Ahad, 11 September 2022

Haruan makan anak: Mental perosak darah daging sendiri

 DR Shazli Ezzat. FOTO Arkib NSTP

DR Shazli Ezzat. FOTO Arkib NSTP

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pendedahan remaja yang menjadi mangsa 'haruan makan anak' atau sumbang mahram.

Mengapa perkara ini masih berlaku sedangkan pemangsa sepatutnya menjadi pelindung, dan bukannya bertindak umpama 'haiwan liar'.

Apa yang boleh ibu bapa, keluarga atau masyarakat lakukan untuk mencegah perkara ini daripa berlaku terhadap anak-anak kita.

Ikuti wawancara Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga Naib Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) PROF MADYA DR SHAZLI EZZAT GHAZALI bersama Pengarang Berita NAZARALI SAERIL bagi mengupas isu ini.

Haruan makan anak atau sumbang mahram, mengapa ia berlaku sedangkan masyarakat kita berpegang kuat kepada akidah, nilai diri dan keluarga?

Fenomena haruan makan anak atau sumbang mahram berlaku disebabkan kurangnya nilai moral dan agama yang dibentuk dalam diri oleh institusi keluarga. Kepincangan dan kekeliruan yang berlaku dalam institusi keluarga akan menggalakkan berlakunya gangguan pemikiran, emosi serta pembawakan tingkah laku.

Ia menyebabkan perbuatan yang hina ini tidak dapat dinilai dengan baik oleh masyarakat yang terlibat walaupun negara kita berpegang teguh kepada akidah, nilai diri dan keluarga.

Realitinya perbuatan sumbang mahram ini mudah berlaku disebabkan 'keterpaksarelaan' disebabkan oleh individu yang terlibat dikenali rapat oleh mangsa dan hilang pertimbangan untuk menentukan halal haram sesuatu perhubungan didorong oleh nafsu yang membuak-buak.

Dalam psikologi, keinginan seksual adalah keinginan asas yang ada pada manusia dan ia disamakan dengan makan, minum dan tempat tinggal.

Bila kita lapar kita perlukan makanan, bila dahaga kita perlukan minuman dan bila hujan perlukan tempat perteduhan.

Manakala seks pula, jika telah mula terlibat maka ia akan berinteraksi sama dengan makan dan minum, di mana apabila berkeinginan ia akan cuba mendapatkannya.

Jika ia rosak maka manusia akan hilang pertimbangan untuk berfikir secara rasional dan mereka akan memenuhkan keinginan mereka secara primitif dan ini akan merosakkan institusi kemanusiaan itu sendiri.

Bila membicarakan kenapa kejadian ini berlaku sudah tentu ia terfokus pada puncanya antaranya terdedah pada bahan seksual pada peringkat awal, diikuti pernah mencuba dan terlibat dengan aktiviti seks, faktor ketagihah seksual serta yang paling utama kurangnya iman untuk membenteng kejadian sumbang mahram ini.

Terdapat pelbagai sebab mengapa perbuatan ini berlaku dan dalam konteks psikologi adalah disebabkan oleh faktor pembelajaran hasil pendedahan dalam sosial media, kepesongan persepsi, pemberontakan alam tidak dan separa sedar disebabkan pengambilan bahan terlarang seperti dadah dan alkohol serta tahap spiritualisasi yang rendah.

Apa yang menjadikan golongan haruan makan anak/sumbang mahram ini begitu 'berselera' dengan darah daging sendiri?

Rendah nilai moral dan iman merupakan penyebab golongan haruan makan anak begitu berselera memamah darah daging sendiri.

Menyalahgunakan kuasa sebagai datuk, bapa, ibu, abang dan sebagainya mudah untuk mencapai hasrat seksual dengan mangsa yang berada rapat dengannya serta kemampuan mengawal mangsa disebabkan 'kerapuhan diri' mangsa dengan menurut saja kehendak pemangsa disebabkan faktor dominasi ini.

Bila mangsa akur sahaja perlakuan seksual dilakukan ke atas dirinya maka pemangsa akan jadi makin menyeronokkan dan 'berselera'.

Ini kerana, keinginan seksual mudah didapati disebabkan ada hubungan kekeluargaan.

Sesuatu yang haram itu, bila dilakukan maka kenikmatan akan dirasai dan ia akan berulang-ulang dan sukar dibendung kerana akan menyebabkan ketagihan seksual terutama pada pemangsa.

Pemangsa bila bila berkehendakkan seks dengan mudah ia boleh dapat dalam lingkungan ahli keluarga mereka.

Bagi kita, ia merupakan tingkah laku kotor, tetapi bagi keluarga yang terlibat ia bukanlah dosa tetapi keperluan dalam institusi keluarga itu.

Ia menjadi normalisasi dan sukar diubah.

Kepencongan pemikiran dan tingkah laku inilah yang akan membawa kemudaratan dalam institusi kekeluargaan jika ia tidak dibendung.

Berdasarkan kajian Dr, apa yang menjadi faktor utama perbuatan keji ini?

Berdasarkan kajian, didapati faktor spiritualiti dan kerapuhan iman merupakan faktor utama perbuatan keji ini berlaku secara berleluasa.

Jika perkara ini tidak tertanam dalam jiwa, pemikiran dan emosi kita, sudah tentu perbuatan ini tidak melalui proses penilaian yang terbaik.

Ini adalah kerana manusia tidak dapat membuat penilaian sama ada perbuatan itu halal atau haram.

Jika perbuatan itu dinilai sebagai haram maka ia perlu dielakkan. Namun sebaliknya berlaku.

Kerapuhan iman ini juga membawa kepada berlakunya kekuasaan dari segi nafsu dan selalunya nafsu adalah berteraskan kepada kenikmatan, keghairahan, keseronokan melampau dan sifatnya perlu dipuaskan dengan segera.

Jika ia gagal dipuaskan dengan segera maka ia akan mengalami konflik diri yang tinggi sehingga kadang-kadang kita boleh bertingkah laku di bawah aras kemanusiaan iaitu bertingkahlaku seperti haiwan. Mereka hilang sifat malu, tidak rasa bersalah, seronok, kepuasan optimum dan yang paling merisaukan mereka akan menjadi ganas, pemarah, pembuli, pendera serta penjenayah jika keinginan mereka tidak dipenuhi.

Dalam perspektif psikoanalisis, dalam kehidupan kita ada tiga alam iaitu alam sedar, alam separa sedar dan alam tindak sedar.

Kita boleh umpamakan kehidupan ini sebagai seketul ais dalam lautan di mana hanya bahagian yang timbul itu bahagian sedar dan di bawah permukaan laut itu adalah tidak sedar.

Dalam alam separa sedar dan tidak sedar inilah perlu dijaga dengan baik jika tidak dijaga ia akan menyebabkan berlakunya kelangsungan tingkah laku kerana sifatnya yang agresif serta berpaksikan kepada keghairahan dan keseronokan semata-mata.

Elakkan daripada nafsu ini menjadi dominan dengan mengawalnya melalui ilmu agama, cahaya nur dari didikan ibu bapa dan ahli keluarga.

Mangsa trauma sepanjang hayat jika identiti sebagai mangsa terdedah termasuk dihina masyarakat atau keluarga./B>

Mangsa sumbang mahram melalui peristiwa yang sangat dahsyat dalam kehidupan mereka.

Sudah pasti mereka trauma dan mengalami gangguan dari segi pemikiran, emosi dan tingkah laku.

Antara simptom yang dialami oleh mangsa ada gangguan pemikiran ke atas peristiwa yang berulang-ulang bermain di fikiran mereka menyebabkan mereka rasa takut, kotor, bimbang, fobia, hilang keyakinan diri, rasa bersalah yang ekstrem, cepat dan mudah marah, murung serta hilang nikmat hidup.

Ini menyebabkan mereka hilang kepercayaan terhadap persekitaran mereka, takutkan hubungan intim, terlibat dalam tingkah laku yang merosakkan diri sendiri termasuk mengambil dadah, terlibat dalam masalah sosial, mengalami masalah pemakanan serta masalah personaliti.

Sesuatu yang pasti jika mangsa tidak dapat sokongan daripada masyarakat untuk berdaya tindak dengan baik mangsa akan menghadapi masalah penyakit mental seperti Posttraumatic Stress Disorder (PTSD) dan kecelaruan personaliti dan seterusnya boleh menyumbangkan kepada masalah bunuh diri serta membunuh.

Oleh itu, golongan ini memerlukan sokongan yang bersifat holistik dari pakar-pakar psikiatri, psikologis dan juga kaunselor untuk menjalani terapi-terapi yang spesifik bagi menaikkan semangat untuk hidup, mengatasi masalah trauma dan psikologi, membetulkan pemikiran, beremosi secara positif dan bertingkah laku secara positif serta memupuk kasih sayang dalam diri mangsa untuk kembali menjalani kehidupan sebaiknya.

Bagaimana pula dengan hukuman terhadap pesalah? Masih relevan, perlu ditambah baik atau dikeraskan lagi?

Hukuman terhadap pesalah adalah relevan dan ditambah baik dengan memasukkan nilai-nilai agama, kefahaman tentang iman dan pemurnian tingkah laku positif.

Jika mereka tidak berubah lagi hukuman penjara harus dipanjangkan sehinggalah elemen ini diterapkan menjadi cara dan tabiat hidup mereka.

Manusia akan berubah jika ada iman dan amal.

Oleh itu sistem penilaian ini perlu ditambahbaik bagi memastikan pesalah ini insaf dan tidak mengulangi perbuatan mereka.

Bagaimana mahu menjadikan anak-anak kita berada dalam lingkungan situasi selamat walaupun bersama keluarga sendiri"

Anak-anak ini golongan yang sangat rapuh. Oleh itu institusi masyarakat perlu lebih proaktif dalam menjalankan kempen kepada mereka yang berada di peringkat seawal prasekolah hinggalah ke alam persekolahan.

Golongan ibu juga seharusnya berperanan aktif menjaga anak-anak mereka tidak kiralah lelaki dan perempuan.

Didik untuk jaga bahagian-bahagian sensitif, cara berpakaian dalam khalayak keluarga sendiri.

-myMetro 

0 comments:

Catat Ulasan