"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Khamis, 7 Oktober 2021

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 14- Jemaah Tabligh


 “Tuan-tuan yang mulia. Asbab kejayaan kita di dunia dan akhirat ada empat; beriman kepada Allah, beramal soleh, melaksanakan perintah Allah dan usaha atas iman dan amal. Hal ini Allah dah sebut dalam Surah al-‘Asr. Alhamdulillah, kita ada ramai buzruq[1] yang boleh bantu kita dalam usaha dakwah hari ini di Malaysia khususnya Terengganu. Depa boleh bantu kita dalam ilmu masa’il[2].Ilmu fadha’il[3] ni boleh dapat kalau istiqamah majlis ta’lim. Cuma hanya tunggu diri kita untuk membentuk zihin, fikir risau tentang umat.”. Penyampai bayan Maghrib[4] di hadapan Zul jelasnya adalah daripada luar Terengganu. Mungkin daripada Kedah, berdasarkan loghatnya.

“Jadi, ada yang sudi untuk luangkan sedikit masa untuk kita sama-sama usaha atas iman dan amal? Kita sama-sama belajar islah[5] diri.”, tanya penyampai bayan. Lantas seorang lelaki berusia sekitar 30-an yang berbaju kurta putih dan berserban, bangun dengan buku nota dan pen di tangannya. “Insya-Allah tuan-tuan. Satu hari boleh, tiga hari boleh, insya-Allah.”, begitulah kata-katanya.

Zul memerhatikan kiri dan kanannya. Beberapa orang telah mengangkat tangan dan menyatakan kesudian untuk khuruj fi sabilillah.[6] “Alhamdulillah tuan. Satu hari. Yang di hujung sana berapa hari? Tiga hari? Alhamdulillah. Abang depan ni berapa hari? Sepuluh hari? Subhanallah. Insya-Allah nusrah Allah sentiasa ada untuk mudahkan urusan kita semua untuk usaha maqami[7] dan usaha intiqali[8]”, nampak wajah penyampai bayan tersenyum gembira melihat ramai yang sudi turut serta bersama mereka.

“Satu bulan, insya-Allah.” Zul bersuara. Suasana tiba-tiba menjadi sunyi. Semua mata memandang Zul dengan penuh keterujaan. Orang lain sehari, tiga hari, paling banyak sepuluh hari. Anak muda ini langsung sebulan!

“Subhanallah…tahniah adik. Adik orang yang mulia. Masa belajar ya? Kecik-kecik dah ada jazbah[9] untuk buat kerja dakwah,” kata pemberi bayan kepada Zul. Beliau belum pernah ada pengalaman mengikut jemaah Tabligh. Justeru, cuti panjang Tahun 4 Thanawi ingin dimanfaatkannya untuk aktiviti yang berfaedah. Selama ini beliau hanya membaca tentang sejarah hidup Maulana Zakariyya al-Kandhlawi dan Maulana Ilyas al-Kandhlawi.

**********************

Jamaah Tabligh diasaskan oleh Hadratji Maulana Muhammad Ilyas di India pada tahun 1927. Legasi dakwahnya diteruskan oleh keturunannya, iaitu Hadratji Maulana Muhammad Yusuf al-Kandhlawi, seterusnya Hadratji Maulana In’amul Hassan al-Kandhlawi dan seterusnya.

Maulana Ilyas al-Kandhlawi

Zul mula mengenali jemaah Tabligh semasa berusia 13 tahun. Ketika itu, Ijtima’ Tabligh Sedunia diadakan di Bukit Besar, Kuala Terengganu pada tahun 1982. Zul datang dengan ayahnya untuk mendengar bayan yang disampaikan oleh Maulana Umar Palanpuri, yang terkenal dengan gelaran al-ra’is al-mutakallim[10] dan tabligh ki zabaan (lidah tabligh).

Jarang dilihat pada hari ini mereka memikul periuk belanga. Namun pada era 70-an hingga 80-an, ini adalah biasa.

Belum pernah Zul melihat ribuan manusia berkumpul seramai itu di padang awam Bukit Besar untuk mendengar bayan. Dari jauh kelihatan beberapa kumpulan memikul periuk, belanga, pinggan dan mangkuk baru turun daripada bas. Berbaju kurta dengan seluar yang labuhnya di atas buku lali atau berjubah dengan serban terlilit di kepala, hampir kesemuanya berjanggut panjang. Terselit kayu sugi di poket atas baju yang sering digunakan terutamanya sebelum menunaikan solat. Setiap kali mereka melintas di hadapan Zul, semerbak bau wangian minyak attar. Itulah umumnya imej jemaah Tabligh.

“Allah se hota hai, Allah ke sewa kuch nehi hota. Sare ke sare kamiabi serf Allah ke hat me hai. Sare ke sare hazanah Allah ke pas hai.

(Allah berkuasa, selain Allah tidak kuasa. Semua kejayaan hanya di tangan Allah. Semua perbendaharaan hanya di tangan Allah)”

Maulana Umar Palanpuri

Bicara Maulana Umar Palanpuri walaupun perlahan dengan untaian kata yang mudah, tetapi amat menusuk ke dalam hati. Menitis air matanya ketika membacakan firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”[11]

Orang ramai yang hadir begitu tekun mengikuti bayan Maulana Umar Palanpuri yang dibantu mutarjim orang Malaysia. Turut kelihatan di barisan hadapan, Maulana Hadratji In’amul Hasan. Hampir kesemuanya kelihatan mencatat setiap butiran yang disampaikan oleh Maulana. Zul juga mendengar, sambil tangannya bermain batu-batu kecil.

Meneliti kitab bersama para asatizah Madrasah Darul Ulum Sri Petaling

Usamah bin Syarik radhiyallahu ‘anhu menyebutkan sifat majlis Nabi SAW:

أتيتُ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وآلهِ وسلَّمَ وأصحابُهُ عندَهُ كأنما على رؤوسهمُ الطيرُ قال فسلَّمتُ عليهِ وقعدتُ.

“Aku datang kepada Nabi SAW sedangkan sahabat-sahabatnya di sisinya, seolah-olah ada burung di atas kepala mereka. Lalu, aku mengucapkan salam kepada Nabi SAW dan aku duduk”[12]

Ibn Qutaibah rahimahullah ketika menjelaskan maksud perkataan “burung di atas kepala mereka” berkata:

أنهم يسكتون فلا يتحركون ويغضون أبصارهم، والطير لا تسقط إلا على ساكن

Maksudnya: “Mereka diam, tidak bergerak-gerak dan merendahkan pandangan mereka. Ini kerana burung tidak akan hinggap melainkan kepada benda yang tidak bergerak-gerak.”[13]

Ziarah pertama selepas wabak COVID-19 menimpa sahabat-sahabat dan para alim ulama di Sri Petaling

Di akhir bayan, beliau berpesan dalam Bahasa Urdu, “Hendaklah kita berada di atas yang lurus, bukannya jalan yang bengkok.” Mutarjim pun menterjemahkan kalamnya sebagaimana yang difahaminya. Apabila sampai kepada perkataan “bengkok”, Maulana Umar Palanpuri mengalihkan kepalanya dan bertanya kepada mutarjim dengan serius, “Adakah engkau katakan kota Bangkok?”. Kelihatan sebahagian karkun[14] dan masyaikh[15] Malaysia ketawa kecil.

“Tidak, Maulana. Maksud saya, jalan yang tidak lurus. Itulah bengkok dalam Bahasa Melayu.”, kata mutarjim sambil tersenyum. Maulana mengangguk-angguk tanda faham dan turut ketawa bersama hadirin.

********************

Zul dan saing-saing daripada SMAASZA yang memberi nama, diminta hadir ke Markaz Tabligh Kubang Bujuk. Markaz yang diasaskan oleh hartawan terkenal Terengganu, almarhum Haji Muda, tidak jauh daripada rumahnya. Lebih kurang 10 minit sahaja. Di sana, Zul belajar untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang sunnah-sunnah Nabi, belajar untuk istiqamah bangun menunaikan solat Tahajud pada setiap malam, meningkatkan ibadah terutamanya di malam syabguzari[16]

Kenangan semasa mengikuti Ijtima’ Tabligh di Tongi pada 2017

Zul juga belajar untuk beramal dengan enam prinsip sahabat Rasulullah SAW melalui muzakarah[17] berkenaan kalimah tayyibah (syahadah), solat yang khusyu’, ilmu dan zikir, ikram muslimin, ikhlas niat, dakwah dan pengorbanan. Waktu makan adalah antara waktu yang ditunggu-tunggu. Adakalanya, Zul akan menawarkan diri untuk khidmat ta’am[18]Juadah yang dihidangkan memang sedap dan dimakan beramai-ramai dalam dulang ketika masih panas-panas. Tua, muda, Dato’ Seri, Tan Sri, kerani, tukang sapu, semuanya sama mulia di sisi Allah SWT. Sama-sama menikmati hidangan dengan penuh berselera.

Memandangkan Zul adalah penduduk setempat, beliau dilantik sebagai rahaba[19] bagi memudahkan usaha ghast[20] di kawasan sekitar. Pantang sahaja ada bayan hidayah[21], bayan wafsi[22], majlis ta’lim yang dibacakan Fadha’il Amal, semuanya beliau sertai. Di waktu lapang, beliau akan membaca sendiri Fadha’il Amal susunan Maulana Zakariyya al-Kandhlawi. Alhamdulillah, dalam kesibukan aktiviti sebulan di Markaz Tabligh Kubang Bujuk, Zul berjaya menyelesaikan 3 juzuk bacaan al-Qur’an.

Kenangan semasa mengikuti Ijtima’ Tabligh di Tongi pada 2017

Pada hari terakhir beliau di sana, rasa sayu ingin berpisah dengan sahabat-sahabat ya  ng baru dikenali di sana. Tempoh sebulan terasa singkat kerana padatnya aktiviti ibadah dan usaha dakwah yang dijalankan. Sebelum pulang, Ustaz Rasyid Long menyampaikan pesanan terakhir kepada semua jemaah pelajar. Beliau selaku pembimbing kepada jemaah pelajar bertanya kepada Zul, “Zul, ade azam untuk khuruj lagi?”

Zul mengangguk, tersenyum dan menjawab ringkas, “Insya-Allah IPB satu mase nanti!”.

Ketika berada dalam sebuah masjid di Australia, saya disapa kumpulan masyaikh Jama’ah Tabligh yang kebetulan dalam rangka usaha dakwah di Australia.

____________________

[1] Orang alim dan orang-orang lama yang mengikut usaha dakwah tabligh

[2] Ilmu-ilmu fardhu ‘ain yang perlu dipelajar dengan guru

[3] Ilmu tentang kelebihan amalan

[4] Majlis penerangan untuk menjelaskan maksud tujuan usaha tabligh. Bayan biasanya berkisar untuk membicarakan enam sifat utama yang perlu diusahakan.

  1. Keyakinan kepada kekuasaan Allah SWT dan keyakinan yang teguh kepada sunnah Rasulullah SAW.
  2. Memperbaiki solat
  3. Ilmu dan zikir, keduanya saling berkaitan.
  4. Ikram al-Muslimin (memuliakan orang Islam)
  5. Memperbaiki niat iaitu menjaga niatnya semata-mata kerana Allah
  6. Dakwah dan tabligh iaitu usaha yang perlu dilakukan untuk menerapkan pentingnya usaha dakwah dan tabligh di kalangan umat

[5] Memperbaiki diri dalam usaha jamaah tabligh. Program-program tertentu dibuat untuk pengislahan melalui usaha dakwah, ta’lim, ibadah dan dzikir serta khidmat.

[6] Keluar ke jalan Allah, yaitu keluar dari tempat kediaman bergerak di jalan Allah dari satu tempat ke tempat lain, dari satu masjid ke masjid lain di seluruh dunia untuk menjalin silaturahmi dan berdakwah atau tabligh.

[7] Usaha dakwah tempatan/setempat

[8] Usaha dakwah luar

[9] Semangat atau keghairahan dan perasaan cinta seseorang terhadap usaha agama dan yang berkaitan dengan itu.

[10] Penghulu jurubicara

[11] Surah Fuṣṣilat: 30

[12] Riwayat Abi Daud, no. 3855

[13] Lihat Gharib Al-Hadis 1/506

[14] Rakan-rakan satu usaha dalam dakwah dan tabligh

[15] Orang alim atau orang lama dalam dakwah

[16] Bermalam dan menghidupkan malam setiap minggu dengan beribadah di markaz

[17] Perbincangan

[18] Khidmat menyediakan makanan kepada jemaah

[19] Penunjuk jalan

[20] Ziarah dari rumah ke rumah untuk menyampaikan dakwah. Disebut juga sebagai dakwah umumi

[21] Bayan kepada jemaah yang telah dibentuk sebelum berangkat khuruj, perkara terpenting ialah mengikuti tertib-tertib yang telah diberikan dalam usaha dakwah dan tabligh

[22] Bayan yang diberikan setelah jemaah kembali dari khuruj

Sumber Asal: zulkiflialbakri.com

 Artikel Barkaitan:

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Prolog

 Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 1- Budak Kampung

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 2 - Bukan Lagi Yang Dulu

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 3 - Ramadhan di Kubang Kekura

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 4 - 10 Malam Akhir Ramadhan

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 5- Indahnya Raya

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 6- Atlit Takraw SMASZA Ladang

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri :Bab 7 - Sambutan Hari Kebesaran Islam

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 8- 11A di SMASZA Ladang

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 9- Bekwoh di Tranung

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 10- Usrah, Tarbiah dan Dakwah

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 11- Cerita Budak Kubang Kekura di depan Syeikhul Azhar

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 12: Al-Arqam dan Nadamurni

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 13: Belajar dan Mengajar

Tarik sokongan:Noor Effandi gugur keahlian sebagai ahli Bersatu

 ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad. FOTO  SYAFEEQ AHMAD

ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Kuala Lumpur: Keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad gugur secara serta-merta di bawah Fasal 10 Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Biro Politik Bersatu membuat ketetapan bahawa Noor Effandi gugur keahliannya secara serta-merta susulan tindakannya menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka.

Menurutnya, ketetapan itu akan disahkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan datang.

"Biro Politik Bersatu bermesyuarat pada hari ini untuk membincangkan perkembangan politik terkini di Melaka.

"Biro Politik Bersatu melahirkan rasa amat kecewa dengan tindakan empat Adun Melaka yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka ketika rakyat sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Hamzah berkata, Biro Politik Bersatu berpendapat kemelut politik itu berpunca daripada masalah dalaman parti politik tertentu.

Beliau berkata, ia bertambah parah apabila terdapat pihak tertentu mengambil kesempatan tanpa memikirkan kebajikan rakyat serta kepentingan negara pada ketika ini yang masih di peringkat awal proses pemulihan.

Menurutnya, Biro Politik Bersatu berpendirian bahawa kemelut politik di Melaka perlu diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan Negeri Melaka dan Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

-myMetro

Siapa menang sekiranya MN terkubur?

 

Penganalisis sukar meramalkan sama ada perpecahan akan menguntungkan Umno atau Bersatu, namun mereka bersetuju PAS akan terjejas kerana hilang sokongan Umno dan penyokongnya.

PETALING JAYA: Siapa akan menang sekiranya Muafakat Nasional (MN) yang menjadi pakatan antara Umno dan PAS terkubur sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan?

Perpecahan mungkin berlaku sebelum pilihan raya, namun penganalisis sukar meramalkan sama ada ia akan menguntungkan Umno atau Bersatu.

Bagaimanapun mereka bersetuju PAS akan terjejas kerana hilang sokongan Umno dan penyokongnya.

Selasa lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, mungkin sudah tiba masanya untuk “beralih” daripada pakatan yang dibentuk dua parti itu pada 2019 kerana Umno tidak lagi boleh berdepan dengan ketidaktentuan MN dalam persiapannya berdepan PRU15.

PAS juga adalah sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Bersatu, namun pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) lalu, Umno membuat ketetapan untuk tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya.

Dalam keadaan tersepit di tengah-tengah, PAS berkata, ia akan menyokong penyandang di kawasan pilihan raya yang menyaksikan pertembungan antara Umno dan Bersatu.

Felo Majlis Profesor Negara (MPN) Jeniri Amir memberitahu FMT bahawa beliau percaya sekiranya Umno lebih sensitif terhadap sentimen rakyat, ia tidak lagi memerlukan sokongan daripada parti Islam itu.

“Pada 2019, apabila mereka mengadakan pakatan selepas PRU14, persepsi rakyat terhadap Umno tidak begitu baik,” katanya.

Jeniri Amir.

“Tetapi ia berubah. Kedudukan parti itu lebih baik sekiranya memutuskan untuk berdepan pilihan raya umum tanpa PAS.

“Secara peribadinya, saya tidak melihat alasan PAS di sebalik sokongannya terhadap Bersatu memandangkan ia tidak mempunyai jumlah kerusi yang sama atau jentera yang kuat seperti yang dibina oleh Umno selama ini.”

Katanya, perpecahan secara rasmi akan memudahkan Ismail Sabri Yaakob dan pentadbirannya memandangkan mereka tidak perlu lagi memenuhi kehendak PAS.

“Umno ialah parti nasionalis, manakala PAS pula parti Islam. Perpecahan akan membantu Umno apabila pada masa itu ia mungkin dilihat sebagai lebih sederhana,” katanya.

Bagaimanapun bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, perpecahan itu akan lebih menguntungkan Bersatu.

“PAS dan Umno akan rugi besar jika MN tidak dipertahankan memandangkan ia terbukti berhasil berdasarkan apa yang dilihat dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini,” katanya.

Azmi Hassan.

Beliau merujuk kepada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Kecil dan Cameron Highlands pada 2019 apabila jentera gabungan dua parti itu berjaya memberi kemenangan kepada calon sekutu mereka.

“Bersatu akan menang daripada semua keadaan ini memandangkan ia amat memerlukan sokongan PAS sekiranya calon parti itu berdepan dengan Umno,” kata Azmi.

Namun katanya, ia tidak mungkin memberi kesan kepada pembangkang “memandangkan Umno, PAS dan Bersatu mempunyai banyak pertindihan penyokong” dan mereka tidak mungkin beralih daripada ketiga-tiga parti itu.-FMT

Beberapa Hari Lagi Boleh Rentas Negeri - Dr Noor Hisham

 

Larangan rentas negeri akan ditarik balik dalam masa beberapa hari lagi, maklum Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Berita baik itu disampaikan Hisham di Twitternya awal pagi ini.

“Dalam masa beberapa hari, larangan rentas negeri akan ditarik balik.


“Penting untuk mengambil semua langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup muka, membasuh tangan, dan penjarakan fizikal, meskipun dalam kalangan yang sudah divaksin.

“Bagi memastikan yang tersayang dan ahli keluarga anda selamat, lakukan ujian air liur RTK-Ag sendiri secara berkala,” ciapnya.

Semalam juga, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberikan bayangan serupa, apabila menitipkan pesan agar rakyat sentiasa mengambil sikap bertanggungjawab dan berjaga-jaga.

Katanya, ketika kerajaan sudah beralih untuk melakukan ujian hanya ke atas mereka yang bergejala, rakyat yang hidup dalam latar yang banyak bergerak serta mempunyai kontak yang tinggi, digalakkan untuk membuat ujian Covid-19 dengan kerap.

“1.6 peratus lagi (kadar vaksinasi) sebelum sempadan antara dibuka dibuka.


“Kalau mahu balik kampung jumpa orang tua, buat ujian air liur RTK. Pastikan mereka selamat,” ciapnya semalam.

Kata Khairy juga, kerajaan tidak lagi boleh memantau segala perkara seperti membuat sekatan jalan raya untuk memeriksa status vaksinasi rakyat, oleh itu, kini segala-galanya terpulang kepada tanggungjawab dan sikap peribadi rakyat.

Pada 22 Sept, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi Covid-19.

Hari ini, Bernama melaporkan bahawa kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa sudah mencecah 88.8 peratus setakat Rabu (semalam), menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi kini tinggal 1.2 peratus.

Berdasarkan data KKM menerusi portal Covidnow, 94.6 peratus atau 22,135,242 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin ~ MalaysiaKini

Entah apa akan jadi kalau saya tidak temui Malaysia, Islam - Mat Dan

 Entah apa akan jadi kalau saya tidak temui Malaysia, Islam - Mat Dan

Kisah Mat Dan yang tiba-tiba menjadi popular di Malaysia, mendapat perhatian BBC Radio yang menemuramahnya. - Foto Instagram/Mat Dan
KUALA LUMPUR: Sememangnya bukan perkara luar biasa untuk orang kita ke negara barat dan menetap di sana, namun pasti agak 'pelik' apabila individu dari negara luar, terutama dari negara barat, memilih untuk menetap di Malaysia.
Nama Mat Dan, atau Mohammad Kareef Daniel Abdullah bukan asing di pendengaran kita malah dia merupakan salah seorang selebriti paling dikenali di Malaysia, yang bermula gara-gara kefasihannya bertutur dalam dialek Terengganu.
Kisah Mat Dan yang tiba-tiba menjadi popular di Malaysia, mendapat perhatian BBC Radio yang menemuramahnya bagi mengetahui kisahnya sepanjang lebih sedekad di negara ini.
Dalam temuramah hampir 20 minit, Mat Dan berkongsi kisah hidupnya, bagaimana Malaysia mengubahnya menjadi insan yang lebih baik berbanding sebelumnya.
"Saya tidak tahu pun Malaysia di mana, saya dan kawan-kawan berada di Thailand ketika itu dan tidak merancang langsung untuk singgah ke Malaysia.
"Terlalu banyak perbezaan hidup saya sebelum ini dan sekarang. Memang dahulu saya muda, tidak banyak fikir tentang kehidupan apalagi masa depan.
"Saya masih orang yang sama, tetapi saya tinggalkan apa yang membuatkan saya tidak bahagia. Saya sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, itu sahaja perubahan paling besar dan positif dalam hidup saya.
"Jujur, saya tidak tahu apa akan jadi kalau saya tidak 'menemui' Malaysia dan Islam," katanya kepada penyampai radio, Emily Webb.
Lelaki berusia 31 tahun dari Cheltenham, England ini mengakui, keramahan dan kemesraan rakyat Malaysia sebagai faktor utama dia jatuh hati dengan negara ini.
"Semasa sampai di Terengganu, saya duduk minum di sebuah warung, seorang lelaki membayarkan harga minuman saya. Saya tanya kenapa, katanya saya nampak seperti baru sampai dan tidak kenal sesiapa, jadi dia mahu buat saya rasa selesa.
"Saya kagum dan di situlah saya terfikir, mungkin saya boleh tinggal lama di sini," ceritanya lagi.
Tambah Mat Dan, bergelar Muslim juga bukan satu perancangan namun perkenalan dengan ramai sahabat beragama Islam membuatkan dia mula bertanyakan banyak soalan, dan menemui jawapannya dalam Islam.
Bapa kepada dua cahaya mata ini menganggap penceburannya dalam dunia hiburan dan seterusnya dikenali sebagai selebriti, bukan pilihan sebaliknya satu tuah dan rezeki.
"Saya tak suka perkataan selebriti itu. Tetapi saya terima dan akur dengan hakikat bergelar orang yang dikenali di sini.
"Memang akan ada orang persoalkan, ramai orang asing datang ke Malaysia, pekerja Bangladesh dan Myanmar, ramai yang boleh berbahasa Melayu dengan baik tetapi tidak pula jadi selebriti.
"Tetapi saya tidak datang ke sini untuk menjadi selebriti. Saya hanya seorang traveller, tetapi kemudiannya menjadi terkenal. Ia terjadi begitu sahaja dan saya akur," ujarnya.
Mat Dan juga dikenali sebagai hos beberapa program televisyen, antaranya Haramain Backpackers dan Mat Dan Kaki Jalan, selain pernah muncul sebagai pelakon.
Dia mengahwini Nadifa Adnan pada 2017, dan dikurniakan dua anak, Zayne dan Eydan.
-AstroAwani

Alahai...Abang askar jilat tangan pekerja wanita diburu polis

 AKSI lelaki memakai pakaian seragam tentera memegang tangan pekerja wanita kedai vape di Taman Keramat, Ampang, sebelum menjilatnya, tengah hari semalam. FOTO ihsan polis

AKSI lelaki memakai pakaian seragam tentera memegang tangan pekerja wanita kedai vape di Taman Keramat, Ampang, sebelum menjilatnya, tengah hari semalam. FOTO ihsan polis

Ampang: Pekerja wanita sebuah kedai vape di Taman Keramat, di sini, trauma selepas menjadi mangsa cabul lelaki memakai pakaian seragam tentera, tengah hari semalam.

Dalam kejadian pada 1 tengah hari itu, mangsa berusia 18 tahun didatangi suspek yang ingin membeli barangan vape sebelum dia keluar selepas selesai melakukan urusan itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, selepas itu, suspek masuk semula ke dalam kedai dan beritahu pod vape dibelinya tidak berfungsi.

Beliau berkata, mangsa kemudian memeriksa pod itu dan menggantikan dengan yang baru.

"Mangsa menyerahkan pod vape terbabit dan ketika itu, suspek mengambil kesempatan memegang tangan mangsa serta turut menjilat tangan mangsa.

"Selepas mangsa beritahu ada kamera litar tertutup (CCTV), suspek terus melepaskan tangan mangsa dan beredar dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Mohamad Farouk berkata, siasatan diteruskan dan usaha untuk mendapatkan butiran peribadi dan mengesan suspek sedang dijalankan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu cabul.

Menurutnya, orang awam yang memiliki maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Siti Zaleha Abdullah ditalian 03 42897222 atau balai polis berhampiran.

-myMetro

Rabu, 6 Oktober 2021

“Bila Dia Sentap Dengan Teguran Ambe, Itu Tanda Masih Ada Iman”-PU Syed

 


Susulan teguran secara terbuka, usahawan Kak KM meluahkan rasa berang apabila pendakwah tersebut mengaitkan sentimen agama dengan perniagaannya serta mengatakan perniagaan yang dijalankan dengan cara berdosa serta rezeki dimiliki tidak berkat.

Tampil menjawab kenyataan balas Kak KM terhadap tegurannya, pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Syed Bakri berkata dia memberi teguran secara terbuka kerana dosa dibuat juga secara terbuka.


“Ambe tegur dia kata mengaibkan dia, dah selama ni dia dok mengaibkan diri sendiri dan keluarga dia perasan atau tak? Siapa yang mengaibkan siapa. Ambe menegur secara terbuka sebab dia buat dosa dan viralkan dosa secara terbuka,” tulisnya.

Kata PU Syed lagi, dia tidak memerlukan penghormatan daripada usahawan itu. Cukuplah Allah SWT menyaksikan bahawa antara salah dan benar itu adalah nyata.

Dalam pada itu, PU Syed berkata jika Kak KM tersinggung dengan tergurannya, itu bermakna masih ada iman di dalam dirinya.

“Bila dia sentap dengan teguran ambe..itu tanda masih ada iman dlm diri..berubahlah..kerana nyawa ni bukan dalam kawalan kita..sekejap je Allah boleh tarik,” tulisnya.

-rotikaya.com 

PRN Melaka: Zahid kata ‘No way’ kerjasama dengan Bersatu


PRN Melaka: Najib kata ‘No way’ kerjasama dengan Bersatu

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menjadi PRN yang pertama menyaksikan Umno bertanding menentang Bersatu sejak Langkah Sheraton yang menyaksikan kedua-dua parti itu bergabung untuk menjatuhkan Pakatan Harapan tahun lalu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Malaysiakini bahawa partinya tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya negeri akan datang.

 “Saya minta maaf … No way,” katanya dalam pesanan teks ketika ditanya apakah kerjasama yang ada antara kedua-dua parti Melayu itu akan diteruskan.Malaysiakini menghubungi Zahid untuk bertanya mengenai pendirian Umno, susulan pengumuman pembubaran DUN Melaka semalam yang menyebabkan PRN perlu diadakan.

Umno dan Bersatu adalah sebahagian daripada kerajaan persekutuan, yang kini dipimpin oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dari Umno.

Namun, kedua-dua parti tegang dalam banyak hal, dengan peristiwan besar termasuklah peranan Umno dalam memaksa Muhyiddin Yassin, yang merupakan presiden Bersatu, berundur sebagai perdana menteri pada bulan Ogos.Perhimpunan Agung Umno awal tahun ini juga memutuskan bahawa parti itu akan memutuskan hubungan politik dengan Bersatu pada pilihan raya akan datang.

Sementara itu, Zahid juga bersetuju bahawa PRN Melaka akan menjadi ujian untuk membuktikan bahawa Umno tidak memerlukan Bersatu untuk memenangi pilihan raya.

Dewan Undangan Negeri Melaka mempunyai 28 anggota.

Sebelum pembubaran DUN Melaka semalam, yang dicetuskan oleh konflik dalaman dalam kerajaan negeri BN-PN, Umno memegang kerusi terbanyak berbanding parti lain dengan 14 Adun, sementara Bersatu hanya memiliki dua.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Sulaiman Md Ali hilang majoriti selepas empat Adun, termasuk dua dari Umno dan satu Bersatu, mengumumkan penarikan sokongan mereka.-mKini