"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Rabu, 18 Ogos 2021

SM4RT TANI sedia teknologi digital untuk golongan petani

 

Ketua Pembangunan Perniagaan SAT Asia, Afif Badhrulhisham (kanan) dan Pengarah Operasi Pinewealth, Noor Izwadi Mohd. Noor melihat platform di ladang nanas di Ulu Bernam, Selangor.

PETALING JAYA – Platform teknologi pertanian tempatan, SM4RT TANI menawarkan ­penyelesaian berasaskan awan dan teknologi Internet of Things (IoT) kepada golongan petani bagi membantu mereka meningkatkan kecekapan serta produktiviti.

Pengasas SM4RT TANI, Hafeiz Hassan berkata, platform berkenaan akan membolehkan petani mendapatkan maklumat dan bacaan relevan tentang tanaman pada masa ­nyata, seterusnya membantu mereka mengambil langkah tepat sekali gus me­ningkatkan hasil tanaman.

Menurut beliau, dengan menggunakan Sigfox Xero-G Network yang dibekalkan oleh Xperanti IoT, sistem tersebut membo­lehkan petani beroleh akses kepada kadar pH semasa, pemantauan cuaca, kawalan pe­rosak dan pemantauan tanaman.

SM4RT TANI turut disokong oleh sistem pengurusan ladang digital, dinamakan Urus Tani di bawah payung syarikat induk, Singularity Aerotech Asia (SAT Asia) yang membantu petani menguruskan data operasi termasuk inventori, sumber manusia dan pengurusan pelan bagi membentuk sistem pertanian pintar hujung ke hujung.

“Golongan petani biasanya be­kerja berpandukan kepada an­daian dan pen­getahuan kabur yang diturunkan dari generasi ke ge­nerasi yang lain.

“Hal ini bukan sahaja menimbulkan kekaburan dalam operasi sedia ada, tetapi telah menimbulkan potensi pembaziran dari segi tenaga, sumber dan masa.

“Kami berbangga dapat be­kerjasama rapat dengan komuniti pertanian dan sistem kami yang mantap dapat membantu mereka membuat keputusan tepat berasaskan data yang pada akhirnya menghasilkan hasil lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Hafeiz menjelaskan, melalui usaha ini peserta telah menyaksikan peningkatan hasil hingga 25 peratus dan pada masa sama, dapat mengurangkan penggunaan sumber serta tenaga kerja secara strategik,.

Buat masa ini, sebanyak 10 ladang telah menyertai SM4RT TANI merentasi lima negeri iaitu di Johor, Kelantan, Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan.

Menuju ke hadapan, platform berkenaan bakal menambah beberapa ciri lain termasuk pemantauan ladang ternakan ayam, pemantauan rumah hijau dan pasaran maya untuk memacu pertumbuhan sektor pertanian negara.-Kosmo!


Asalkan bukan daripada kluster mahkamah,parti Pejuang sokong - Mukhriz

 MUKHRIZ Mahathir. FOTO arkib NSTP

MUKHRIZ Mahathir. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan menyokong sesiapa saja yang mempunyai majoriti untuk jawatan Perdana Menteri asalkan calon itu bukan daripada kluster mahkamah, kerana memerangi rasuah menjadi prinsip utama parti, kata Presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, parti itu akan memuktamadkan Ahli Parlimen yang mempunyai majoriti untuk dilantik menjadi calon Perdana Menteri esok.

"Kami sedang berbincang dengan pihak lain, kita akan cuba mendapatkan seorang calon yang mempunyai majoriti, jadi hasil perbincangan itu belum dimuktamadkan dan saya rasa esok kita akan tahu," katanya ketika ditemubual oleh Awani hari ini.

Beliau juga mengesahkan Pejuang tidak akan mencalonkan Ahli Parlimen daripada parti itu sendiri kerana Pejuang hanya mempunyai empat kerusi di Parlimen.

Menjawab soalan adakah Pejuang akan menyokong nama yang disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Mukhriz berkata:

"Kita terbuka kepada ketiga-tiganya, tapi keutamaan kami tentu bersama PH (Pakatan Harapan), jadi calon pertama dan kedua adalah yang kami beri tumpuan ketika ini."

Mengulas mengenai pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong siang tadi, katanya titah Seri Paduka supaya semua parti mencari satu titik pertemuan dan menumpukan usaha menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi sangat tepat pada ketika ini.

Terdahulu ketua-ketua parti menghadiri pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bermula 2 petang tadi susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri semalam.

Selain Presiden Pejuang, antara yang hadir ialah Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Turut dipanggil menghadap Presiden PKR, Anwar; Presiden Amanah Mohamad Sabu; dan Presiden Warisan Mohd Shafie, manakala semua presiden parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadiri pertemuan itu secara maya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, parti itu menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Muhyiddin sebagai presiden untuk membuat keputusan akhir yang akan diumumkan apabila tiba masanya.

Katanya, Majlis Pimpinan Tertinggi sudah berbincang mengenai pembentukan kerajaan dan calon Perdana Menteri semalam sejurus selepas Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan.

"Hasil perbincangan itu diangkat ke perbincangan dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) dan Ahli-ahli Parlimen Bersatu untuk mengambil kira pandangan mereka. Kita telah mengambil kira semua pandangan mengenai calon Perdana Menteri dalam mesyuarat itu," katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, parti itu telah bersedia dengan akuan bersumpah (SD) semua Ahli Parlimen parti untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"PAS juga menyambut baik saranan baginda agar keutamaan kesejahteraan negara dan rakyat perlu diberi keutamaan sehinggalah keadaan mengizinkan untuk diadakan PRU-15," katanya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu notis meminta Ahli-ahli Dewan Rakyat menyerahkan satu SD memilih calon Perdana Menteri kesembilan.

Surat akuan itu perlu diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya sebelum 4 petang esok, atau ia tidak akan diambil kira.

-myMetro

Che Ta beri keterangan empat jam isu laporan polis Azwan Ali

 KUALA LUMPUR 17 OGOS 2021. Pelakon, Rozita Che Wan ketika ditemui media selepas memberi keterangan mengenai laporan polis pengacara, Azwan Ali tentang pelakon yang memfitnahnya di IPD Travers.STR/ AZIAH AZMEE

KUALA LUMPUR 17 OGOS 2021. Pelakon, Rozita Che Wan ketika ditemui media selepas memberi keterangan mengenai laporan polis pengacara, Azwan Ali tentang pelakon yang memfitnahnya di IPD Travers.STR/ AZIAH AZMEE

Kuala Lumpur: Pelakon popular, Rozita Che Wan, 49, atau Che Ta memberi keterangan selama empat jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Jalan Travers, di sini, hari ini berhubung laporan polis yang dibuat pengacara kontroversi, Azwan Ali terhadapnya.

Che Ta ketika ditemui berkata, dia hadir untuk memberi keterangan berdasarkan apa yang dilaporkan Azwan sebelum ini.

"Saya sudah berikan kerjasama yang baik dengan pihak polis dan ia berjalan lancar," katanya.

Bagaimanapun, Che Ta enggan mengulas lanjut mengenai laporan polis dibuat Azwan Ali yang mendakwa Che Ta menulis kenyataan berunsur fitnah terhadap pengacara terbabit.

Che Ta yang ditemui selepas selesai memberikan keterangan berkata, peguamnya menasihatkan supaya tidak bercakap apa-apa sehinggalah perkara ini selesai.

Terdahulu, Che Ta atau nama sebenarnya Rozita Abu Bakar tiba di IPD berkenaan pada jam 12 tengah hari ditemani suaminya yang juga pelakon, Zain Saidin dan pengurusnya, Afeeq Wahab.

Kedua-dua mereka turut diambil keterangan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.

Isu terbabit tercetus apabila Azwan menerusi akaun Twitter memberikan komen keterlaluan terhadap gaya pemakaian Che Ta ketika mengambil vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), baru-baru ini.

Dia juga menulis perkataan kurang sopan terhadap Che Ta dan ibunya, Zabedah Saad membuatkan Che Ta hilang sabar.

Che Ta berkata, dia sebenarnya tidak mahu perkara itu berpanjangan dan atas sebab itu, dia tidak membuat laporan polis dan mengambil tindakan saman sebelum ini.

"Tapi dia (Azwan) yang buat laporan polis terlebih dulu. Saya datang sini beri kenyataan. Tengoklah proses seterusnya," katanya.

Katanya, seboleh-bolehnya dia tidak mahu mencari musuh dalam industri hiburan ini.

"Kita hanya manusia. Nabi Muhammad SAW pun boleh ampunkan orang yang caci maki Baginda. Apatah lagi kita yang tiada apa-apa. Dia pun dalam industri yang sama.

"Kenapa kita nak kena ada musuh? Semua tahulah sekarang akhir zaman. Kenapa nak buat musuh. Tak berbaik tidak apa jangan nak ada musuh. Kalau dia nak berbaik, saya tiada masalah pun.

"Kita tak pernah bergaduh. Zain pun diambil keterangan. Dia mengata Zain tapi Zain tak balas. Kalau dia teruskan ambil tindakan, kita ikut arus dan selesaikan secara undang-undang. Kalau nak saman pun bukan ambil masa yang singkat untuk selesai," katanya.

Che Ta mengakui hubungan dia dengan Azwan selama ini berlangsung seperti biasa tanpa ada sebarang masalah.

"Saya jadi tetamu program Lagu Cinta Kita (LCK) yang dihoskan Azwan. Kemudian kami jumpa dalam program Pong Pang Rizalman Raya.

"Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Jun lalu, kami terbabit untuk program masakan YouTube Rosix. Ketika itu semuanya okey.

"Dia kata dah pindah. Apabila dah siap rumah nak ajak datang. Sampailah nampak dia muat naik hantaran mengena perkara ini, tapi tiada ambil tindakan," katanya.

Che Ta berkata, dia kemudian memadam semula balasan itu selepas perasaannya kembali tenang.

"Biasalah kita dalam keadaan marah. Bila dah 'cool' saya malas nak layan dan malas nak bergaduh serta panjangkan cerita," katanya.

Terdahulu, menerusi laporan polis yang dibuat, Azwan menyifatkan kenyataan yang ditujukan kepadanya adalah berunsur fitnah sehingga merosakkan reputasinya sebagai seorang penggiat seni.

Dia bercadang untuk mengemukakan saman berjumlah RM5 juta kepada Che Ta yang mewakili lima juta pengikut Instagram Che Ta.

-myMetro

Selasa, 17 Ogos 2021

'Saya dan Anwar ada sokongan 105 Ahli Parlimen' - Shafie Apdal

 'Saya dan Anwar ada sokongan 105 Ahli Parlimen' - Shafie Apdal

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengakui bahawa namanya dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibawa sebagai calon Perdana Menteri daripada PH Plus. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengakui bahawa dirinya dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan oleh Pakatan Harapan Plus (PH) sebagai calon Perdana Menteri.
Jelas Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu, beliau dan Anwar perlu mendapatkan sokongan yang lebih bagi memastikan dapat membentuk kerajaan yang baharu.
"Sebenarnya kita ada permuafakatan di antara rakan kita pihak pembangkang. Tadi, saya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbincang secara ringkas, Lim Guan Eng dan kawan-kawan lain termasuk Mohamad Sabu dan Tun Dr Mahathir Mohamad pun turut maklum perkara ini.
Kita putuskan ada dua calon, pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim, keduanya saya.
"Ini berasaskan 105 sokongan yang ada, Anwar ada 105, saya ada 105 sokongan. Tetapi, dalam 105 sokongan ini, siapa di antara kita dapat meraih undi menambah kekuatan itu untuk menjadi calon pilihan," katanya ketika ditemubual dalam program Agenda Awani, terbitan Astro AWANI di sini, pada Rabu.
Tambah Mohd Shafie, beliau dan Anwar bagaimanapun akur jika salah seorang daripada mereka mendapat sokongan yang lebih sekali gus mampu membentuk kerajaan.
"Sekiranya, Anwar dapat membawa jumlah besar, saya kena akur. Saya nyatakan jangan bimbang, kita kumpulan pembangkang diberikan oleh rakyat untuk memerintah negara ini.
"Kita hilang kuasa termasuk di Negeri Sabah, kita ada dua pertiga sehingga tercetus Pilihan Raya Negeri Sabah, kalau mereka tidak beli ADUN-ADUN," katanya lagi.
Ujar Mohd Shafie, bagaimanapun jika beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen PH Plus, rakan-rakan pembangkang akan menerima dengan hati terbuka.
Tambahnya, sekiranya majoriti itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah namun ia juga perlu ditentukan keabsahannya di Dewan Rakyat sepertimana dititahkan oleh Baginda dalam pertemuan bersama pemimpin-pemimpin parti di Istana Negara, pada Selasa.
-AstroAwani

Wow:Ini kenderaan milik Youtuber terkenal Syahmi Sazli, dari NVX hingga Mustang!

 

Siapa sahaja yang tidak mengenali Youtuber terkenal yang berasal dari Kelantan, Syahmi Sazli yang saban hari namanya semakin dikenali dan melonjak naik.

Video-video drama pendek yang dimuat naik di saluran Youtube miliknya mendapat perhatian oleh rakyat Malaysia kerana terhibur dengan gelagat bintang utama Yoe dan Asif. Kebanyakan video juga adalah lakonan spontan mereka.  

Saluran itu kini mempunyai 2.25 juta pengikut dan dan mencatatkan jutaan jumlah tontonan untuk setiap video.

Syahmi juga dikhabarkan memperoleh pendapatan hasil karyanya di Youtube yang dianggarkan puluhan bahkan ratusan ribu ringgit sebulan. Dengan pendapatan tersebut, Syahmi juga dikatakan mampu memiliki beberapa buah kenderaan untuk kegunaan hariannya dan dalam proses pembuatan video.

Disini, kami akan senaraikan beberapa buah kenderaan milik Syahmi Sazli.

1.Toyota Alphard

Syahmi Sazli

Syahmi dilihat memandu sebuah Toyota Alphard pada awal tahun 2019. Kini, MPV mewah ini berharga sekitar RM300,000 keatas.

2. Ford Ranger

Syahmi Sazli

Dalam kerjayanya, kelib4t jentera ini sering dilihat dan ia sering digunakan dalam proses pembuatan video pendek. Anggaran harga untuk jentera ini ialah RM80,000.

3. Honda Jazz

Syahmi Sazli

Honda Jazz telah diguna oleh Syahmi sejak zaman bujangnya sebelum berkahwin dengan isteri, Anissa Faizul. Jentera ini juga banyak digunakan dalam drama pendek.

Baru-baru ini Syahmi telah menukar warna jentera ini kepada warna kuning dengan menggunakan kaedah “wrap“. Anggaran harga untuk jentera ini pada masa ini ialah RM40,000.  

4. Toyota Yaris

Syahmi Sazli

Syahmi Sazali jarang dilihat memandu kereta ini, namun berdasarkan akaun Instagram isterinya iaitu Anissa Faizul, terdapat gambar yang memaparkan Anissa bergambar dengan kereta tersebut.

Tidak dapat dipastikan kereta ini milik Syahmi atau tidak kerana tiada gambar atau video yang menunjukkan Syahmi atau Anissa memandu kereta tersebut.

5. Perodua Alza

Syahmi Sazli menggunakan kereta ini pada sekitar tahun 2018 untuk sesi photo shoot dan urusan penggambaran video. Kini MPV ini dianggarkan bernilai sekitar RM40,000.

6. Ford Mustang

Hasil berkarya di Youtube selama beberapa tahun, Syahmi kini dilihat memandu dan bergambar bersama sebuah Ford Mustang. Jentera dari pengeluar kenderaan Amerika Syarikat tersebut dianggarkan berharga sekitar RM250,000.

Memang Mustang biasa menjadi kenderaan popular bagi mereka yang mula mencipta nama di media sosial, ya?

7. Yamaha NVX

Jangan ingat Syahmi Sazli tak layan motor! Dia juga memiliki motosikal keluaran dari syarikat Yamaha iaitu NVX.

Motosikal ini merupakan kenderaan yang digunakan untuk kegunaan harian Syahmi. Anggaran harga untuk motosikal ini ialah RM12,000.

-sinarviral.com

Tisu Messi guna untuk lap air mata, dijual pada harga RM4.24 juta


BUENOS AIRES: Tisu yang digunakan oleh pemain bola sepak terkenal, Lionel Messi untuk mengesat air matanya ketika majlis perpisahan, akan dijual pada harga AS$1 juta (RM4.24 juta).    

Messi meninggalkan Kelab Barcelona dan kini menyertai Kelab Paris Saint Germain (PSG).

Lapor Gulf Today, seorang individu yang tidak dikenali mendakwa memperoleh tisu terpakai itu selepas majlis perpisahan tersebut, meletakkan iklan di sebuah laman sesawang yang popular.

Menerusi iklan berkenaan, individu tersebut mengumumkan tawaran menjual tisu digunakan bintang bola sepak itu yang juga disifatkannya sebagai `barangan berharga’ pada harga sejuta dolar.

Individu itu juga mendakwa tisu tersebut mengandungi genetik Messi yang membolehkan mana-mana pihak mengklon pemain bola sepak sepertinya.

Messi mempunyai kisah menarik yang dikaitkan dengan kertas tisu.

Sebelum ini, Messi pernah menandatangani kontrak pertamanya dengan Barcelona di atas sehelai kertas tisu selepas pertemuannya dengan pegawai pasukan kelab ketika itu Carles Rexach, yang amat mengagumi bakatnya.

Perjanjian tersebut hanya menggunakan kertas tisu kerana mereka tidak mempunyai kertas pada ketika itu.

Kertas tisu itu menjadi dokumen paling penting dalam sejarah bola sepak. – AGENSI

Agong beri nasihat bersatu hadapi Covid-19, bangunkan ekonomi

 

AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH

PETALING JAYA: Semua pemimpin parti politik diberi nasihat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar bersatu menghadapi penularan Covid-19 dan bersama membangunkan ekonomi negara.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu Seri Paduka turut menitahkan agar semua parti bermuafakat dan meminta agar semua menamakan calon Perdana Menteri yang mempunyai sokongan majoriti.

Selain itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut memberi banyangan untuk mewujudkan konsensus dengan semua parti di negara ini.

“Harus ada satu kekuatan semua parti dengan satu persefahaman baru dan bekerjasama menangani masalah Covid-19 serta merancakkan semula ekonomi.

“Malah semua nampak ada konsensus hentikan politik lama dan harus menjurus untuk membangun semula,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini ketua-ketua parti tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, berkaitan pelantikan Perdana Menteri baharu dengan mengambil masa kira-kira dua jam.

Anwar dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng antara pemimpin terawal keluar dari Istana Negara selepas sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong. – UTUSAN ONLINE

Ahli Dewan Rakyat diarah calonkan Perdana Menteri sebelum 4 petang esok

 Azhar melaksanakan perintah Tuanku Yang di-Pertuan Agong.

Azhar melaksanakan perintah Tuanku Yang di-Pertuan Agong.

Kuala Lumpur: Semua Ahli Dewan Rakyat diarahkan menyerahkan satu surat akuan menyatakan dengan terang dan jelas calon Perdana Menteri ke-9 pilihan mereka selewat-lewatnya esok.

Dalam satu notis Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menyatakan surat akuan itu perlu diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Datuk Nazim Mohd Alim sebelum jam 4 petang, esok.

Difahamkan sehingga kini, tidak ada seorang pun ahli Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti.

Dalam notis yang tular bertajuk 'Surat akuan memilih calon Perdana Menteri ke-9' itu, Azhar berkata, Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan budi bicara baginda di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan perlu melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang dalam hemat baginda mungkin mempunyai kepercayaan majoriti sebagai Perdana Menteri Malaysia.

"Bagi melaksanakan titah perintah Tuanku, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat supaya menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan Yang Berhormat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.

"Walaupun surat akuan ini tidak mempunyai format tertentu, namun ia perlu mempunyai butiran berikut iaitu identifikasi Yang Berhormat yang secukupnya, identifikasi secukupnya seorang saja Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan Yang Berhormat.

"Selain itu, penyataan sokongan yang terang, jelas dan tanpa syarat, diikuti tandatangan Yang Berhormat, tandatangan serta cop rasmi saksi, sama ada seorang peguambela dan peguamcara, pesuruhjaya sumpah, notari awam atau jawatan yang setanding bagi Yang Berhormat berada di luar negara dan tarikh surat akuan," katanya.

Menurutnya, serahan tangan tidak dibenarkan memandangkan Istana Negara masih berada dalam kawasan fasa satu dan juga mengelakkan penularan pandemik Covid-19.

"Perlu dijelaskan, mana-mana surat akuan Yang Berhormat yang tidak mematuhi perkara di atas ataupun yang diterima lewat tidak akan diambil kira.

"Ahli Yang Berhormat diperingatkan untuk menjaga kerahsiaan Surat Akuan ini sehingga Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengenai perkara di perenggan dua di atas," katanya.

Sementara itu, pegawai Pejabat Speaker Dewan Rakyat mengesahkan kebenaran surat berkenaan yang ditandatangani Azhar bertarikh hari ini.

- myMetro

Sepupu Shuib bakal jadi ibu susuan Ayash Affan

 


Kuala Lumpur: Pelawak dan pelakon popular, Shuib Sepahtu, 37, akhirnya sudah bertemu calon sesuai untuk menjadi ibu susuan buat anak bongsunya, Ayash Affan yang lahir pada 6 Ogos lalu iaitu sepupunya sendiri.

Shuib berkata, sepupunya itu baru melahirkan anak kira-kira enam bulan lalu

Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, banyak perkara penting harus diambil kira dan difikirkan sebelum membuat keputusan berkenaan ibu susuan terutama dari aspek agama.

"Syukur kepada Allah apabila dalam kalangan keluarga saya, ada sepupu yang baru melahirkan anak kira-kira enam bulan lalu dan dialah ibu susuan Ayash nanti.

"Saya sebenarnya bimbang terhadap masa depan Ayash sekiranya dia mendapatkan susu badan daripada orang luar (bukan ahli keluarga sendiri). Takut juga masa depan nanti, kita tidak tahu akan jadi apa. Takut terkahwin pula, akan jadi masalah nanti. Jadi, saya ambil dalam kalangan keluarga (ibu susuan). Apapun, saya ucap terima kasih kepada rakan artis dan rakyat Malaysia yang berniat untuk menolong," katanya dalam temubual dalam program Melodi, kelmarin.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, hanya Allah dapat membalas segala kebaikan yang dihulurkan banyak pihak kepadanya untuk membantu mendapatkan bekalan susu ibu buat anaknya itu.

"Bukan sahaja Tilla (Syatilla Melvin), ramai lagi rakan artis yang saya pun tak sebut nama dia. Ramai juga orang yang saya tak kenal tapi sudi nak bantu saya kerana susu ibu adalah yang terbaik untuk bayi.

"Saya harap Allah balas ganjaran kepada semua orang yang ada sejak hari pertama bersama-sama dengan saya. Terima kasih juga kepada yang mendoakan kekuatan untuk diri saya," katanya.

Mengulas perasaan rindu terhadap Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Shuib berkata, dia tidak mahu terlalu berduka kerana takut arwah isteri tersayang berasa sedih.

Menurut Shuib, bila kita teringatkan arwah, sedekahkan bacaan surah al-Fatihah.

Pada 9 Ogos lalu, Shuib kehilangan isteri tercinta yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia.

-myMetro

Pemimpin parti selesai menghadap Agong, berlangsung dua jam


 PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng antara pemimpin terawal keluar dari Istana Negara selepas sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berlangsung kira-kira dua jam.

Difahamkan, semua ahli Parlimen diminta untuk mengemukakan satu surat akuan berkenaan calon Perdana Menteri pilihan mereka.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, ketua parti tiba di Istana Negara pada pukul 2 petang tadi.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir antara pemimpin terawal yang tiba Pintu 2 Istana Negara.

Sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong itu kemudiannya disusuli Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Guan Eng.

Turut hadir dalam sesi tersebut Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Bagaimanapun difahamkan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Warisan Sabah (Sabah) tidak kelihatan. – UTUSAN ONLINE