MUNICH, Jerman: Lamine Yamal, 16, menjadi penjaring termuda kejohanan ketika Sepanyol bangkit menewaskan Perancis 2-1 di Munich sebentar tadi dan mara ke final Euro 2024.
Ketinggalan selepas Randal Kolo Muani menanduk masuk hantaran lintang Kylian Mbappe pada minit kesembilan, Sepanyol menukar perlawanan dalam tempoh empat minit apabila meledak dua gol berdepan pasukan yang hanya melepaskan lima gol setakat ini dalam kejohanan.
Yamal, yang akan berusia 17 tahun sebelum aksi final Ahad ini berdepan Belanda atau England di Berlin, menyamakan kedudukan dengan sepakan padu dari luar kotak penalti mengatasi Mike Maignan di gawang.
"Saya mendapat bola, saya tidak memikirkannya terlalu lama dan hanya membuat sepakan.
"Saya hanya bergembira dalam perlawanan ini dan bangga dapat berada di final," kata Yamal.
Sepanyol kemudiannya mendahului pada minit ke-25 apabila Dani Olmo yang mendapat bola meledak ke gawang selepas terkena Jules Kounde.
Pakar dalam mengawal permainan, Sepanyol memperlahankan rentak sehingga mencipta kemenangan.
Juara tiga kali, Sepanyol menjadi pasukan pertama menang enam aksi pertama pada Euro dan hanya kurang satu aksi untuk memecahkan rekod empat mahkota Eropah.
Gol dijaringkan Yamal, yang juga sudah memiliki tiga bantuan gol di Euro 2024, menjadikan dia penjaring termuda dalam sejarah kejohanan, mengatasi rekod sebelum ini dengan jarak setahun setengah.
Sebelum ini, pemain Switzerland, Johan Vonlanthen, berusia 18, 141 hari ketika bergelar pemain termuda meledak jaringan di Euro 2004. - AFP