"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Jumaat, 13 Ogos 2021

Covid19: Jururawat suntik 9,000 orang dengan air garam

 

Orang ramai menunggu giliran suntikan vaksinasi mereka di pusat vaksinasi daerah di Ludwigsburg, Jerman selatan, pada 3 Ogos lalu. - AFP

MUNICH, Jerman – Seorang jururawat yang merupakan individu antivaksin mengaku  menyuntik hampir 9,000 warga emas dengan picagari berisi air garam dan bukan vaksin Covid-19, lapor akhbar The Sun semalam.

Kejadian itu berlaku di Pusat Vaksinasi di Friesland, awal Mac lalu. Ketika itu, suspek bertugas di bawah Persatuan Palang Merah.

Pihak berkuasa mula membuat panggilan kepada penduduk setempat supaya mereka mendapatkan suntikan vaksin sekali lagi jika tidak yakin dengan dos yang diterima dalam tempoh masa insiden berlaku.

Anggota majlis perbandaran tempatan, Sven Ambrosy meluahkan rasa terkejut dengan kejadian tersebut.

“Hari ini saya menjalankan satu tanggungjawab berat apabila terpaksa memaklumkan 8,600 penduduk bahawa suntikan yang mereka terima adalah air garam semata-mata dan bukan vaksin Covid-19.

“Bagi memastikan ketenangan jiwa semua orang, pihak perbandaran mengesyorkan agar mereka yang menerima suntikan vaksin pada awal Mac lalu untuk mendapatkan suntikan semula,” katanya menerusi Facebook.

Menurut pihak berkuasa kesihatan, jururawat berkenaan dipercayai berupaya menukar kandungan vaksin di dalam botol kerana dia bertanggungjawab untuk proses penyediaan vaksin dan jarum sepanjang bertugas di pusat vaksinasi itu.

Penyiasat polis, Peter Beer  memberitahu bahawa sehingga kini, pihaknya belum mendapat motif jelas atas tindakan suspek,  namun dia dilaporkan pernah menyuarakan pandangan skeptikal berkenaan vaksin di media sosial.

“Suspek memilih menggunakan haknya untuk berdiam diri maka kami tidak pasti apa dan berapa ramai mangsa yang terkesan akibat tindakannya itu.

“Namun, kami mendapat kejadian berlaku dalam tempoh tujuh minggu bermula Mac jadi ia memberi gambaran kasar sebahagian besar penduduk yang terlibat,” kata polis. – Agensi

Paralimpik Tokyo 2020: Lima atlet sandaran emas negara

 Paralimpik Tokyo 2020: Lima atlet sandaran emas negara

Latif (kiri) dan Ziyad antara lima atlet yang menjadi sandaran pingat emas negara. -Gambar fail/ Astro AWANI
LIMA atlet paralimpik menjadi sandaran untuk sasaran tiga kilauan emas Sukan Paralimpik Tokyo -- Ziyad Zulkifli dan Latif Romly mengetuai sasaran ditambah dengan kemampuan Bonnie Bunyau, S. Suresh dan Chia Lek Hou.
Bagaimanapun, penyumbang emas di Paralimpik Rio, Ridzuan Puzi tiada dalam sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Selaras dengan hasrat yang ada, emas mampu dijangkau Malaysia di Paralimpik Tokyo.
Lima atlet menjadi sandaran menerusi acara olahraga, angkat berat, badminton dan memanah.
Kelima-lima atlet itu berada dalam kelompok lima terbaik dunia mengikut kategori masing-masing, memiliki cabaran besar untuk membawa amanat negara ke negara matahari terbit.
"Barisan atlet yang akan Paralimpik kali ini antara dalam kelompok lima atlet terbaik dunia dan saya berasakan mereka mampu cemerlang dalam saingan kali ini," kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal.
Bagi Chef de Mission (CDM) Paralimpik, Datuk Seri Megat Shahriman, persediaan daripada segi kejohanan tambahan sebelum ke Tokyo tidak seperti empat tahun lalu, namun berbekalkan program latihan yang ada, ia bukan perkara mustahil.
"Kami telah pun terlepas beberapa kejohanan sebagai persiapan menghadapi saingan Paralimpik. Bagaimanapun, semua persiapan telah dijalankan seperti biasa," katanya.
-Astro Awani

Covid19: Alhamdulillah, kembali 'bernyawa' selepas 'ditidurkan'

 Zambri Mohd Isa, 42, bekas pesakit Covid-19 tahap lima ketika dirawat di Hospital Selayang dan Juriyati Mat Jalil, 56, bekas pesakit Covid-19 tahap lima ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Zambri Mohd Isa, 42, bekas pesakit Covid-19 tahap lima ketika dirawat di Hospital Selayang dan Juriyati Mat Jalil, 56, bekas pesakit Covid-19 tahap lima ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: Ibarat nyawa di hujung tanduk, siapa sangka walaupun disahkan berada di tahap lima jangkitan Covid-19, keajaiban dan 'peluang kedua' diberikan Allah SWT benar-benar digunakan sebaik mungkin.

Bagi dua bekas pesakit, mereka tidak menyangka akan kembali 'bernyawa' selepas 'ditidurkan' akibat jangkitan Covid-19 apabila paras oksigen turun dan paru-paru dipenuhi virus menyebabkan mereka dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bekas pesakit Covid-19 tahap lima, Juriyati Mat Jalil, 56, dia tidak menyangka kembali pulih, walaupun keadaan kesihatannya tidak normal seperti sebelum dijangkiti.

"Saya sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan, mengucap dua kalimah syahadah dan mengiamkan tangan sebelum 'ditidurkan'.

"Malah, saya merayu dengan doktor untuk 'surrender' (menyerah kalah) berikutan sudah tidak mampu lagi melawan kesakitan akibat Covid-19," katanya kepada Harian Metro.

Juriyati ditidurkan selama 12 hari di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas paras oksigen menurun dan paru-paru dijangkiti virus itu.

Katanya, bermula dengan bersalaman dengan kakaknya selepas solat Aidilfitri di rumah pada Mei lalu, dia tidak menyangka tindakan itu menjadi penyebab, sekali gus melalui pengalaman sukar itu.

"Kakak disahkan positif menerusi kluster tadarus Surau Kampung Ismail, Jiboi, Negeri Sembilan dan saya mendapat jangkitan daripadanya.

"Akibatnya, kakak, suaminya, saya dan suami disahkan positif Covid-19. Suami saya disahkan Covid-19 tahap empat dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM)," katanya.

Juriyati berkata, dia ditidurkan sebanyak dua kali dan sepanjang dikomakan itu, dia melalui pelbagai bayangan yang sukar

diceritakan.

Juriyati Mat Jalil dan Zambri Mohd Isa
Juriyati Mat Jalil dan Zambri Mohd Isa

Menurutnya, sepanjang ditidurkan selama 12 hari, dia menjalani rawatan dialisis kerana virus itu sudah menyerang buah pinggang.

"Malah, saya dapat rasakan keadaan sudah teruk dan tiada peluang untuk disembuhkan lagi menyebabkan terpaksa memberitahu doktor tidak mampu bertahan dan mahu menyerah kalah.

"Saya tidak mahu doktor meneruskan apa-apa rawatan lagi dan meminta mereka menumpukan kepada pesakit lebih muda, tetapi doktor berkenaan berulang kali meminta saya berjuang dan mahu saya mencuba bersamanya," katanya.

Menurutnya, dia bersedia dengan sebarang kemungkinan ketika 'ditidurkan' sekiranya ajalnya sudah tiba, selain sudah mengucap dua kalimah syahadah dan mengiamkan tangan.

Katanya, dia mula berfikir itu adalah pengakhiran hidupnya dan jenazah dibungkus seperti itu saja dan tidak sempat berjumpa suami.

"Bagaimanapun, Allah masih memberikan saya peluang kedua dan kembali sedar selepas 12 hari.

"Ketika ditidurkan, doktor sudah memaklumkan kepada ahli keluarga untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana keadaan saya sangat kritikal," katanya yang dirawat hampir sebulan di hospital.

Sementara itu, bekas pesakit tahap lima, Zambri Mohd Isa, 42, berkata, dia mendapat jangkitan secara sporadik dan dirawat di ICU Hospital Selayang selama 13 hari.

"Saya mula demam pada 1 Julai lalu dan hari ketiga masih tidak sembuh dan terus melakukan ujian saringan serta disahkan positif.

"Saya diminta kuarantin di rumah, tetapi hari kelapan keadaan saya makin teruk dan paras oksigen semakin turun bawah 80," katanya.

Dia yang juga peguam kemudian dimasukkan ke ICU Hospital Selayang berikutan hasil pemeriksaan doktor mendapati paru-parunya sudah dijangkiti virus itu.

Katanya, dia menelefon ibunya di kampung dan meluahkan sekiranya meninggal dunia, dia mahu jenazah dibawa pulang dan dikebumikan di sebelah arwah bapa.

"Saya tahu kemungkinan untuk meninggal agak tinggi selepas dirawat di ICU dan selepas dirawat tiga hari di ICU, paru-paru agak pulih serta dipindahkan ke wad biasa.

"Namun keadaan saya agak lemah, saya tidak mampu berdiri dan berjalan, hanya terlantar atas katil dan diberi tiub kencing serta dipakai lampin pakai buang.

"Bagaimanapun, selepas dirawat, saya disahkan sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital," katanya.

Beliau menasihatkan kepada orang ramai supaya menjaga diri dan kesihatan kerana pasukan barisan hadapan negara sudah penat dengan kes meningkat setiap hari.

Menurutnya, sebaik tiba di Hospital Selayang, dia dapat melihat ramai pesakit dan suasana bagaikan di medan perang.

"Covid-19 ini memang 'real', jaga diri masing-masing. Sudah ramai anak menjadi yatim piatu, anak hilang ibu dan isteri kehilangan suami kerana Covid-19," katanya.

-myMetro

Tiga anggota dipercayai maut, satu cedera tembakan di Kem TUDM Kota Samarahan

 Tiga anggota dipercayai maut, satu cedera tembakan di Kem TUDM Kota Samarahan

Dalam pada itu, TUDM dalam satu kenyataan mengesahkan insiden itu melibatkan empat warganya yang berlaku pada pukul 7.15 pagi. - Gambar Astro AWANI.
KUCHING: Sekurang-kurangnya tiga anggota Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dipercayai maut dan seorang lagi cedera parah dalam kejadian tembakan di Kem SKN 330 TUDM CRC, Kota Samarahan pagi tadi.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 7.15 pagi Jumaat di Balai Pengawal Handau Skuandron 330 TUDM, Kota Samarahan.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati kejadian melibatkan empat anggota TUDM yang bertugas di balai pengawal itu.
"Punca kejadian masih lagi dalam siasatan. Bagaimanapun mengikut laporan awal, tiga anggota maut di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah dan dirawat di Hospital Jantung Kota Samarahan," katanya kepada Astro AWANI.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail ketika dihubungi mengesahkan mengenai insiden berkenaan.
Katanya pihaknya turut menerima laporan mengenai kejadian tembakan bagaimanapun maklumat lanjut mengenai mangsa belum dapat dipastikan.
“Ya kita ada terima laporan tersebut dan sedang menyiasat punca kejadian. Mengenai maklumat mangsa masih lagi menunggu laporan penuh.
"Pihak polis akan mengeluarkan kenyataan berhubung kes ini dalam waktu terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, TUDM dalam satu kenyataan mengesahkan insiden itu melibatkan empat warganya yang berlaku pada pukul 7.15 pagi.
Jelas kenyataan itu, kejadian berlaku ketika waktu anggota bertugas kira-kira pukul 7.15 pagi dan akan menubuhkan satu lembaga penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Pihak TUDM menyerahkan kes kejadian kepada PDRM untuk menjalankan siasatan. Pihak TUDM juga menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan oleh pihak polis selesai," katanya.
-AstroAwani

Khamis, 12 Ogos 2021

Kisah Jersi No.30 Messi Di PSG Yang Paksa Ligue 1 Ubah Peraturan

 


Lionel Messi secara rasmi akan memakai jersi nombor 30 bersama Paris Saint-German (PSG). Ada fakta menarik di sebalik pemilihan nomor tersebut, termasuk ianya juga melanggar peraturan Ligue 1.

Teka-teki kelab mana yang akan disertai oleh Lionel Messi selepas meninggalkan Barcelona akhirnya terjawab.

La Pulga telah memilih Paris Saint-Germain sebagai kelab barunya untuk musim 2021-2022.

Proses perpindahan Lionel Messi ke Paris Saint-Germain telah menjadi rasmi lewat malam tadi (waktu tempatan).

Selepas selesai ujian kesihatan, Messi dibawa mengunjungi arena baharunya, Parc des Princes di mana Messi menjalani sesi fotografi pertama dengan jersi lengkap PSG.

Saat itulah juga teka-teki nombor jersi yang akan dipakai pemain terbaik dunia itu terjawab. Messi dilihat menyarung jersi No.30.

No. 30 dianggap unik

Pemilihan N0.30 dianggap unik kerana Lionel Messi tidak menggunakan No. 10 yang biasa dipakainya di Barcelona dan ketika bersama Argentina.

Menurut laporan L’Equipe, Lionel Messi khabarnya menghormati Neymar sebagai pemilik jersi No.10 saat ini di PSG, sehingga beliau memilih No.30.

Ada dua perkara mengenai No.30 yang dipilih oleh Messi. Pertama adalah kerana di Ligue 1, No. 30 selama ini hanya dikhaskan untuk pemain dari posisi penjaga gol.

Perkara itu terkandung di dalam peraturan Konfederasi Bola Sepak Perancis (FFP) selama ini. Dalam Artikel 576 yang menyentuh mengenai nombor jersi dan nama, peraturan tersebut tertulis:

“Pemain yang berada di dalam skuad utama haris diberikan nombor setiap musim. Setiap pasukan harus mendaftar 30 (No.1 sehingga No.30) orang pemain (minima) dan harus diperbaharui setiap tahun disebabkan adanya perpindahan pemain di antara kelab.

“Jika kelab memiliki lebih dari 30 pemain, jawatankuasa pertandingan akan memberikan pengecualian. Nombor rawak seperti 45, 82 atau 99 adalah dilarang. Nombor 1, 16 dan 30 pula hanya eksklusif untuk penjaga gol. Jika semuanya sudah dipakai, kelab boleh memilih No.40.”

Siapakah pemilik No.30 sebelum Messi?

Messi bukanlah pemilik asal jersi No.30 di PSG. Nombor tersebut sebenarnya adalah milik penjaga gol. Alexandre Letellier.

Alexandre Letellier merupakan penjaga gol yang menyertai PSG pada musim 2020/21, tetapi belum pernah diberikan peluang beraksi untuk sebelum ini.

PSG atau Letellier tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyerahkan No.30 kepada Messi. Ligue1 juga dikhabarkan menerima permintan PSG agar No.30 dibenarkan dipakai oleh pemain outfield (selain penjaga gol) demi Messi.

Mengapa Messi pilih No.30?

Lionel Messi sendiri memilih No.30 kerana nombor tersebut adalah nombor yang sama dipakainya ketika melakukan debut bersama Barcelona pada musim 2004/05.

“Saat terbaik [dalam karier] saya ialah ketika melakukan debut untuk Barcelona,” kata Messi sebelum ini.

“Saya tidak akan melupakan detik itu.”

Bagi Messi, debut bersama Barcelona sentiasa sesuatu yang istimewa dan akan dikenang oleh beliau sampai bila-bila.

Sumber: semuanyabola.com

Inspirasi:Jadi jutawan tani selepas hampir gila dikhianati

Jadi jutawan tani selepas hampir gila dikhianati
Ahmad Shawal Mispan ketika ditemui di ladangnya di Banting, Selangor, 11 Ogos, 2021. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Usahawan tani ini nyaris gila pada 2011 sebaik syarikat kontraktor yang diusahakan sejak berusia 18 tahun, hampir gulung tikar gara-gara dikhianati.
Ahmad Shawal Mispan yang ketika itu berusia 27 tahun dan sedang seronok mengecap nikmat bergelar jutawan muda dengan memilki pelbagai aset serta kenderaan mewah, 'terduduk' apabila kehilangan jutaan ringgit dalam sekelip mata selain dihimpit masalah hutang.
Ia menyebabkan beliau mengalami tekanan perasaan melampau sehingga hilang pedoman dan melakukan perkara pelik termasuk mengasingkan diri di bawah jambatan, menyebabkannya dipandang serong oleh masyarakat.

 Namun, mujurlah bapanya Mispan Zaidin, 73, dan ibunya Siti Khatijah Musanif, 63, bertindak pantas 'menyelamatkannya' dan mengembalikan keyakinan sehingga beliau kembali bangkit dan bertatih menyertai bidang pertanian serta penternakan.

"Ibu bapa sedar diri saya yang mengalami tekanan mental, jadi mereka berusaha untuk 'tarik' saya kembali.
"Mereka bina kandang lembu hasil daripada jualan tanah di Negeri Sembilan dan saya jadikannya sebagai satu terapi. Hari-hari hidup saya hanya dengan lembu, bercerita dengan haiwan itu sehingga saya lupa dengan dunia luar dan masalah dihadapi sebelum ini," katanya yang kini berusia 37 tahun.
Selepas lapan bulan menyendiri dalam dunia tersendiri, semangatnya akhirnya pulih dan tanpa menoleh ke belakang, Ahmad Shawal yang merupakan anak kelahiran Tanjong Sepat, Banting, Selangor membuat keputusan untuk bergerak secara serius dalam bidang penternakan dan pertanian pada 2013.
"Ketika itu saya masih mempunyai tanah yang berkeluasan lapan hektar (20 ekar) di sekitar Banting, jadi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat bantu saya bangkit kembali dengan memberi pinjaman bercagar mengikut nilai pasaran tanah ketika itu.
"Dengan modal yang diberikan, saya mula membangunkan empayar dalam bidang penternakan dan pada masa sama perniagaan dalam bidang kontraktor diteruskan sehingga mendapat kembali kepercayaan daripada pelanggan," katanya yang juga merupakan pengasas Bumijaya Rezeki Sdn Bhd.
Percaturannya itu ternyata tepat apabila beliau kini bergelar jutawan halia dan lengkuas dengan memiliki ladang pertanian berkeluasan 80 hektar di Banting yang turut ditanam dengan pelbagai jenis tanaman lain seperti, kunyit, ubi kayu dan ubi keledek selain memiliki 0.8 hektar tanah untuk ternakan lembu.
Semua hasil tanaman itu, katanya dihantar ke pasar raya besar seperti Giant, Econsave, Tesco dan Sri Ternak Mart Sdn Bhd di seluruh negara serta Pusat Pengumpulan Hasil Ladang PPK Kuala Langat dan menjadi seorang daripada pembekal halia dan lengkuas utama di negeri ini.
Untuk perancangan masa hadapan, beliau yang banyak menerima bimbingan PPK Kuala Langat bercadang untuk mengusahakan penternakan ayam daging dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Walaupun saya hanya berkelulusan darjah enam dan pernah gagal, namun itu bukan batu penghalang untuk berjaya. Yang penting jangan putus asa, kena berfikiran positif dan mempunyai semangat kental untuk hadapi cabaran," katanya.
Enggan nikmat kejayaan itu dikecapi sendiri, Ahmad Shawal yang juga mesra dengan panggilan Boboy turut berganding bahu bersama PPK Kuala Langat dengan menjadi tenaga pengajar dalam bidang keusahawanan tani.
Ia bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan golongan muda khususnya agar mampu berdaya saing terutamanya dalam kalangan B40 yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Sehingga kini, Ahmad Shawal yang merupakan anak keempat daripada sembilan adik-beradik itu mampu mengupah seramai 20 pekerja untuk menjaga ladang tanamannya dan ternakan lembunya.
-- BERNAMA

10 tips berharga untuk orang baru nak berniaga secara online.

 Oleh Syukor Majid(Pemilik rangkaian dan pengasas Syukur Burger)


Hari ni abang kongsi 10 tips berharga untuk orang baru nak berniaga secara online.

1. PKP susah nak bergerak? Kedai tutup? Zaman dah serba canggih, tak kiralah produk apa pun, cubalah onlinekan bisnes kita. Tok bomoh siam, tukang tilik nombor ekor, pun pasang iklan online, kenapa tidak kita?

2. Malu? Segan? Zaman sekarang berniaga online, orang dah tak tengok muka kita. Tu website i-sinar siapa yang berinteraksi dengan kita? Kartun yang nama Elya tu kan? Government pun guna kartun. Jadi jangan risau, masalah segan dah setel.

3. Marketing pun ada seninya. Bukan spam wall orang 24 jam (tu pun kira seni jugak noh 😆), untuk anda yang masih belum ada idea macamana nak mula, ada banyak platform, ada banyak jalan boleh kita ambil dalam online marketing, ada yang free, ada yang berbayar, terpulang kepada bajet masing-masing.

4. Antara perkara asas yang perlu dititikberatkan, kemahiran menyediakan content yang menarik, termasuk headline, copywriting, gambar dan video yang memukau. Ini sangat penting untuk menarik minat bakal pelanggan. Dulu masa free, selalu jugak abang tolong buatkan poster dan copywriting untuk kawan-kawan baru nak start berniaga. Itu dulu, sekarang tak sempat, makan pun tiga hari sekali. 😆

5. Kalau hangpa tanya abang, abang prefer iklan berbayar, sebab kami nak capai reach lebih jauh, lebih luas. Abang sendiri pam average RM15,000-20,000 sehari untuk iklan, bagi memasarkan produk-produk abang. Sebulan lebih kurang RM500,000 bajet pengiklanan. Sales team abang hampir 200 orang. Secara average kami allocate RM100 seorang untuk dapatkan leads. Bila leads banyak, mudah staff bahagian closing buat sales.

6. Kemahiran teknikal dalam setting iklan sangat penting bagi mendapatkan kos iklan yang efektif, sekaligus mengelakkan kerugian. 

7. Lagi advance, pelbagaikan funnel dalam marketing. Dengan kaedah yang tepat, setiap funnel saling support menyupport, kita berpotensi terima lebih banyak sales yang masuk, dan lebih manis, dengan kos per unit yang lebih rendah.

8. Tolong jangan tanya soalan, kalau bayar RM500 sehari, berapa sales saya dapat. Takdak siapa boleh jamin bab tu. Dia bukan semudah pam iklan RM500 dapat sales RM5,000, pam RM5,000 dapat sales RM50,000. Kalau macam tu, dah lama bisnesman kat Malaysia ni pakat kaya raya. Sales team abang sendiri pun ada hari untung, ada hari rentung. 😆

9. Orang tamak selalu rugi. Jadi jangan tamak, mahirkan dulu bahagian teknikal, dah puashati dengan kos iklan, sudah yakin boleh mendayung sampan, pelan-pelan gandakan bajet iklan.

10. Jangan bodoh sombong. Untuk mahir bahagian teknikal, kita kena belajar. Dah pandai pun belajar lagi. Dunia online marketing ini sangat pantas berubah. Bulan lepas teknik A, bulan ni teknik B, bulan depan teknik C. Even budak-budak abang yang dah mahir ni pun abang kerap hantar belajar lagi. Jangan buang masa langgar dinding.

Kat mana nak belajar? Ramai cikgu-cikgu hebat di Malaysia ni yang boleh ajar anda step by step, dari basic sampai advance, dari buta IT sampai pandai. Janji hati mau belajar, mau berjaya.

Pesanan abang, dah kaya nanti, jangan lupa bayar zakat, jangan sombong, jangan lupa diri, dan yang paling penting jangan lupa abang. 😘

Sumber: Fb Syukor Majid

Selepas timang dua cahayamata, Siti Nurhaliza mahu kembali aktif

BERAZAM hasilkan lagu istimewa sempena ulang tahun ke-25 dalam industri.
BERAZAM hasilkan lagu istimewa sempena ulang tahun ke-25 dalam industri.

Tiada yang lebih membahagiakan seorang wanita, selain bergelar ibu serta pengalaman merasai sendiri bagaimana membesarkan anak mereka. Namun, seiring kebahagiaan itu, tanggungjawab yang digalas juga bukan calang-calang.

Buat Datuk Seri Siti Nurhaliza atau Siti, dia mengakui kini fokusnya lebih berat apabila dikurniakan dua cahaya mata iaitu Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa. Dalam pada bersyukur, dia berharap tidak terlepas pandang setiap keperluan mereka.

Apapun, dia mensyukuri setiap nikmat yang dikurniakan selepas kehadiran dua permata berharga itu. Setiap hari, baginya adalah proses pembelajaran untuk dia menjadi ibu yang terbaik buat mereka.

Semestinya paling membahagiakan apabila anak sulungnya, Siti Aafiyah jelas gembira dengan kehadiran adiknya itu. Siti mengakui dia juga sentiasa memperbaiki dirinya ketika menjaga mereka.

"Menjadi ibu adalah nikmat sangat istimewa, walaupun impian memiliki cahaya mata hanya diberikan selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga. Saya bersyukur diberikan rezeki oleh Allah untuk bergelar ibu.

"Macam mana mahu bersyukur, tentulah dengan cara menjaga apa yang sudah diberikan itu. Namun, ia tidak menghalang untuk saya menjaga nikmat berharga ini. Jadi, saya masih dalam proses belajar apabila bercakap soal penjagaan anak-anak," katanya.

Penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu juga sangat bersyukur kerana Aafiyah tidak banyak ragamnya atau berasa cemburu dengan kehadiran Afwa. Hakikatnya, dia tersentuh melihat kasih sayang dipamerkan anak perempuannya itu.

"Sebelum ini, saya manja dan utamakan Aafiyah, tetapi sekarang, lebih banyak masa difokuskan kepada Afwa. Aafiyah baik sahaja dan sangat menyayangi adiknya.

SITI bahagia melihat ikatan Aafiyah dan Afwa.
SITI bahagia melihat ikatan Aafiyah dan Afwa.

"Apabila bangun pagi mesti mencari dan mencium adiknya terlebih dahulu. Alhamdulillah, dua permata hati ini melengkapkan kehidupan saya," katanya.

Dalam pada itu, Siti juga tidak ketinggalan untuk terus menitikberatkan kesihatannya sendiri, meskipun sudah beranak dua. Kini, dia kembali menjaga penampilan fizikalnya sebagai persediaan untuk kembali merancakkan karier seni nanti.

Paling membanggakan, berat badannya turun sebanyak 20 kilogram dan itu sudah cukup menaikkan semangat Siti. Meskipun prosesnya pasti agak mencabar, dia kini mensasarkan untuk mengurangkan sebanyak 10 kilogram lagi.

"Sekarang ini sasaran saya memang hendak kembali kepada bentuk badan ideal selepas melahirkan Afwa pada April lalu. Saya memang jenis susah turunkan berat badan, tapi alhamdulillah buat perlahan-lahan.

"Sebenarnya saya sasarkan untuk sekurang-kurang kembali kepada berat 60 kilogram. Saya berpijak pada bumi nyata, untuk buat mana yang termampu kerana tidak mungkin boleh capai kembali fizikal sewaktu anak dara dulu.

"Persediaan ini sangat penting untuk saya kerana berazam kembali aktif dalam kerjaya seni kelak. Selain untuk kebaikan stamina, semestinya senaman yang dilakukan untuk tujuan kesihatan saya juga," katanya.

Dalam pada itu, Siti tetap menyimpan hasrat untuk merealisasikan konsertnya yang tergendala selepas pandemik Covid-19 melanda. Buat masa ini, dia akur dengan keadaan semasa dan perlu bersabar sahaja.

"Sebenarnya perancangan asal adalah melangsungkan konsert itu tahun lalu. Tapi nampaknya pandemik semakin berlarutan dan tunggu sajalah bila keadaan sudah mengizinkan nanti.

"Yang pasti, perancangan masih akan tetap dilaksanakan kelak. Bagilah peminat buat simpanan sekarang supaya kelak, mereka boleh membeli tiket. Apapun, saya akan umumkan juga pada waktu yang sesuai nanti." katanya.

Sudah 25 tahun melayari dunia seni, Siti juga tidak ketinggalan berhasrat menghadiahkan lagu istimewa untuk meraikan pencapaiannya itu. Menurutnya, dia teruja kerana projek itu agak istimewa.

"Projek dirancang ini bakal membabitkan kerjasama saya bersama penyanyi dari Indonesia. Bagaimanapun, setakat ini kami menetapkan projek berkenaan akan direalisasikan paling awal tahun depan," katanya.

Terdahulu, Siti ditemui baru-baru ini menerusi sebuah sidang akhbar BeauRaya secara virtual. Selain Siti, sesi eksklusif itu turut disertai Nabila Razali, Izara Aishah dan Hawa Rizwana serta peminat setianya dari Malaysia dan Singapura.

-myMetro

Covid19:Apa itu CT value dalam ujian RT PCR?


Cycle Threshold (CT) value ataupun “nilai kitaran ambang” adalah bilangan kitaran yg diperlukan untuk penumpuan fluorescent memberikan isyarat untuk melintasi paras Nilai ambang atau “threshold Level” dan dikesan sebagai positif.  Biasanya dalam ujian RT PCR mempunyai kurang lebih 40 kitaran untuk mendapatkan bacaan positif.

Jika pengesanan CT value adalah rendah, maka kita dapat rumusan;  

1. Kesan virus (virus load) dalam badan adalah tinggi

2. Jangkitan Covid-19 adalah dalam peringkat awal 

3. Pengesanan kes dan ujian di RT PCR di buat di peringkat awal jangkitan 

4. Kebolehjangkitan adalah tinggi ketika ini jika terdedah kepada individu lain.

5 Salah satu kemungkinan kesan mutasi protein ‘ spike’ atas permukaan virus yang boleh meningkatkan kebolehjangkitan dengan virus load yang tinggi. 


Jika didapati CT value adalah tinggi ini bermakna;

1. Jangkitan berada di peringkat akhir 

2. Kebolehjangkitan adalah di paras rendah 

3. Pengesanan kes dan ujian RT PCR dijalankan di peringkat lewat 

4. Ada kemungkinan jangkitan kes dalam peringat pemulihan

5. Pengambilan sampel yang kurang sesuai atau tidak dihantar dalam suhu sesuai ke Makmal. 

6. Pengesanan saki baki virus sahaja.

7. Juga didapati dalam satu kajian di IMR, beberapa sampel klinikal yang mempunyai PCR Ct value 32 dan ke atas telah dimasukkan dalam sel sesuai untuk membiak virus. Namun tiada sample yang berjaya menghasilan virus hidup dan ini menunjukkan risiko rendah kebolehjangkitan.

Sumber:Fb Dr Noor Hisham Abdullah

Rabu, 11 Ogos 2021

Lepas warga asing 80 orang di KLIA, Pegawai imigresen wanita didenda RM3,000

 Noor Azma didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tidak melaporkan tawaran rasuah RM25,000 bagi melepaskan kemasukan 80 warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 2017. FOTO BERNAMA

Noor Azma didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tidak melaporkan tawaran rasuah RM25,000 bagi melepaskan kemasukan 80 warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 2017. FOTO BERNAMA

Shah Alam: Seorang pegawai Imigresen didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, tadi, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tidak melaporkan tawaran rasuah RM25,000 bagi melepaskan kemasukan 80 warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 2017.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Noor Azma Azmin, 39, dan memerintahkan wanita itu dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Rozilah juga menasihati tertuduh tidak mengulangi jenayah rasuah kerana ia memberi impak besar kepada masyarakat dan negara serta berharap hukuman itu memberi keinsafan kepada tertuduh.

"Saya mahu kamu faham perkara ini serius, kamu boleh cegah apa yang berlaku. Bukannya (melepaskan) seorang tetapi 80 orang warga asing," kata Rozilah kepada wanita itu yang mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan, Noor Azma yang bertugas sebagai pegawai Imigresen di Bahagian Kawalan Operasi, Balai Ketibaan KLIA ditawarkan wang suapan berjumlah RM25,000 secara tunai daripada seorang wanita sebagai upah membantu melepaskan warganegara China dan Pakistan dari sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Ia melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan tawaran suapan kepada pihak SPRM atau polis.

Noor Azma melakukan kesalahan itu di bangunan terminal KLIA, Sepang pada 2017 mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu peguam Norliana Ali Othman yang mewakili tertuduh merayu hukuman minimum atas alasan suami tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap dan menanggung tiga anak berumur empat bulan hingga lima tahun.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd 'Afif Mohd Ali memohon hukuman setimpal kerana kegiatan rasuah adalah satu kesalahan termasuk apabila gagal melaporkannya dan sebarang ketirisan memberi kesan kepada negara.

Berdasarkan fakta kes, Noor Azma yang berkhidmat di Jabatan Imigresen sejak 28 Oktober 2008 ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan masuk dan keluar penumpang warganegara, penduduk tetap dan warganegara asing di kaunter pemeriksaan Imigresen di KLIA.

Tertuduh ditawarkan rasuah RM25,000 untuk melepaskan 80 orang warganegara China dan Pakistan yang menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan gagal melaporkan kegiatan rasuah itu.

-myMetro