JANGAN MUSUHI DAN DIHARAP JUGA JANGANLAH SAMPAI ADA LAPORAN POLIS TERHADAP BERSIH
Lantaran selama ini beranggapan Anwar Ibrahim adalah pemimpin maha hebat dan maha unggul yang mampu mengubah wajah Malaysia, rata-rata penyokong beliau bagai ditimpa batu besar di kepala apabila Bersih memberi markah D kepada kerajaan madani yang dipimpinnya.
Mereka bukan saja tidak dapat menerima pemarkahan yang diberi Bersih itu, malah pelbagai kata-kata cercaan dan hinaan dilemparkan, khususnya kepada pengerusi badan pemantau pilihan raya itu, Faisal Abdul Aziz.
Selain markah D yang diberi Bersih yang tidak dapat diterima oleh para penyokong Anwar, barangkali yang lebih tidak dapat diterima ialah kerana Pengerusi PH itu juga dinilai tidak mampu menjadi Perdana Menteri yang lebih baik mengatasi Tun Mahathir Mohamad dan Ismail Sabri Yaakob.
Malah, Bersih menilai Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri terbaik sejak 2009 kerana berjaya melaksanakan pembaharuan banyak dalam kerajaan, meluluskan Akta Anti Lompat Parti dan memupuk kerjasama dwi-partisan yang mana melaluinya semua Ahli Parlimen pembangkang diberi peruntukan yang sama rata, walaupun cuma berkuasa selama 15 bulan saja.
Ia dianggap berbeza dengan Anwar yang walaupun sudah menjangkau 24 bulan menjadi Perdana Menteri, tetapi masih belum berjaya memuktamadkan perjanjian dwipartisan sebagaimana dijanjikan dalam manifesto, selain banyak lagi janji reformasi terus berada di awang-awangan dan tanpa ketahuan.
Sebagai badan pemantau pilihanraya yang selama ini dilihat pro PH, Bersih tentulah ada asas yang kukuh dalam memberi markah D kepada kerajaan madani.
Mereka tidak gopoh dan tidak juga dangkal dalam menganalisa prestasi Anwar dan kerajaan madani sejak dua tahun lalu, sebaliknya penyokong dan pemegang jawatan dalam kerajaan madani yang buta-buta menolak dapatan Bersih itulah yang boleh dikira gopoh serta dangkal lantaran lebih dipengaruhi oleh keinginan untuk membodek dan mengampu semata-mata.
Adalah dinasihatkan para penyokong Anwar jangan mudah samgat melenting, marah dan menolak mentah-mentah markah D yang diberi Bersih itu.
Mereka harus terbuka dan menerima dengan baik markah D atau lulus cukup-cukup makan yang diberi Bersih itu jika mahu melihat perubahan yang lebih baik dalam kerajaan.
Tanpa teguran dan kritikan, kerajaan tidak mungkin berubah ke arah lebih baik, bahkan lebih mungkin terus khayal dan leka, tambah-tambah lagi jika penyokong asyik mengampu, memuja dan mengucapkan ungkapan “terbaik” saja sepanjang masa.
Sepatutnya para penyokong Anwar berterima kasih kepada Bersih kerana dengan markah D yang diberi itu bukan saja membuka ruang untuk kerajaan madani berusaha lebih baik menunaikan janji-janji reformasi, bahkan sedikit-sebanyak menyedarkan mereka juga bahawa Anwar masih belum yang terbaik setakat ini.
Jika Bersih pun melihat kerajaan madani hanya layak diberi markah D, cuba fikirkan markah apa yang ada di kepala rakyat.
Kalau Bersih dapat melihat masih banyak janji reformasi dan kelemahan dalam kerajaan, jangan fikir rakyat tidak nampak semua itu.
Hakikatnya, rakyat juga nampak dan dapat menilainya, cuma mereka tidaklah sampai memberi markah tertentu secara terbuka sebagaimana yang Bersih lakukan.
Markah rakyat hanya akan dizahirkan di peti-peti undi ketika PRU16 nanti.
Maka, hati-hati dan jangan syok sendiri.
Untuk itu, sekali lagi diingatkan kepada semua pihak yang ada kaitan dengan kerajaan madani – penyokong dan pemegang jawatan – jangan tolak mentah-mentah markah yang diberi oleh Bersih dan jangan juga dinafikan dapatan D dengan kata-kata manis yang lebih bertujuan untuk membodek dan mengampu Anwar.
Lebih daripada itu, jangan cuba bermusuh dan mencerca Bersih.
Dan diharapkan juga janganlah sampai ada yang membuat laporan polis terhadap Bersih dengan tafsiran markah D itu suatu penghinaan kepada Perdana Menteri dan dianggap cubaan menghasut rakyat untuk menjatuhkan kerajaan.
Kesianlah pada polis….(ShahbudinHusin 21November2024)
Shahbudindotcom.net
0 comments:
Catat Ulasan