Selasa, 19 November 2024

Pembunuh anti-Islam Norway tak patut dibebaskan, kata pendakwa

Pembunuh berfahaman neo-Nazi itu membunuh 77 orang pada 2011 dengan bom kereta dan menembak orang ramai, kebanyakannya remaja.

Anders Behring Breivik hadir di mahkamah di Norway. (Gambar AP)

SANDVIKA
Anders Behring Breivik, lelaki Norway yang membunuh 77 orang pada 2011 dalam kejadian terburuk di negara itu, tidak patut dibebaskan malah masih dianggap berbahaya, menurut pendakwa ketika lelaki itu hadir di mahkamah memohon dibebaskan selepas lebih 13 tahun dalam penjara.

Pembunuh berfahaman neo-Nazi anti-Islam itu membunuh lapan orang menggunakan bom kereta di Oslo sebelum menembak mati 69 yang lain – kebanyakannya remaja – di sebuah kem belia anjuran Parti Buruh di pulau Utoeya.

Ini cubaan kedua Breivik untuk mendapat parol. Beliau dihukum penjara 21 tahun iaitu tempoh maksimum diperuntukkan, namun ini boleh dilanjutkan selagi dia dianggap mengancam masyarakat.

Pendakwa Hulda Karlsdottir memberitahu mahkamah, dia tidak patut dibebaskan.

“Adakah wujud bahaya bahawa Breivik akan melakukan jenayah melibatkan nyawa dan kesihatan orang? Ancaman itu memang wujud,” katanya.

Beliau berkata, laporan penilaian risiko terbaru turut menunjukkan Breivik berisiko bertindak ganas.

Breivik, 45, tidak menunjukkan sebarang emosi sepanjang hujah berkenaan.

Permohonan parol terbaru itu diadakan di penjara berkawalan keselamatan tinggi di mana dia sedang ditahan, tidak jauh dari Utoeya. Dia turut akan memberi keterangan nanti.

Merete Stamneshagen, ibu kepada seorang gadis berusia 18 tahun yang maut di Utoeya berkata, usaha Breivik mendapat parol sukar diterima keluarga mangsa.

Breivik tidak menjawab ketika ditanya pemberita sama ada dia menyesali perbuatannya.

Dia pertama kali memohon parol pada 2022. Ketika itu Breivik mendakwa tidak lagi ganas, tetapi tetap mempertahankan pegangannya terhadap fahaman neo-Nazi.

Selain itu, Breivik pernah cuba menyaman kerajaan Norway kerana mendakwa penahanannya secara bersendirian melanggar hak asasinya.-FMT

0 comments:

Catat Ulasan