"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Khamis, 14 Oktober 2021

Umno tak mampu tangkis ‘serang balas’ penyandang, kata penganalisis

 

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam dilema sama ada memilih untuk dilihat lemah mengambil tindakan atau terpaksa kekalkan kestabilan partinya, menurut penganalisis.

PETALING JAYA: Umno tidak mampu menangkis “serangan balas” penyandang kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada sekiranya Ahmad Zahid Hamidi, selaku presiden parti, berkeras enggan memberi watikah pencalonan menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Situasi berkenaan didorong kebimbangan bahawa penyandang kerusi berisiko mencari tempat dalam parti lain, termasuk parti seteru seperti Bersatu, PKR atau memilih PAS.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Jayum Jawan berkata, situasi berkenaan meletakkan Umno dan kepemimpinannya dalam dilema, jika penyandang tidak dicalonkan.

“Mereka akan mencari tempat dalam parti lawan. Jika penyandang dicalonkan pula, ia dilihat sebagai tanda kelemahan kepimpinan Umno. Ibarat pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapak,” katanya kepada FMT.

Jayum Jawan.

Pada PRU14, Umno menang 54 kerusi Parlimen, namun angka itu berkurangan selepas 15 daripada mereka melompat parti dan menyertai Bersatu.

Ketika krisis sokongan terhadap Perdana Menteri ketika itu Muhyiddin Yassin memuncak pada Julai, 25 Ahli Parlimen Umno enggan menarik sokongan terhadap kepemimpinan kerajaan diterajui beliau, walaupun Zahid mengarahkan semua Ahli Parlimennya menurut arahan parti.

Zahid ketika itu, hanya mampu menyakinkan 13 Ahli Parlimen, termasuk dirinya untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum Ismail Sabri Yaakob, dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

Dalam pada itu Jayum berkata, bagaimanapun penyandang kerusi sedia ada berkemungkinan menolak tawaran pencalonan semula kerana mahu memilih platform baharu dengan peluang menang lebih cerah kerana enggan dikaitkan dengan parti yang mengalami kekalahan teruk pada PRU14.

“Justeru, Umno dan Zahid tidak mempunyai “upper hand” (kelebihan) dalam soal ini,” katanya.

Mengulas pendirian Umno yang mahu bertanding bersendirian menggunakan platform Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) Melaka tanpa membabitkan Muafakat Nasional (MN) dan PAS, Jayum berkata, parti berkenaan tidak bersedia untuk berkongsi kuasa di negeri itu.

Katanya, Umno dijangka turut bersendirian menjelang PRU15 kerana berpandangan kos bersama PAS adalah agak tinggi, terutama melepaskan sejumlah kerusi untuk ditandingi PAS.

“Pemimpin utama Umno percaya parti tersebut masih kuat dan berpotensi kembali ke kancah politik negara seperti sebelum ini.

“Hanya dengan cara itu sahaja Umno akan tahu sama ada peranan dan zaman keagungannya sebagai parti politik utama orang Melayu di Semenanjung dan di seluruh negara masih relevan atau tidak dalam politik negara,” katanya.-FMT

Ahli Parlimen Labuan didakwa guna kedudukan dapatkan kontrak pekerjaan

 Ahli Parlimen Labuan didakwa guna kedudukan dapatkan kontrak pekerjaan

Rozman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Labuan hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, tiga tahun lepas. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, tiga tahun lepas.
Rozman, 57, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Mengikut pertuduhan, Rozman didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd yang bapa dan adik lelaki tertuduh mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya, antara 2.30 petang dan 5.30 petang, 21 Mac 2018.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan tersebut dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sebaik sahaja pertuduhan dibacakan, Rozman yang memakai sut biru gelap berkata: "Saya sama sekali tidak bersalah dan minta dibicarakan".
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan yang diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali telah bersetuju jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin diberikan kepada Rozman.
Ahmad Akram turut memohon supaya pasport Rozman diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Muhammad Rafique, yang mewakili Rozman mengesahkan jumlah jaminan yang telah dipersetujui.
Rozina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Ketika membenarkan tertuduh diikat jamin, Rozina berkata jika boleh penjamin berkenaan adalah individu yang tinggal di Semenanjung.
"Kita tidak mahu sekiranya berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sana (Labuan) atau apa sahaja, ia menjadi kesukaran... jadi, mahkamah mahu penjamin yang tinggal di Kuala Lumpur atau Selangor," kata Rozina.
Mahkamah turut menetapkan 19 Nov ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA

“Nenek Jelita Berusia 33 Tahun” – Bangga Digelar ‘nenek Paling Muda Di Britain’

 


LONDON – Seorang wanita mendedahkan dia berasa bangga digelar ‘nenek paling muda di Britain’ selepas mempunyai cucu pada usia 33 tahun, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Gemma Skinner, menerima seorang cucu perempuan minggu lalu selepas anaknya, Maizie, melahirkan bayi tersebut pada usia 17 tahun.

“Pada mulanya, saya enggan dipanggil ‘nenek’, namun kini berasa suka mendengar nama panggilan itu,” ujarnya.

Menurut Skinner, ketika Maizie dimasukkan ke hospital sebelum melahirkan cucunya, jururawat di situ menyangka bahawa dia ialah kakak kepada anaknya.


“Jururawat yang datang untuk memberikan suntikan epidural kepada Maizie bertanya sama ada kami ialah saudara perempuan. Kami ketawa mendengarnya kerana sering mendengar pertanyaan seperti itu,” katanya.

Skinner memiliki tiga orang anak perempuan dengan anak bongsunya, Bella, kini baru berusia empat tahun selain Gracie yang berusia 10 tahun.

Dia melahirkan Maizie pada tahun 2004 ketika berusia 16 tahun. – Agensi

Rabu, 13 Oktober 2021

“Steady PM Kita…” Selamba Tegur Kanak-Kanak Di R&R, Ismail Sabri Raih Perhatian Warganet



WALAUPUN sentiasa sibuk dengan hal pentadbiran negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri masih berkesempatan meluangkan bersama rakyat.

Jadual waktunya tentu padat, namun tidak menghalang beliau bertegur sapa dengan orang ramai.

Dalam perkembangan terbaru, Ismail Sabri dilihat berbual dengan dua kanak-kanak bersama bapa di sebuah kawasan rehat dan rawat.

‘Ternampak dua anak kecil ini sedang makan nasi lemak bersama bapa mereka di R&R Lekas.

“Teruja melihat telatah mereka yang comel dan petah berkata-kata,” tulisnya.

Dalam pertemuan yang singkat, dua kanak-kanak berkenaan bertuah itu sempat merakamkan foto bersama dengan beliau untuk kenang-kenangan.

 Menjengah ke ruangan komen, warganet rata-rata memuji tindakan Perdana Menteri yang prihatin dan berjiwa rakyat.

- “PM macam inilah yang rakyat suka...mesra rakyat..ambil tahu masalah rakyat ..saya sayang PM sekarang..

- “PM yang paling sempoi.”

- “Untungnya dapat jumpa Datuk Sri Ismail Sabri.”

- “Turun Padang selalu jumpa rakyat.. Well Done Bapa Keluarga Malaysia.”

Sumber: @ismailsabri60

Kredit:Sinar Plus

Bertanding sendirian PRN Melaka: 'Pendirian peribadi Presiden atau UMNO?' soal PAS

 Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Datuk Kamarudin Sidek.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Datuk Kamarudin Sidek.

MELAKA: Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berhubung pendirian bertanding bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat tidak menguntungkan Melayu dan Islam.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek, berkata dalam situasi politik semasa yang menyaksikan kuasa politik Melayu dan Islam semakin terancam, Ahmad Zahid sepatutnya lebih memahami keadaan sebenar.

"Saya tidak tahu sama ada ia kenyataan peribadi atau pendirian parti, tetapi secara keseluruhannya ia tidak menguntungkan Melayu dan Islam.

"PAS meletakkan survival politik dan nasib umat Islam sebagai matlamat perjuangan politik tetapi kenyataan Presiden UMNO itu tidak membantu kita memperkukuh penguasaan politik kita di negeri ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Kamarudin menyerahkan kepada PAS Pusat untuk menentukan kerjasama parti itu dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Katanya, Ahmad Zahid tidak wajar menggunakan kuasa veto dalam menentukan kerjasama UMNO-PAS dalam MN, sebaliknya diserahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk membuat keputusan.

Kamarudin berkata, PAS belum memutuskan sama ada bertanding 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Melaka seperti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atau sebaliknya.

Katanya, PAS negeri masih mencongak kerusi bakal ditandingi bagi memastikan parti berkenaan mendapat sokongan besar pengundi dan akan terus bekerjasama dengan BERSATU menyusun strategi pilihan raya kali ini.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain, termasuk PAS yang menjadi sekutunya dalam MN atau BERSATU.

-BH Online

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 17- SZB- JED

 


Zul meneliti baris demi baris, faks daripada Universiti Islam Madinah yang disampaikan oleh Ustaz Haji Ambak Ismail, mantan Mudir SMAASZA dan antara anggota Jemaah Nazir Negeri Terengganu.

“Alhamdulillah, tahniah Zul, Zaini, Shohor Bani, Rudaini, Hanafi. Lime orang dari Tranung terpilih untuk masuk Universiti Islam Madinah!”, ucap Ustaz Haji Ambak dengan penuh bangga sambil menunjukkan salinan faks berkenaan kepada Ustaz Nik Wan.


Dato’ Ustaz Haji Ambak, guru yang dikasihi. Banyak membantu urusan pendaftaran saya ke Universiti Islam Madinah pada tahun 1989.

Biarpun tanpa SMS atau Whatsapp, berita tiga orang bekas pelajar Thanawi SMAASZA dan dua orang bekas pelajar Maahad Tahfiz Terengganu lulus temuduga dan mendapat tawaran ke Universiti Islam Madinah sudah gegey[1] ke seluruh pelosok bumi Terengganu.

Ustaz Haji Ambak banyak membantu urusan Zul dan saing-saing untuk ke Madinah. Beberapa masalah teknikal melibatkan urusan dokumen, visa, pendaftaran, semuanya dipermudahkan melalui bantuan Ustaz Haji Ambak yang kelihatan lebih teruja daripada anak-anak muda ini. Siang malam beliau bertungkus lumus berurusan dengan pihak Kedutaan.

********************

“Ni, Shohor, ade mende ana nok bincang skek!”, Zul memanggil kedua-dua orang saingnya. Pada hari tersebut, ada kenduri kesyukuran dan doa selamat yang diadakan di rumah Zul. Memang meriah sambutannya. Jarang-jarang anak Kampung Kubang Kekura boleh sambung belajar di luar negara. Kali terakhir rumah Ustaz Mad semeriah ini adalah ketika kenduri kesyukuran keberangkatan Mi dan Yah, abang sulung dan kakak kepada Zul, ke Universiti al-Azhar di Mesir pada 2 tahun lepas. Tetamu tidak putus-putus datang sejak pagi. Masing-masing menghulurkan sumbangan RM1, RM5, dan RM10 sebagai tanda sokongan dan pemberi semangat. Ada juga jiran tetangga yang membantu Hajah Ramlah menyediakan juadah makanan. Suasana indah sebeginilah yang mengeratkan hubungan jiran tetangga dan saudara mara di kampung.

Zul menarik tangan Shohor ke tepi rumah, di lambo[2] yang terletak di bawah pokok. Zaini menurut dari belakang.

“Due tige hari lagi, kite doh nok gi Madinoh. Ndape hok jadi pung, kite kene same-same kuat. Kalu ana ralik, enta wojik tegur. Hok peting skali, kene belajor sabor sebab kite duk tempat orang. Kite dok aa’uu sep Arab ni wane. Budaye lain, care hidup lain. Nabi sebut doh:

لاَ يَصْبِرُ عَلَى لأْوَاءِ الْمَدِينَةِ وَشِدَّتِهَا أَحَدٌ مِنْ أُمَّتِى إِلاَّ كُنْتُ لَهُ شَفِيعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَوْ شَهِيدً

Dop ade umatku hok bersabor dengang kesusahang, rohok di Madinoh kecuali aku wi syafaat di hari Kiamat atau jadi saksi kepadanye.[3]

Kedue, kene bbetul niat. Nabi janji orang hok ngaji ni, Allah mudohkang jalang ke syurge. Ketiga, Madinoh ni bumi yang banyok ulama’. Empat taung kite di Madinoh nanti, cari ilmu ssunguh. Ana ingat lagi Ustak Nik Wan kabor, Ibn Abbas pesang,

الْعِلْمُ أَكْثَرُ مِنْ أَنْ يُحْصَى فَخُذُوا مِنْ كُلِّ شَيْءٍ أَحْسَنَهُ

Ilmu ni banyok, dop leh nok kire. Ambiklah hok mmolek sekali dari segheme ilmu. ”

Madinoh di bumi barokah. Kene bbanyok doa. Sebagaimane kite jade adab dengang guru-guru kite di sini, adab dengang para masyaikh di Madinoh pung kene jage. Ngaji dengan rama guru. Jangang se je. Ngaji kene fokus. Kene sokmo bace kitab, muzakarah. Ikut contoh Imam Syafie, die kate ‘Kalu aku panoh sepuloh kali, tak dop se pung hok tersasar.’ Se lagi, pahang mmolek Fiqh Syafie walaupung kite akan ngaji fiqh empat mazhab. Sebab Malaysia ni paka mazhab Syafie. Ngaji Fiqh Syafie untuk kite gune di Malaysia, ngaji fiqh empat mazhab untuk kite raikang mazhab lain bile sesuai.” Zul saling mengingatkan kepada Zaini dan Shohor Bani tentang fokus mereka sepanjang berada di Madinah akan datang.

“Zul…mari tolong angkat dulang ning! Kekgi sapa Madinoh, buallah puas-puas!”, Hajah Ramlah memanggil anaknya yang kelihatan masih bersembang di lambo.

*********************

Ustaz Mad dan Hajah Ramlah sekeluarga telah bersiap sedia di dalam kereta. Pok De, Mok De, Pok Leh, Adi, AJK balasoh dan hampir seluruh jiran tetangga yang berdekatan, sedang menunggu beramai-ramai. Zul pula? Masih di atas rumah. Sekejap masuk, sekejap keluar bilik. Kertas catatan barang-barang yang perlu dibawa, disemaknya berkali-kali untuk memastikan tidak ada yang tertinggal. “Zul, cepat skek! Kapal terbang tu dop tunggu kite!”, Ustaz Mad memanggil anaknya dari dalam kereta.

“Allahuakbar, Allahuakbar…!”, laungan azan yang berkumandang, mengiringi kenderaan yang dipandu Ustaz Mad ke Lapangan Terbang Telaga Batin. Suasana yang amat hiba dan sayu. Hajah Ramlah melambai-lambai dari laman rumah sambil mengesat air matanya yang berlinangan. Zul cuba untuk mengukir senyuman namun dadanya tetap berombak menahan sedih. Entah ada lagi atau tidak, peluangnya untuk bertemu kembali keluarga yang dikasihi.

Di Lapangan Terbang Telaga Batin, ramai telah menunggu. Keluarga, jiran tetangga, sanak saudara kepada lima orang anak muda Terengganu itu sudah memenuhi lobi lapangan terbang. Sesaknya seakan musim orang balik haji! Perjalanan udara satu jam daripada Lapangan Terbang Telaga Batin ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang yang mengambil masa satu jam tidak terasa jauhnya dek debaran yang terasa. Entah bagaimana rupanya Arab Saudi? Khabarnya hanya ada padang pasir? Orang Arab ni, adakah sebaiknya Ustaz Sa’id al-Qasabi, Ustaz Utuwwah, Ustaz Taha dan lain-lain guru berbangsa Arab di SMAASZA? Jauh Zul mengelamun, melihat sayap kapal terbang membelah awan putih.

Lima minit sebelum mendarat, pemandangan Kuala Lumpur mula kelihatan. Selama ini, Zul hanya melihat Kuala Lumpur di kaca televisyen. Apa yang ada di depan mata lebih mengujakan. Pembangunan di Kuala Lumpur dilihat dari udara, jauh pesat membangun. Bangunan besar di sana-sini. Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Zul sekeluarga disambut oleh Abang Mi, sepupunya yang menetap dan bekerja di Kuala Lumpur. “Besornye…airport ke ndape ning?”, Zul berbisik seorang diri melihat Lapangan Terbang Antarabangsa Subang yang tersergam indah.

Anak jati Kubang Kekura yang baharu pertama kali sampai bandar besar seperti Subang, memang pengong bak rusa masuk masuk kampung. “Abang Mi, bakpe bah tu due tingkat? Guane drebar ye bowok? Bakpe stereng di bowoh?”, Zul bertanya kepada sepupunya dengan penuh ketakjuban. Melihat bas double decker di lapangan terbang, memanglah menakjubkan bagi anak kampung yang hanya kenal bas Pokcik Ripin dan Bas Deraman yang sudah uzur.

“Hahaha…Zul, stereng bah ni di bowohlah. Kalu di atas, panjang jeta[4] lah tiang stereng ye.”, ketawa besar Abang Mi dengan sikap sepupunya yang masih kehairanan melihat bas dua tingkat.

Pesawat Saudi Airlines sudah sedia menanti. Zul bersalaman dengan ayahnya sebelum masuk ke dalam pesawat. “Ayoh. Zul mitok maaf ye kalu ade saloh silap. Jangang lupe doakang Zul…”,  terasa sayu perbualan Zul dan ibu bapanya pada hari itu kerana sepanjang hidupnya, itulah kali pertama beliau terpisah jauh daripada keluarganya. Sebelum masuk ke dalam pesawat, Zul, Zaini dan Shohor Bani melambai-lambai keluarga masing-masing buat kali terakhir.

**********************

“Good afternoon passengers. This is the pre-boarding announcement for flight Saudi Airlines to Jeddah from Kuala Lumpur. We are now inviting those passengers with small children, and any passengers requiring special assistance, to begin boarding at this time. Please have your boarding pass and identification ready. Regular boarding will begin in approximately ten minutes time. Thank you.” Suara pramugari di corong pembesar suara menyambut para penumpang masuk ke dalam pesawat.

“Shohor. Ye cakak orang putih pulop. Guane ana nok balah[5] kalu pramugari tanye ape-ape kekgi?”, bisik Zul. Shohor Bani cuma ketawa kecil dan berkata, “Dakpe. Doh name pung Saudi Airlines. Confirmlah ye buleh cakak Arab. Enta ni pung…”

‌سُبْحَانَ ‌الَّذِي ‌سَخَّرَ ‌لَنَا ‌هَذَا، ‌وَمَا ‌كُنَّا ‌لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ»، وَإِذَا رَجَعَ قَالَهُنَّ وَزَادَ فِيهِنَّ: «آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ[6]

“Bagoh Saudi Airlines ning. Kapteng ye bace doa dulu sebelum jalang…”, kata Zul kepada Shohor Bani di sebelahnya.

Dari tingkap pesawat, Zul melihat Lapangan Terbang Antarabangsa semakin menjauh dan mengecil, seterusnya hilang di celah awanan. Meninggalkan bumi Terengganu dan Malaysia, menuju ke satu tanah yang asing baginya demi perjuangan untuk menuntut ilmu. Dirinya sudah mula merindui ayoh, chik dan adik beradiknya di kampung. Zul cepat-cepat mengesat air matanya sebelum Shohor perasan.

Tidak ada apa-apa aktiviti yang boleh dilakukan di udara ini. Hanya tidur, solat dan makan. Sesekali, Zul akan membaca buku-buku yang dibawanya bersama di dalam beg galas. Inilah juga kali pertama Zul dan saing-saingnya mempraktikkan solat di atas kapal terbang.

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa para ulama’ Syafi’iyyah menegaskan solat fardhu wajib dilakukan secara berdiri sekiranya mampu. Sekiranya ada keuzuran seperti mabuk laut dan sebagainya, maka boleh menunaikan sembahyang fardhu sambil duduk kerana dianggap sebagai orang yang uzur.”[7] Keuzuran yang dimaksudkan bukan hanya sakit tetapi boleh juga difahami sebagai risau berlaku sesuatu sekiranya berdiri, solatnya menjadi sangat sulit jika berdiri atau mabuk udara. Dalam keadaan ini, Imam al-Khatib al-Syirbini menyatakan keharusan solat dalam keadaan duduk.[8] Sekiranya penumpang tidak dapat menghadap kiblat oleh sebab keuzuran, maka solat tetap perlu ditunaikan bagi menghormati waktu dan wajib digantikan semula. Itulah yang disimpulkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’.

********************

8 jam 50 minit perjalanan udara daripada Subang ke Jeddah memang memenatkan. Zul mendongak ke atas dan membaca papan tanda besar yang menyambut mereka.

أهلا وسهلا إلى مطار الملك عبدالعزيز الدولي

“Selamat datang ke Lapangang Terbang Antarabangse Raje Abdul ‘Aziz…”, Zul cuba menterjemahkannya.  Matanya tidak berkelip-kelip melihat suasana baharu yang sangat asing baginya. Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz jauh lebih besar daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Nak dibandingkan dengan Lapangan Terbang Telaga Batin? Jauh langit dengan bumi.

Beliau menjeling jam di dinding. “3.15 pagi. Kalu ikut mase sini, nok masuk Subuh doh.”, kata Zul kepada Zaini dan Shohor Bani.

“Ruh…ruh![9]”, jerit pegawai imigresen yang melihat Zul dan saing-saingnya masih tercegat duk cacang[10] tidak bergerak ke mana-mana. “Cepat Zul! Arab tu doh halau kite..”, Shohor Bani mengajak Zul yang tertinggal jauh di belakang. Masih belum hilang keterujaannya melihat keadaan sekeliling.

__________________

[1] Heboh

[2] Pangkin

[3] Riwayat Muslim (3413)

[4] Sangat panjang

[5] Balas

[6] Hadis Riwayat Muslim, no. 425

[7] Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/222

[8] Mughni Al-Muhtaj, 1/214

[9] Jalan! Jalan!

[10] Berdiri

Sumber Asal: zulkiflialbakri.com

 Artikel Barkaitan:

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Prolog

 Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 1- Budak Kampung

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 2 - Bukan Lagi Yang Dulu

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 3 - Ramadhan di Kubang Kekura

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 4 - 10 Malam Akhir Ramadhan

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 5- Indahnya Raya

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 6- Atlit Takraw SMASZA Ladang

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri :Bab 7 - Sambutan Hari Kebesaran Islam

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 8- 11A di SMASZA Ladang

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 9- Bekwoh di Tranung

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 10- Usrah, Tarbiah dan Dakwah

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 11- Cerita Budak Kubang Kekura di depan Syeikhul Azhar

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 12: Al-Arqam dan Nadamurni

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 13: Belajar dan Mengajar

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 14- Jemaah Tabligh

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 15 - “Demonstrasi Aman” di SMAASZA

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 16 - Temuduga Universiti Islam Madinah

PRN Melaka: Zahid mahu putus kerjasama dengan PAS, yakin sapu bersih

 

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat mahu memutuskan kerjasama dengan PAS, malah akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan pilihan raya umum (PRU)  secara bersendirian atas bendera Barisan Nasional (BN).

Presiden UMNO itu berkata kerjasama yang dijalin dalam Muafakat Nasional (MN) sudah tidak relevan lagi, selain persefahaman itu juga tidak pernah didaftarkan secara rasmi ia tidak menjadikan UMNO terikat dengan sebarang syarat untuk meneruskan kerjasama.

“Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana PRK-PRK (pilihan raya kecil) yang pernah diadakan,” katanya dipetik dalam satu wawancara semalam.

Jelas Zahid, keputusan memutuskan kerjasama dengan PAS juga sama dengan langkah yang diambil terhadap Bersatu sebelum ini dan berharap ahli-ahli UMNO akan menghormati pendirian tersebut.

“Ketetapan telah dibuat dan saya sebagai presiden menghormati bahawa dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti kita tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.

“Saya fikir itulah kehendak di kalangan ahli-ahli UMNO dan kepimpinan UMNO di seluruh negeri Melaka. Saya harap mereka yang mendengar apa yang saya nyatakan ini adalah ekoran daripada suara hati dan suara hati politik mereka,” katanya.

UMNO semasa Perhimpunan Agung 2020 pada Mac lalu membuat ketetapan memutuskan hubungan kerjasama dengan Bersatu, ia juga menyaksikan 15 Ahli Parlimen (MP) yang dikepalai Zahid menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Zahid sebelum itu merancang pakatan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan Muhyiddin, ia susulan pendedahan klip audio tular antara kedua-dua mereka sebelum ini.

Zahid juga bersama rakannya, Datuk Seri Najib Razak turut menghantar surat menyatakan sokongan terhadap Anwar ke Istana Negara sehingga menyaksikan berlaku satu lagi kemelut politik negara.

Muhyiddin meletak jawatan pada Ogos lalu seleps hilang majoriti angkara 15 MP yang diketuai Zahid sendiri, namun mengambil pendekatan secara diplomasi apabila mencalonkan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Ismail Sabri akhirnya menjadi PM baharu menggantikan Muhyiddin dan meredakan ketegangan politik yang melanda negara.

Zahid yang terpalit puluhan pertuduhan di mahkamah bagaimanapun masih meneruskan usahanya untuk menjatuhkan kerajaan Ismail Sabri pula apabila dilihat cuba mencari masalah dengan PAS kini.

-Agenda Daily

Krisis Melaka: Tular surat kelulusan korek pasir pemimpin UMNO pula?

Surat berkaitan kelulusan mengorek pasir yang dikaitkan dengan pemimpin UMNO mencetuskan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, tular di media sosial.

Selepas tular klip audio yang mendakwa perbualan antara bekas EXCO Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob, kini tular pula surat yang didakwa dikeluarkan pejabat Ketua Menteri Melaka berkaitan permohonan mengorek pasir.

Surat yang bertarikh 27 September 2021 itu merupakan kelulusan daripada Jabatan Ketua Menteri Melaka kepada sebuah syarikat enterprise berpejabat di Tanjung Bidara, Masjid Tanah.

Sumber memaklumkan kepada Agenda Daily bahawa pemimpin utama UMNO Melaka yang menjadi punca kemelut politik terbaharu turut mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan.

Individu tersebut didakwa menjadi punca rasa tidak puas hati empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diketuai Idris sebelum ini yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

 Surat itu adalah berkaitan permohonan untuk mendapatkan permit mengeluarkan bahan batuan (pasir sungai) sebanyak 21,000 metrik tan (12,000 meter padu) di atas tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran di Mukim Gadek, Alor Gajah, untuk tujuan jualan.

Menurut kandungan surat itu, mesyuarat Jawatankuasa Pecah Sempadan dan Belah Bahagi Tanah Negeri Melaka (JKBB) Bil 7/2021 yang bersidang pada 3 September 2021 telah bersetuju meluluskan permohonan itu

Antara lain syarikat itu dikenakan syarat:

  • Jumlah kuantiti: 21,000 metrik tan;
  • Tempoh: 6 bulan;
  • Kadar royalti: RM3 semetrik tan;
  • Bayaran royalti: RM63,000 (RM3 x 21 metrik tan);
  • Wang cagaran: RM12,600 (RM63,000 x 20%);
  • Bayaran kupon (doket): RM2,400 (48 buku x RM50); dan
  • Jumlah bayaran: RM78,000

Sebelum ini, Idris ketika mempertahankan tindakan menarik sokongan sehingga kerajaan UMNO Melaka tumbang turut membangkitkan isu berkaitan pasir dan royalti di negeri itu.

Media memetik Idris sebagai berkata:

“Kalau UMNO ini terus mempunyai pemimpin-pemimpin seperti yang ada pada hari ini, rakusnya diibaratkan makan itu tangan kanan dan kiri disuapkan ke mulut sambil mata menjeling lagi ke makanan lain di atas meja, yakni projek-projek ekonomi di negeri Melaka ini.

“Ribuan meter kubik pasir yang ditambak daripada tengah laut dibawa ke sini tapi diisytihar dengan jumlah yang rendah, menipu kerajaan Persekutuan dalam bentuk royalti, semuanya berlaku dengan jelas.”

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertemu dengan Idris dan merakam percakapannya. Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad mengesahkan pertemuan selama dua jam dengan Idris tetapi tiada dokumen dirampas.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman audio yang dikatakan mirip suara Idris dan Perdana Menteri berbual mengenai krisis politik di Melaka.

Dalam klip audio berdurasi lebih 7 minit itu kedua-duanya menggunakan kata ganti diri ‘aku’ dan ‘engkau’, selain nama Rauf turut disebut.

-Agenda Daily

Cristiano Ronaldo jalin perniagaan dengan jutawan Singapura

CRISTIANO Ronaldo bersama Peter Lim.

LONDON: Hubungan Cristiano Ronaldo dan jutawan Singapura, Peter Lim lebih daripada sekadar persahabatan kerana mereka juga rakan perniagaan yang amat rapat.

Semalam, pasangan itu telah mengumumkan usaha sama perniagaan baharu, ZujuGP.

 Beberapa tahun lalu, syarikat milik Peter, Mint Media menjadi pemilik dan pentadbir semua hak gambar Ronaldo, selain dari yang dihasilkan oleh kelab di mana dia bermain pada waktu tertentu.

Semalam, Ronaldo mengumumkan bahawa perniagaan baharunya bersama Peter adalah platform ZujuGP, yang bertujuan untuk menyatukan bola sepak, teknologi dan komunikasi.

“Anda tidak akan pernah melihat bola sepak dengan cara yang sama lagi.

“Daftar untuk ZujuGP dan mulakan perjalanan ini bersama kami,” kata Ronaldo di laman media sosialnya.