"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Ahad, 14 April 2024

Legasi Tok Daud Dan Tok Minah:‘Rupanya bintang sensasi Arif Aiman waris kami’

 Keluarga Tok Daud dan Tok Minah di Bachok mengadakan perjumpaan tujuh generasi demi mengeratkan silaturahim.

Lebih 500 ahli keluarga Tok Daud dan Tok Minah berkumpul selepas berbulan program itu dirancang.

BACHOK: Seorang pesara tidak menyangka majlis perjumpaan tujuh generasi mengumpulkan lebih 500 legasi Tok Daud dan Tok Minah baru-baru ini mendedahkan bintang sensasi Harimau Malaya Arif Aiman Hanapi berasal dari susur galur keluarganya.

Arif, 22, adalah penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pemain Paling Bernilai (MVP) tiga kali berturut-turut Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK).

Pemain bola sepak kebangsaan Arif Aiman Hanapi menyumbangkan cenderamata untuk keluarga besar itu.

“Rupanya Arif Aiman cucu-cicit keturunan Tok Daud dan Tok Minah,” kata Rosli Che Harun.

“Inilah salah satu sebab utama kita cari dan kenal susur galur keluarga. Untuk kenal siapa saudara kita.”

Rosli, 61, berkata walaupun Arif tidak hadir dalam majlis tersebut namun ia membolehkan waris mengetahui yang pemain bola sepak itu adalah “ahli keluarga besar” mereka.

“Walaupun tidak hadir tapi beliau (Arif) hadiahkan cenderamata untuk dibawa pulang iaitu sejadah,” katanya kepada FMT.

Perjumpaan keluarga dirancang sejak Oktober tahun lalu itu dihadiri sekurang-kurangnya 507 waris melibatkan 109 keluarga.

Sukaneka antara program diadakan bagi memeriahkan perjumpaan keluarga Tok Daud dan Tok Minah.
Rapat silaturahim

Mohd Yusof Mat.

Pengerusi Perjumpaan Legasi Tok Daud dan Tok Minah, Mohd Yusof Mat, 66, berkata penganjuran julung kali keluarga besar itu tidak mudah serta menuntut masa dan banyak tenaga.

Katanya, waris daripada keluarga itu masing-masing menetap di seluruh negara antaranya Johor Bahru, Arau dan Alor Setar.

“Tapi kita bangga sebab lebih 500 sanggup hadir walaupun jauh beratus batu. Sepupu saya lebih kurang 80 orang…anak sepupu beratus, hari ini semua boleh kenal. Silaturahim itu boleh kita rapatkan,” katanya.

Bekas kontraktor itu berkata, ahli jawatankuasa (AJK) penggerak menggunakan WhatsApp untuk berkomunikasi dan merangka perjumpaan sehingga ia berlangsung jayanya.

Mohd Hanapi Che Gas.

Sementara itu, bapa Arif yang juga penaung perjumpaan tujuh generasi tersebut, Mohd Hanapi Che Gas, 63, berkata terpanggil untuk menaja sejumlah dana bagi menjayakannya demi merapatkan hubungan sanak-saudara.

Katanya, jika perjumpaan seperti itu boleh diadakan selalu ia akan merapatkan hubungan kekeluargaan terutama generasi muda.

Bagi Mamie Suhana Mat Noor, 41, dia sendiri adalah generasi keempat dan berazam mahu mengenali lebih rapat keluarga besarnya.

“Tok Daud dan Tok Minah sudah tak ada (meninggal dunia) tapi anak cucunya masih ada. Kita berkumpul, bersua dan beramah mesra sambil berkongsi cerita,” kata guru yang turut menggerakkan perjumpaan itu.-FMT

Tembakan di KLIA:Polis minta saudara Hafizul... serah diri dengan aman'

 

Mohd Shuhaily dalam sidang akhbar di lokasi kejadian pada Ahad.
Mohd Shuhaily dalam sidang akhbar di lokasi kejadian pada Ahad.

SEPANG - Semua kontinjen negeri telah digerakkan untuk mengesan suspek kes tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Ahad.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi amaran kepada suspek, Hafizul Harawi, 38, supaya bekerjasama dan menyerahkan diri di mana-mana balai polis.

“Semua Ketua Jabatan Siasatan Jenayah kontinjen negeri terdekat dan bersempadan dengan negara jiran telah digerakkan bagi mengesan suspek.

“Jadi kepada saudara Hafizul saya sarankan datang ke mana-mana balai menyerah diri dengan aman, jangan kita ikut amarah kita, dia akan memburukkan lagi keadaan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian pada Ahad.

Mohd Shuhaily berkata, kejadian yang berlaku pada pagi itu sudah pun terjadi dan dinasihat agar suspek terbabit tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Jelasnya, buat masa ini motif dikenal pasti berkait perihal peribadi antara suspek dan isterinya.

Tegasnya, kes ini mendapat perhatian Bukit Aman kerana ia berlaku di kawasan penting keselamatan pintu masuk negara.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan seorang pengawal peribadi parah terkena satu das tembakan, manakala isteri suspek yang menjadi sasaran utama terselamat dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi.

"Selepas kita tangkap suspek baru kita akan dapat motif sebenar.

"Dalam konteks ini polis mengenal pasti suspek sebagai bersenjata dan juga berbahaya dan orang awam yang melihat suspek ini agar dapat berkongsi maklumat dengan pihak polis dan jangan bertindak sendiri," ujarnya.

-Sinar Harian 

Artikel Berkaitan: Kes tembak KLIA: Pengawal peribadi ditembak terpaksa ditidurkan

Sabtu, 13 April 2024

Peringatan buat Kedah: Kes FIFA, FIB berbeza

 Sheikh Mohd Nasir (kiri) ingatkan Kedah supaya selesaikan pembayaran gaji penuh ataupun persetujuan penyelesaian dengan pemain sebelum 20 April ini.

Sheikh Mohd Nasir (kiri) ingatkan Kedah supaya selesaikan pembayaran gaji penuh ataupun persetujuan penyelesaian dengan pemain sebelum 20 April ini.

KUALA LUMPUR: First Instance Body (FIB) mengesahkan Kedah Darul Aman (KDA) FC belum lagi 'selamat' meskipun tidak lagi berdepan sekatan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membabitkan pendaftaran pemain baharu bagi musim 2024/25.

Perkembangan itu dinyatakan Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif yang menjelaskan kes sekatan FIFA dan peraturan yang perlu dipatuhi KDA FC bagi hal pelesenan kelab yang membolehkan mereka beraksi di Liga Super adalah dua perkara berbeza.

Justeru, Sheikh Mohd Nasir mengharapkan pasukan itu dapat menyelesaikan melunaskan pembayaran gaji penuh ataupun mendapat persetujuan untuk penyelesaian dengan pemain dan pegawai sebelum 20 April ini.

"KDA FC jangan lupa bahawa mereka ada satu lagi isu yang perlu diselesaikan. Kes di FIFA dan kes FIB ini adalah berbeza kerana ini adalah peringkat kebangsaan membabitkan peraturan untuk pelesenan yang wujud di bawah Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Walaupun sekatan FIFA sudah ditarik tetapi tuntutan FIB kepada KDA FC masih lagi berjalan seperti yang sudahpun dinyatakan sebelum ini. Kita lihat KDA FC ada usaha menyelesaikan kes di FIFA jadi mungkin mereka tetap berusaha untuk selesaikan semua tunggakan ini.

"Mereka ada komitmen dan masih ada masa lagi sebelum 20 April ini. Kita pun takkan buat keputusan pada 20 April itu kerana ada beberapa hari diperlukan untuk menyemak dokumentasi dan kita akan rujuk kepada jawatankuasa.

"Semuanya kini bergantung di tangan KDA FC (untuk terus beraksi di Liga Super) jadi obligasi kepada mereka untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji ini," katanya.

Terdahulu, BH Sukan melaporkan status KDA FC untuk beraksi dalam Liga Super menjadi tanda tanya meskipun berjaya 'membebaskan' diri daripada sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA.

Walaupun sudah bebas dari sekatan itu dan boleh mendaftarkan kira-kira 11 pemain baharu, masa depan pasukan itu untuk beraksi di Liga Super musim ini boleh diibaratkan 'bagai telur di hujung tanduk'.

Ini berikutan pasukan itu masih terikat dengan 'hutang' membabitkan penyelesaian penuh tunggakan gaji 2023 dan ketika ini, mereka sudahpun dikenakan pemotongan tiga mata bagi aksi Liga Super selain denda RM50,000.

Ini menyaksikan mereka 'bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga' apabila bukan sahaja 'berhutang' dan perlu membayar denda RM50,000 malah turut bakal memulakan kempen Liga Super musim ini dengan negatif tiga mata.

-BH Online 

Perisian pengintip (Spyware) yang menyasarkan pengguna Apple melalui Apple ID mereka.

 ⚡️⚡️⚡️⚡️⚡️⚡️

Apple’s environment logo with a green leaf is shown.

Rakyat Malaysia diingatkan untuk terus berjaga-jaga susulan wujudnya perisian pengintip (Spyware) yang menyasarkan pengguna Apple melalui Apple ID mereka.

Pusat Koordinasi dan Bilik Kawalan Siber Nasional (NC4) dalam satu kenyataan pada jumaat lepas memaklumkan kesan pencerobohan itu akan membawa kepada pencurian informasi serta kerugian kewangan.

Menurut kenyataan itu, rakyat Malaysia yang termasuk wartawan, diplomat, aktivis dan ahli politik diingat untuk meningkatkan keselamatan siber bagi memastikan risiko peralatan Apple mereka dicerobohi dapat dikurangkankan. 

Apple baru-baru ini telah mengeluarkan amaran peringkat Global susulan peningkatan serangan perisian penggintip (Spyware) termasuk perisian penggintip Pegasus yang dibuat dari kumpulan NSO (Israeli cyber-intelligence firm). 

Pihak DragonForce Malaysia menasihatkan rakyat Malaysia  untuk melaksanakan langkah pencegahan seperti melakukan proses kemaskini software Apple, melindungi peralatan dengan password yang kuat, mengaktifkan 2 Factor Authentication,  hanya memuat turun app dari Apple Store dan elakkan diri untuk click link atau pautan yang mencurigakan.

Rujukan :

https://support.apple.com/en-in/102174

https://www.nc4.gov.my/alert/6618c766900847b845ba5654

Jumaat, 12 April 2024

Adab menziarahi kubur.

 RAMAI ORANG TIDAK SEDAR Dan Tidak Tahu Waktu Afdal Ziarah Kubur. Roh Ibu Bapa Ada Di Kubur Tunggu Anak Mereka.

Tajuk : Adab menziarahi kubur.

Terutama kubur ibubapa. Disunatkan menziarah pada hari Khamis selepas Solat Asar, sepanjang hari Jumaat dan hari Sabtu sebelum Zohor. Waktu ini roh ada diperkuburan dan menunggu anak-anak menziarahinya.

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurarah r.a Hadis rasulullah saw :

Seorang anak yg menziarahi kubur ibubapanya pada hari-hari tersebut diatas akan dicatatkan kepadanya pahala seperti membuat kebaikan kepada kedua ibubapanya semasa hayat mereka. Dan dosa-dosa anak tersebut diampunkan oleh Allah SWT.

Jika anak tersebut adalah seorang yang derhaka semasa hayat ibubapanya, dengan menziarahi kubur ibubapa akan dicatatkan sebagai anak yg taat.

Ketika dikubur :

1. Memberi salam kepada simati dengan panggilan yang biasa semasa hayatnya. Seperti "Assalamualaikum mak/bapa". Roh mendengar dan menjawab salam.

2. Hendaklah kita menghadap kearah muka/kepala simati dan kita membelakangkan kiblat.

3. Membaca quran atau doa-doa yg baik untuk simati.

Kitab Riyadhus Solihin, kupasan oleh Ust. Norazan.```

*....simpan nota ini anak-anak dan sebarkan. Terima kasih...*

Al-Fatihah buat insan-insan tersayang yang telah pergi meninggalkan kita..Aamiin

Credit 

Lebuh Raya Timur Barat 2 (Simpang Pulai Perak ke Terengganu) Siap Dibina 2010

 🌐 Lebuh Raya Timur Barat 2 (Simpang Pulai Perak ke Terengganu) Siap Dibina 2010

Terdapat satu lagi pilihan laluan untuk pengguna dan pemandu yang ingin ke Pantai Timur atau ke Pantai Barat yang menghubungkan antara Simpang Pulai, Perak ke Kuala Telemung, Terengganu sejauh 338 kilometer. Laluan yang turut dikenali dengan nama Lebuh Raya Pantai Timur Kedua ini  bertindih dengan Jalan Persekutuan Karak -Gua Musang. Laluan ini menghubungkan negeri Perak(Simpang Pulai), Pahang(Lojing), Kelantan(Felda Chiku) dan Terengganu (Kuala Telemung).

Artikel kali ini akan memberi penerangan jelas berkenaan jalan tersebut. Mana tau jika anda ingin pulang ke kampung berhari raya pada tahun ini dan bercadang menggunakan lalaun tersebut bagi mengelakkan kesesakan jalan raya. Di sini kami sertakan beberapa maklumat yang berguna buat pembaca.

1. Laluan ini terbahagi kepada 2 seksyen utama iaitu Jalan Persekutuan 185 yang bermula dari pekan Simpang Pulai di Perak dan berakhir di bandar Gua Musang, Kelantan. Seksyen kedua bermula dari Chiku (Kelantan) dan berakhir di Kuala Telemung dikenali dengan nama Jalan Persekutuan 36

2. Laluan ini akan merentasi negeri Perak, Pahang, Kelantan dan juga Terengganu. Ia menghubungkan bandar-bandar di pedalaman seperti Cameron Highland, Gua Musang, Felda Aring, Tasik Kenyir, Sungai Tong. Pembinaan jalan ini akan memudahkan pergerakan logistik dan pembangunan kawasan luar bandar dan memudahkan perhubungan kawasan luar bandar.

3. Di negeri Perak, laluan ini bersambung dengan Jalan Persekutuan 1 yang menyambungkan Jalan Ipoh ke Tapah. Ia akan melalui Jalan Negeri 181 (sebelum ditauliahkan menjadi Jalan Persekutuan 185) dari Simpang Pulai ke Gua Musang. Jalan Persekutuan ini juga akan bersambung dengan Jalan Persekutuan 59 yang membolehkan anda ke Cameron Highland.

Dari Gua Musang, Jalan Persekutuan 185 ini akan bertindih dengan Jalan Persekutuan 8 (Kuala Lumpur – Kota Bharu). Seterusnya anda akan melalui jalan menuju ke ke Tasik Kenyir akan melalui Jalan Felda Aring (Route 1744) dan banyak kerosakan jalan berlaku di Jalan Felda Aring Ini. Dari Felda Aring, laluan ini akan membawa anda tembus ke Jalan Persekutuan 36 dan berakhir di Sungai Tong di daerah Setiu Terengganu. Dari sini laluan akan bersambung dengan Jalan Persekutuan 3 (Kota Bharu-Kuala Terengganu). Dari sini anda mempunyai pilihan untuk ke Kuala Terengganu ataupun ke Kota Bharu.

4. Jarak dari pekan Simpang Pulai ke bandar Kuala Terengganu ialah 358km dan memakan masa kira-kira 5 jam 27 minit jika dipandu mengikut halaju yang ditetapkan. Namun jika anda memilih untuk melalui Jalan Grik – Jeli, jarak pemanduan akan bertambah menjadi 460km dan masa yang diambil sekitar 7 jam 20 min. Penjimatan masa dan jarak perjalanan menjadikan jalan ini sebagai alternatif yang sangat baik sewaktu musim perayaan.

4. Kos pembinaan jalan ini menelan belanja sekitar RM1.6 billion dan dibahagikan kepada 10 pakej pembangunan. Fasa pertama pembangunan bermula pada tahun 2001 dan keseluruhan pakej pembangunan siap pada tahun 2010.

5. Jarak pembinaan jalan ini adalah sepanjang kira-kira 313km tidak termasuk 41km jalan sedia ada yang melalui Jalan Persekutuan 8. Secara keseluruhan jalan ini merupakan jalan 2 lorong dengan lebar 3.5 meter dan juga bahu jalan dengan lebar 2.5 meter. Untuk sesetengah laluan mendaki, lorong memotong tambahan akan turut disediakan.

Dari segi spesifikasi Jabatan Kerja Raya, spesifikasi jalan ini berada dalam kategori R3. Standard R3 menerangkan bahawa kelajuan (Flat, Rolling, Mountainous) ialah 70km/h, 60km/h dan 50km/h. Namun bagi sesetengah kawasan, JKR membina jalan ini berdasarkan spesifikasi R5 yang membolehkan halaju dinaikkan kepada 90km/h.

6. Jalan ini juga memiliki jambatan kedua tertinggi di Malaysia iaitu Lojing Viaduct. Sebelum ini ia merupakan jambatan tertinggi di Malaysia sebelum gelaran tersebut dirampas oleh Rawang Bypass. Jambatan ini menghubungkan Pos Selim dengan Blue Valley. Jika anda melalui jalan ini pada waktu siang, bolehla anda mengambil gambar sebelum jambatan ini. Tapi penulis ingin menasihatkan agar gambar tersebut tidak di muat naik ke laman sosial, nanti ramai yang akan menanda gamnbar tersebut dengan bulatan.


7. Terdapat sebuah terowong semi yang dibina berhampiran sempadan negeri Perak dan Pahang yang bertujuan mencegah laluan ini daripada tersekat sekiranya berlaku kejadian tanah runtuh. Rekaan terowong ini menyerupai rekaan terowong semi yang dibina di Lebuh Raya Timur Barat (Grik-Jeli).

8. Di antara pekan Simpang Pulai ke bandar Kuala Terengganu terdapat beberapa stesen minyak yang boleh digunakan untuk mengisi bahan api secukupnya. Terdapat stesen Petronas pada permulaan jalan, stesen BHPetrol berhampiran simpang ke Cameron Highland, dan stesen petrol Shell dan Caltex di bandar Gua Musang. Tiada stesen petrol yang beroperasi di antara simpang Jalan Felda Aring ke simpang Sungai Tong. Jadi pemandu boleh mengisi petrol secukupnya di bandar Gua Musang.

7. Terdapat beberapa kawasan Rehat & Rawat yang membolehkan pemandu berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan seperti di bandar Gua Musang dan  Kawasan R&R di Jalan Persekutuan 8 yang menyediakan surau, tandas dan juga stesen minyak. Terdapat satu lagi kawasan rehat yang terletak berhampiran Jeti Pengkalan Gawi yang hanya menyediakan tandas dan juga tempat makan.

Jika anda ingin makan dengan selesa, anda boleh menjamu selera di bandar Gua Musang sebelum meneruskan perjalanan.

8. Sekiranya anda tidak tergesa gesa menuju ke destinasi, anda boleh singgah sebentar ke Cameron Highland untuk minum di ladang teh dan juga membeli beberapa paket buah strawberi.

9. Keadaan jalan yang paling mencabar sebenarnya adalah ketika memandu di Jalan Aring yang menghubungkan Jalan Persekutuan 8 dengan Jalan Persekutuan 36 ( Gua Musang – Tasik Kenyir) dimana jalan yang dilalui amat sempit walaupun mempunyai 2 lorong. Kehadiran lori yang mengangkut buah sawit dan juga lori trelar yang besar bukan sahaja menyebabkan jalan menjadi rosak dan berlubang, malah amat berbahaya jika anda berselisih dengan lori tersebut ketika melalui kawasan berbukit dan berselekoh

Jika perlu, hentikan seketika kenderaan anda dan bagi laluan pada kenderaan berat untuk meneruskan perjalanan dulu.

10. Sekiranya anda memandu kenderaan yang mempunyai jarak kelegaan rendah, maka jalan ini tidak sesuai untuk anda terutama ketika melalui Jalan Felda Aring. Lubang besar, kadangkala jalan berbatu yang rosak tidak diturap semula dan juga beralun amat tidak sesuai jika anda mengenakan spring “lowered” ataupun memasang skirt pada bahagian bampar depan, belakang, dan tepi kereta. Jika anda memandu SUV ataupun MPV yang mempunyai jarak kelegaan yang tinggi seperti Innova, maka ia bukan satu masalah besar.

11. Tiada perkhidmatan bengkel yang ada diantara Felda Aring ke Simpang Sungai Tong. Jadi pastikan kereta anda sudah diservis dan berada dalam keadaan terbaik kerana perkara terakhir yang anda inginkan ialah tersadai di tengah hutan belantara sambil menunggu bantuan yang mungkin mengambil masa berjam-jam untuk sampai. Silap haribulan, cik gajah pun datang melawat.


12. Elakkan dari menggunakan jalan ini terutama Jalan Persekutuan 36 (Gua Musang – Kuala Telemung) pada waktu malam kerana infrastruktur seperti lampu jalan sangat terhad dan pada waktu malam sangat gelap. Nasihat yang sama akan diberikan jika anda ingin menggunakan Jalan Persekutuan 185 dari Simpang Pulai ke Lojing dan juga sebaliknya. Adalah lebih baik menggunakan jalan ini pada waktu siang secara berkonvoi


13. Terdapat beberapa cerita yang kurang sedap yang diceritakan di media sosial seperti Facebook berkenaan pengalaman memandu di jalan ini secara solo. Gangguan mistik, cerita usik mengusik dan pelbagai cerita yang menyebabkan bulu roma menjadi tegak telah diceritakan apabila melalui jalan ini pada waktu malam. Suka penulis mengingatkan pembaca bahawa kebanyakan kawasan yang dilalui oleh jalan ini sebenarnya kawasan hutan yang baru dibuka.


14. Untuk memudahkan pemanduan, anda boleh menggunakan aplikasi Google Map sebaik sahaja memulakan perjalanan dari mana-mana arah. Walaupun di antara Tasik Kenyir ke Gua Musang talian dan jaringan internet adalah lemah, namun aplikasi Google Map masih beroperasi seperti biasa memudahkan anda membuat anggaran jarak perjalanan dan juga membaca selekoh-selekoh tajam yang sukar diduga.


15. Antara masalah terbesar apabila melalui Jalan Gua Musang – Tasik Kenyir ialah keadaan jalan yang rosak dan juga berlubang – lubang. Memandangkan kawasan ini berada jauh dan terpencil, faktor logistik akan menyebabkan urusan pembaikan menjadi sukar. Untuk mengelakkan anda melanggar jalan berlubang sehingga boleh menyebabkan tayar pancit, adalah lebih baik memandu pada waktu siang dan mematuhi halaju yang ditetapkan.


2 bulan lepas terdapat satu kemalangan yang terjadi melibatkan konvoi kereta Porsche di laluan ini. Untuk pembaca yang pertama kali melalui jalan ini, jangan buat berlagak seperti anda anak didik Peter Solberg.


16. Terdapat satu kawasan tanah runtuh berhampiran dengan Tasik Kenyir di laluan memtong 3 lorong, berselekoh dan menuruni cerun. Jadi tumpukan perhatian sekiranya anda terlihat papan amaran tanah runtuh atau kawasan pembaikan jalan walaupun jalan yang dilalui ialah lorong memotong 3 lorong


17. Sekali lagi penulis mengingatkan bahawa jalan Gua Musang – Tasik Kenyir adalah kawasan hutan simpan. Laluan ini termasuk dalam habitat binatang liar seperti gajah. Gajah memiliki tabiat untuk keluar dari hutan dan melepak di atas jalan jika anda melalui kawasan ini pada waktu malam dan hujan baru sahaja reda. Gajah juga gemar untuk keluar meronda jika bulan mengambang penuh pada malam tersebut.


18. Kawasan ini sebenarnya kaya dengan landskap semula jadi yang amat cantik. Anda boleh bergambar di sekitar Tasik Kenyir, berhampiran Kafe Banjaran iaitu tidak jauh dengan kawasan Terowong dan kawasan sebelum ke Lojing. Namun jika anda ingin bergambar sekitar Tasik Kenyir sila ambil langkah berjaga-jaga kerana kawasan tersebut berada dalam habitat gajah liar.


19. Jika anda berpendapat memandu pada waktu siang adalah selamat, maka anda tersilap kerana pada waktu siang jalan ini  terutama menuju ke Cameron Highland agak sibuk dengan motosikal kapcai. Mungkin niat asal mereka hanya mahu mengasah lutut yang tumpul ketika mengambil selekoh menyebabkan mereka akan sedikit terbabas ke laluan anda. Jika anda menghampiri Tasik Kenyir pula, terdapat beberapa anak muda yang mengasah bakat untuk menggantikan Valentino Rossi.


Artikel asal oleh: Farhan Alias

Selasa, 9 April 2024

Isu kalimah Allah:Adakah tulisan logo Verns menyamai kalimah Allah?

 


Cerita bab lambang verns ni aku tengok orang kita berbeza pendapat. Ada yang kata ia seolah tulisan kalimah Allah, ada yang kata bukan, ada yang tak kata apa-apa.

Orang yang kata ianya menyerupai tulisan alif lam lam ha, di tempelak oleh orang yang kata bukan. Katanya engkau ni jangan terlalu sensitif. Katanya engkau ni jenis yang nampak awan tulisan Allah pun terus kecoh. Nampak jeriji macam salib terus kata ini dakyah kristian, bla bla bla... 

Malah ada yang terus cop sebagai walaun, taksub, dan bermacam lagi. Aku pun heran, kalau sensitif yang melibatkan agama islam, orang tu walaun ka? Mana engkau tahu aku ni ekstremis parti politik? Mana engkau tahu aku ni jenis darai nampak awan terus terkinja macam beruk? Aku lahir zaman paleolitik ka? Hang sorang ja yang hidup zaman moden? 

Selama belas tahun aku main fb, ada ka aku menulis pasal politik? Lately ni aku mula bersuara bila terlalu banyak perkara tak betul yang aku tak boleh diam lagi dah. Aku tak minat bab politik. Aku bercakap bab pertahan agama islam. Tak perlu kata aku tak layak bercakap kalau bukan ustaz. Cukup ada iman sebesar zarah untuk aku bersuara. Aku tak mulia, engkau pun sama. 

Orang yang kata itu bukan tulisan Allah, marilah dengan hujah pakar fesyen, pakar tulisan khat, pakar itu dan ini. Keluar macam-macam fakta dan auta untuk justify. Engkaulah terpaling betul. Orang yang tak sama mata hati macam engkau, dianggap kolot dan taksub. 

Golongan ketiga, orang yang diam tak kata apa ni samada cerdik atau penakut. Dulu aku pun pernah duduk kat sini. 

Aku tak ada masalah bab berbeza pendapat. Samada betul engkau percaya lambang tu tulisan Allah atau tidak, soalan yang aku nak tanya, verns ni punya banyak lambang dia boleh buat (rujuk gambar di bawah), pasaipa dia pilih yang mengundang isu macam ni? Bubuh kat tapak kasut pulak tu. Belum reda isu stokin, dia mai buat lagu ni pulak. Tanda solidariti kat kawan dia.

Engkau yang duk beria pertahan depa, sampai cop orang sebagai pentaksub, makna kena tulisan tu betul keluar sebijik-sebijik baru kata itu betul depa cuba hina Allah? Engkau ingat puak provokator ni tak cerdik ka sampai depa nak bubuh sebijik-sebijik? Ingat depa tak belajar dari apa yang jadi kat kawan depa si kk tu? Depa try cara A tak jadi, depa try cara B,C,D...Z pulak. Tak dapat sebijik, dia buat bagi sipi-sipi. Yang paham, paham. Tak paham, sudah...

Kita yang islam ni duk bergaduh antara yang pertahan dengan yang bantah, depa duk gelak sambil yam seng. Ini yang ultra kiasu dan chauvinist mau, supaya orang islam terus berpecah-belah dan lemah.

Sebenarnya isu-isu yang melibatkan agama dan kaum ni sengaja dibuat dan dibiarkan oleh pemerintah lately ni, untuk divert dari isu sebenar yang semakin membarah dalam negara. Aku percaya ramai yang faham apa maksud aku. Yang tak faham, akan kata aku walaun dan sebagainya. Dangkal betul engkau bila tegar memuja manusia.

Aku tak suka libat bab politik, tapi semua yang jadi sekarang ni memang sebab angkara orang politik yang gila kuasa dan nak pertahan survival mereka. Suka tak suka, itulah kenenaran dia.

Credit 

Isnin, 8 April 2024

"CIKGU, MAK TIRI DAN AYAH SAYA DAH BERCERAI".

 "CIKGU, MAK TIRI DAN AYAH SAYA DAH BERCERAI".

Melihat dia melangkah masuk ke pagar asrama itu membuat aku berasa lega. Sekurang-kurangnya makan minumnya terjaga. 

Minggu lepas, ketika waktu NILAM di perpustakaan sekolah, dia datang dan duduk di sebelahku. 

"Cikgu, mak tiri dan ayah saya dah bercerai", katanya dengan wajah yang begitu ceria dan tersenyum. 

"Awak happy?", tanyaku. Dia mengangguk laju, senyum. 

"Oklah pergi buat NILAM dulu ya?", aku mengeluarkan arahan.

"Ok cikgu"...senyumnya sampai ke telinga!

Usai waktu NILAM, dia berjalan seiringku. 

"Cikgu, saya dah boleh masuk asramalah, dulu mak tiri tak bagi, sekarang dia dah takde". 

"Ok. Nanti awak pergi minta borang asrama dengan Cik Mie (penyelia asrama) di pejabat dia ya?", pintaku.

"Ok cikgu", dia jawab ringkas.

"Habis tu sekarang tinggal dengan siapa?", tanyaku

"Sorang-sorang", dia menjawab sambil senyum. Aku berhenti berjalan dan memandang mukanya. 

"Siapa sediakan makanan? Siapa kejut pergi sekolah? Siapa jaga kalau sakit??" Berjujuk-jujuk soalan dariku. 

"Sendiri", jawabnya lagi.

Allahu

Mataku berkaca.

"Cikgu, saya masuk kelas dulu tau, nanti lambat cikgu marah". Aku mengangguk perlahan.

***********************************

Anak ini namanya Aanas (bukan nama sebenar), 14 tahun. Fizikalnya kecil, memudahkan si tangan celaka itu menderanya. Pergerakannya terbatas. Saat anak sebayanya bermain di waktu petang, dia terkurung di rumah melakukan pelbagai kerja rumah. Pernah "dibahan" gara-gara pulang lewat dari sekolah kerana aktiviti ko-ko. Solat Jumaat juga dihalang pergi. Pernah dia dicekik separuh mati, dipukul, tampar, lempang itu sudah makanan hariannya. 

Ternyata "Bawang Putih Bawang Merah" itu bukan sekadar dongengan kan.

Aku kenal Aanas sejak tahun lepas, sewaktu mengajarnya subjek Sejarah. Ibu kandung dan ayah kandung bercerai. Adik beradik satu ibu satu ayah ada empat, dua bersama ibu dan dua bersama ayah. Sejak ayahnya berkahwin dengan ibu tiri, hidup anak ini penuh dengan siksaan.

Jarang-jarang Aanas makan ketika waktu rehat. Dia tidak di beri belanja oleh ibu tirinya. Jika aku terserempak dengannya, aku akan hulur duit kepadanya. Itu pun beberapa kali ditolak olehnya, dia segan barangkali. 

Tidak ramai yang tahu kisah anak ini di sekolah. Perwatakan yang ceria menyembunyikan derita hidupnya. Entah kenapa dia sering bercerita kepadaku tentang kisahnya walaupun aku tidak bertanya. Hampir setiap kali kelas Bahasa Melayu (tiga kali seminggu) ada sahaja cerita tentang hidupnya.

Anak ini sangat baik. Meski kurang dari segi akademik, dia tetap menghormati guru. Rajin membantu guru-guru walaupun guru yang tidak mengajarnya. 

Ayahnya? Jarang-jarang pulang ke rumah lantaran kesibukan mencari nafkah buat dia enam beradik.

***********************************

"Cikgu, saya dah boleh masuk asrama Isnin depan, semalam Cik Mie bagitahu", Aanas membuka bicara sewaktu kelas KOMSAS.

"Peralatan asrama dah siap ke?, tanyaku.

"Kena bawak apa cikgu?", tanya dia dengan berkerut di dahi.

Aku mengambil sehelai kertas, dan menyenaraikan barang-barang keperluan asrama, lalu kuberi kepadanya.

"Erm, baju Melayu mesti tiga ke cikgu? Saya ada satu je".

Aku jawab pertanyaan dia, dengan pertanyaan aku, "baju raya tahun lepas takkan takde?"

"Dah lama takde baju raya cikgu", Aanas menjawab jujur. Aku tahan air mata.

"Takpelah, bawak je mana ada ya?", kataku.

"Baju sekolah pun tiga?", Aanas semakin gelisah. 

"Kamu ada berapa pasang baju sekolah?"

"Ni jelah satu. Pakai daripada Isnin sampai Jumaat", Aanas memegang kolar bajunya. Memang comot. Kotor. 

"Duit biasiswa mana?" aku cuba bertegas.

"Mak tiri ambik". Jawaban anak itu buat aku bernafas laju.

"Neraka punya mak tiri" bisik hati aku.

Aku bertanya lagi, "Isnin nanti datang asrama dengan apa?".

Lama dia termenung, "saya datang dengan basikal saya boleh tak cikgu?". Mukanya nampak sayu, seperti menahan tangis. Allahu...Empangan mata aku pecah! 

"Ok semua, dah siap latihan cikgu bagi tadi?", sengaja aku bertanyakan kelas 2M5 tu tentang latihan yang baru beberapa minit aku beri. Aku berpaling ke arah papan putih. Malu kalau Aanas nampak air mata aku ni!

"Allahu. Anak. Bagaimana mungkin kau berbasikal dengan beg baju, baldi dan peralatan yang lain? Mana ayah kau. Mana saudara-saudara kau. Anak lain seumur kau masih dibelai dicium ibu ayah. Sedang kau sudah diuji dengan ujian yang tak padan dengan badan kau nak", aku berbisik di dalam hati. Benaran aku sedih!

***********************************

Wahai Anak.

Tatkala aku mengeluh makanan tidak sedap, engkau masih berfikir mahu makan apa hari ini?

Tika aku mengeluh pendingin hawa di bilik itu rosak, engkau setiap hari berpanas berhujan mengayuh basikal usangmu ke sekolah.

Sering juga aku mengeluh tiada baju baru untuk dipakai sedang engkau saban hari menggasak baju yang sama.

Apa aku layak untuk mendidik kau nak? Sabar kau menggunung. Semangat kau tinggi melangit. Akhlak kau begitu indah.

Allahu. Kau hantar anak ini sebagai tarbiah buat aku. Ampuni aku yang jarang-jarang mengucap syukur atas nikmatmu ya Rabb. 

Allahuakbar...

Allahuakbar...

Allahuakabar...

Anak..

Kita ini biar miskin harta

Jangan miskin akhlak

Biar kurang pandai

Jangan kurang ajar

Biar terlebih adab

Jangan terlebih biadab.

Semoga kau membesar menjadi seorang insan berguna. Dijauhkan daripada anasir jahat. Dipelihara Allah sepanjang masa. 

Tuhan, jaga dia untukku. Aamiin.

#AanasBukanNamaSebenar

Credit 

Isnin, 1 April 2024

Fiesta Raya Baling: Arah henti hiburan, bukan tutup ekspo jualan - Exco

 Fiesta Raya Baling: Arah henti hiburan, bukan tutup ekspo jualan - Exco

Mansor berkata, sebaliknya penganjur memilih untuk menutup karnival berkenaan atas beberapa faktor. - Gambar/ Sinar Harian
BALING: Kerajaan negeri hanya mengeluarkan arahan menghentikan aktiviti hiburan kepada penganjur Karnival Fiesta Raya Baling 2024, bukannya menutup keseluruhan ekspo jualan tersebut.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, sebaliknya penganjur memilih untuk menutup karnival berkenaan atas beberapa faktor.
Menurutnya, kemungkinan timbul salah faham dalam isu berkenaan sehingga ada pihak yang mendakwa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan paksaan agar menghentikan karnival tersebut.
“Pilihan kepada penganjur, bukan paksaan untuk tutup karnival tersebut. Kerajaan negeri hanya menegur dan minta hentikan aktiviti yang tidak bersesuaian dengan bulan Ramadan sahaja.
“Kita tegaskan kepada penganjur hentikan pengisian program yang tidak sihat seperti hiburan, bukannya tutup ekspo itu,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Mansor berkata, penganjur kemungkinan meneliti beberapa kriteria sebelum memutuskan untuk menutup karnival berkenaan, memandangkan lokasi penganjuran kurang mendapat sambutan selain tidak banyak gerai jualan menyebabkan pengunjung tidak ramai.
“Mungkin itu antara alasan mereka tutup karnival berkenaan, jika beroperasi juga kelak akan tanggung kerugian. Pada masa sama, sudah ada ekspo seumpama anjuran majlis daerah di Batu 42 yang dibuka lebih awal.
“Kita simpati terhadap peniaga namun penganjur sepatutnya tahu batas-batas kerana kita sudah tegaskan malah surat arahan PBT kepada penganjur untuk hormati bulan Ramadan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana penganjur yang melanggar syarat serta garis panduan PBT seperti mengadakan pertunjukan hiburan melampau.
“Pihak penganjur melanggar garis panduan yang ditetapkan kerana pada peringkat awal hanya menyediakan hiburan seperti nasyid, qasidah dan lain-lain. Tindakan itu bukan sahaja melanggar garis panduan PBT malah tidak menghormati kesucian bulan Ramadan dengan mengadakan hiburan melampau,” ujarnya.
Mansor berkata, penganjur sepatutnya memantau aktiviti sepanjang karnival berlangsung termasuk memastikan pengisian program yang mematuhi garis panduan.
“Ia harus menjadi pengajaran dan perkara ini harus diberikan perhatian oleh semua penganjur pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu tular di TikTok, aksi seorang selebriti terkenal tanah air bersama beberapa orang lelaki lain menari ala dangdut di atas pentas dengan disaksikan pengunjung karnival berkenaan.
Turut tular keluhan peniaga yang menangis apabila karnival berkenan ditutup kerana didakwa mengalami kerugian.
Isu tersebut bukan sahaja mendapat kritikan daripada netizen sebaliknya kecaman turut dilontarkan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Dalam pada itu, Mansor berharap Menteri Besar tidak diheret bersama dalam insiden berkenaan.
“Selaku Exco berkaitan, saya mohon maaf atas apa yang berlaku dan mengambil tanggungjawab kerana isu ini bawah portfolio saya.
"Namun aksi hiburan seperti itu bukan atas restu atau kebenaran kerajaan negeri mahupun Majlis Daerah Baling,” jelasnya.
Tegasnya, selain teguran pihaknya tidak teragak-agak menyenarai hitamkan mana-mana penganjur yang melanggar syarat dan garis panduan serta tidak diberi kebenaran penganjuran pada masa akan datang. - Sinar Harian

TERKINI: Shalom Avitan anggota unit pembunuh 'Kidon' Mossad?

 Gambar pasport Shalom Avitan seperti yang dilaporkan media Israel The Times Of Israel.

Gambar pasport Shalom Avitan seperti yang dilaporkan media Israel The Times Of Israel.

KUALA LUMPUR: Penahanan Shalom Avitan, yang disyaki perisik Israel dalam misi membunuh seseorang di negara ini pada Rabu lalu, mengimbas kembali pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) warga Palestin, Dr Fadi M R Albatsh Fatma, di Setapak, pada 21 April 2018.

Pembunuhan Dr Fadi, 35, yang mendapat liputan meluas berita di Asia Barat dan menjadi kontroversi apabila Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash, mengeluarkan kenyataan mendakwa pembunuhan itu didalangi serta dirancang Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad.

Portal Defence Security Asia (DSA) melaporkan, media Israel yang memetik sumber keselamatan negara Yahudi itu menyatakan Fadi, bukan ahli akademik sembarangan sebaliknya pakar teknologi kepada gerakan pejuang, Hamas, terutama berkaitan pesawat tanpa pemandu atau dron.

Pembunuhan pensyarah Palestin di ibu negara itu menarik perhatian dunia yang mendakwa ia telah dilakukan oleh agensi perisikan Israel, Mossad, yang terkenal dengan misi pembunuhannya terhadap 'musuh-musuh' Israel di seluruh dunia.

DSA melaporkan, misi pembunuhan oleh Mossad biasanya dilakukan satu unit rahsianya dikenali sebagai 'Kidon', dengan tugas utama mereka hanya satu iaitu melaksanakan pembunuhan terhadap sasaran yang telah dikenal pasti oleh agensi perisikan Israel itu.

Katanya, unit 'Kidon' ditubuhkan pada 1970 dan bernaung di bawah Jabatan Caesarea yang berada dalam Mossad itu sendiri, dengan tugas dan fokus utama unit adalah melaksanakan pembunuhan terhadap musuh-musuh Israel di luar negara Yahudi itu.

"Di dalam bahasa Hebrew, Kidon bermaksud 'bayonet' atau benet, setiabu atau sangkur senjata tajam seperti pisau yang dipasangkan pada hujung senapang.

"Jabatan Caesarea adalah cabang paling rahsia di dalam Mossad dan 'Kidon' adalah unit pelaksana yang paling rahsia dalam suatu organisasi yang kewujudannya amat dirahsiakan.

"Mereka yang menganalisis cara pembunuhan didakwa dilakukan unit rahsia dalam Mossad dikenali sebagai 'Kidon' ini kerap menggunakan lelaki bersenjata, bermotosikal dan bom yang dipasang secara dilekatkan pada sisi kenderaan mangsa.

"Taktik atau modus operandi digunakan lelaki bersenjata yang membunuh pensyarah Palestin di Setapak enam tahun lalu itu adalah sama sebagaimana dilakukan oleh anggota unit 'Kidon' Mossad dalam siri-siri pembunuhan mereka di seluruh dunia," memetik laporan portal berkenaan.

Dalam kejadian jam 6 pagi pada 21 April 2018, Dr Fadi dilaporkan maut selepas ditembak lebih 20 das di badan dan kepala ketika sedang berjalan ke Surau Medan Idaman, Setapak, bagi menunaikan solat Subuh.

Menurut saksi kejadian, mangsa dilaporkan tiba-tiba didatangi dua lelaki menunggang sebuah motosikal berkuasa tinggi yang telah melepaskan beberapa das tembakan terhadap pensyarah Palestin itu yang membunuhnya serta-merta.

Ketika Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan berkata, kedua-dua penunggang motosikal itu memiliki ciri-ciri  raut wajah Timur Tengah dan menggunakan pasport dua buah negara di rantau Balkan iaitu Serbia dan Montenegro untuk memasuki Malaysia.

Sebaik sahaja membunuh pensyarah Palestin, kedua-dua operatif terlatih itu didakwa telah menyeberangi sempadan Malaysia-Thai menggunakan lorong tikus, menuju ke negara jiran,Thailand.

Dr Fadi pernah menetap di Jabalia, utara Gaza sebelum berhijrah ke Malaysia pada 2011 dan bekerja sebagai pensyarah di UniKL BMI. Allahyarham adalah jurutera Palestin dan terbabit dalam pergerakan pejuang Hamas.

Kelmarin, PDRM dilaporkan menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk senjata api serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini, Rabu lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata enam senjata api yang ditemui dalam bilik hotel suspek adalah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Dalam pada itu, DSA melaporkan, unit 'Kidon' ditubuhkan tidak lama selepas insiden pembunuhan 11 orang atlet Israel oleh pejuang Palestin ketika Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada 1972.

Sebagai tindak balas Israel terhadap insiden itu, Israel telah melancarkan operasi 'Wrath of God' di mana anggota unit 'Kidon' selepas diberikan maklumat oleh anggota Mossad yang lain, telah memburu mereka yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan terhadap atlet Israel pada temasya sukan itu.

"Dalam operasi pembunuhan yang berlaku daripada 1972 hingga 1988, unit 'Kidon' dikatakan bertanggungjawab terhadap 22 insiden pembunuhan terhadap pemimpin dan anggota Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang ketika itu dipimpin oleh Yasser Arafat.

"Sejak 1972, terdapat lebih daripada 100 kes pembunuhan dikaitkan dengan Israel, namun adalah sukar untuk mengaitkannya dengan negara itu, apatah ia tidak pernah mengakuinya secara terbuka atau menafikannya.

"Bilangan sebenar bilangan mereka yang terkorban akibat tindakan kejam oleh unit 'Kidon' itu berkemungkinan besar tidak akan diketahui oleh masyarakat dunia sampai bila-bila dan kekal menjadi rahsia Mossad dan pentadbiran Yahudi, Tel Aviv," kata portal berkenaan.

-BH Online