"Saya cuma harapkan setitis air paip sahaja untuk berbuka".
Saya mengadu kepada kaunselor penjara pasal insiden banduan (ketika saya baru pulang dari mahkamah) tak diberi peluang berbuka puasa, walau setitis air...
Walaupun majoriti banduan tak berpuasa, tapi sekurang-kurangnya bagilah peluang yang berpuasa untuk berbuka. Bagi teguk air paip pun jadilah...
Hari tu saya dibawa ke mahkamah. Keluar dari sel sejak sebelum subuh (lepas sahur). Petang lepas asar baru dihantar pulang ke penjara.
Macam biasa, semua yang dihantar pulang akan kena sidai dulu berjam-jam di RO (Register Office - Pejabat Daftar). Ada yang kena sidai separuh hari. Saya pernah kena sidai sepanjang hari. Dari pagi sampai petang.
Duduklah dalam lokap RO ramai-ramai macam sardin. Lokap busuk, sempit, pengudaraan yang tak baik, tengok orang buang air secara terbuka tanpa ada halangan...
Kalau penat, duduklah atas lantai yang tak bersih tu sepanjang hari... Sangat letih dan perit...
Peneman cuma senaskhah Quran kecil yang saya bawa sebagai penghibur. Tapi lama sangat pun, Quran pun dah tak larat nak baca... Nak baca pun lampunya malap... Nampak tak nampak bila baca.
Nak bersembang dengan banduan lain pun, sembang yang tak berkualiti... Sembang pasal kes mahkamah dan kesalahan masing-masing.
Nasib hari tu, kena sidai di RO office dari lepas asar sampai dekat Isyak. Dekat waktu berbuka, semua banduan kena keluar dari lokap, duduk ramai-ramai di perkarangan RO dan lokap dikunci!
Toilet dan sumber air paip cuma dalam lokap.
Nak ke toilet tak boleh.
Nak berbuka puasa pun tak boleh!
Kena tunggu warden habis berbuka dulu... Barulah proses body check (kena berbogel) dan scanning (masuk mesin scanner X-ray) akan dibuat sebelum banduan dibenarkan pulang ke blok (bangunan) masing-masing.
Hari itu antara hari yang perit bagi saya. Setiap kali perjalanan ke mahkamah dan pulang dari mahkamah adalah hari paling perit sepanjang 2 tahun di penjara.
Kena naik turun mahkamah sebulan sekali.
Setiap kali nak ke mahkamah, kena angkut naik 'lori ayam' (trak polis). Berhimpit ramai-ramai dalam keadaan tangan bergari dengan lagi 6 banduan lain bersambung dengan satu rantai.
Satu lori tu biasanya kena sumbat lebih kurang 40 banduan. Berhimpit-himpit...
Ada ketika nak buang air pun dalam keadaan tangan bergari dengan banduan lain.
Nak kencing, lapar, sakit kepala, stress, tak akan ada siapa peduli dan simpati. Asalkan masih bernyawa dan otak masih waras, itu dianggap okay...
Setiap kali balik mahkamah, saya pasti akan sakit kepala yang teruk. Sepanjang pergi dan pulang ke mahkamah, itulah waktunya banduan ambil peluang hisap barang terlarang.
Sepanjang hidup, saya tak pernah tengok orang hisap barang terlarang secara live, kecuali pada waktu tersebut. Mungkin kesan bau barang terlarang tu menyebab saya sakit kepala setiap kali balik dari mahkamah.
Kepala tengah sakit...
Badan rasa letih...
Otak memang stress...
Hati tengah sedih...
Tekak sangat haus (berpuasa)...
Nak berbuka puasa, setitik air paip pun tak ada!
Nak minta belas ihsan?
Pejabat RO tu tempat makian. Tempat banduan kena maki dan tibai dengan warden bagi siapa tak ambil perhatian dan tak dengar arahan warden.
Warden pun tengah sibuk nak berbuka sebelum sambung tugas (lepas berbuka puasa)...
Hari tu, saya dapat masuk blok (bangunan) di mana sel saya ditempatkan lebih kurang pukul 8.30 malam. Sebaik sahaja saya sampai, warden yang jaga blok terus tanya,
"Dah berbuka ke belum?"
Saya jawab "belum Koperal"...
Dia terus hulurkan saya kuih karipap dan kurma lebihan yang mereka makan untuk berbuka.
Ya Allah... Nikmatnya makan sebiji karipap... Dalam penjara susah nak dapat makan karipap. Nak dapat kurma pun bukan mudah.
Ada sesekali sahaja dapat makan kurma ketika saya di Penjara Sg Buloh. Itupun Ustaz yang bagi...
Setiap kali rasa perit di penjara, saya sentiasa berdoa dengan doa yang diajarkan Nabi s.a.w;
اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا
"Ya Allah, berikanlah ganjaran pahala kepadaku atas musibah ini, dan gantikanlah kepadaku apa yang lebih baik dari itu". (HR Muslim, no. 918)
Mudah-mudahan Allah gantikan keperitan itu dengan apa yang lebih baik untuk saya.
Mudah-mudahan keperitan itu memudahkan laluan saya untuk ke Syurga. Amiiin Ya Rabbal Alamiin...
#TabahHadapiMusibah
Sumber:Fb Mohd Zulkifli Shafie