"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Khamis, 23 September 2021

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 10- Usrah, Tarbiah dan Dakwah

 


Semasa di SMAASZA Batu Burok, Zul masih aktif dengan sukan sepak takraw. Sebahagian besar waktunya di rumah sewa, dimanfaatkan untuk mengulangkaji pelajaran, membaca dan mengikuti majlis ilmu. Honda Cub TJ5329 hadiah Ustaz Mad dimanfaatkan sebaiknya untuk bertalaqqi kitab-kitab kuning dengan Tuan-Tuan Guru di sekitar Terengganu. Antaranya Tuan Guru Haji Abdul Rahman Fatani di Kuala Ibai, Tuan Guru Haji Mahmud di Masjid al-Muktafi Billah Shah, Ladang. Adakalanya menumpang kereta saing untuk bertalaqqi dengan Tuan Guru Haji Abbas di Tok Jiring.

Zul juga mula aktif menyertai usrah yang dikendalikan oleh Ustaz Zawawi Ali (adik Mustapha Ali), En. Zul dan En. Rosdi. Di sinilah beliau mula dikenalkan dengan dunia dakwah dan tarbiah haraki. Hari Jumaat pula, Masjid Rusila adalah destinasi wajib baginya untuk bertalaqqi kitab Akidah Muslimin, Safwat al-Tafāsīr dan Fiqh Haraki dalam Sirah Nabawiyyah bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Era 70-an dan 80-an adalah era kebangkitan Islam di Malaysia. Terengganu selaku negeri yang kuat dengan pengaruh PAS turut merasai kesannya. Bersamaan dengan kebangkitan kembali Islam, ideologi Islam semakin mendapat tempat, terutama dalam kalangan kelompok-kelompok dakwah dan para aktivis Islam. Suatu kerangka ideologi baru mula membentuk dasar keyakinan dan cara hidup mereka.

John L. Esposito menghuraikan beberapa bentuk keyakinan kelompok aktivis Islam pada ketika ini dengan menjelaskan:

  1. Islam adalah suatu cara hidup yang luas; agama yang terintegrasi dalam politik negara, hukum dan masyarakat.
  2. Masyarakat Muslim gagal kerana mereka menyimpang dari pemahaman Islam dengan cara mengikut nilai dan ideologi materialistis sekular Barat.
  3. Pembaharuan menuntut suatu revolusi sosial dan politik Islam yang berinspirasikan al-Quran dan Muhammad, pemimpin gerakan Islam yang pertama.
  4. Memantapkan kembali peraturan-peraturan Allah; hukum-hukum sivil yang dibawakan oleh Barat harus digantikan oleh hukum- hukum Islam yang merupakan blueprint masyarakat Muslim.
  5. Pembaratan masyarakat dikutuk, sementara modernisasi tidak, sains dan teknologi diterima, tetapi tunduk pada Islam agar dapat diawasi dari kemasukan nilai-nilai Barat.[1]

“Bila kita ada intima’ kepada dakwah, bermakna kita memahami apa itu dakwah dan tarbiah. Ia tak boleh dipisahkan. Kita memahami manhaj dakwah, apa ciri-cirinya, apa yang thawabit[2] dan mutaghayyirat[3]. Hidup kita perlu mencerminkan intima’ kepada dakwah…”. Begitulah pesan Ustaz Zawawi Ali kepada Zul dan ahli-ahli usrah yang lain ketika mensyarahkan kitab Māzā Ya’nī Intimāʿ li al-Islām oleh Fathi Yakan.

Zul juga terdedah kepada isu-isu pergolakan antara jemaah-jemaah Islam di Malaysia seperti Islamic Representative Council (IRC), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sampailah tertubuhnya Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) yang dipimpin Ustaz Dahlan Mohd. Zain. Beliau ada juga mendengar daripada saing-saing di KIK, insiden perebutan “anak usrah” dalam kalangan PAS, IRC dan ABIM.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi sendiri semasa di Universiti Islam Madinah, melazimi usrah bersama-sama Ustaz Harun Taib yang dipimpin oleh Syeikh Said Hawwa’. Selain mereka, terdapat juga beberapa orang pelajar Indonesia yang menganggotai Majlis Syuro Muslimin Indonesia (MASYUMI). Kitab Jundullah Thaqāfatan wa Akhlaqan yang menjadi silibus usrah mereka, telah pun dikhatamkan pembacaannya oleh Zul sejak mula aktif dalam kegiatan usrah.

Kadang-kadang, selepas kuliah di Masjid Rusila, Zul akan menuruti Tuan Guru sehingga ke rumahnya. Memang selalunya selepas kuliah, segelintir hadirin yang mengikuti kuliah tersebut akan meneruskan perbincangan di rumah Tuan Guru. Seronok mendengar mutiara-mutiara ilmu daripada Tuan Guru. Setiap butiran perbahasan fiqh yang dibincangkan, dicatat dengan penuh teliti oleh Zul dalam buku notanya.

“Ayoh Chik. Ambe dengor aqidah Druze ni sesat. Buleh Ayoh Chik syaroh ke kiter dop?”, tanya Abang Ali dengan penuh minat. Ada sekitar 10-15 orang yang berkumpul keliling Tuan Guru turut menantikan jawapan.

Tuan Guru bingkas bangun dan menuju ke rak bukunya. Kitab al-Shīʿah wa al-Tashayyuʿ tulisan Shaykh Ihsan Ilahi Zahir dicapai dan beliau kembali ke ruang tamu rumahnya. Setelah membetulkan silanya, Tuan Guru bersuara. “Druze ni, alirang akidah yang terkeluor daripade Ahli Sunnoh. Ajarang ning diasaskang oleh Muhammad bin Ismail al-Darazi. Hah, mari sama-sama kite teliti ape yang disebut oleh Shaykh Ihsan Ilahi Zahir dalam kitab ning…”

Sedar tak sedar hampir satu jam Zul berteleku dengan pen dan buku notanya. Apabila kakinya mula serbang[4]barulah beliau tersedar. Selepas bersalam dan mencium tangan Tuan Guru, beliau pantas menaiki motosikal dan pulang ke rumah sewa.

********************

Tuan, tuan…Saya duduk dalam penjara, rasa macam honeymoon! Keluaq dari penjara, bangga pulak rasa sebab jadi alumni ISA!”, berderai ketawa para hadirin yang hadir ceramah PAS pada malam tersebut yang bertempat di Markaz Tarbiah PAS Kuala Terengganu. Penceramah pada malam itu antaranya adalah Mohamad Sabu. Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu baru sahaja dikeluarkan daripada tahanan ISA atas tuduhan terlibat dalam gerakan pelampau. Zul bersama lautan manusia yang hadir tekun mendengar satu demi satu pidato yang disampaikan oleh para pimpinan PAS Terengganu dan Pusat. Di pentas kelihatan sosok Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Ustaz Harun Taib, Ustaz Bunyamin, Mustapha Ali, Wan Mutalib Embong, Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Awang Hj Din, Ustaz Haron Jusoh dan Ustaz Kassim Ahmad.

Ceramah PAS adalah satu-satunya ruang untuk orang Terengganu mendapatkan info-info semasa berkenaan hal-ehwal politik. Markaz PAS berperanan sebagai pusat maklumat sehenti bagi isu-isu politik selain majlis-majlis ilmu yang dihadiri Tuan-Tuan Guru. Selain markaz, ceramah juga dijalankan di rumah-rumah ahli PAS. Generator dihidupkan dan bermulalah ceramah yang berlangsung selepas Isya’ sehingga berakhir sekitar jam 11 hingga 12 tengah malam. Pernah sekali, blackout semasa ceramah. Dengan bertemankan lampu pelita dan suluhan lampu lori, ceramah diteruskan juga. Itulah semangatnya orang Terengganu dengan politik.

Sesekali, penceramah luar juga dibawa masuk untuk menarik kehadiran lebih ramai penduduk Terengganu. Zul sempat mengikuti ceramah beberapa pimpinan PAS dari luar Terengganu seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Mahfuz Omar, Dato’ Haji Fadzil Nor dan Tuan Guru Hj Yusof Rawa. Isu Memali adalah antara yang menjadi topik utama yang dikupas dengan sudut yang pelbagai oleh setiap ahli panel.


“Di dunia ini, kuaso Tuhe berikan jugok kepado ambo dan kepada orang lain. Kepado siapo sajo di atah dunio ni; Tuhe beri sedikit kuaso. Kuaso kecek[5], kuaso jjale[6], kuasa jamoh[7], kuaso nelle[8], kuaso bangun dan kuaso duduk; Tuhe buwi belako…Selepas itu Dia tunggu dan tengok; Kuaso yang Aku buwi tu panda ko dop manusio jago sebagaimana yang Aku nok. Ataupun dio jago seghupo yang dio mahu…” Bergema suara Tuan Guru Nik Abdul Aziz mensyarahkan ayat keempat daripada Surah al-Fatihah dalam ceramahnya.

Pernah sekali, diadakan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di Rusila pada 1988. Solat berjemaah diadakan dengan saf yang amat panjang, bermula di mihrab masjid sehinggalah ke pantai. Pengunjung bertali arus, pelbagai bangsa, negara dan warna kulit. Seakan-akan Rusila sudah jadi bandar antarabangsa buat beberapa hari! Pelbagai tokoh gerakan Islam antarabangsa hadir sebagai tetamu PAS. Di atas pentas, Zul melihat Saiful Islam bin Hassan al-Banna, Ma’mun al-Hudaibi (anak Hasan al-Hudaibi) mewakili Ikhwan al-Muslimin, Mehdi Akif, Rasheed Turabi, dan ramai lagi meliputi Nusantara, India, Pakistan dan Asia Tengah. Tuan Guru Haji Abdul Hadi bertindak selaku penterjemah.


Minggu itu, juallah apa sekalipun di Rusila, memang laris. Peniaga-peniaga kecil amat gembira dengan keuntungan berlipat kali ganda. Pengalaman pertama kali berada dalam majlis peringkat antarabangsa, membuatkan Zul kaget, teruja dan amat gembira. Sambil menikmati kepok, beliau mendengar satu persatu ucapan tokoh-tokoh gerakan Islam ini tanpa rasa jemu.

********************

Malam itu, Zul membelek-belek kitabnya, Jamʿat al-Muslimīn, Mafhūmuha wa Kayfiyatu Luzūmihā fi Waqīʿinā al-Muʿāṣir tulisan Shaykh Dr. Ṣolāḥ al-Ṣāwī. Fikirannya terawang-awang, mengingati kejadian yang berlaku baru-baru ini. Beberapa hari lepas, beliau mengikuti Khutbah Jumaat yang berapi-api semangatnya yang disampaikan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi di Masjid Rusila. Merah padam muka Tuan Guru ketika itu.

“Allah SWT berfirman dalam al-Qur’ān,

إِنَّ هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ يَهۡدِي لِلَّتِي هِيَ أَقۡوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أَنَّ لَهُمۡ أَجۡرٗا كَبِيرٗا

Maksudnya: “Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”

Kite amat kecewe dan sedih atas ape yang terjadi kepada almarhum al-syahid Ustaz Ibrahim Libya. Sesungguhnya tuan-tuan, kite hidup di zaman yang mengagungkang sekularisme. Sebagaimana kata Shaykh Yūsuf al-Qaraḍāwī, ini zaman pertarungan antara Islām dan sekularisme. Tak dapat tidak, kita perlu memerangi sekularisme dengan pendekatan akidah, ibadah, akhlak dan undang-undang! Shaykh Muḥammad al-Āmīn bin Muḥammad al-Mukhtār al-Shinqiti dalam tafsirnye pade ayat ini menegaskan bahawa barangsiapa yang mengikut syariat selain daripada syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW, maka perbuatang itu menghampiri kekufuran yang nyata!”


Khutbah beliau menjadi tajuk berita utama di peringkat nasional. Media-media berkampung di  Masjid Rusila untuk mendapatkan pandangan lanjut Tuan Guru berkenaan kenyataannya yang menentang tindakan Kerajaan terhadap Ustaz Ibrahim Libya. Beberapa hari selepas itu, Tuan Guru Haji Yusuf Rawa bertandang ke Rusila dan kemudian menyampaikan ceramah di Kuala Terengganu mempertahankan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi. Zul yang tidak melepaskan peluang untuk hadir, tergamam dengan lautan manusia yang memenuhi padang tempat ceramah diadakan. Jalan raya pula sesak sejak pagi.

Mata Zul masih segar walaupun jarum sudah menunjukkan jam 12 tengah malam. Hilang mengantuknya apabila cuba menghadam tiap patah khutbah “panas” berkenaan. “Hujoh Tok Guru kuat jugok…”, getus hati Zul.

Fikirannya terus melayang, mengingat kembali saat ucapan Tuan Guru Haji Abdul Hadi semasa berceramah di Kampung Banggol, Peradong, Terengganu, pada 1981. Semasa itu, Zul baru berusia 12 tahun. Isu itu berterusan menjadi isu yang kontroversi sehinggalah diterbitkan buku khas Amanat Haji Hadi tulisan Tuan Guru dan ketika Zul masih di SMASZA Ladang, setepatnya 17 September 1984, PAS mengusulkan untuk diadakan debat terbuka PAS dan UMNO berkenaan isu ini.


Ustaz Haji Hassan Shukri selaku Setiausaha Agung PAS telah mengirimkan surat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Sanusi Junid untuk menyatakan kesediaan PAS berdebat dengan UMNO dalam isu tersebut yang semakin berlarutan. Ini adalah ekoran kenyataan YAB Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad pada 25 Ogos 1984 dan 15 September 1984 yang menzahirkan kesediaan UMNO untuk berdebat dengan PAS.

“Ambe letok keyakinang 100%, dalang isu ning memang PAS saloh!”, kata Pok We sambil menepuk meja di Kedai Kopi Kubang Kekura. Disambut pula Haji Loh di meja sebelah, “Guaner citer…Haa, UMNO napok gogeh dengang debat tu? Dok ketek bile tahu Ayoh Chik, Ustak Nakhaie, Ustak Harun turung!” Surah khabar setiap pagi laris bak pisang goreng panas. Kedai Kopi Kubang Kekura seolah-olah sudah menjadi Dewan Rakyat tempat Ahli Parlimen Malaysia berbahas.

PAS menampilkan Tuan Guru sendiri, Ustaz Harun Taib dan Ustaz Nakhaie Ahmad manakala UMNO membariskan Anwar Ibrahim, Dato’ Seri Wan Mokhtar Wan Ahmad dan Ustaz Ibrahim Azmi. Zul masih ingat tiap-tiap malam selepas solat Maghrib, ayahnya di hadapan televisyen, mengikuti perkembangan liputan isu ini. Pun begitu, pada 8 November 1984, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Ahmad Zainal Abidin Yusof telah mengisytiharkan bahawa Majlis Raja-Raja tidak menzahirkan perkenan dan membatalkan Debat UMNO-PAS tersebut.

Lamunan Zul makin menjauh, mendalam dan akhirnya beliau terlelap dengan kitab yang masih ada di atas dadanya.

____________________

[1] John L. Esposito. Islam in the Politics of the Middle East: Current History, 53.

[2] Tetap

[3] Boleh berubah-ubah

[4] Kebas

[5] Bercakap

[6] Berjalan

[7] Makan

[8] Menelan

Sumber Asal: zulkiflialbakri.com

 Artikel Barkaitan:

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Prolog

 Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 1- Budak Kampung

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 2 - Bukan Lagi Yang Dulu

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 3 - Ramadhan di Kubang Kekura

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 4 - 10 Malam Akhir Ramadhan

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 5- Indahnya Raya

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 6- Atlit Takraw SMASZA Ladang

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri :Bab 7 - Sambutan Hari Kebesaran Islam

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 8- 11A di SMASZA Ladang

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 9- Bekwoh di Tranung

Rabu, 22 September 2021

Jarak usia 37 tahun bukan penghalang cinta Norlida dan Sabree

 MAJLIS pernikahan Norlida dan Muhammad Sabree di Kampung Teriang, Jelebu, pada 17 September lalu. FOTO ihsan Norlida Mohamed Salleh

MAJLIS pernikahan Norlida dan Muhammad Sabree di Kampung Teriang, Jelebu, pada 17 September lalu. FOTO ihsan Norlida Mohamed Salleh

Jelebu: "Cinta dia kepada saya luar biasa," kata Norlida Mohamed Salleh, 59, isteri kepada Muhammad Sabree Razaman, 22.

Itu respon ibu enam anak, Norlida mengenai pernikahannya bersama jejaka pilihan yang dua kali ganda lebih muda daripadanya.

Dia yang sudah mempunyai enam cucu berkata, dia tidak menyangka perjumpaan kali pertama hanya sebagai pelanggan di gerai tempat bekerja kini bertukar menjadi peneman hidup.

Norlida berkata, perkahwinan ini adalah kali ketiga buatnya dan menganggap Muhammad Sabree antara suami yang terbaik.

Tak semestinya gagal dalam rumah tangga yang lepas buat kita putus asa kerana kebahagiaan perlu dicari.

"Jika bercakap soal suami dan peneman hidup ini... saya ada pun okay, tiada pun tidak menjadi masalah kerana sudah lanjut usia.

"Tetapi disebabkan dia (suaminya) yang bersungguh-sungguh ingin melangsungkan perkahwinan, jadi saya terima," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini

Menurutnya, peribadi Muhammad Sabree yang sentiasa mengutamakan keluarga menjadi faktor utama dia memilihnya.

"Ini perkahwinan paling bahagia kerana semua ahli keluarga terima dengan hati terbuka dan memang dari awal rapat dengannya.

"Sejak kenal dulu pun dia tidak pernah meminta malah sekarang suruh jaga kad ATM miliknya untuk kegunaan barangan keperluan kami," katanya yang kini suri rumah sepenuh masa.

Sementara itu, Muhammad Sabree berkata, dia bersyukur perkenalan selama dua tahun bersama isterinya itu akhirnya membawa ke jinjang pelamin selepas pelbagai rintangan dilalui pada 17 September lalu di Pejabat Agama Islam Daerah Jelebu, Negeri Sembilan.

"Alhamdulillah, saya amat berterima kasih kepada semua yang mendoakan kami dan kepada keluarga isteri yang sentiasa menyokong dari awal hingga ke penghujung.

"Saya harap kami sentiasa bahagia dan diberikan kesihatan yang panjang," katanya yang bekerja sebagai petugas pembersihan SWM Environment Sdn Bhd.

Dalam pada itu, anak ketiga Norlida yang hanya mahu dikenali sebagai Ecah, 34, turut gembira atas perkahwinan ibunya yang mesra dipanggil 'mama'.

"Saya gembira mama ada peneman, saya lihat mereka sangat bahagia, solat dan makan semua bersama.

"Kami semua terima tanpa rasa kekok sebab bapa muda ini jenis 'sporting' dengan anak-anak dan cucu," katanya.

Terdahulu, gambar pasangan yang memiliki jarak usia 37 tahun ini tular di media sosial selepas dikongsi anaknya di aplikasi TikTok.

-myMetro

Sidang Parlimen:Benar kami bahas usul 3 pegawai SPRM seleweng wang, Anwar beritahu Azhar

Anwar Ibrahim memohon usul untuk membahaskan kes tiga pegawai SPRM yang ditahan atas dakwaan penyelewengan wang dibahaskan di Dewan Rakyat bagi mendapatkan penjelasan dari sudut keberkesanan tindakan diambil kerajaan.

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menggesa Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun menerima usul untuk membahaskan kes tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan atas dakwaan penyelewengan wang.

Usul itu dibawa oleh Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) pagi tadi kepada Azhar.

“Sementara speaker Dewan Rakyat teliti (usul dibawa Fahmi), saya pohon sedikit pertimbangan.

“Kes ini antara yang agak serius. Kebelakangan ini bukan sahaja melibatkan kecuaian SPRM, ini pegar makan padi, melibatkan polis sebab sudah jadi urusan polis.

“Saya pohon beri ruang perkara ini dibahaskan supaya kita dapat penjelasan tentang permasalahan ini dari sudut keberkesanan tindakan diambil oleh kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat.

Sebelum itu, Fahmi memohon usul itu diterima dan dibahaskan kerana terdapat kesan ke atas sesebuah institusi yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana katanya, ia melibatkan kepentingan umum dan perlu disegerakan.

“Saya pohon dipertimbangkan usul ini dibenarkan. Isu penangkapan tiga anggota SPRM merupakan kes berat dan besar.”

Azhar berkata, beliau baru meneliti usul yang dibawa Fahmi itu pagi tadi.

“Saya akan menulis surat kepada Yang Berhormat (Fahmi) hari ini juga, sebelum 2.30 petang.”

Isnin lalu, SPRM mengesahkan tiga pegawainya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan wang lebih RM25 juta dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

SPRM memaklumkan, ketiga-tiga pegawai itu sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman enam hari sejak 14 Sept lalu.-FMT

Pengaruh antivaksin main peranan dalam kematian kes Covid-19

 GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Orang muda, namun tiba di hospital dengan jangkitan Covid-19 yang teruk, berstatus komorbid serta tidak divaksinasi - fenomena yang kini menjadi kelaziman di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dengan angka mereka mengatasi jumlah pesakit warga emas komorbid tetapi lengkap vaksinasi Covid-19.

Menyifatkan situasi itu ada kaitan dengan isu "keberatan menerima vaksin Covid-19", doktor yang bertugas akan meningkatkan kewaspadaan terhadap pesakit muda terbabit kerana mereka dikategorikan sebagai amat berisiko.

Pakar Perunding Perubatan Kecemasan HTAR Dr Ahmad Tajuddin Mohamad Nor memberitahu Bernama bahawa kira-kira dua pertiga daripada pesakit yang diterima hospital itu adalah berusia bawah 60 tahun.

"(dan) ... hampir kesemuanya tidak divaksinasi. Masih ada kelompok yang sedemikian," katanya tatkala laporan menyebut lebih 55 peratus populasi Malaysia telah lengkap vaksinasi, dan di Lembah Klang sahaja lebih 80 peratus penduduk sudah melengkapkan vaksinasi mereka.

Dr Ahmad Tajuddin yang juga Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR, berkata trend itu mula dikesan pada permulaan gelombang keempat, penghujung Jun lepas.

Katanya, ketika itu mereka tidak mengaitkan isu "keberatan untuk divaksinasi" sebagai penyumbang utama status vaksinasi pesakit berikutan pemvaksinan masih belum dilaksanakan secara meluas.

Bagaimanapun, mengambil kira program pemvaksinan tanpa janji temu sudah dilaksanakan sejak hampir dua bulan lepas, beliau kini berpendapat faktor "keberatan untuk divaksinasi" merupakan penyebab utama situasi itu.

"Baik yang pertengahan usia mahupun yang lebih muda, sesetengahnya hanya menerima satu dos manakala yang lain pula langsung tidak menerima sebarang dos vaksin," katanya.

Golongan antivaksin yang turut digelar antivaxxer, kini menjadi kelompok yang mendominasi katil hospital dan juga penyumbang angka kematian akibat Covid-19 di negara-negara yang telah memulakan pemvaksinan lebih awal seperti Amerika Syarikat dan Israel.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat baru-baru ini melaporkan penduduk negara itu yang tidak divaksinasi didapati 10 kali ganda berkemungkinan dimasukkan ke hospital dan 11 kali ganda berkemungkinan maut berbanding mereka yang divaksinasi. Sementara di Malaysia pula, Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan kumpulan yang tidak divaksinasi merangkumi hampir 80 peratus daripada pesakit yang dirawat di hospital sekarang.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Tajuddin berkata status vaksinasi pesakit mempunyai impak yang besar terhadap tahap pemulihan mereka.

"Kami dapati ada perbezaan umpama langit dengan bumi. Jika seseorang pesakit itu telah divaksinasi, keadaannya tidak mungkin merosot teruk.

"Namun, jika dia (tidak divaksinasi) dan tiba dalam keadaan tidak begitu teruk, keadaannya boleh berubah dan merosot dengan cepat. Andai kata seorang pesakit tiba dalam keadaan kategori 4, iaitu perlukan bantuan oksigen serta tidak divaksinasi, maka kami perlu tingkatkan kewaspadaan kerana dia adalah 'red flag' bagi kami," katanya.

Menurutnya, kesemua pesakit Covid-19 yang diterima HTAR mempunyai lebih daripada satu penyakit atau kelompok komorbid.

Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi mengesahkan trend itu dan menganggarkan 70 peratus daripada kemasukan ke wad adalah golongan yang tidak divaksinasi yang turut menyumbang 80 peratus kepada angka kematian.

Katanya, kebanyakan pesakit muda yang keadaannya merosot dengan teruk, turut didiagnosis dengan diabetes yang tidak dikesan lebih awal.

"Yang muda ada komorbiditi, obesiti, ada kencing manis, tak pernah menjalani pemeriksaan perubatan. Masa dia masuk ke hospital baru kita tahu dia ada kencing manis," jelasnya.

Sementara itu, Dr Ahmad Tajuddin percaya sesetengah individu tidak mahu divaksinasi kerana menyangka faktor usia muda sudah memadai untuk melindungi mereka daripada dijangkiti virus maut tersebut.

"Asalnya (Covid-19) bermula sebagai penyakit yang hanya menjangkiti orang tua atau mereka yang berpenyakit. Saya fikir ini yang membuatkan golongan muda berasa mereka selamat," katanya.

Beliau berkata golongan muda juga mungkin lebih berani untuk bersosial dan tidak begitu mematuhi garis panduan mencegah Covid-19.

Menurut KKM, kira-kira enam peratus penduduk di negara ini atau 1.46 juta orang tidak berdaftar untuk divaksinasi. Pada masa ini, semua individu dewasa yang berdaftar telah menerima sekurang-kurangnya satu dos dan tidak ada yang masih menunggu untuk suntikan pertama mereka. Sesetengah daripada yang tidak berdaftar itu mungkin antivaksin tegar manakala yang lain pula mungkin disebabkan kekangan akses, baik dari segi teknikal mahupun faktor geografi.

KKM, dengan bantuan badan bukan kerajaan termasuk MERCY Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia serta IMARET, berusaha memastikan mereka yang menghadapi kekangan tersebut, sama ada kerana tinggal jauh di pedalaman atau pekerja asing, mendapat akses kepada vaksin Covid-19.

"Pendaftaran bukan prasyarat untuk vaksinasi. Vaksinasi tanpa janji temu dilaksanakan hampir di semua tempat di negara ini. Selain itu, terdapat usaha outreach (menggunakan segala kemudahan yang ada - helikopter, bot dan lain-lain) untuk memberikan vaksin kepada golongan yang berdepan jurang digital," kata Dr Mahesh Appannan, ketua data di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) dalam responsnya kepada Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming, menerusi Twitter.

Golongan antivaksin hanya mewakili segelintir daripada jumlah penduduk negara ini, namun itu tidak menghalang mereka daripada menggunakan media sosial untuk berkongsi maklumat salah selain aktif menghasut orang lain agar tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19. Ada juga yang menjual sijil vaksin palsu bagi membolehkan mereka menikmati "kebebasan" yang diberikan oleh pihak berkuasa kepada individu yang telah lengkap vaksinasi.

Pakar kesihatan awam serta kumpulan majikan turut menyatakan sokongan masing-masing sekiranya vaksinasi diwajibkan pada masa akan datang jika masih terdapat ramai penduduk yang enggan divaksinasi sekalipun telah didekati oleh pihak bertanggungjawab.

-myMetro

GPS curiga tindakan PN tubuh pejabat perhubungan negeri, kata Naib Presiden PBB

 

Adakah selepas ini PN mahu mengumumkan jumlah kerusi yang mahu ditandingi menjelang pilihan raya negeri akan datang, soal Abdul Karim Rahman Hamzah.

PETALING JAYA: Gabungan Parti Sarawak (GPS) curiga dengan tindakan Perikatan Nasional (PN) secara mengejut menubuhkan pejabat perhubungan negeri di Sarawak, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, susulan pelantikan Pengerusi Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf Abdillah Suffian sebagai Ketua Perhubungan PN Sarawak, adakah selepas ini parti itu mahu memberitahu jumlah kerusi yang akan ditandingi mereka.

“Tetapi menjelangnya pilihan raya negeri (PRN) nanti dan mereka (PN) secara tiba-tiba menubuhkan pejabat perhubungan negeri (Badan Perhubungan Negeri Parti PN Sarawak), kita GPS akan curiga dengan apa yang mereka lakukan.

“Adakah selepas ini mereka mahu memberitahu yang mereka mahukan beberapa kerusi (kawasan) di negeri ini,” katanya menurut laporan Utusan Borneo.

Beliau berkata, parti baharu seperti Bersatu, Amanah dan sebagainya harus belajar daripada Umno yang sentiasa menghormati pendirian parti di Sarawak.

Katanya, sejak beberapa tahun Umno sangat menghormati parti Sarawak yang ingin mentadbir kerajaan mereka sendiri.

“Kita telah memberitahu Umno selama bertahun-tahun, jangan datang ke negeri ini kerana kita dapat menjaga negeri ini sendiri.

“Oleh itu, saya berharap agar parti politik seperti PN atau parti lain belajar daripada Umno. Jangan pecah-belahkan kami,” katanya.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, PN boleh menjadi rakan GPS.

Beliau berkata, Sarawak bukan anggota PN, ia lebih kepada formula PN+ GPS, yang bermaksud rakan politik di peringkat persekutuan sahaja, namun tidak di peringkat negeri.

“Justeru, saya ingin tegaskan di sini, GPS bukan sebahagian daripada PN, tetapi kita bersahabat dengan PN,” katanya.-FMT

Tuduhan pindah RM13 juta ke Kanada: Beri kenyataan rasmi, tak perlu lontar dakyah, Mukhriz beritahu Sanusi

 

Mukhriz Mahathir berkata beliau menunggu kenyataan rasmi dikeluarkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengenai pemindahan wang RM13 juta ketika era pentadbirannya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dakwaan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, bahawa wujud rekod pemindahan wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah sebanyak RM13 juta ke akaun bank luar negara adalah amat berat.

Bekas Menteri Besar Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Mukhriz Mahathir, menyifatkan itu kali pertama beliau mendengar dakwaan sedemikian.

Mukhriz berkata, kenyataan dikeluarkan Sanusi dianggap dakwaan sangat serius.

“Kita berharap boleh dapat kenyataan rasmi. Tidak perlulah melontar dakyah atau tohmahan begitu saja, seolah-olah langgar lari. Ini kali pertama saya dengar perkara itu apabila wartawan membangkitkan soalan berkaitan perkara itu.

“Saya juga tidak tahu tentang satu isu lagi yang turut dibangkitkan dan menanti kenyataan rasmi berhubung kedua-dua dakwaan tersebut sebelum membuat kenyataan lanjut,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Petang tadi, Sanusi mendedahkan terdapat rekod membuktikan berlaku pemindahan wang milik MBI Kedah sebanyak RM13 juta dimasukkan ke akaun bank yang berpangkalan di Kanada.

Sanusi yang juga ADUN Jeneri berkata, transaksi itu berlaku ketika Mukhriz menerajui kerajaan negeri sebelum ini.-FMT

Gaji sara hidup semua sektor sedang dikaji, kata timbalan menteri

 

Pada 2018, BNM menganggarkan lebih satu perempat daripada isi rumah di Kuala Lumpur memperoleh pendapatan di bawah paras gaji sara hidup.

PETALING JAYA: Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan gaji sara hidup bagi semua sektor, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim di Dewan Rakyat.

Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) bertanya sama ada Malaysia akan berusaha memperkenalkan gaji sara hidup seperti di Australia dan Luxembourg.

Beliau juga berkata, agak terlambat jika menunggu hingga akhir tahun bagi membentangkan hasil kajian Majlis Perundingan Gaji Negara mengenai gaji minimum, yang turut mengambil kira kenaikan kadar kemiskinan akibat wabak Covid-19.

Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) mentakrifkan gaji sara hidup sebagai tahap pendapatan yang diperlukan untuk isi rumah memperoleh taraf hidup minimum yang boleh diterima.

Pada 2018, bank pusat itu menganggarkan gaji sara hidup di Kuala Lumpur untuk individu bujang dewasa adalah RM2,700.

Pasangan yang tidak mempunyai anak memerlukan RM4,500, manakala pasangan dengan dua orang anak, RM6,500.

BNM menganggarkan lebih satu perempat daripada isi rumah di Kuala Lumpur memperoleh pendapatan di bawah paras gaji sara hidup.

Menurut Awang, kerajaan terlebih dahulu perlu mempertimbangkan kemampuan majikan membayar gaji sara hidup.

Katanya, kerajaan juga tiada pilihan selain membentangkan hasil kajian mengenai gaji minimum pada mesyuarat Jemaah Menteri pada akhir suku keempat.

Majlis Perundingan tambahnya, dimandatkan oleh undang-undang untuk menjalankan kajian mengenai gaji minimum setiap dua tahun.

Merujuk kepada Australia dan Luxembourg, Awang berkata, negara-negara maju ini memiliki populasi lebih kecil, jadi tidak patut dijadikan perbandingan.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, disebabkan kemerosotan ekonomi akibat wabak Covid-19, sebanyak 580,000 isi rumah M40 kini termasuk dalam kategori B40.Katanya, ini merangkumi 20% isi rumah M40, yang sebelumnya memperoleh pendapatan isi rumah bulanan antara RM4,850 dan RM10,959.

-wrlr

Ku Li letak jawatan sebab gagal jadi PM: Nazri Aziz

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz mendakwa Ku Li kecewa tidak mendapat sokongan UMNO untuk menjadi Perdana Menteri.

Ahli Parlimen (MP) Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan tindakan Tengku Razaleigh Hamzah meletak jawatan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO kerana kecewa tidak mendapat sokongan untuk menjadi Perdana Menteri.

Malahan, Nazri memberitahu bahawa ketika menandatangani surat sokongan dan menghadap Yang di-Pertuan Agong juga hanya 41 MP Barisan Nasional termasuk UMNO yang menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sepatutnya BN ada 42 tetapi saya difahamkan Ku Li calonkan nama beliau sendiri jadi kami cuma 41 Ahli Parlimen.

“Kerana hanya beliau menyokong dirinya untuk jawatan Perdana Menteri jadi tidak dapatlah. Agaknya dia kecewa sebab itu letak jawatan pengerusi jemaah penasihat,” kata Nazri mengulas tindakan Tengku Razaleigh yang mesra dengan panggilan Ku Li.

 Beliau juga mengaskan jawatan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu hanya ‘window dressing’ sahaja, dan parti itu tidak pernah mengguna pakai nasihat Ku Li.

“Jawatan itu pun cuma window dressing saja. Tidak ada nasihat beliau yang UMNO pakai,” katanya dipetik daripada Astro Awani, hari ini.

Nazri juga berkata tindakan itu tidak mengejutkan kerana kebelakangan ini Ku Li telah menunjukkan beliau tidak lagi bersama UMNO, termasuk meminta tempat duduknya di dalam Dewan Rakyat diubah ke blok lain.

“Sebelum ini Ku Li minta untuk tempat beliau dalam Dewan Rakyat diletakkan berhampiran tempat duduk pembangkang. Kita nak tahu itu untuk apa?

“UMNO bersama kerajaan, kalau mahu duduk dekat dengan pembangkang adakah maknanya beliau sudah tidak bersama UMNO?” katanya.
Nazri turut mempertikaikan hasrat Ku Li mahu menghidupkan kembali UMNO yang lama.

Beliau mendakwa UMNO yang lama diharamkan oleh Mahkamah kerana tindakan Tengku Razaleigh yang tewas pemilihan parti tahun 1987.

“Beliau perlu ingat, disebabkan tewas pemilihan itulah ada penyokong beliau yang bawa isu pemilihan ke mahkamah dan UMNO diharamkan.

“Malah beliau tidak bersama UMNO yang baru tetapi menubuhkan Parti Semangat 46 hingga kita tewas di Kelantan sejak 1990 hingga sekarang.

“Jadi dia nak apa buktikan apa bila nak hidupkan UMNO yang lama? Nak jadi presiden? Kalau sayang UMNO sokong lah kerajaan yang UMNO terajui dan jadi Perdana Menteri,” katanya.

Ku Li mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO. Peletakan jawatan itu dibuat sehari setelah beliau membidas pemimpin UMNO yang menyalahgunakan kedudukan untuk memperkayakan diri, ketika menyampaikan perbahasan di Dewan Rakyat semalam.

-Agenda Daily

Firdaus Wong dedah bukti perbualan lucah pendakwah terkenal

Firdaus Wong Wai Hung.
Firdaus Wong Wai Hung.

KUALA LUMPUR – Pendakwah, Firdaus Wong Wai Hung akhirnya tampil mendedahkan bukti daripada seorang mangsa serangan seksual individu yang didakwa sebagai seorang pendakwah terkenal.

Semua bukti tersebut didedahkan Firdaus yang Pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM) menerusi saluran aplikasi Telegram miliknya, semalam.

Menurutnya, mangsa berkenaan telah menghantar tangkap layar kiriman WhatsApp dan Instagram kepadanya meminta untuk berkongsi bukti tersebut untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat.

Pada masa sama, beliau berkata, mangsa itu juga memintanya berkongsi semua bukti berkenaan bagi menggalakkan lebih ramai mangsa tampil membuat laporan polis.

Katanya, mangsa tersebut juga telah membuat laporan polis dengan kesemua bukti berkenaan turut diserahkan untuk disiasat pihak berkuasa.

“Setelah berbincang dengan sekumpulan penasihat syariah dan pakar perundangan, Alhamdulillah mereka memberikan keizinan kerana semua perkongsian ini tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan juga undang-undang.

“Buat pengetahuan sahabat semua, kesemua mesej ini saya telah lihat dengan mata saya sendiri daripada WhatsApp mangsa dan bukan sekadar mendengar kata pihak ketiga.

“Saya terpaksa berkongsi di saluran telegram kerana pada pandangan saya, mesej-mesej bertulis itu mempunyai elemen lucah melampau yang mungkin menyebabkan Facebook atau Instagram saya dipadamkan apabila ada individu yang membuat laporan,” jelas beliau dalam satu hantaran di saluran Telegram itu.

Sejak beberapa bulan lalu, Firdaus menerusi platform media sosial miliknya sering kali berkongsi mengenai isu pemangsa seksual bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

Tindakan itu mencetuskan persoalan dalam kalangan netizen seolah-olah Firdaus Wong merujuk kepada seseorang yang mempunyai populariti dan jumlah pengikut yang ramai.

Mengulas lanjut, Firdaus menegaskan pihaknya telah bersiap sedia sepenuhnya sekiranya ada pihak yang mahu membuat laporan polis atau mengambil tindakan saman.

Kata beliau, pihaknya tetap bersama dengan semua mangsa yang telah membuat laporan polis untuk mendapatkan keadilan.

Beliau menegaskan tetap teguh mempertahankan prinsip berani kerana benar dengan segala bukti telah disiapkan.

“Kepada yang selama ini mempersoalkan kenapa mangsa tidak buat laporan polis, kami telah buat laporan cuma tidak menceritakan agar tiada pihak menganggu siasatan.

“Setelah laporan dibuat, anda yang meminta bukti dikongsikan di media sosial tetapi kami enggan berbuat demikian kerana masih dalam siasatan polis dan tidak mahu menganggu tugasan polis. Kami dihina dan diserang, tiada masalah, kami bersabar.

“Kini setelah siasatan telah selesai dan atas permintaan mangsa-mangsa, kami kongsikan beberapa bukti-bukti yang telah diserahkan kepada polis sebagai kesedaran untuk masyarakat serta menggalakkan lebih ramai mangsa tampil membuat laporan polis,” jelas beliau.

Firdaus turut memaklumkan, pihaknya akan terus membantu mangsa untuk keluar daripada masalah itu dan mendapatkan keadilan.

“Kami tidak menagih simpati atau pujian. Kami mohon sahabat doakan mangsa-mangsa mendapat keadilan sewajarnya.

“Bak kata Kamal Affandi Hashim, “kita bukan nak kurangkan pemangsa seksual tetapi kita nak kurangkan jumlah orang daripada menjadi mangsa”.

“Yang pernah menjadi mangsa mana-mana pemangsa seksual, boleh hubungi kami di MRM Women’s Wing dan Insya-Allah kami akan membantu anda semampu dengan percuma untuk mendapatkan keadilan,” katanya. – MalaysiaGazette

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 9- Bekwoh di Tranung

 


Perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah SAW yang dianjurkan berdasarkan nas al-quran dan hadis, inilah fitrah yang dilalui oleh manusia dalam membina kehidupan dengan sempuna dan bahagia. Sebaik-baik perkahwinan adalah dengan meneliti beberapa perkara berikut:
  1. Semata-mata kerana Allah iaitu membina rumahtangga yang mengamalkan ajaran Islam, melahirkan zuriat yang baik sehingga mampu memikul amanah dan merealisasikan usaha bagi memastikan hidayah Allah SWT berterusan dan tersebar ke seluruh alam.
  2. Menjaga pandangan, menjaga kehormatan diri, dan supaya menjadi lebih bertakwa kepada Allah SWT.
  3. Pilihan terbaik untuk calon isteri dan teman hidup.
  4. Memilih calon isteri yang berakhlak dan beragama sekalipun tidak mempunyai harta dan kecantikan

Sabda Nabi SAW:

فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya: “Pilihlah perempuan yang beragama nescaya beruntunglah kamu.”[1]

Al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar menjelaskan, ungkapan “فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ” membawa maksud sewajarnya bagi seorang yang beragama dan memiliki maruah (adab) untuk menjadikan agama sebagai petunjuk dalam setiap perkara, lebih-lebih lagi dalam perkara yang dia akan berteman dan tinggal lama bersamanya (isteri). Maka Nabi SAW menyuruh agar mendapatkan seorang wanita yang memiliki agama di mana agama adalah puncak keinginan.[2]

Imam al-Nawawī menyebut bahawa hadith di atas menerangkan kepada kita bahawa kebiasaan adat seseorang apabila ingin menikahi wanita, terdapat empat perkara yang menjadi kayu pengukur. Rasulullah SAW menyuruh agar dilihat pada agamanya kerana ianya menguntungkan seseorang di dunia dan akhirat.[3]

Ungkapan “فَاظْفَرْ” membawa maksud cari dan berusahalah serta berlumbalah untuk mendapatkan perempuan yang baik agamanya.[4]

Imam al-San’ani menyebutkan, Nabi SAW memerintahkan para pemuda sekiranya mereka menjumpai perempuan yang baik agamanya, maka janganlah mereka berpaling untuk mengubah pilihan kepada perempuan lain.[5]

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Hikmah pemilihan wanita yang beragama dan berakhlak adalah kerana agama akan terus kukuh bersama-sama peredaran zaman. Manakala akhlak pula akan terus mantap bersama hari-hari yang berlalu, di samping pengalaman hidup. Apabila setiap pasangan menjadikan agama dan akhlak sebagai asas pemilihan, ia lebih menjamin kelangsungan cinta dan kasih sayang yang berkekalan.

Hal ini tidak pula bermaksud bahawa manusia tidak perlu mengambil kira faktor keturunan dan kecantikan. Sebaliknya, ia bermaksud bahawa sekiranya ciri-ciri tertentu sahaja yang ada pada seseorang perempuan, maka pemilihan berdasarkan agama adalah yang paling baik. Jika kesemua ciri ini ada, maka itulah wanita yang paling baik untuk dijadikan pasangan.[6]

Dalam masyarakat Melayu dahulu termasuk di Terengganu, kebanyakan gadis berkahwin di usia yang muda, begitu juga lelaki. Sekitar umur 16 hingga 20 tahun. Jodoh adalah urusan ibu bapa. Tetapi itu tidak menafikan adanya babak seumpama Sudin ketuk botol kaca untuk memanggil Zaiton. Pun begitu, sifat malu dan menjaga adab ketimuran yang tinggi menyebabkan hal-hal tersebut, tidak terzahir dengan meluas di Terengganu.

Ada Merisik / Meninjau

Apabila ibu dan bapa merasakan anak teruna telah “sampai seru” untuk berumahtangga, mereka akan mula mencari-cari calon menantu yang sesuai. Saudara mara, sahabat handai, jiran tetangga akan turut membantu memberikan cadangan dan pandangan. Adat merisik adalah melalui keluarga, saudara mara dan sahabat handai yang akrab dengan calon.

Antara yang dititikberatkan sudah tentu perihal agama. Sebaiknya yang sudah khatam al-Qur’an dan faham serba sedikit asas agama. Pandai memasak, menjahit itu sudah kemestian. Cantik itu subjektif namun sudah pasti ia bonus yang dicari-cari oleh bakal mertua. Keturunan juga diambil kira dalam kriteria pemilihan. Cik, Wan, Nik, Tuan, Syed, Engku adalah beberapa contoh gelaran yang dititikberatkan. Keturunan yang berbeza mungkin faktor penghalang kepada jodoh.

Adat Meminang dan Bertunang

Apabila telah ada yang berkenan di hati, proses seterusnya adalah beberapa orang wakil daripada pihak lelaki terutamanya ibu bapa saudara mara terdekat akan hadir ke rumah ibu bapa wanita berkenaan dengan membawa buah tangan. Biasa, si lelaki tidak akan turut serta. Kalau ada yang ingin mengikut, pasti dimarahi si ibu kerana dianggap tidak sopan pada adatnya.

Buah tangan yang dibawa adalah kain batik, 2-3 kati gula pasir, dan beberapa jenis kuih-muih seperti akok, nekbat, bahulu dan lain-lain. Hasrat hati akan disampaikan secara berkias oleh wakil pihak lelaki sambil menjamah hidangan. Di sinilah terserlah kekreatifan orang Terengganu dalam berpantun, menyusun kata-kata yang indah nan berbunga-bunga.

Ibu bapa mungkin bersetuju tetapi si gadis mungkin sudah ada pilihan hatinya. Justeru, keluarga gadis tidak akan memberikan jawapan muktamad melainkan meminta tempoh masa barang seminggu dua bagi berbincang dan mendapatkan pandangan anak dara mereka yang sedang bersembunyi, tersipu-sipu sendirian di kamar.

Setelah mencapai persetujuan, wakil keluarga gadis akan bertandang ke rumah ibu bapa pihak lelaki. Maka, berlangsunglah perbincangan berkenaan mas kahwin, tarikh dan lain-lain. Sebentuk cincin emas atau berlian diberikan sebagai tanda “diikat”. Ada juga dibawa bersama sepasang baju, sehelai kain kelubung, kuih muih, sireh junjung, dan buah-buahan.

********************

“Semak jettak penganting! Dop rajing lagi aku tengok Pok paka spek itang,” ujar Zul disambut derai tawa Mi dan Khairul. Pok atau Abdullah adalah bapa saudara mereka sebelah Ustaz Mad. Jarang-jarang Pok segak bertanjak, bersamping dengan keris terselit di pinggang. Mengikut adat Terengganu, pengantin lelaki akan digendong di atas bahu, dipayung dan diiringi rombongan.

أبــدأ بسم الله والـرحـمنِ وبـالـرحـيـم دائـم الإحـسان

فالـحـمـد لله الـقديم الأول والأخـر الـبـاقـي بلا تـحـول

ثـم الـصلاة والسلام سرمدا عـلـى الـنبي خير من قد وحدا

وآله وصـحبه ومـــن تبع سـبـيـل دين الحق غير مبتدع

فـالله مـوجـود قـديـم باقي مخـالـف للـخـلق بالإطلاقِ

Begitulah lafaz lagu yang dilantunkan semasa pengantin diarak rombongan. Orang kampung memanggilnya syair Abda’ubi. Jarang yang tahu kecuali orang agama, lagu ini adalah bait-bait nazam ʿAqīdat al-ʿAwwām yang disusun oleh Shaykh Sayyid Aḥmad al-Marzūqī al-Mālikī al-Makkī. Nazam ini menerangkan mengenai sifat-sifat Allah SWT dan rasul-rasulnya, atau yang lebih dikenali sebagai ʿaqā’id lima puluhʿAqā’id lima puluh itu terdiri dari dua puluh sifat yang wajib bagi Allah, dua puluh sifat mustahil bagi Allah, satu sifat harus bagi Allah, empat sifat wajib bagi para rasul, empat sifat mustahil bagi para rasul dan satu sifat harus bagi para rasul, begitu juga sedikit biografi Rasulullah SAW. Betapa halusnya pendidikan akidah dalam kalangan masyarakat Terengganu.

Belanja di hantar lebih awal mengikut adat Terengganu. Kebiasaannya sehari sebelum majlis akad nikah. Setelah tarikh menghantar dipersetujui, berangkatlah rombongan sebelah lelaki membawa hantaran yang diletakkan dalam dulang. Ada tepak sireh, cincin emas atau berlian, kuih muih, sepasang kain baju, tuala, telekung dan bunga rampai. Bagi keluarga berada, mungkin akan dibawah juga kambing dan lembu sebagai hantaran. Mas kahwin dan hantaran dikira sekali mengikut budaya Pantai Timur.

Persiapan menjelang bekwoh pastinya lebih meriah. Jiran tetangga dan sanak saudara di Kuala Berang, Seberang Marang, Pulau Manis akan berkampung di rumah pengantin untuk bergotong royong. Bas catar akan disewa bagi memudahkan perjalanan sanak saudara yang jauh. Ada juga yang menghantar beras, minyak, telur dan apa sahaja perkakas yang diperlukan. Bangsal dan tempat memasak akan didirikan oleh kaum lelaki manakala kaum wanita sibuk mengemas dan menghias rumah serta bilik pengantin bermula awal pagi sehinggalah lewat malam.

Malam sebelum bekwoh dikenali dengan Malam Jamu manakala keesokannya dipanggil Hari Jamu. Gula kawoh[7] semestinya hidangan wajib disamping beberapa juadah kampung yang menyelerakan. Persembahan silat jatuh/silat pulut adalah hiburan orang kampung terutamanya kanak-kanak. Ada yang berpencak dengan tangan kosong. Ada juga yang bersenjata.

Pengantin baru diraikan bukan hanya pada Hari Jamu bahkan berterusan sehingga seminggu dua. Ada yang bertandang dan menghulurkan sedikit wang. Maka, dibalas dengan telur dibungkus dengan nasi kunyit. Pengantin juga akan mengambil kesempatan bulan madu untuk menziarahi sanak saudara dan jiran tetangga. Usik mengusik itu satu kelaziman dan rencah yang memeriahkan lagi kunjungan pengantin. Masakan tidak diusik, si isteri nak panggil “abang” pun tertunduk malu.

Itulah indahnya kisah bekwoh di Tranung.

*********************

“Se perkarelah atuk peghati. Perkahwinang orang jamang dulu melalui aturang keluarge ning, biasenye kekal sampai akhir hayat. Mungkin berkat doa mok ayoh. Mungkin jugok ade faktor-faktor lain. Atuk risau tengok kes-kes perceraiang hari ning. Aa’uu gok ape dalang pikirang suami isteri hok cerai berai jamang lening.”, Tok Aki termenung, melihat daun-daun kering ditiup angin petang.

Sarah mungkin belum mengerti sepenuhnya. Tapi, itulah cabaran di zamannya nanti.

[1] Riwayat al-Bukhari (4802) dan Muslim (1466)

[2] Lihat Fath al-Bari, 9/164

[3] Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/51-52

[4] Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh a-Maram, 5/234

[5] Lihat Subul al-Salam, 10/4

[6] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/519-520

[7] Gulai kawah

Sumber Asal: zulkiflialbakri.com

 Artikel Barkaitan:

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Prolog

 Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 1- Budak Kampung

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 2 - Bukan Lagi Yang Dulu

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 3 - Ramadhan di Kubang Kekura

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 4 - 10 Malam Akhir Ramadhan

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 5- Indahnya Raya

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 6- Atlit Takraw SMASZA Ladang

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri :Bab 7 - Sambutan Hari Kebesaran Islam

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 8- 11A di SMASZA Ladang