Khamis, 15 September 2022

Pengusaha kolam udang, ikan berputih mata, diarah kosongkan tapak


SEBAHAGIAN pengusaha ternakan akuakultur menunjukkan sebahagian kolam udang dan ikan di atas tapak yang kini semakin terbiar selepas mereka diarahkan mengosongkan kawasan berkenaan yang diusahakan sejak 1992 Projek Ternakan Air Rintis Kampung Bandar Jugra, di Kuala Langat, Selangor. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS

KUALA LANGAT: Seramai 33 pengusaha akuakultur di bawah Projek Ternakan Air Rintis Kampung Bandar Jugra terpaksa berputih mata apabila menerima arahan pengosongan tapak yang diteroka mereka daripada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Langat.

Notis pengosongan tapak seluas 16.19 hektar itu dikeluarkan PDT sejak tahun lalu untuk memberi laluan kepada projek daripada sebuah syarikat berkaitan tenaga. 

Lebih memilukan kebanyakan mereka sudah berbelanja sehingga ratusan ribu ringgit untuk membangunkan perusahaan ternakan udang dan ikan mereka walaupun cuma diberikan Lesen Menduduki Sementara (TOL) untuk mengusahakan tanah tersebut sehingga 2012.

Malah, ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu, kawasan tersebut didakwa dijadikan sebagai Zon Pengeluaran Makanan Negara di bawah Dasar Sekuriti Makanan Negara.

Menurut wakil pengusaha, Abdul Hafiz Abdul Salam, kesemua pengusaha meminta pampasan atau saguhati keseluruhan sebanyak RM3.6 juta daripada pihak berkuasa sekiranya mereka tetap perlu mengosongkan tapak berkenaan sebagai ganti rugi terhadap kerugian dialami.

“Berdasarkan maklumat semasa mesyuarat di pejabat daerah, kolam udang dan ikan yang terlibat, laluan projek TNB adalah 48 buah. Sementara itu, bangunan terlibat untuk dirobohkan adalah 47 unit.

“Bagi jawatan kuasa yang kami tubuhkan, enam rumah ahli yang terlibat perobohan ada 36 penghuni di rumah tersebut,” katanya ketika ditemui di tapak perusahaan kolam ikan dan udang di Kampung Bandar.

Tambahnya, walaupun TOL tamat pada 2012, namun, notis pengosongan didakwa diberi secara terpilih apabila PDT hanya mengiktiraf 12 penama sahaja iaitu 10 individu dan dua syarikat sahaja sedangkan ramai yang terlibat dengan arahan tersebut.

Jelas Abdul Hafiz lagi, projek kolam udang dan ikan di kawasan terbabit adalah projek terancang dan dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa baginda masih menjadi Raja Muda Selangor.

“Kolam udang dan ikan ini juga menjadi mata pencarian penduduk sejak 30 tahun lalu (1992) dan kini pengusaha kolam udang dan ikan tiada pendapatan dan tiada rumah setelah rumah yang dibina di kawasan kolam dirobohkan sejak tahun lalu,” luahnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Penternak Ternakan Air Kampung Bandar, Shamsuddin Sario berkata, beliau berharap PDT memberi geran untuk kesemua penternak untuk meneruskan perusahaan yang dilakukan dengan peluh pengusaha selama ini.

Kita berharap diberi geran seperti penduduk tepi sungai seperti di Tongkah, Kelanang dan Permatang Pasir setelah 30 tahun mengusahakan tanah di sini. Saya difahamkan ratusan  hektar tanah di kawasan terbabit diberi kelulusan untuk geran.

“Di sini hanya ada kira-kira 16.19 hektar sahaja. Pada dasarnya, kita memahami tanah ini tidak akan diluluskan untuk geran, namun, kami berharap pemaju sebagai pemilik projek yang terlibat dengan tapak kami berusaha memberikan pampasan atas kerugian,” tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor, Datuk Nazilah Idris ketika ditemui di sini berkata, pihaknya akan membawa perkara tersebut kepada pihak pemaju terbabit.

“Atas semangat Keluarga Malaysia, Insya-Allah, saya akan bertemu dengan ketua syarikat berkenaan untuk berunding bagi membela nasib peneroka yang terlibat dengan projek tersebut,” ujarnya. –UTUSAN 

0 comments:

Catat Ulasan