Dengan berakhirnya peperiksaan Thanawi, maka berakhirlah alam persekolahan Zul di SMAASZA. Bagaimana keputusannya? Alhamdulillah, beliau dan beberapa orang lagi sahabatnya memperoleh Mumtaz seperti yang dijangka oleh guru-guru. Berkat usaha, doa ibu bapa jua semangat para guru yang tidak putus asa dalam memberi ilmu.
“Zul, Shohor, kite nok masuk mane lepah ning?”, tanya Zaini pada satu petang ketika mereka sedang melepak di tepi padang bola SMAASZA. Dikatakan bahawa Pemangku Raja Terengganu, Tengku Mizan Zainal Abidin ibni Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj bermain bola bersama pasukannya di padang bola SMAASZA.
Bayu petang di Batu Burok pada hari itu sangat mendamaikan. Zul mencapai sebiji batu kerikil dan membalingnya hingga hilang dari pandangan.
“Enta napok dop batu tu? Dop napok kang? Macam tu lah mase depang kite. Ana dok aa’uu dua puloh taung lagi enta di mane, ana di mane…”, katanya sambil menjeling kepada Zaini dan Shohor Bani.
“Tapi kite kene jadi macam batu tu. Bile ana kelong[1], sapok jauh[2] die gi. Macam tu hidup kite. Wojik usehe ssungguh. Bakpe Allah dop izing kite napok mase depang? Sebab Die nok kite usehe. Kene gi habih jauh kite buleh gi. Usehe habih gheng[3]. Kite jangang jadi nakuk pahik.[4] Kite yakin, Allah doh tentukang hok terbaik untuk kite.”. Kedua-dua sahabatnya mengangguk-angguk tanda bersetuju.
Beriman dengan qada’ dan qadar merupakan usul bagi kesempurnaan iman. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Umar bin Khattab RA. Jibril alaihissalam bertanya kepada Baginda tentang iman, lalu Baginda SAW bersabda:
أَنْ تُؤْمِنَ بِاَللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ
Maksudnya: “Beriman kepada Allah SWT, para MalaikatNya, Kitab-kitabNya, para RasulNya dan Hari Akhirat, serta beriman kepada takdir yang baik dan buruk“[5]
Allah SWT telah menjelaskan di dalam al-Quran, setiap perkara yang berlaku di dalam kehidupan merupakan ketentuan Allah SWT, ini seperti firman Allah SWT:
إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)[6]
Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di menyebutkan, ayat ini merangkumi ke semua makhluk termasuk yang berada di atas muka bumi atau di dalamnya. Sesungguhnya Allah SWT maha pencipta dan tiada yang selain daripadaya. Begitu juga setiap perkara yang berlaku dibawah pengetahuan dan pantauannya.[7]
********************
“Mesti Zul masuk Universiti al-Azhar kan, atuk? Macam atuk dululah!”, Sarah mencuit Tok Aki.
“Haha…saloh! Mase mule-mule lepah Thanawi tu, adelah Zul dengan Zaini, Shohor Bani ikut kursus di Pusat Bahase Arab Nilampuri, Universiti Malaya. Untuk persediaang ke al-Azhar. Cume nok ditakdirkang mase tu…
********************
Di meja hadapan, kelihatan para pensyarah Universiti Islam Madinah bersedia untuk menemuduga para pelajar yang hadir daripada segenap pelosok negeri Terengganu untuk pengambilan pelajar baharu Universiti Islam Madinah bagi tahun 1989. Zul yang turut hadir bersama-sama Zaini dan Wan Shohor terintai-intai melihat barisan penemuduga yang kesemuanya berjubah putih dengan syimagh merah merah putih. Sebahagiannya memakai bisyt / misylah[8] berwarna coklat atau hitam. Dari hujung, ada Syeikh Dr. ‘Abdullah bin Muhammad bin Sulaiman al-Muhaysini, Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti, Syeikh Prof. Dr. Fayhan bin Shali al-Mutayri, Syeikh Dr. Mahmud Qadah dan beberapa orang lagi yang tidak dikenali.
Universiti Islam Madinah ialah sebuah institusi pengajian tinggi awam di Arab Saudi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi Arab Saudi yang ditubuhkan pada 6 September 1961 bersamaan 29 Rabiul Awal 1381 Hijriyah atas Titah Diraja Yang Amat Mulia Raja Saud bin Abdulaziz Al Saud. Dalam bidang Pengajian Islam, terdapat lima buah fakulti yang ditawarkan iaitu Fakulti Syariah, Fakulti al-Qur’an, Fakulti Hadis, Fakulti Da’wah dan Usuluddin dan Fakulti Bahasa Arab.
Bagi tujuan kawal selia kualiti akademik terutamanya Pengajian Islam di sana, Majlis Penasihat Tertinggi Universiti Islam Madinah ditubuhkan dengan beberapa orang anggota dalam kalangan ulama’ yang terkenal antaranya Syeikh Muhammad bin Ibrahim Aal al-Syeikh, Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, Syeikh Muhammad Bahjat al-Baitar, Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi, Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani, Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad, Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti, Syeikh Muhammad Tahir bin Asyur, Syeikh Abul A’la al-Maududi, Syeikh Ali al-Tantawi, Syeikh Abdul Razzaq ‘Afifi dan lain-lain.
Bersama-sama Zul pada ketika itu sebuah kitab yang menghuraikan tentang kelebihan bumi Madinah. Sengaja beliau memilih buku tersebut untuk dibaca bagi mengelakkan debaran, dan juga persediaan kemungkinan ditanya berkenaan hadith-hadith berkaitan kelebihan Madinah.
Rasulullah SAW pernah berdoa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ بِالْمَدِينَةِ ضِعْفَيْ مَا جَعَلْتَ بِمَكَّةَ مِنَ البَرَكَةِ
Maksudnya: “Ya Allah! Limpahkanlah keberkatan di Madinah ini dua kali keberkatan yang berada di Makkah.”[9]
Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: Yakni keberkatan duniawi berpandukan sabda Baginda dalam sebuah hadis lain, ‘Ya Allah! Berkatilah gantang dan cupak kami.’[10]
Iman itu berkembang daripada Madinah dan hati-hati yang beriman, akan sentiasa meronta-ronta untuk kembali ke Madinah. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الإِيمَانَ لَيَأْرِزُ إِلَى المَدِينَةِ كَمَا تَأْرِزُ الحَيَّةُ إِلَى جُحْرِهَ
Maksudnya: “Sesungguhnya (di antara keimanan itu) adalah keimanan bahawa manusia akan berkumpul di Madinah seperti mana ular akan kembali kepada sarangnya.”[11]
Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Yakni seperti ular yang pergi daripada sarangnya dalam mencari keperluan hidupnya. Apabila ia menjumpainya, ia kembali kepada sarangnya. Demikian juga iman, ia tersebar dan berkembang di Madinah dan setiap orang yang beriman ada sedetik perasaan yang membawanya ke Madinah disebabkan perasaan cintanya kepada Nabi SAW. Maka ia meliputi keseluruhan zaman kerana pada zaman Nabi SAW adalah untuk kita belajar daripada baginda dan pada zaman sahabat dan tabiin dan tabi’ tabien adalah untuk mengikuti petunjuk mereka dan selepas itu untuk menziarahi kubur Nabi SAW, solat dalam Masjid Nabawi dan bertabarruk degan melihat athar Baginda dan athar para sahabat Baginda.”[12]
Zul meneruskan pembacaannya berkenaan ancaman Dajjal yang tidak dapat menembusi Madinah. Daripada Abu Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
عَنْ أَبِي بَكْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: لاَ يَدْخُلُ المَدِينَةَ رُعْبُ المَسِيحِ الدَّجَّالِ، لَهَا يَوْمَئِذٍ سَبْعَةُ أَبْوَابٍ، عَلَى كُلِّ بَابٍ مَلَكَانِ
Maksudnya: “Ancaman fitnah Dajjal tidak mampu menembusi Madinah. Pada saat itu, Madinah memiliki tujuh pintu masuk. Setiap pintu masuk dijaga dua malaikat.”[13]
Imam Ibn Battal menghuraikan hadis ini dengan katanya, “Sekiranya seseorang bertanya, ‘Apakah maksud sabda Baginda SAW yang lain bahawa Madinah akan bergoncang tiga kali (akibat datangnya Dajjal) dengan hadis Abu Bakrah bahawa Madinah tidak akan dimasuki Dajjal?’ Maka jawapannya, sesungguhnya bergoncangnya Madinah bukan kerana kemelut yang dibawa oleh Dajjal, atau ketakutan yang dibawanya, tetapi bergoncangnya Madinah kerana perginya golongan munafik kepada Dajjal lalu Ahlu Madinah mengeluarkan mereka daripada Madinah seperti mana hadis Rasulullah SAW: Sesungguhnya Madinah itu dibersihkan daripada kotorannya. Inilah dalil bahawa orang beriman itu tidak dipengaruhi dengan kemelut ketakutan terhadap Dajjal.”[14]
Bacaannya diakhir dengan doa yang dilafazkan oleh Rasulullah kepada Madinah dan penduduknya:
اللَّهُمَّ حَبِّبْ إِلَيْنَا المَدِينَةَ كَحُبِّنَا مَكَّةَ أَوْ أَشَدَّ، اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي صَاعِنَا وَفِي مُدِّنَا، وَصَحِّحْهَا لَنَا، وَانْقُلْ حُمَّاهَا إِلَى الجُحْفَةِ
Maksudnya: “Ya Allah! Tumbuhkanlah kecintaan kami terhadap Madinah seperti kami mencintai Makkah atau lebih daripada itu. Ya Allah! Berikanlah keberkatan pada sa’ dan mud[15] kami. Jadikanlah Madinah sesuai untuk kami dan pindahkanlah wabak deman di Madinah ini ke Juhfah.”[16]
******************
“Ana kenal Syeikh Mahmud je. Sebab ade saing ana kabor, die orang Kedah.”, Shohor Bani menepuk bahu Zaini dan berbisik dengannya. Zaini cuma mengangguk sambil menyelak halaman-halaman kitab untuk mengulangkaji topik-topik yang dijangka akan ditanya oleh penemuduga. Zul pula sejak awal asyik memerhati seorang demi seorang para pensyarah tersebut. “Oh, bute rupenye Syeikh Prof. Dr. Fayhan. Hebak…bute-bute pung buleh jadi Prof.”, bisik Zul sendirian apabila melihat ada seorang lelaki – mungkin pembantunya – memimpin Syeikh yang memakai kaca mata hitam untuk duduk di kerusi yang disediakan.
Selepas taklimat disampaikan, proses temuduga pun bermula. Seorang demi seorang dipanggil nama untuk ke hadapan untuk ditemuduga, sehinggalah sampai giliran Zul.
“Zulkifli bin Mohamad!”, panggil urusetia. Dengan penuh debaran, beliau tampil ke depan.
“Apa khabar? Jangan takut-takut. Moga Allah SWT berikan kemudahan kepada anda untuk menjawab soalan kami. Soalan pertama, sebutkan keturunan Rasulullah SAW sehingga ‘Adnan.”, kata Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti.
Zul pun menyebutnya dengan lancar. “Muhammad SAW bin Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim bin ‘Abdi Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’ay bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin al-Nadr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan!”
“Alhamdulillah, amat lancar. Soalan kedua, Syeikh Dr. Qadah?”, Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti bertanya kepada Syeikh yang berkaca mata di sebelahnya. Ayah kepada Syeikh Dr. Mahmud berasal daripada Kampung Kubang Saim, Yan, Kedah.
“Apa habaq, Zulkifli?” Ok. Sila sambung bacaan saya.
مَرَجَ ٱلۡبَحۡرَيۡنِ يَلۡتَقِيَان بَيۡنَهُمَا بَرۡزَخٞ لَّا يَبۡغِيَان فَبِأَيِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Surah al-Rahman ayat 19 hingga 21 itu disambung oleh Zul dengan bacaan yang baik fasahah dan tajwidnya. Tidak ada satu pun soalan yang tidak dapat dijawab dengan baik. Para pensyarah yang menemuduga Zul saling berpandangan dan mengangguk-angguk sesama mereka.
“Soalan seterusnya, siapakah Imam Ahli Sunnah wal Jama’ah?”, tanya Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti sambil membetulkan syimaghnya. “Imam bagi Ahli Sunnah wal Jama’ah adalah Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi!”, jawab Zul dengan pantas. Para penemuduga kelihatan mencatat sesuatu pada nota dan menganggukkan kepala.
Syeikh Dr. Mahmud Qadah meletakkan pen di atas kertas dan bersuara. “Soalan terakhir daripada kami, berapa kali nama Zulkifli disebutkan dalam al-Qur’an dan syarahkan kepada kami berkenaan Nabi Zulkifli.”
“Buleh tahang payoh soalang hok ngelah ning. Tapi insya-Allah…”, getus Zulkifli.
Firman Allah SWT:
وَإِسْمَاعِيلَ وَإِدْرِيسَ وَذَا الْكِفْلِ ۖ كُلٌّ مِّنَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya: Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Dzu al-Kifl; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar.[17]
Ibnu Kathir rahimahullah berkata, adapun Zulkifli, yang zahir daripada nas bahawa beliau sememangnya seorang Nabi. Ada sebahagian ulama lain seperti Ibn Juraij yang mendakwa bahawa beliau bukan nabi, sebaliknya orang yang soleh dan hakim yang bijaksana lagi adil. Abu Hayyan al-Andalusi menyimpulkan bahawa majoriti ulama mengatakan, berpegang bahawa Baginda seorang Nabi. Nama Zulkifli disebutkan sebanyak dua kali dalam al-Qur’an iaitu Surah al-Anbiya’ ayat 85 dan Surah Sad ayat 48.”[18] Ringkas huraian Zulkifli namun padat dan tepat.
“Alhamdulillah, tahniah. Keputusan Thanawi kamu juga baik, Mumtaz ya? Insya-Allah, keputusan temuduga akan diumumkan nanti. Kami doakan moga kamu dapat menuntut ilmu di bumi barakah, bumi yang didoakan Rasulullah SAW, jua bumi di mana jasad Rasulullah SAW disemadikan.”, kata Syeikh Dr. Mahmud Qadah dengan tersenyum.
____________________
[1] Baling
[2] Teramat jauh
[3] Sedaya upaya
[4] Penakut
[5] Hadis Riwayat Muslim, no. 1
[6] Surah al-Qamar: 49
[7] Taisir Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al- Mannan, 1/827
[8] Jubah luar
[9] Riwayat al-Bukhari, no. 1885)
[10] Rujuk Fath al-Bari 4/98
[11] Riwayat al-Bukhari, no. 1876
[12] Rujuk Fath al-Bari, 94/4
[13] Riwayat al-Bukhari, no. 1879
[14] Syarh Sahih al-Bukhari, 10/64
[15] Kiraan timbangan
[16] Riwayat al-Bukhari, no. 1889
[17] Surah al-Anbiya’: 85
[18] Al-Bahr al-Muhith,7/460
Sumber Asal: zulkiflialbakri.com
Artikel Barkaitan:
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Prolog
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 1- Budak Kampung
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 2 - Bukan Lagi Yang Dulu
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 3 - Ramadhan di Kubang Kekura
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 4 - 10 Malam Akhir Ramadhan
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 5- Indahnya Raya
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 6- Atlit Takraw SMASZA Ladang
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri :Bab 7 - Sambutan Hari Kebesaran Islam
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 8- 11A di SMASZA Ladang
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 9- Bekwoh di Tranung
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 10- Usrah, Tarbiah dan Dakwah
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 12: Al-Arqam dan Nadamurni
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 13: Belajar dan Mengajar
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 14- Jemaah Tabligh
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 15 - “Demonstrasi Aman” di SMAASZA