"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Isnin, 9 Ogos 2021

Subhanallah: Siti Sarah mahu rahsiakan ibadah korban di Gaza

 NAMA untuk tujuh bahagian lembu ibadah korban Siti Sarah di Gaza iaitu bapanya, Allahyarham ibunya, suaminya, tiga anak mereka serta Siti Sarah sendiri.

NAMA untuk tujuh bahagian lembu ibadah korban Siti Sarah di Gaza iaitu bapanya, Allahyarham ibunya, suaminya, tiga anak mereka serta Siti Sarah sendiri.

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dihubungi penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin untuk menyertai ibadah korban di Gaza sempena sambutan Aidiladha, Julai lalu.

Nadir dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan dia terkejut apabila mendapat tahu Siti Sarah sudah meninggal dunia pagi hari ini menerusi Instagram suaminya, Shuib.

"Tersentap kejap bila baca berita daripada Shuib mengenai pemergian Siti Sarah. Saya baru dihubungi Siti Sarah sebelum raya Haji (Aidiladha) lepas untuk dia ikuti program korban kami di Gaza.

"Masa tu saya terkejut bila dia maklumkan nak korbankan seekor lembu dengan harga belasan ribu ringgit, bukan satu bahagian saja. Ia seolah-olah dia sedang mengejar memberatkan timbangan amal kebaikannya yang terakhir," katanya.

Menurut Nadir, Siti Sarah juga kerap berhubung dengannya untuk mengetahui perkembangan saudara Islam di bumi Palestin.

"Selepas itu dia kerap berhubung dan bertanya mengenai keadaan saudara-saudara kita di Palestin.

"Rupa-rupanya Allah takdirkan nyawa dia diambil dalam keadaan dia memikirkan umat, peduli dengan nasib mereka malah didoakan ratusan penduduk di sini yang merasa daging pada tahun ini.

"Beruntunglah dikau, diberi syahid sambil didoakan ratusan keluarga syuhada akhirat di bumi berkat. Semoga engkau tenang di sana, al-Fatihah," tulisnya.

PERBUALAN Nadir dengan Siti Sarah melalui mesej peribadi di IG.
PERBUALAN Nadir dengan Siti Sarah melalui mesej peribadi di IG.

Dalam masa sama, Nadir turut berkongsikan perbualannya dengan Siti Sarah melalui mesej peribadi di Instagram pada 12 Jun lalu.

Antara perkara yang dikongsikan adalah mengenai urusan pembelian seekor lembu untuk tujuh bahagian korban. Ia membabitkan bapanya, Raissuddin Hamzah; Allahyarham ibunya, Nur Aini Mohamad; suaminya, Shuib dan tiga anak mereka.

Nadir juga sempat bertanya jika dia boleh berkongsi perkara itu kepada umum, namun Sarah seboleh-bolehnya mahu merahsiakannya.

Bagaimanapun Sarah mengizinkan Nadir untuk berkongsi perkara itu sekiranya ia memberi manfaat kepada umat Islam di negara ini.

Selain itu, Sarah juga mengambil peluang bertanyakan kepada Nadir mengenai keadaan semasa di Palestin yang kembali diserang Israel.

Terdahulu Harian Metro Siti Sarah, 37, disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), di sini, jam 5.13 pagi, hari ini.

Perkara itu dikongsi Shuib di akaun Instagram miliknya serta satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan pihak pengurusan penyanyi lagu Kesetiaan itu, Indigital Music.

-myMetro

Covid19: Siti Sarah meninggal dunia

 Siti Sarah meninggal dunia

Penyanyi terkenal Siti Sarah Raissuddin, 36, yang bertarung nyawa sejak Rabu lalu akibat jangkitan COVID-19 meninggal dunia sebentar tadi. -Instagram
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Siti Sarah Raissuddin, 36, yang bertarung nyawa sejak Rabu lalu akibat jangkitan COVID-19 meninggal dunia sebentar tadi.
Isteri kepada pelawak dan usahawan Shuib itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini.
Mengesahkan perkara itu, pengurus Siti Sarah, Nana Mohd Rom berkata Shuib kini dalam perjalanan ke hospital.
Siti Sarah pada Jumaat selamat melahirkan bayi lelaki yang merupakan anak keempat pasangan itu ketika menerima rawatan.
COVID-19 | Siti Sarah dirawat di ICU
"Saya baru mendapat maklumat daripada Shuib bahawa Siti Sarah sudah meninggal dunia," kata Nana kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Sementara itu, Shuib dalam hantaran di Instagramnya juga memaklumkan berita duka itu.
Siti Sarah dan Shuib sekeluarga positif COVID-19 sejak 25 Julai lalu selepas pembantu rumah mereka dijangkiti wabak tersebut.
Siti Sarah dimasukkan ke ICU selepas tahap oksigen semakin tidak stabil.
Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada 2011 sebelum ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10 tahun, Dzahira Talita Zahra, 8 tahun, dan Ariq Matin, 6 tahun.
-AstroAwani

Kos urus jenazah pesakit COVID-19 melampau, aniaya keluarga - NGO

 Kos urus jenazah pesakit COVID-19 melampau, aniaya keluarga - NGO

Tengku Harith Team Ventures bersama beberapa gabungan NGO menyediakan bantuan pengurusan dan pengebumian jenazah pesakit COVID-19 secara percuma di Kelantan. - Gambar/ Tengku Harith Team Ventures
KOTA BHARU: Bayaran pengurusan jenazah sebahagian pesakit COVID-19 di negeri ini iaitu antara RM1,300 hingga RM1,800 disifatkan melampau, sehingga menekan keluarga golongan kurang berkemampuan.
Bayaran itu pula bukan kos keseluruhan sehingga pengebumian, sebaliknya hanya membabitkan urusan memandikan jenazah menggunakan kaedah tayamum sebelum dikafankan sahaja.
Keadaan itu memaksa keluarga yang tidak mampu memohon bantuan badan amal atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Itu yang didedahkan sebuah NGO, Tengku Harith Team Ventures yang terlibat dalam kerja-kerja amal mengurus dan mengebumikan jenazah pesakit COVID-19 di Kelantan.

Pengasasnya, Tengku Harith Tengku Abdul Azis, mendakwa caj yang dikenakan oleh pihak yang terbabit dalam pengurusan jenazah itu di hampir semua hospital di Kelantan mencecah antara RM1,300 hingga RM1,800.
"Caj berkenaan terlalu tinggi dan membebankan sedangkan harga debu tayamum tidak sampai RM10 setiap pek, yang boleh digunakan untuk proses tayamum enam jenazah," dakwanya ketika ditemui Astro AWANI.
Beliau dan pasukannya yang sudah menguruskan lebih 50 jenazah pesakit COVID-19 mendakwa, pernah mengajukan isu mengenai caj yang tinggi itu kepada pihak pengurusan hospital sebelum ini.
"Rata-rata rata pengurusan hospital terkejut mendengar aduan yang saya kemukakan dan bertanyakan kepada unit forensik masing masing," katanya.
Malangnya, dakwanya unit forensik pula menyalahkan pihak pengurus jenazah yang dikatakan dilantik dan dipilih oleh pengurusan unit forensik itu sendiri.
Dakwanya, pengurus jenazah juga pernah diajukan soalan itu namun tidak mengaku mengenakan bayaran sedemikian.
"Saya panjangkan perkara berkenaan kepada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan terkejut apabila Maik memaklumkan pihaknya menetapkan kadar harga RM200 sahaja bagi kos tayamum.
"Jadi timbul persoalan, siapa yang menetapkan harga setinggi RM1,800 untuk tayamum (pengurusan jenazah)... pihak forensik atau tukang mandi jenazah (pengurus jenazah) yang dipilih oleh pengurusan forensik?," soalnya.
Beliau juga mendakwa, caj yang dikenakan terhadap keluarga itu tidak disertakan resit atau butiran terperinci.
Mengulas lanjut, katanya bukan sahaja kos pengurusan mayat atau tayamum yang perlu dijelaskan oleh keluarga, sebaliknya kos lain juga.
Antaranya, termasuk kain kapan melebihi RM100, keranda antara RM200 hingga RM300 dan upah gali liang lahad (RM250-300).
Menurut Tengku Harith yang juga Pengerusi Amalvalley Organization Kelantan, pihaknya bersama beberapa gabungan NGO menyediakan bantuan pengurusan dan pengebumian jenazah pesakit COVID-19 secara percuma.
"Ahli keluarga atau waris cuma perlu membayar kos keranda sahaja iaitu RM200 jika mampu. Jika sebaliknya kita akan berikan secara percuma. Kos yang lain termasuk tayamum, kafan, solat jenazah, kenderaan jenazah dan sebagainya adalah percuma," katanya.
Katanya, mereka bekerjasama dengan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), JNZA Gaung Global dan Jawatankuasa Surau PPR Kota Bharu.
Sementara itu, Setiausaha Maik, Mohd Rasani Ramli, ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan daripada NGO berhubung isu berkenaan.
Menurutnya, susulan aduan itu Mei lepas, Maik telah mengadakan pertemuan dan mesyuarat bersama pengurusan hospital di seluruh Kelantan.
"Hasilnya Maik telah menetapkan kadar RM200 bagi kos tayamum dan menggariskan harga pengurusan jenazah bagi negeri Kelantan yang perlu diikuti oleh semua imam masjid, pihak pengurusan jenazah dan sebagainya" katanya kepada Astro AWANI.
Astro AWANI akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Jabatan Kesihatan Negeri termasuk sama ada pihak pengurus jenazah yang dilantik mematuhi arahan Maik.
-AstroAwani

Ahad, 8 Ogos 2021

COVID-19: Brunei lapor 7 kes positif selepas 457 hari tanpa kes tempatan

 COVID-19: Brunei lapor 7 kes positif selepas 457 hari tanpa kes tempatan

Dengan pengesanan kes-kes terbaharu ini, ianya sekali gus menamatkan rekod sifar jangkitan tempatan di Brunei Darussalam selama 457 hari sejak kes terakhir dilaporkan pada 6 Mei 2020 yang lalu. - Foto fail
BANDAR SERI BAGAWAN: Kementerian Kesihatan Brunei pada Sabtu memaklumkan lapan kes baru jangkitan COVID-19 telah disahkan di negara itu, yang mana tujuh daripadanya adalah merupakan kes jangkitan tempatan dan satu adalah kes import.
Penambahan ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kepada 347 jangkitan.
Lima kes baru didapati mempunyai kaitan dengan salah sebuah pusat pemantauan wabak COVID-19 iaitu pusat yang berfungsi sebagai lokasi pengasingan bagi warga asing, serta mana-mana individu yang masuk dari luar negara.

“Kelima-lima kes itu tidak mempunyai sebarang sejarah perjalanan keluar negara dalam masa beberapa bulan kebelakangan.

“Kluster ini dipercayai berkemungkinan telah terdedah kepada salah seorang kes import yang tiba di Brunei Darussalam,” menurut Kementerian Kesihatan Brunei.
Turut difahamkan, kesemua tujuh kes tempatan yang dilaporkan berusia antara 23 hingga 54 tahun dan rata-rata mereka telah mendapatkan dos kedua vaksin.
Manakala, bagi kes ke lapan iaitu kes import ialah seorang lelaki berumur 34 tahun yang tiba pada 30 Julai 2021 daripada Timur Tengah melalui Kuala Lumpur dengan menaiki penerbangan Diraja Brunei B1874.
“Kes ini menunjukkan tanda-tanda jangkitan ringan pada 3 Ogos 2021 dan hasil siasatan, kes ini telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19,” tambahnya lagi.
Dengan pengesanan kes-kes terbaharu ini, ianya sekali gus menamatkan rekod sifar jangkitan tempatan di Brunei Darussalam selama 457 hari sejak kes terakhir dilaporkan pada 6 Mei 2020 yang lalu.
-AstroAwani

Pertembungan ‘2 kem’ UMNO, kemana kesudahannya?

Pertembungan ‘2 kem’ UMNO, kemana kesudahannya? Selepas pengumuman tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi untuk menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu, semua mata kemudian tertumpu kepada ‘kem’ menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen UMNO/Barisan Nasional diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Apatah lagi ketika sidang media Zahid, pemimpin yang kelihatan berdiri di belakang Presiden juga bukan calang-calang.

Daripada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan sehinggalah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman.

Turut mengejutkan apabila Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah menjadi Menteri UMNO pertama melepaskan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli pada hari yang sama.

Kumpulan ahli Parlimen yang menyokong Perikatan Nasional (PN) juga dikatakan sedikit ‘goyang’ dengan tindakan Shamsul Anuar apatah lagi, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan lebih banyak menteri dan timbalan menteri akan mengikut jejak itu.

Setakat Khamis, antara yang turut mengikut jejak Shamsul Anuar ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang meletakkan jawatan dalam Boustead Holding dan Datuk Mohd Razlan Rafii sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Kedua-duanya merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bagaimanapun mereka bukan ahli Parlimen yang boleh memainkan peranan dalam kiraan undi di Parlimen.

Selepas empat hari menanti, apakah kumpulan menyokong Muhyiddin akan kekal dalam kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan bersama Zahid, jawapannya terungkai pagi Jumaat.

Dalam satu sidang media khas, Ismail Sabri yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO berkata, kesemua 31 Ahli Parlimen UMNO/BN tidak akan meletak jawatan atau menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan PN.

 Katanya, mereka berpendirian untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya kerajaan hari ini meneruskan pentadbiran.

Menurutnya, Seri Paduka Baginda telah berkenan agar keabsahan kerajaan PN ditentukan di Parlimen dengan satu usul percaya terhadap Muhyiddin dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat September ini.

“Jadi jelas bahawa, Seri Paduka Baginda mahu Parlimen diadakan dan penentuan untuk sama ada kerajaan hari ini boleh berfungsi selepas September.

“Ini jelas pihak Istana Negara tidak lagi menerima surat akaun SD atau pun surat-surat sokongan,” kata Ismail Sabri dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Sama seperti sidang media Presiden pada Selasa, Ismail Sabri juga mengumpulkan pemimpin-pemimpin kuat BN di belakangnya.

Antara pemimpin yang berdiri bersama Ismail Sabri dalam sidang media itu termasuklah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Sadique.

Tidak ketinggalan bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahdidan Kassim.

Nampaknya, dengan keputusan 31 menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen UMNO/Barisan Nasional makin jelas hubungan dua kem dalam parti terbesar di Malaysia itu makin tegang.

Walaupun nampak tegas dalam sidang medianya baru-baru ini, bagaimanapun untuk kesekian kalinya, Zahid terus gagal sama ada untuk ‘memujuk’ atau ‘menggertak’ 31 pemimpin UMNO dan BN bagi bersama beliau.

Persoalannya, kini apakah langkah politik seterusnya di pihak Presiden? Adakah beliau mempunyai keberanian untuk mengambil tindakan disiplin atau memecat ke atas 31 pemimpin UMNO/BN? Atau perlukah Zahid mencongak jalan lain dalam memastikan beliau mendapat lebih banyak sokongan? Yang pasti, keengganan ahli Parlimen UMNO/BN untuk terus menuruti arahan Zahid adalah satu tamparan hebat kepada institusi Presiden parti itu.

Namun, persoalannya juga, sekiranya pada 6 September ini, kerajaan PN tumbang menerusi undi tidak percaya di Parlimen, apakah nasib 31 ahli Parlimen UMNO/BN yang melanggar Presiden dan ke mana kesudahannya?

-mykmu.net

Tokyo 2020: Atasi juara dunia, Azizulhasni raih pingat perak acara keirin

 Tokyo 2020: Atasi juara dunia, Azizulhasni raih pingat perak

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, menamatkan saingan keirin dengan pingat perak mengatasi juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu, sebentar tadi.
Hadir ke Sukan Olimpik Tokyo sebagai antara pilihan untuk muncul pemenang pingat emas, susulan kejayaan meraih gangsa lima tahun lalu.
Perjalanan Azizulhasni ke final semestinya menepati ramalan apabila tidak berdepan sebarang masalah dalam pusingan pertama hingga ke final.
Turun sebagai wakil tunggal daripada Asia Tenggara dan Asia, ia bukanlah satu penghalang untuk berada dalam kelompok enam terbaik.
Penyandang juara dari Great Britain, Jason Kenny yang mengetuai saingan menampilkan corak strategi berbeza dalam final, melancarkan kayuhan pantas sejak tiga pusingan sebelum menamatkan saingan di tempat pertama.
Dalam perebutan pingat perak, Azizulhasni mengikuti rapat Lavreysen sepanjangan perlumbaan sebelum mengecewakan juara dunia di garisan penamat untuk membawa pulang pingat perak buat negara.

Tauke mengaku ditahan polis untuk bantu siasatan kes pemerdagangan manusia

 Tauke mengaku ditahan polis untuk bantu siasatan kes pemerdagangan manusia

Pelawak terkenal, Tauke mengaku ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan polis berkaitan kes pemerdagangan manusia. - Gambar/ Facebook
KUALA LUMPUR: Pelawak terkenal, Tauke mengaku ditahan polis bagi membantu siasatan berkaitan kes kegiatan pemerdagangan manusia untuk tujuan seks baru-baru ini.
Tauke atau Zamatul Amri Zakaria, 45, berkata dia telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa susulan kes berkenaan.
Namun, dia menafikan menjadi 'bapa ayam' atau mempunyai kaitan dengan aktiviti berkenaan.
“Kepada yang tidak puas hati, memang aku ditahan untuk bantu siasatan dan aku telahpun memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
“Bukan jadi bapa ayam atau pengedar, tiada kaitan aktiviti tersebut,” jelas Tauke yang membuat pengakuan tersebut menerusi akaun Instagram Story miliknya yang diulang siar isterinya, Nadia Mohd Effendi pada Sabtu.
Sebelum ini, Tauke dikatakan terkilan apabila namanya dikaitkan dengan kes pemerdangangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah.
Media melaporkan seorang pelawak terkenal ditahan di sebuah hotel di Kuala Pilah pada Ahad lalu bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia.
Pelawak lelaki berusia 40-an itu ditahan dalam serbuan Ops Pintas dilakukan jam 10 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuala Pilah selepas hasil maklumat dan risikan pihaknya.
Sehubungan itu, polis telah berjaya menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi seks.
-AstroAwani

Sabtu, 7 Ogos 2021

"Allah hadirkan keajaiban di depan mata saya" - Shuib syukur perkembangan Siti Sarah

 "Allah hadirkan keajaiban di depan mata saya" - Shuib syukur perkembangan Siti Sarah

Perkembangan positif yang ditunjukkan Siti Sarah amat-amat menggembirakan Shuib kerana sebelum ini dia mengakui hampir putus asa terhadap keadaan isteri kesayangannya itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kesyukuran tidak henti-henti dipanjatkan pelawak dan usahawan Shuib Sepahtu apabila doktor memaklumkan keadaan isterinya, Siti Sarah Raisuddin semakin stabil.
Bahkan, perkembangan positif yang ditunjukkan Siti Sarah, 36, amat-amat menggembirakan Shuib kerana sebelum ini dia mengakui hampir putus asa terhadap keadaan isteri kesayangannya itu.
Menurut Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, setakat pukul 6 petang Sabtu, kadar oksigen Siti Sarah sudah mencecah paras 85 berbanding paling rendah sebanyak 40 pada pukul 11 malam Jumaat sedangkan kadar ideal oksigen bagi manusia ialah melebihi 95 peratus.
“Allah maha baik. Allah bantu saya dan Siti Sarah dengan memberikan rahmatNya, dihadirkan ramai orang berdoa, membaca Yassin dan mengadakan solat hajat tanya henti.
“Berkat kebaikan semua orang pada isteri saya itu, Allah hadirkan keajaiban buat saya. Keajaiban itu berlaku di depan mata saya. Saya amat-amat bersyukur dan menginsafi kebaikan Allah buat saya dan isteri,” kata Shuib ketika berkongsi perkembangan terkini Siti Sarah dalam sesi bacaan Yassin dan doa selamat menerusi aplikasi Zoom sebentar tadi yang disertai oleh 157 kenalan pasangan itu.
Selepas berhari-hari melalui detik-detik yang sukar sehingga tidak lelap tidur serta hilang selera makan, Shuib mengakui, keajaiban yang Allah hadirkan dalam tempoh 24 jam lalu telah mengembalikan semangat serta senyumannya.
“Di sebalik uijan ada kemanisan yang Allah berikan. Saya sangat beremosi dan terlalu seronok melihat keprihatinan rakan-rakan kami yang saling berganti menghadiahkan bacaan Yassin, solat hajat serta doa yang tidak putus-putus buat Siti Sarah serta anak kami.
“Saya seperti mendapat semangat baharu. Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan buat Siti Sarah, hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya,” kata Shuib.
Siti Sarah yang popular dengan lagu Kesetiaan itu dikejarkan ke Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia pada Rabu lalu kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan selepas dijangkiti COVID-19.
Selain Siti Sarah, Shuib bersama tiga anak mereka Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.
Shuib dan anak-anaknya bagaimanapun, disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.
Berikutan Siti Sarah sedang hamil tujuh bulan, doktor telah mengeluarkan bayi dalam kandungannya sekitar pukul 5 petang Jumaat.
Anak keempat pasangan artis itu diberi nama Ayash Affan kini berada dalam keadaan stabil.
Kata Shuib, anak bongsu mereka itu masih ditempatkan di HCTM tetapi sudah mula menunjukkan perkembangan yang baik.
“Pada awalnya doktor maklumkan anak kami tidak bernafas dan tidak bergerak tetapi selepas memantaunya … sudah mula menunjukkan perkembangan, sudah mula menendang kaki dan menggenggam tangannya selain sudah membuka mata,” cerita Shuib dalam nada penuh syukur.-Astro Awani

BENDA SALAH YANG KITA INGAT BIASA WAKTU RENOVATE RUMAH.

Gambar hiasan

Kebiasaannya kita ni bila dah beli rumah, rasa kita nak buat apa pun boleh, ye lah rumah kita kan, hasil titik peluh dari kecil menabung, dah besar ni mesti nak renovate rumah bagi cantik. Renovate? Tak ada masalah tapi tau tak apa yang boleh dan tak boleh?

1. Tiada permit.

Kalau diikutkan, kerja-kerja kecil seperti tukar tile dapur, toilet pun perlu permit. Permit ubahsuai dalaman/ permit kerja kecil namanya. Untuk kerja yang tidak mengubah struktur sedia ada. 

Nak letak tong roro di depan rumah pun perlu ada permit ya. Tak boleh suka-suka pasal depan rumah dah bukan kawasan kita, itu kawasan PBT dah. 

Jadi cuba pergi ke majlis dan bertanya kan hal ini, untuk mengelakkan kita kena denda waktu random spot check oleh majlis. 

2. Tambah floor area tanpa kelulusan PBT

Alah tambah dapur belakang je bang, alah tambah bilik tepi sikit saja. Jangan main-main ya main tambah kiri kanan atas tanpa kelulusan majlis, kalau tertangkap, ready lah duit untuk bayar denda. 

Nak renovate tambah floor area ni memerlukan kelulusan dari PBT. Tak boleh terus hire kontraktor dan jalan terus. Salah. Hire arkitek dan arkitek akan selesaikan urusan untuk menyediakan dan mendapatkan pelan lulus dari PBT. 

Arkitek mahal? Saja nak beritahu, kalau majlis tahu anda buat renovation tanpa pelan lulus, denda 10x dari wang proses pelan dan kena submit lalu arkitek juga. Mana lagi mahal? Ikut cara betul ke salah? Boleh fikir-fikirkan. 

3. Tak bincang dengan jiran

Sebelum nak renovate, berbincang lah dengan jiran dulu. Pasal bila bising kerja renovate, mereka yang kena hadap. Kalau 8 bulan bising, 8 bulan lah mereka makan hati. Last-last jiran sendiri yang report ke PBT, tambah pula tak ada kelulusan. Dah satu hal pula. 

Tak rugi berbaik dengan jiran. Lagi pula kepada siapa yang baru berpindah dan terus renovate rumah, jiran pun tak kenal, main langgar terus renovate. 

Sekarang pun kalau nak renovate memang memerlukan consent dari jiran.Macam borang yang kita dah inform jiran kita nak renovate. Percayalah, tak rugi berbaik dengan jiran. 

4. Renovate sampai line pagar depan. 

Perlu diingat, walaupun DALAM kawasan pagar tu rumah anda, tak bermakna anda boleh buat rumah sampai pagar. haha. Tak boleh ya. Kalau rumah, perlu ada anjakan sehingga 6.1m atau 20 kaki dari line pagar/line sempadan. Itu adalah kehendak PBT. 

Anda boleh didenda jika berbuat demikian. Boleh jadi akan dirobohkan. Ikut budi bicara majlis, apa pun saya ingat kan awal-awal, tak boleh ya. Cuba rujuk arkitek atau PBT kalau tak percaya. 

5. Renovate LUAR dari pagar depan!

Ini level legend. Biasa ni level-level T20 ni. Dia nak buat apa? Dia nak buat guard house weh! Gated and guarded community dah, tapi rasa tak selamat lagi. Sayang kan Mustang punya pasal, dia buat pondok guard luar dari pagar. Tak boleh ya. 

Terang lagi bersuluh tak boleh. Kalau bertanya dengan majlis ni, confirm dia jeling punya. Tak sempat tanya dah kena reject. haha. 

Baru ni ada juga viral segala tanaman, kerusi batu, reban dekat depan rumah kena clear dengan jentolak pasal ada kerja repair paip. PBT cakap dah luar pagar bukan area kita, jadi hadap sajalah kalau semua tu kena clear kan untuk kerja-kerja pembaikian. 

6. Submit pelan lulus lain, buat di site lain!

Jenis ni ada juga. Submit untuk permit kelulusan saja, lepas tu dibuat lebih lagi dari ikut pelan lulus. Banyak kes arkitek pun tak tahu. Sudah nya, arkitek tarik diri, CCC pun tak ada. Ini pun tak boleh ya. 

To sum up, ikut lah undang-undang. Mudah. Jangan kerana terlalu ingin berjimat, hujung nya kita rugi juga. 

Ar.Ahmadkhairul Sabirin of Sabirin Rosli Architect

Malu bertanya, duit lebur 

Jumaat, 6 Ogos 2021

Peguam rugi hampir RM260,000 ditipu Macau Scam

 - Hiasan

- Hiasan

GEORGETOWN: Seorang peguam kerugian RM259,900 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa kononnya lelaki itu terbabit dalam kes dadah di samping mempunyai tunggakan cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, peguam berusia 40 tahun dan mempunyai pejabat guaman di Bukit Mertajam, mendakwa ia bermula apabila dia menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mengaku pegawai LHDN.

Katanya, suspek mendakwa peguam itu kononnya mempunyai tunggakan cukai RM32,000, sebelum panggilan itu disambungkan kepada lelaki mengaku pegawai polis, yang memberitahu peguam itu terbabit kes jenayah.

Peguam yang ketakutan dan bimbang ditahan polis itu kemudian mengikut arahan suspek dengan melakukan pindahan wang secara berperingkat berjumlah RM259,900 ke tiga akaun berbeza, sebelum gagal menghubungi semula 'pegawai polis' berkenaan," katanya.

Mohd Rosni berkata, peguam itu kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam dan semakan ke atas tiga nombor akaun digunakan suspek untuk mangsa memindahkan wang itu dipercayai ia milik keldai akaun.

"Setakat ini tiada laporan polis ke atas tiga nombor akaun itu, namun nombor telefon yang digunakan sindiket bersangkut dengan tiga laporan di Dato Keramat, Bukit Mertajam serta Nilai, Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu. - BERNAMA