KASIH SEORANG AYAH DAN ANAKNYA...
Beberapa hari lalu kelihatan seorang sami Budha tiba di KLIA sambil menggendong beg kain. Dia bergegas ke Brickfields untuk menemui jasad ayahnya yang terbaring kaku.
Bukan rahsia lagi, dia adalah satu-satunya anak lelaki bilionair Tan Sri Ananda Krishnan.
Ajahn Siripanyo yang berkelulusan dari London School Of Economics (LSE) mengambil keputusan untuk menjadi seorang sami Budha dan memilih tinggal di kuil Budha dekat sempadan Thai-Myanmar lebih 20 tahun lalu.
Siripanyo adalah hasil perkahwinan Ananda dengan Puan Sri Momwajarongse Suprinda Chakraban, seorang ahli kerabat Diraja Thailand.
Siripanyo ada tiga beradik, dua lagi adalah adik perempuan.
Semasa hidupnya, biarpun sesibuk mana Ananda menguruskan empayar perniagaannya, dia tetap akan mencuri masa untuk menemui anak kesayangannya itu biarpun sejauh mana anaknya itu berada.
Ananda mungkin kecewa kerana harapannya untuk melihat Siripanyo meneruskan empayar perniagaannya tidak menjadi kenyataan, namun kasih sayang di antara mereka berdua tidak pernah tergugat.
Satu-satu keluhan Ananda yang pernah menjadi 'headline' media suatu ketika dahulu adalah: "Saya mempunyai kekayaan tetapi anak sendiri pun saya tak mampu belikan makanan"
Ini kerana sebagai sami, anaknya itu hanya mahu menerima makanan sumbangan orang ramai sekaligus menolak SEMUA pemberian bapanya, dari makanan sehinggalah harta/wasiat yang bernilai berbilion ringgit itu!
Menariknya, walaupun masing-masing memilih 'haluan berbeza', kasih sayang antara anak dan bapa ini tetap utuh.
Beberapa tahun lalu Ananda pernah terbang ke Malaysia bilamana mengetahui anaknya itu singgah di sebuah kuil dekat Bukit Bendera, Pulau Pinang. Untuk rekod, Ananda tinggal di Switzerland.
Pertemuan dua beranak itu berjaya 'dihidu' oleh media dan berita mengenainya menghiasi dada-dada akhbar.
Itulah satu-satunya gambar mereka dua beranak yang pernah dirakamkan lensa kamera. Ini kerana dari dulu Ananda seorang perahsia dan sangat low profile.
Dan semalam Siripayo dilihat bersalaman dengan orang ramai yang menziarahi mayat ayahanda yang sangat dikasihinya itu.
Silap haribulan, ketika saya menaip entry ini, dia mungkin sudah kembali ke kuil Dtao Dum Monastery, di sebuah kawasan terpencil dekat sempadan Thai-Myanmar yang juga 'istananya' sejak sekian lama.
Ini bukan cerita pasal kepercayaan, tetapi ini cerita kasih sayang seorang ayah dan anaknya.
Hanya kematian akhirnya memisahkan mereka...
0 comments:
Catat Ulasan