15 Oktober 2021

5 Pemain Veteran Terbaik Dalam Dunia Bola Sepak Hari Ini


Lima pemain veteran terbaik dalam dunia bola sepak hari ini, dengan kebanyakan dari mereka sudah berusia lebih dari 35 tahun.

Untuk kebanyakan pemain bola sepak, karier profesional mereka kebiasaannya tidak akan bertahan lama, segelintir sahaja yang mampu beraksi di pentas tertinggi selepas usia mereka mencapai 30 tahun.

 Walau bagaimanapun juga, ada pemain yang membuktikan kepada dunia, yang usia bukan penghalang untuk mereka terus bersinar dan menjadi yang terbaik.

Kesungguhan mereka dalam menjaga tahap kecergasan masing-masing menyebabkan mereka masih beraksi dengan sangat cemerlang walau sudah berusia 30 an.

Di usia sudah melebihi 35 tahun, agak sukar untuk seseorang atlet itu terus aktif dalam sukan yang melibatkan fizikal seperti bola sepak.

Mereka lebih terdedah untuk mendapat kecederaan dan tahap Kecergasan mereka juga sudah tidak sama ketika berusia 20 an dahulu.

Berikut merupakan lima pemain yang sudah berusia lebih 35 tahun (2021) yang masih aktif dan dianggap terhebat dalam dunia bola sepak hari ini.

5) Zlatan Ibrahimovic (AC Milan)

Zlatan Ibrahimovic jelas sekali dianggap antara pemain terhebat dalam sejarah dunia bola sepak, dan tidak dinafikan lagi beliau antara penyerang terbaik di generasi modern.

Beliau antara pemain yang sudah beraksi bersama beberapa kelab terhebat dunia, dan memenangi bermacam kejuaraan di pelbagai tempat.

Selepas melakukan debutnya bersama Malmo pada tahun 1999, pemain kebangsaan Sweden itu telah beraksi bersama Ajax, Juventus, Inter Milan, Barcelona, AC Milan, Paris Saint Germain dan Manchester United.

Beliau juga merupakan pemain penyerang utama yang sangat prolifik tidak kira beliau beraksi bersama pasukan mana sekali pun.

Zlatan juga antara pemain yang mempunyai personalti tersendiri, dengan bintang berusia 40 tahun itu memiliki aura serta tahap keyakinan diri yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Ketika ini, beliau masih beraksi bersama AC Milan, dengan Ibrahimovic juga telah menandatangani perjanjian baru bersama gergasi Serie A itu pada awal tahun lalu.

Sejak menyertai Milan pada tahun 2020 yang lalu, beliau telah membuat 38 penampilan dalam saingan liga, dan cemerlang menjaringkan 26 gol.

Walau sudah berusia, Ibrahimovic masih mempunyai tahap kecergasan yang menakjubkan, dan ketajaman penyudah beliau juga tidak boleh dipandang rendah.

4) Thiago Silva (Chelsea)

Salah seorang pemain centre-back terhebat dari kesemua pemain yang sama generasi dengannya, Thiago Silva masih gah beraksi dalam saingan liga paling kompetetif dalam dunia bola sepak.

Silva mula mencipta nama sebagai pemain centre-back berkelas dunia sejak beraksi bersama AC Milan sebelum beliau menyertai Paris Saint Germain pada tahun 2012.

Silva jelas sekali memainkan peranan penting dalam membangunkan PSG dari pasukan yang biasa-biasa sahaja, menjadi gergasi di benua Eropah.

Dengan ciri kepimpinan yang beliau miliki, dan ditambah pula dengan kemampuan bertahan yang sungguh menakjubkan, Silva jelas sekali antara pemain paling disegani dalam dunia bola sepak.

Beliau berjaya membantu Paris Saint Germain untuk memenangi tujuh kejuaraan liga dan beberapa kejuaraan domestik yang lain.

Agak mengejutkan juga untuk melihat gergasi Ligue 1 itu melepaskan pemain kebangsaan Brazil itu pergi ke Chelsea sebagai pemain free ejen.

Bersama Chelsea, Silva turut berjaya mempamerkan aksi persembahan yang sungguh mengagumkan, seterusnya menjadi antara pemain paling disayangi di Stamford Bridge.

Dengan Kualiti yang beliau miliki dan ditambah dengan pengalamannya yang luas, Thiago Silva berjaya membantu Chelsea menjuarai saingan Champions League pada musim lalu.

Bintang berusia 37 tahun itu tidak dinafikan antara nadi penting dalam sistem pertahanan di bawah kendalian Thomas Tuchel.

3) Giorgio Chiellini (Juventus)

Giorgio Chiellini sudah sememangnya dianggap sebagai legenda Juventus dan beliau juga dikenang sebagai pemain terhebat sepanjang zaman yang pernah beraksi bersama skuad Itali.

Chiellini melakukan debut profesionalnya bersama Livorno pada tahun 2000, sebelum beliau berhijrah beraksi bersama Fiorentina pada tahun 2004.

Pada tahun 2005, beliau mula beraksi bersama Juventus, dan bintang berusia 37 tahun itu merupakan antara pemain yang setia bersama The Old Lady itu.

Jatuh bangun Juventus, Chiellini tetap setia dan beliau merupakan pemain terpenting kelab dengan teknik permainan dan ciri kepimpinan yang sungguh menakjubkan.

Pada tahun 2019, Chiellini menderita kecederaan panjang dan ramai yang sempat berfikir bahawa beliau mungkin akan terus meninggalkan dunia bola sepak.

Namun beliau berjaya untuk kembali beraksi, dan turut cemerlang membantu Itali menjuarai saingan Euro 2020, hasil gandingan mantapnya bersama Leonardo Bonucci.

Baik untuk Itali mahupun Juventus, Chiellini jelas sekali dianggap antara pemain terhebat mereka miliki di era modern ini.

Chiellini dilihat sangat bermotivasi dan masih dahagakan kejayaan dengan beliau akan turun beraksi bersama skuad kebangsaan Itali dalam aksi saingan Piala Dunia Qatar tahun hadapan.

2) Luka Modric (Real Madrid)

Luka Modric dianggap antara pemain terhebat dalam dunia bola sepak dan beliau senantiasa menjadi tulang belakang untuk skuad kebangsaannya Croatia dan juga Real Madrid.

Walaupun sudah berusia 36 tahun, Luka Modric masih lagi menjadi pemain utama Real Madrid dan masih menjadi nadi utama untuk skuad kebangsaan Croatia.

Beliau merupakan pemain midfield yang sangat kreatif, mempunyai kemahiran teknikal yang hebat dan sangat lincah membantu jentera serangan.

Modric telah berjaya memenangi dua gelaran La Liga dan empat gelaran Champions League bersama Real Madrid, dan beliau turut cemerlang membawa Croatia mara ke aksi perlawanan akhir Piala Dunia 2018.

Pencapaian beliau pada tahun 2018 membantu Modric untuk memenangi anugerah Ballon D’or, dengan beliau merupakan satu-satunya pemain yang mampu memecahkan dominasi Ronaldo dan Messi sejak sedekad lalu.

Modric dilaporkan merancang untuk bersara di Santiago Bernabeu dengan beliau baru-baru ini turut menandatangani kontrak baru selama setahun bersama Real Madrid.

1) Cristiano Ronaldo (Manchester United)

Siapa lagi yang layak untuk dianggap terhebat sepanjang zaman walau sudah berusia 36 tahun?

Jelas sekali nama Cristiano Ronaldo harus ada dalam senarai ini, dengan beliau langsung tidak menunjukkan tanda-tanda sudah sampai ke penghujung kariernya.

Beliau masih kekal menjadi antara pemain terhebat dalam dunia bola sepak hari ini, bahkan prestasi beliau turut lebih baik berbanding pemain yang jauh lebih muda darinya.

Bintang berusia 36 tahun itu memenangi kasut emas dalam saingan Serie A musim lalu, selepas beliau cemerlang menjaringkan 29 gol untuk Juventus.

Ronaldo mencipta nama sebagai antara pemain penyerang terhebat sepanjang zaman atas segala pencapaian dan persembahan yang beliau persembahkan sepanjang kariernya.

Beliau jelas sekali senantiasa memberi masalah kepada pemain pertahanan lawan, dengan kemampuan gelecekan, kelajuan, fizikal, penyudah dan teknik yang sungguh menakjubkan.

Ronaldo pada musim panas baru-baru ini telah kembali ke Old Trafford dan beliau kini menjadi antara pemain terpenting Manchester United di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Pemain kebangsaan Portugal itu sudah berjaya menjaringkan lima gol dari enam perlawanan, dengan beliau turut dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan dalam saingan Premier League.

Sumber:

Kredit: semuanyabola.com

PAS tak bela nasib Adib, setelah pegang k'jaan?

 


Ditohmah tak bela nasib Adib: PAS selar pihak berkenaan

KUALA LUMPUR: PAS menyelar dakwaan segelintir pihak bahawa kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tidak terbela setelah parti Islam tersebut memegang tampuk kepimpinan kerajaan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin, berkata, dakwaan itu tidak berasas sama sekali kerana pihaknya mengikuti rapat perkembangan kes Allahyarham Muhammad Adib, dan pelbagai tindakan telah dilakukan bagi memelihara kebajikan keluarganya.  

Menurutnya, pertikaian demi pertikaian berbangkit berkaitan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. 

“Mereka yang cakap PAS senyap mengenai isu Adib tak mengikuti perkembangan kami secara dekat.  Boleh rujuk tindakan yang kami lakukan melalui laman web dan Instagram Pemuda PAS. 

“Kita tak boleh masuk campur dalam siasatan yang dilakukan pihak berkuasa. Jadi apabila kerajaan bercadang untuk melakukan tindakan balas seperti yang dilakukan sekarang ini, kita amat menyokong keputusan kerajaan tersebut, kerana ia selari dengan apa yang kita mahu. 

“Bezanya, kita menjaga kebajikan keluarga  Allahyarham. Pemuda PAS telah membuat beberapa tindakan menjaga kebajikan keluarga Adib, manakala dari sudut keadilan, kita serahkan kepada pihak berwajib,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini. 

Menurut Khairil lagi, Malaysia mempunyai peraturan perundangan (rule of law) yang tidak wajar dicampuri kuasa politik kerana kedua-duanya mempunyai pemisahan kuasa (separation of power) berlainan. 

“Apa pasal PAS nak masuk campur dalam hal rule of law, ia di bawah tanggungjawab pihak berkuasa. 

“Kita ada separation of power. Bila kita dah jadi kerajaan, kita nak masuk campur, mana boleh, tak adil. Bila masa kita senyap. Cuma kita bukan polis,” tambahnya yang juga merupakan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, ditanya mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kematian Muhammad Adib, Khairil Nizam menegaskan, pihaknya menyambut baik perkembangan tersebut agar dapat dipastikan supaya siasatan secara menyeluruh dan telus, serta pembelaan sewajarnya terhadap kematian Allahyarham Muhammad Adib bakal terlaksana.

Katanya lagi, penubuhan jawatankuasa itu sejajar hasrat dan cadangan diutarakan pihaknya supaya kekusutan serta pertikaian berbangkit kes Allahyarham Muhammad Adib dirungkai dengan penuh iltizam serta bertanggungjawab. 

Untuk rekod, kabinet telah menubuhkan jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. 

Jawatankuasa itu turut dianggotai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun. 

Pada 27 November 2018, Muhammad Adib cedera parah ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018. 

Allahyarham dikatakan diserang serta dipukul hingga parah dan jentera bomba dirosakkan, selain dua kenderaan lain dibakar dalam rusuhan yang berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil berusia lebih 100 tahun itu. 

Prosiding inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam di hadapan Koroner Rofiah Mohamad berlangsung selama 41 hari dan berakhir 24 Julai 2019. 

Seramai 30 saksi dipanggil dan 137 bahan bukti dikemuka. Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah dilakukan lebih dua individu tidak dikenali. – HARAKAHDAILY 16/10/2021

Krisis Melaka: UMNO utamakan UMNO lah, kata Rauf

 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh membayangkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PAS atau Perikatan Nasional (PN) sebaliknya kekal dengan pendirian Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menjawab soalan dilontarkan kepadanya mengenai kerjasama dengan PAS atau PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya diadakan, Rauf yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkata:

“Kita jentera bekerja untuk UMNO, apa sahaja kita fikirkan kepentingan dan kekuatan UMNO dahulu, sebelum mengambil kira mana-mana parti.

“UMNO mesti perkukuhkan kedudukan kekuatan parti itu dahulu, baru kita lihat siapa juga bakal datang berunding dengan kita.

“Itu PAS… saya tidak campur urusan parti (itu)… saya hanya menguruskan jentera UMNO untuk bersama-sama menghadapi PRN akan datang,” katanya.

Pada sidang media selepas pertemuan bersama jentera UMNO Bahagian Masjid Tanah hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Rauf menegaskan sehingga kini gerak kerja parti di kawasan pusat daerah mengundi (PDM) telah bersedia menghadapi PRN sendirian.

Sebelum ini, Zahid membuat keputusan sendiri bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara sendirian, tanpa bekerjasama dengan PAS, parti sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN).

Presiden UMNO itu bertindak demikian atas beberapa sebab, termasuk MN tidak berdaftar dan beliau berasa PAS telah banyak kali mengkhianati UMNO, terutama apabila kekal bersama Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu.

Zahid turut membayangkan UMNO akan bergerak secara bersendirian di bawah bendera BN apabila masuk bertanding dalam PRN dan juga pilihan raya umum nanti atas kepercayaan parti tersebut sudah kuat dan akan disokong rakyat.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam bersetuju membuat keputusan itu, susulan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang majoriti apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika itu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan UMNO.

Empat bekas ADUN itu adalah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Sementara itu, Rauf berkata UMNO negeri bersedia mempertahankan kerusi DUN Pantai Kundor dan Sungai Udang jika PRN diadakan.

Katanya, seluruh peringkat jentera UMNO dan BN telah digerakkan, tanpa melibatkan parti lain, di negeri itu bagi memastikan persediaan berdepan dengan pilihan raya berjalan lancar.

-Agenda Daily

Khamis, 14 Oktober 2021

Penganggur durjana rogol anak, rodok kemaluan isteri dengan botol susu

 - Foto hiasan

- Foto hiasan

SUNGAI PETANI: Gelaran suami dan bapa durjana mungkin sesuai diberi kepada seorang lelaki kerana tergamak merogol anak kandung sendiri, selain menyeksa isterinya dengan memasukkan botol susu pada kemaluan wanita itu.

Lelaki terbabit dipercayai merogol anak sulungnya yang berusia belasan tahun sejak Disember tahun lalu, dengan kejadian terakhir berlaku Jun lalu di rumah mereka di sebuah kawasan perumahan, dekat sini.

Sepanjang tempoh berkenaan, remaja terbabit yang juga seorang pelajar cemerlang dijadikan hamba seks oleh bapa kandungnya itu tidak kira siang atau malam terutama ketika ibu mangsa keluar bekerja atau sedang tidur.

Bagaimanapun, remaja itu hanya mendiamkan diri dan tidak menceritakan kejadian terbabit kepada sesiapa kerana bimbang adik-adiknya akan dipukul bapanya yang panas baran.

Sumber berkata, tidak cukup dengan merogol darah daging sendiri, lelaki terbabit turut memperlakukan isterinya yang berusia 30-an dengan zalim apabila kerap memasukkan objek ke dalam kemaluan wanita terbabit ketika melakukan hubungan seks.

"Sama seperti anaknya, si ibu juga enggan menceritakan kejadian terbabit kepada sesiapa kerana tahu yang suaminya panas baran dan bimbang anak-anaknya menjadi mangsa dia melepaskan kemarahan.

"Perbuatan jahat lelaki berusia 40 tahun yang juga penganggur itu terbongkar juga apabila isterinya yang tidak tahan dengan perangai suami memberitahu anak sulungnya yang dia nekad mahu keluar daripada rumah berkenaan," katanya.

Sumber berkata, ketika itu baru anak sulungnya berani menceritakan kejadian rogol yang berlaku terhadap dia selama ini dan mendengarkan cerita itu si ibu kemudian meminta bantuan saudara mereka yang lain untuk membantu membuat laporan polis semalam.

"Dua beranak terbabit masing-masing membuat laporan polis berhubung kejadian yang menimpa mereka dan siasatan mendapati kejadian rogol membabitkan remaja berkenaan berlaku jam 3 pagi hujung tahun lalu ketika mangsa sedang tidur.

"Sejak itu, mangsa mendakwa dirogol sebanyak enam kali dengan kejadian terakhir berlaku pada petang Jun lalu," katanya.

Menurutnya, isteri mangsa pula mendakwa suaminya kerap memasukkan botol serta objek yang tidak diketahui dalam kemaluannya ketika melakukan hubungan seks sejak tiga tahun lalu selepas kelahiran anak bongsu.

"Kali terakhir dia diperlakukan suami dengan kejam ketika mereka mengadakan hubungan kelamin awal bulan ini, dan wanita berkenaan sudah tidak tahan dengan sikap suaminya kerana perbuatan terbabit mengundang kesakitan pada dirinya.

"Wanita itu dan anaknya akan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan mereka juga akan dirujuk kepada pusat kaunseling," katanya.

Katanya, susulan daripada laporan dua beranak itu, suspek ditahan semalam dan hasil siasatan awal dia mengaku melakukan perbuatan terbabit kepada isteri serta anaknya.

"Suspek mengaku yang dia memasukkan botol susu anak ketika mengadakan hubungan seks dengan isterinya dan juga memberitahu merogol anak sulung ketika isteri keluar kerja atau sedang tidur.

"Setakat ini, ujian air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah dan dia kini direman

selama tiga hari untuk membantu siasatan berhubung dua kejadian berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada dan tangkapan terhadap suspek sudah dibuat, namun enggan mengulas lanjut.

-BH Online

“Fakir kak, bukan kafir…” – [VIDEO] ‘Typo’ Pada Kotak Peminta Sedekah Ini Buat Ramai Serba Salah


 Selalunya masa korang tengah makan dekat warung atau mamak, pernah tak jumpa dengan peminta sedekah yang datang meja ke meja? Biasanya diorang akan bawa tisu atau kotak untuk orang ramai memberikan sumbangan kepada mereka.


Menariknya di Indonesia, ayat yang dicetak pada kotak sedekah ini telah menarik perhatian orang ramai.  Menerusi akaun Tiktok @evamandasarilubis4, wanita peminta sedekah ini membawa sebuah kotak sedekah bertulis “Sumbangan Kafir Miskin”, di mana sangat jelas yang ia merupakan typo.

Namun, video ini masih menarik perhatian netizen kerana perkataan ‘fakir’ dan ‘kafir’ membawa dua konteks yang sangat berbeza, di mana fakir bermaksud orang yang kurang pendapatan atau miskin, manakala kafir pula biasanya merujuk kepada orang bukan islam.

Bukan itu saja, ia bertentangan dengan pemakaian wanita tersebut yang lengkap bertudung dan menutup aurat. Bukan itu saja, ia juga ‘lari tema’ daripada perkataan basmalah yang diletak pada bahagian atas kotak tersebut.

Video berdurasi 12 saat ini turut memaparkan dua orang pemuda tidak menghiraukan peminta sedekah tersebut, namun typo pada kotak tersebut menjadikan klip itu tular hingga mencapai lebih 300 ribu like di laman Tiktok.

Rata-rata komen netizen terhibur dengan video tersebut seperti yang dilihat di bahagian komen. Ada yang menegur kesalahan ejaan wanita tersebut, ada juga menyifatkan ia dark joke. Ada juga netizen yang berasa serba salah untuk hulurkan sedekah atau tidak. 


Adoi… lari sangat typo tu kak. Kalau korang pula, korang akan bagi duit atau tak?

-lobakmerah.com

Umno tak mampu tangkis ‘serang balas’ penyandang, kata penganalisis

 

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam dilema sama ada memilih untuk dilihat lemah mengambil tindakan atau terpaksa kekalkan kestabilan partinya, menurut penganalisis.

PETALING JAYA: Umno tidak mampu menangkis “serangan balas” penyandang kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada sekiranya Ahmad Zahid Hamidi, selaku presiden parti, berkeras enggan memberi watikah pencalonan menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Situasi berkenaan didorong kebimbangan bahawa penyandang kerusi berisiko mencari tempat dalam parti lain, termasuk parti seteru seperti Bersatu, PKR atau memilih PAS.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Jayum Jawan berkata, situasi berkenaan meletakkan Umno dan kepemimpinannya dalam dilema, jika penyandang tidak dicalonkan.

“Mereka akan mencari tempat dalam parti lawan. Jika penyandang dicalonkan pula, ia dilihat sebagai tanda kelemahan kepimpinan Umno. Ibarat pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapak,” katanya kepada FMT.

Jayum Jawan.

Pada PRU14, Umno menang 54 kerusi Parlimen, namun angka itu berkurangan selepas 15 daripada mereka melompat parti dan menyertai Bersatu.

Ketika krisis sokongan terhadap Perdana Menteri ketika itu Muhyiddin Yassin memuncak pada Julai, 25 Ahli Parlimen Umno enggan menarik sokongan terhadap kepemimpinan kerajaan diterajui beliau, walaupun Zahid mengarahkan semua Ahli Parlimennya menurut arahan parti.

Zahid ketika itu, hanya mampu menyakinkan 13 Ahli Parlimen, termasuk dirinya untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum Ismail Sabri Yaakob, dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

Dalam pada itu Jayum berkata, bagaimanapun penyandang kerusi sedia ada berkemungkinan menolak tawaran pencalonan semula kerana mahu memilih platform baharu dengan peluang menang lebih cerah kerana enggan dikaitkan dengan parti yang mengalami kekalahan teruk pada PRU14.

“Justeru, Umno dan Zahid tidak mempunyai “upper hand” (kelebihan) dalam soal ini,” katanya.

Mengulas pendirian Umno yang mahu bertanding bersendirian menggunakan platform Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) Melaka tanpa membabitkan Muafakat Nasional (MN) dan PAS, Jayum berkata, parti berkenaan tidak bersedia untuk berkongsi kuasa di negeri itu.

Katanya, Umno dijangka turut bersendirian menjelang PRU15 kerana berpandangan kos bersama PAS adalah agak tinggi, terutama melepaskan sejumlah kerusi untuk ditandingi PAS.

“Pemimpin utama Umno percaya parti tersebut masih kuat dan berpotensi kembali ke kancah politik negara seperti sebelum ini.

“Hanya dengan cara itu sahaja Umno akan tahu sama ada peranan dan zaman keagungannya sebagai parti politik utama orang Melayu di Semenanjung dan di seluruh negara masih relevan atau tidak dalam politik negara,” katanya.-FMT

Ahli Parlimen Labuan didakwa guna kedudukan dapatkan kontrak pekerjaan

 Ahli Parlimen Labuan didakwa guna kedudukan dapatkan kontrak pekerjaan

Rozman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Labuan hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, tiga tahun lepas. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, tiga tahun lepas.
Rozman, 57, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Mengikut pertuduhan, Rozman didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd yang bapa dan adik lelaki tertuduh mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya, antara 2.30 petang dan 5.30 petang, 21 Mac 2018.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan tersebut dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sebaik sahaja pertuduhan dibacakan, Rozman yang memakai sut biru gelap berkata: "Saya sama sekali tidak bersalah dan minta dibicarakan".
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan yang diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali telah bersetuju jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin diberikan kepada Rozman.
Ahmad Akram turut memohon supaya pasport Rozman diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Muhammad Rafique, yang mewakili Rozman mengesahkan jumlah jaminan yang telah dipersetujui.
Rozina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Ketika membenarkan tertuduh diikat jamin, Rozina berkata jika boleh penjamin berkenaan adalah individu yang tinggal di Semenanjung.
"Kita tidak mahu sekiranya berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sana (Labuan) atau apa sahaja, ia menjadi kesukaran... jadi, mahkamah mahu penjamin yang tinggal di Kuala Lumpur atau Selangor," kata Rozina.
Mahkamah turut menetapkan 19 Nov ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA

“Nenek Jelita Berusia 33 Tahun” – Bangga Digelar ‘nenek Paling Muda Di Britain’

 


LONDON – Seorang wanita mendedahkan dia berasa bangga digelar ‘nenek paling muda di Britain’ selepas mempunyai cucu pada usia 33 tahun, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Gemma Skinner, menerima seorang cucu perempuan minggu lalu selepas anaknya, Maizie, melahirkan bayi tersebut pada usia 17 tahun.

“Pada mulanya, saya enggan dipanggil ‘nenek’, namun kini berasa suka mendengar nama panggilan itu,” ujarnya.

Menurut Skinner, ketika Maizie dimasukkan ke hospital sebelum melahirkan cucunya, jururawat di situ menyangka bahawa dia ialah kakak kepada anaknya.


“Jururawat yang datang untuk memberikan suntikan epidural kepada Maizie bertanya sama ada kami ialah saudara perempuan. Kami ketawa mendengarnya kerana sering mendengar pertanyaan seperti itu,” katanya.

Skinner memiliki tiga orang anak perempuan dengan anak bongsunya, Bella, kini baru berusia empat tahun selain Gracie yang berusia 10 tahun.

Dia melahirkan Maizie pada tahun 2004 ketika berusia 16 tahun. – Agensi

Rabu, 13 Oktober 2021

“Steady PM Kita…” Selamba Tegur Kanak-Kanak Di R&R, Ismail Sabri Raih Perhatian Warganet



WALAUPUN sentiasa sibuk dengan hal pentadbiran negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri masih berkesempatan meluangkan bersama rakyat.

Jadual waktunya tentu padat, namun tidak menghalang beliau bertegur sapa dengan orang ramai.

Dalam perkembangan terbaru, Ismail Sabri dilihat berbual dengan dua kanak-kanak bersama bapa di sebuah kawasan rehat dan rawat.

‘Ternampak dua anak kecil ini sedang makan nasi lemak bersama bapa mereka di R&R Lekas.

“Teruja melihat telatah mereka yang comel dan petah berkata-kata,” tulisnya.

Dalam pertemuan yang singkat, dua kanak-kanak berkenaan bertuah itu sempat merakamkan foto bersama dengan beliau untuk kenang-kenangan.

 Menjengah ke ruangan komen, warganet rata-rata memuji tindakan Perdana Menteri yang prihatin dan berjiwa rakyat.

- “PM macam inilah yang rakyat suka...mesra rakyat..ambil tahu masalah rakyat ..saya sayang PM sekarang..

- “PM yang paling sempoi.”

- “Untungnya dapat jumpa Datuk Sri Ismail Sabri.”

- “Turun Padang selalu jumpa rakyat.. Well Done Bapa Keluarga Malaysia.”

Sumber: @ismailsabri60

Kredit:Sinar Plus

Bertanding sendirian PRN Melaka: 'Pendirian peribadi Presiden atau UMNO?' soal PAS

 Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Datuk Kamarudin Sidek.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Datuk Kamarudin Sidek.

MELAKA: Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berhubung pendirian bertanding bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat tidak menguntungkan Melayu dan Islam.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek, berkata dalam situasi politik semasa yang menyaksikan kuasa politik Melayu dan Islam semakin terancam, Ahmad Zahid sepatutnya lebih memahami keadaan sebenar.

"Saya tidak tahu sama ada ia kenyataan peribadi atau pendirian parti, tetapi secara keseluruhannya ia tidak menguntungkan Melayu dan Islam.

"PAS meletakkan survival politik dan nasib umat Islam sebagai matlamat perjuangan politik tetapi kenyataan Presiden UMNO itu tidak membantu kita memperkukuh penguasaan politik kita di negeri ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Kamarudin menyerahkan kepada PAS Pusat untuk menentukan kerjasama parti itu dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Katanya, Ahmad Zahid tidak wajar menggunakan kuasa veto dalam menentukan kerjasama UMNO-PAS dalam MN, sebaliknya diserahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk membuat keputusan.

Kamarudin berkata, PAS belum memutuskan sama ada bertanding 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Melaka seperti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atau sebaliknya.

Katanya, PAS negeri masih mencongak kerusi bakal ditandingi bagi memastikan parti berkenaan mendapat sokongan besar pengundi dan akan terus bekerjasama dengan BERSATU menyusun strategi pilihan raya kali ini.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain, termasuk PAS yang menjadi sekutunya dalam MN atau BERSATU.

-BH Online