"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Rabu, 25 Ogos 2021

Kisah Benar: Banjir Yan - Operasi cari mangsa hilang diteruskan

 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Ku Rahman Ku Ismail menyampaikan sumbangan peribadi kepada enam wira yang membantu menyelamatkan mangsa bencana kepala air.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Ku Rahman Ku Ismail menyampaikan sumbangan peribadi kepada enam wira yang membantu menyelamatkan mangsa bencana kepala air.

YAN: "Tempoh lima minit ketika meredah deruan kepala air menjadi detik antara hidup atau mati kami," kata Nasrullah Mujaddidi Md Zaini, 30.

Dalam kejadian bencana yang melanda Rabu lalu, Nasrullah dan ibunya, Zalehah Mohd Said, 52, bersama empat pekerjanya bertindak berani meredah kepala air demi menyelamatkan jiran yang terperangkap di Salak Denai Chalet, Batu Hampar.

Empat pekerja ladang Rukambu Livestock terbabit adalah Mohd Azril Abd Razak, 22; Mohd Firdaus Muzamir, 20; Mohd Roshidi Abu Seman, 33 dan Rafiq Razi, 24.

Nasrullah berkata, dia menyedari keluarga jirannya yang juga pengusaha chalet, Syazwan Anas Abdul Mutalib, 39, terperangkap apabila gagal menghubungi keluarga itu kira-kira jam 4.30 petang.

"Sebaik tiba di hadapan chalet kami melihat pokok balak sudah meranapkan rumah Syazwan dengan deruan kepala air di sekeliling chalet menyebabkan rumah itu menjadi seperti pulau.

"Saya kemudian mengikat tali pada pacuan empat roda (4WD) Land Rover yang dipandu umi (Zalehah) sebelum kami turun berturutan sambil berpaut pada tali meredah kepala air setinggi dada ke rumah Syazwan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

 Nasrullah berkata, ketika itu aliran kepala air agak reda dan mereka mengambil peluang berkenaan bagi membawa keluar keluarga jiranya, termasuk lima kanak-kanak yang didukung secara bergilir-gilir.

"Azril yang berada di hadapan sekali berjaya menemui keluarga Syazwan dan membawa mereka keluar sebelum kami berganti-ganti mendukung mangsa pada jarak kira-kira 30 meter kembali ke kenderaan.

Keadaan lokasi Salak Denai Chalet, Batu Hampar dan rumah mangsa yang terperangkap selepas bencana kepala air yang melanda Rabu lalu.
Keadaan lokasi Salak Denai Chalet, Batu Hampar dan rumah mangsa yang terperangkap selepas bencana kepala air yang melanda Rabu lalu.

"Kami perlu menyelamatkan mereka dan keluar dari kawasan chalet secepat mungkin kerana gelombang susulan kepala air boleh melanda bila-bila masa, malah ketika itu terdapat banyak pokok balak sedang hanyut," katanya.

Dalam bencana kepala air Gunung Jerai dan banjir lumpur itu, mereka berjaya menyelamatkan Syazwan, isteri dan lima anaknya berusia antara dua hingga 11 tahun serta nenek Syazwan, Kalsom Abdullah, 85.

Namun, suami Kalsom, Ku Shuib Ku Abdullah, 91, yang juga bekas imam Masjid Yan, dihanyutkan kepala air dan jenazahnya ditemui pasukan penyelamat pada petang Ahad lalu, di bawah timbunan kayu dan bongkah batu.

Bagi Azril, dia bersama rakan lain tidak langsung berasa takut ketika meredah kepala air kerana hanya berfikir mahu membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap sahaja.

"Saya terpaksa buka but getah yang dipakai sebelum masuk ke dalam kepala air dan dapat merasa batu bergolek sambil mengelak pokok balak hanyut ketika bergerak ke rumah Syazwan.

"Pintu rumah memang sudah ditutup pokok balak dan saya terpaksa masuk melalui celah runtuhan dinding sebelum menemui mangsa dalam keadaan berpelukan serta menangis ketakutan di dalam bilik.

"Saya kemudian terus mendukung seorang demi seorang dan membawa mereka keluar bagi diserahkan kepada rakan yang berada di luar rumah," katanya yang tinggal di Kampung Setol.

Bagi Zalehah, dia nekad menyelamatkan keluarga jirannya itu kerana tahu gelombang susulan kepala air akan menyebabkan nyawa lapan beranak itu terkorban.

"Sebaik keluarga jiran dapat diselamatkan, saya minta mereka bertenang dan suruh semuanya masuk ke dalam kenderaan sebelum memandu pulang ke rumah.

"Saya akan menyesal seumur hidup jika tidak menyelamatkan nyawa mereka, namun sedih apabila melihat nenek Kalsom yang asyik bertanya keadaan suaminya, Ku Shuib yang ketika itu belum ditemui," katanya.

Sementara itu, pengorbanan enam wira berkenaan mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Ku Rahman Ku Ismail yang merakamkan penghargaan dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada mereka.

-BH Online

Desas-Desus: Menanti Kabinet Keluarga Malaysia

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR: Sejak beberapa hari lalu, tular pelbagai versi senarai anggota Kabinet baharu.

Walaupun disahkan sebagai palsu, perbincangan mengenai Kabinet yang bakal dibentuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sentiasa mencuri tumpuan.

Memasuki hari kelima menduduki jawatan nombor satu itu, Ismail Sabri dijangka tidak mengambil masa yang lama untuk mengumumkan senarai nama 'pasukan impiannya'.

Ini diperkuatkan dengan sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong oleh Perdana Menteri yang dikatakan akan berlangsung hari ini.

Sudah menjadi kelaziman untuk Perdana Menteri menghadap Seri Paduka pada Rabu sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet, namun pada masa ini, Kabinet kerajaan baharu pimpinan Ahli Parlimen Bera itu belum dibentuk.

Mengambil kira fakta itu, ramai yang menjangka perbincangan dalam sesi menghadap hari ini akan berkisar kepada mempersembahkan senarai nama anggota Kabinet untuk diberi perkenan oleh Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 Pemerhati politik berpendapat sekiranya diberi perkenan, majlis angkat sumpah anggota Kabinet dijangka berlangsung minggu ini dan paling cepat esok.

Paling mencuri tumpuan ialah siapa yang bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Sumber BERSATU mendakwa Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin hampir pasti dilantik ke jawatan itu.

Namun beberapa nama pemimpin kanan BERSATU lain turut disebut-sebut selain terdapat desakan supaya tokoh dari Sabah atau Sarawak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dengan pelbagai desakan, ada pemerhati yang berpendapat jawatan itu boleh ditiadakan sebagaimana era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sebaliknya diganti dengan beberapa jawatan Menteri Kanan.

Turut dinantikan ialah saiz Kabinet Ismail Sabri. Parti kerajaan dan pembangkang seakan mencapai kata sepakat mahu melihat ia dikecilkan, bukannya sehingga 70 orang sewaktu pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sekiranya dikecilkan, ia pasti menuntut kebijaksanaan Ismail Sabri dalam aspek pengagihan portfolio kerana kerajaan diketuainya dibentuk pelbagai parti komponen Barisan Nasional (BN), PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Walau apapun bentuk Kabinet Keluarga Malaysia, lebih utama ialah pembentukannya mesti disegerakan kerana negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

Pasukan yang mantap perlu dibentuk dengan cepat kerana di bahu mereka tergalas tanggung jawab besar untuk membawa keluar negara daripada pandemik dan masalah ekonomi yang semakin menekan rakyat.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pembentukan Kabinet bukan sahaja perlu dipercepatkan tetapi ia mestilah memenuhi pengharapan rakyat yang ternanti-nanti pendekatan yang bakal diambil Perdana Menteri dalam memerangi COVID-19 dan masalah ekonomi melalui pendekatan Keluarga Malaysia.

Katanya, selain memenuhi harapan rakyat, Ismail Sabri juga perlu melihat secara menyeluruh bagi mengimbanginya dengan permuafakatan semua parti gabungan yang memberi sokongan kepadanya sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, permuafakatan itu mesti dijaga bagi mengelakkan berlakunya pertembungan dalam kalangan pemimpin politik yang akhirnya menjejaskan kestabilan negara sehingga rakyat menerima kesan buruk.

"Dalam hal ini, Perdana Menteri mesti melihat secara keseluruhan iaitu keseimbangan antara keperluan rakyat dan bagi memastikan kerajaan kekal kuat yang merupakan sebahagian elemen utama dalam rancangan pembangunan negara.

"Sekiranya pembentukan Kabinet gagal mengambil kira rekonsiliasi parti gabungan, kita khuatir berlaku lagi pertembungan dalam kalangan ahli politik sehingga menyebabkan kerajaan berpecah.

"Beliau mesti memperakui kedudukan semua parti dalam kerajaan dan melihat kepentingan parti ini dan kepentingan rakyat secara bersama," katanya.

-BH Online

Menjelang pengumuman Kabinet: Ulama Pas beri amaran jangan sesiapa jadi ‘abang long’

 

August 25, 2021

Pelik Tapi Benar: Kembar '2 kaum' berbeza seibu sebapa

PASANGAN itu bersama bayi kembar mereka. FOTO Agensi
PASANGAN itu bersama bayi kembar mereka. FOTO Agensi

Burlington: Uniknya pasangan bayi kembar dari Amerika Syarikat (AS) yang bukan hanya tidak memiliki wajah seiras, tetapi juga fizikal berbeza.

India Times melaporkan, kembar diberi nama Makai dan Ellion dilahirkan pada November tahun lalu.

Mereka tidak kelihatan seperti pasangan kembar lain dan seolah-olah berasal daripada dua kaum berbeza.

Ini kerana Makai mempunyai kulit dan mata berwarna gelap dengan rambut hitam kerinting.

Ellion memiliki rambut berwarna perang muda (blonde) dengan kulit dan warna mata yang cerah.

Bagaimanapun, ia tidak menghairankan kerana ibu bapa mereka datang daripada dua kaum, maka Makai dan Ellion boleh mewarisi pelbagai ciri.

Menurut laporan LadBible, ibu pasangan kembar itu, Leaetta Harris, 29, memberitahu bahawa kedua-dua anaknya sebenarnya mempunyai ayah yang sama.

Perbezaan itu bagaimanapun menjadikan ahli keluarga sering berseloroh mengenai siapa ibu bapa sebenar Makai dan Ellion.

Leaetta berdarah campuran Kaukasia dan Afrika-Amerika, manakala suaminya Lamba Crane, 35, dilahirkan di Gabon, negara di Afrika Tengah.

Ibu kepada Lamba Crane adalah warga Afrika dan bapanya berketurunan Afrika-Amerika.

Leaetta dan Lamba Crane berkata, mereka terkejut selepas anak kembar mereka itu dilahirkan.

"Mereka kelihatan seperti dua bayi daripada bangsa yang berbeza.

"Orang selalu bertanya adakah mereka kembar dan terkejut, malah bingung apabila saya mengiakannya.

"Ahli keluarga selalu mengusik dan menjadikannya bahan gurauan tetapi kami anggap anak kami unik, malah bangga dapat melahirkan kembar berlainan," katanya.

Leaetta berkata, dia dan suaminya tidak pernah membaca mengenai kembar lelaki seperti Makai dan Ellion.

Katanya, dua atau tiga kisah dibacanya tetapi berlainan dengan mereka.

"Semua kembar lain dengan warna kulit yang berbeza sama ada kerana salah seorang ibu atau bapa sepenuhnya berkulit putih atau hitam, manakala kes lain lain salah seorang ibu atau bapa adalah berkulit hitam atau berdarah campuran.

"Makai dan Ellion adalah kembar diamniotik dikorionik, yang bermaksud bahawa walaupun mereka di dalam satu rahim, masing-masing dengan kantung amnion dan plasenta berasingan.

"Mereka dilahirkan menerusi pembedahan dengan jarak empat minit, kedua-duanya sama tetapi berbeza dengan keperibadian mereka sendiri.

"Makai lebih lantang dan beremosi, sementara Ellion relaks tetapi lebih berdikari," katanya.

-myMetro

Taliban warisi sumber mineral RM4.24 trilion

 Kanak-kanak Afghanistan. FOTO AFP

Kanak-kanak Afghanistan. FOTO AFP

Paris: Taliban kini memegang kunci kepada sumber mineral yang belum diterokai dianggarkan bernilai AS$1 trilion (RM4.24 trilion) yang dapat memberi peralihan dunia ke tenaga boleh diperbaharui.

Namun, disebabkan perang yang tidak berkesudahan selain infrastruktur lemah, ia menjadi penghalang kepada usaha mengeluarkan sumber mineral itu bagi meningkatkan kekayaan ekonominya.

Taliban yang mula menguasai negara itu selepas 20 tahun kini terikat dengan krisis kewangan berikutan beberapa negara yang menyalur bantuan menghentikan sokongannya terhadap Afghanistan.

Menurut laporan oleh Kajian Geologi AS (USGS) Januari lalu, sumber mineral semula jadi yang berharga itu termasuk bauksit, tembaga, bijih besi, litium dan nadir bumi.

Tembaga yang diperlukan untuk membuat kabel kuasa menjadi antara komoditi terpenting tahun ini apabila harganya melonjak menjadi lebih dari AS$10,000 (RM42,379.99) satu tan.

Lithium pula ialah elemen penting untuk membuat bateri kereta elektrik, panel solar dan kincir angin.

Permintaan dunia untuk litium dijangka meningkat lebih 40 kali ganda menjelang 2040, menurut Badan Tenaga Antarabangsa.

Pengarang buku The Rare Metals War, Guillaume Pitron berkata, Afghanistan 'duduk' di atas rizab besar litium yang belum diterokai hingga hari ini.

"Afghanistan juga memiliki banyak sumber nadir bumi yang digunakan dalam sektor tenaga bersih seperti neodymium, praseodymium dan dysprosium.

"USGS menganggarkan nilai kekayaan mineral yang belum diterokai negara itu dianggarkan bernilai AS$1 trilion (RM4.24 trilion) walaupun pegawai Afghanistan menyatakan ia tiga kali lebih tinggi," katanya.

Afghanistan sudah melakukan penggalian batu berharga seperti zamrud dan rubi serta turmalin separa berharga dan lapis lazuli yang lebih baik, bagaimanapun perusahaan itu berdepan isu penyeludupan ke Pakistan.

Afghanistan juga melombong mineral lain termasuk talc, marmar, arang batu dan besi.

Walaupun peralihan kuasa oleh Taliban boleh menjejaskan pelabur asing, China muncul satu-satunya negara yang bersedia melakukan perdagangan dengannya.

Ekonomi terbesar kedua di dunia berkata, negaranya bersedia untuk mengadakan hubungan 'mesra dan bekerjasama' dengan Afghanistan selepas Taliban memasuki Kabul.

-myMetro

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 3 - Ramadhan di Kubang Kekura

 

“Bangung segheme[1]…anok-anok. Bangung, bangung”, Hajah Ramlah mengejutkan anak-anaknya. Zul menggeliat, menggosok mata. “Awalnye chik kejut kite…lambat lagi nok Subuh ning.”, kata Zul selepas menjeling ke jam loceng berjenama Junghans di sebelahnya.

“Memangla kene bangung awal. Nok nyaoo[2] ekpong[3]!”, Hajah Ramlah keluar daripada bilik anak-anaknya selepas membuka lampu.

“Oh, betulla. Doh mule puase.”, bisik Zul sendirian.

Baru semalam beliau mendengar Tok Akinya, Haji Bakar mensyarahkan tentang kelebihan sahur.

Nabi kite ade pesang,

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً

“Nyaoolah segheme. Sesungguhnye dalang sahur itu ade barokahnye.”[4]

Fauziah dan Noriah masih di dapur dengan Hajah Ramlah.  Walaupun masih kecil, kedua-duanya rajin membantu ibu mereka menyediakan juadah sahur. Itulah kebiasaannya anak-anak gadis kampung. Sejak usia muda dilatih dengan tugas-tugas di dapur.

“Abang Mi. Napok sedak singgang ikang aye Chik buat ning. Hehe…” Buntang mata Zul melihat lauk-pauk yang terhidang di atas meja. Mi hanya mengangguk dan meneruskan suapannya. “Mung dop soh cakak banyok. Bang[5] kekgi, dop dang mung nok makang.” Mi menasihati adiknya, Zul yang masih belum bersahur. Termenung di meja makan.

Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ بِلاَلاً يُنَادِي بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam, maka makan dan minumlah sehingga azannya Ibn Umm Maktūm”.[6]

Imam al-Nawawī rahimahullah di dalam al-Majmūʿ menyebutkan:

“Telah kami sebutkan sekiranya telah terbit fajar dan padanya (di dalam mulutnya) terdapat makanan, maka perlu dia mengeluarkan makanan tersebut dan kemudian sempurnakan puasanya. Sekiranya dia menelan apa yang ada di dalam mulutnya itu, setelah mengetahui terbitnya fajar al-ṣādiq, maka batallah puasanya. Dalilnya adalah hadith daripada Ibn ‘Umar dan ʿĀ’ishah radhiallāhu ʿanhā yang mana Rasulullah  bersabda: إِنَّ بِلاَلاً يُنَادِي بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ (hadith seperti di atas)…”[7]

Ustaz Mad memang biasa mengingatkan anak-anaknya untuk menyelesaikan sahur sekitar waktu imsak iatu lebih kurang 10 minit sebelum azan sebagai langkah berjaga-jaga (īḥtiyāt). Waktu imsak ialah waktu sepertiga akhir malam atau ketika terbitnya fajar kadhib yang menunjukkan bahawa waktu Subuh sudah hampir.

Kebiasaan di Malaysia atau beberapa negara-negara lain, waktu imsak yang ditetapkan ialah 10 minit sebelum masuk waktu Subuh. Penetapan ini bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga kerana jika telah masuk waktu Subuh secara tepat, maka sebarang makanan atau minuman yang masuk melalui rongga adalah membatalkan puasanya.

Zul pantas menyuap nasi ke mulutnya. Takut-takut tidak sempat bersahur. Seharian kena berlapar. Alang di sebelahnya meramas nasi di dalam pinggan, tersengih seorang diri dengan mata yang masih tertutup rapat. “Alang, parop[8] ngat aku tengok mung! Makang cepat!” kata Zul sambil menggoncang-goncang tubuh adiknya.

Aktiviti anak-anak kampung masih seperti biasa walaupun bulan Ramadhan. Ada yang puasa penuh, ada yang puase yok-yok[9]Tengahari sudah buka periuk. Memang lucu jika mengenangkan keletah zaman kanak-kanak. Selepas Asar, Zul bersama kawan-kawannya bermain bedil colok. Kalau ada “perang” bedil colok peringkat Kampung Kubang Kekura, beliaulah Panglimanya.

“Mung lebong dop? Haha…Cikgu Mang tanye mung puase ke dop, mung jawab puase.”. Zul bertanya kepada sahabatnya, Arif selepas penat bermain bedil colok“Hahaha…nok hidup kene panda. Tapi aku nyesal jugok. Ddose wase.”, Arif termangu di sisi Chooper beliau.

Waktu berbuka puasa adalah waktu yang ditunggu-tunggu. Sebelum berbuka puasa, Hajah Ramlah akan meminta anak-anaknya mengagihkan juadah berbuka puasa untuk jiran tetangga. Itulah tradisi di kampung-kampung. Jiran tetangga saling bertukar lauk pauk. Nekbat, Akok, Qasidah, Jala Mas adalah antara kuih-muih yang ditunggu-tunggu. Rasa? Manih letting!

Rasa Jala Mas sedikit manis.

Kuih muih ini boleh ditemui pada hari-hari biasa di Pantai Timur, tetapi lebih banyak dicari pada bulan Ramadhan. Lebih gembira, adakalanya Zul dan adik beradiknya dapat 10 sen, 20 sen selain lauk-pauk, setiap kali ke rumah jiran mereka untuk memberikan juadah berbuka puasa. Sekitar 70-an, jumlah itu sudah cukup mewah.

“Dummm…Dummm…!”, bergema bunyi bedil yang terletak di Bukit Pak Apil, menandakan masuk waktu berbuka puasa. Meriam itu juga ditembak ketika sudah masuk waktu imsak. Sejarah bermulanya tradisi tembakan meriam sebagai petanda masuk waktu berbuka puasa dikatakan bermula ketika era Dinasti Mamluk di Kaherah pada abad ke-15 hingga abad ke-19. Pada mulanya, Kerajaan ingin menguji meriam yang baharu dibeli. Kebetulan, waktu itu adalah waktu Maghrib. Penduduk Kaherah menyangka tembakan meriam itu adalah pengkhabaran waktu berbuka puasa.

Lakaran manuskrip latihan main lembing pada era Dinasti Mamluk

Pasha yang memerintah pada ketika itu melihat ketakjuban rakyat akan hal tersebut dan terus mengisytiharkannya sebagai satu inovasi baharu dan polisi bagi memaklumkan masuknya waktu berbuka puasa. Mungkin itulah asal-usul tembakan meriam di Bukit Besar.

Setiap malam, Ustaz Mad akan bersama anak-anak lelaki menunaikan Solat Tarawih di balasoh. Ayoh, malang ni buleh dop kite solat lapang raka’at je?”, tanya Mi tertunduk-tunduk. Mungkin takut dimarahi ayahnya. Pertanyaan yang sudah pasti mewakili adik-adiknya yang bersembunyi di belakang abang sulung mereka.

“Due puloh. Lepah tu witir. Baru kite kelik rumoh.” jawab Ustaz Mad ringkas dan tegas. Jarang sekali Ustaz Mad mendirikan solat Tarawih di rumah bersama-sama keluarganya. Sesekali, Hajah Ramlah dan anak-anak perempuannya turut serta ke balasoh jika beliau tidak solat Tarawih di rumah.

Solat Tarawih merupakan suatu solat yang dituntut bagi umat Islam untuk melaksanakannya. Ganjaran melakukannya adalah sangat besar, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‎مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.” [10]

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa perbuatan qiyam Ramadhan yang meliputi solat Tarawih, pembacaan al-Quran, zikir dan doa, serta selainnya daripada ibadah yang dilakukan pada malam hari bulan Ramadhan, sekiranya ia dilakukan dengan penuh keimanan akan pensyariatannya serta mengharapkan ganjaran pahala dari Allah SWT, nescaya pelakunya akan diampunkan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu.

Imam Al-Nawawī di dalam kitab beliau Sharḥ Al-Nawawī ʿalā Muslim menyatakan: “Qiyam Ramadhan adalah solat Tarawih’’.[11]

Pensyariatan solat tarawih dapat dilihat melalui sebuah riwayat daripada Umm Al-Mu’minīn ʿĀ’ishah radhiallāhu ʿanhā bahawa beliau berkata:

 ‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلَّى بِصَلاَتِهِ نَاسٌ، ثُمَّ صَلَّى مِنَ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ، ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ ‏‏ قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلاَّ أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ ‏ وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW pada suatu malam sedang solat di dalam masjid. Maka orang ramai pun mengikut solat bersama baginda. Kemudian pada malam berikutnya, baginda solat sekali lagi dan jemaah yang mengikutnya semakin banyak. Pada malam yang ketiga atau keempat, orang ramai berkumpul menanti ketibaan Rasulullah SAW sebaliknya baginda tidak keluar kepada mereka. Apabila masuk waktu subuh, baginda bersabda kepada para jemaah: ‘Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kamu semua lakukan. Dan tidaklah yang menghalang aku dari keluar kepada kamu melainkan aku takut solat itu akan difardhukan ke atas kamu semua. Yang demikian itu berlaku pada bulan Ramadan.”[12]

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah SAW pada malam hari pertama bulan Ramadan baginda keluar menuju ke masjid pada waktu malam dan mendirikan solat. Kemudian orang ramai yang berada di sekitar turut serta mengikuti solat malam Rasulullah SAW. Demikian juga pada malam yang kedua. Cuma bilangan jemaah yang solat bersama baginda semakin ramai. Manakala malam yang berikutnya, bilangan jemaah semakin ramai sehingga memenuhi masjid.

Maka pada malam yang berikutnya, Rasulullah SAW tidak keluar ke masjid dan ramai orang pada ketika itu yang menanti kehadiran baginda. Sebaik sahaja waktu subuh, selepas sahaja solat baginda berpaling seraya mengatakan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas.

Shaykh Shams al-Ḥaqq al-ʿAẓīm al-Ābādi ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata: “Baginda khuatir solat tarawih akan difardhukan ke atas mereka. Ini kerana boleh jadi berlakunya kefardhuan atas perbuatan qiyam Ramadhan secara berjamaah disebabkan ia dibuat secara berterusan’’.[13]

Maka, zahir dari hadis ʿĀ’ishah radhiallāhu ʿanhā di atas adalah menunjukkan kepada keharusan mendirikan solat sunat tarawih di rumah. Bahkan berjemaah dalam melakukan solat tarawih itu adalah lebih afdhal berbanding secara bersendirian.

Imam Al-Nawawī berkata :

وَتَجُوزُ مُنْفَرِدًا وَجَمَاعَةً وَأَيُّهُمَا أَفْضَلُ فِيهِ وَجْهَانِ مَشْهُورَانِ كَمَا ذَكَرَ الْمُصَنِّفُ وَحَكَاهُمَا جَمَاعَةٌ قَوْلَيْنِ (الصَّحِيحُ) بِاتِّفَاقِ الْأَصْحَابِ أَنَّ الْجَمَاعَةَ أَفْضَلُ

Maksudnya : Dan dibolehkan (solat Tarawih itu dilakukan) secara bersendirian dan juga secara berjemaah. Berkenaan yang manakah yang afdhal antara keduanya terdapat dua pendapat yang masyhur sebagaimana yang disebutkan oleh musannif dan diceritakan oleh majoriti (al-Shāfiʿiyyah), yang sahih secara sepakat oleh ashab, secara berjemaah itu adalah lebih afdhal.[14]

____________________

[1] Semua

[2] Bersahur

[3] Lagipun (Biasa diletakkan di hujung ayat)

[4] Riwayat al-Bukhari (1923), dan Muslim (1095)

[5] Azan

[6] Riwayat al-Bukhari (620)

[7] Lihat Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/333)

[8] Teruk

[9] Puasa separuh hari

[10] Riwayat Al-Bukhari (37)

[11] Lihat Sharḥ Nawawī ʿalā Muslim, (6/377)

[12] Riwayat Al-Bukhari (1129)

[13] Lihat ʿAwn al-Maʿbūd Sharḥ Sunan Abī Dawūd (4/180).

[14] Lihat Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/31)

Sumber Asal: zulkiflialbakri.com

Artikel Barkaitan:

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Prolog

 Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 1- Budak Kampung

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 2 - Bukan Lagi Yang Dulu

Selasa, 24 Ogos 2021

Mangsa gangguan seksual Ebit Lew sudah dirakam keterangan

 Laporan Harian Metro.

Laporan Harian Metro.

Kuala Lumpur: Polis sudah mengambil keterangan mangsa yang dikaitkan dengan siasatan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan enggan mendedahkan identiti mangsa dan jumlah saksi yang tampil bagi membantu siasatan.

Abd Jalil berkata, siasatan berhubung perkara itu masih diteruskan dan pihak polis masih menunggu saksi lain tampil membantu siasatan.

"Masih belum ada perkembangan terbaru lagi, orang ramai yang ada maklumat boleh tampil," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, siasatan terhadap pendakwah terkenal, Ebit Lew, 37, dilakukan selepas pihak polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 19 Ogos lalu, Ebit Lew dipanggil polis untuk dirakam keterangan berhubung penyebaran video gangguan seksual dikaitkan dengan pendakwah berkenaan.

Bagaimanapun, Ebit Lew ketika ditemui media sebaik selesai memberi keterangan mendakwa dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya.

-myMetro

'Jangan ulangi kesilapan kerajaan sebelum ini'- Ahmad Zahid

 

Ahmad Zahid Hamidi

SHAH ALAM - Kerajaan baharu diingatkan supaya tidak mengulangi beberapa kesilapan kerajaan sebelum ini seperti bias dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan menyekat persidangan Parlimen.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat meletakkan harapan besar kepada kerajaan baharu untuk melakukan perubahan supaya negara terlepas daripada ancaman pandemik Covid-19 yang semakin memburuk.

Menurutnya, antara kesilapan terdahulu yang perlu dijadikan sempadan adalah keputusan populis yang membahayakan kerana memberi terlalu banyak kelonggaran sebelum negara mencapai tahap imuniti kelompok.

“Kerajaan terdahulu membuka sesi persekolahan semasa kes jangkitan sedang tinggi dan meletakkan pelajar dan guru dalam keadaan berbahaya.

“Memberi kelonggaran kepada pengembara dari luar negara menjalani kuarantin di rumah ketika dunia berdepan ancaman pelbagai varian baharu Covid-19.

“Kerajaan juga bias dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kerana menutup sektor berisiko tetapi sektor yang menyumbang kepada kluster tertinggi dibenarkan beroperasi.” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak bersungguh-sungguh menyebabkan kadar jangkitan bertambah parah.

Kata beliau, kerajaan mengenakan kadar kompaun yang sangat tidak munasabah kepada rakyat dengan tujuan untuk mendidik rakyat.

“Polisi ‘try and error’ sehingga mengundang ‘flip flop’ yang mengelirukan dan menyusahkan rakyat serta bantuan moratorium yang berikan hanya menguntungkan pihak ketiga kerana pinjaman bersifat ‘refinance’ menguntungkan pemiutang.

“Bantuan yang diberikan menguntungkan pihak ketiga kerana bantuan yang diumumkan bersifat terakru sedangan bantuan tersebut diperlukan segera dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak menyeluruh.

“Kerajaan terdahulu tidak mengambil serius titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dan dianggap membelakangi perlembagaan negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, terlalu banyak percanggahan polisi memerangi Covid-19 dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga diambil mudah demi memenuhi tuntutan kroni dan ‘monetary’.

-SH Online

Doktor pakar diperintah hadir esok perjelas keadaan kesihatan Ahmad Zahid di Mahkamah

 

AHMAD ZAHID HAMIDI

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan esok bagi mendengar penjelasan seorang doktor pakar sebuah hospital swasta berhubung keadaan kesihatan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ekoran ketidakhadirannya pada perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, hari ini.

Sehubungan itu, sapina dikeluarkan terhadap Pakar Perunding Sakit Intervensi, Hospital Pakar Avisena Shah Alam, Dr. Mohd. Shahir Anuar agar beliau hadir memberi penjelasan berkaitan prosedur yang dijalankan terhadap Ahmad Zahid.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, mahkamah perlu mengetahui prosedur berkenaan serta tempoh yang diperlukan untuk memastikan tertuduh benar-benar pulih bagi membolehkannya hadir pada prosiding akan datang.

“Mahkamah tidak boleh membenarkan sebarang penangguhan lagi dan akan memanggil doktor berkenaan menjelaskan keadaan kesihatannya serta prosedur yang akan dijalankan,” jelas beliau.

Hakim Collin pada asalnya bercadang untuk mengeluarkan sapina kepada doktor berkenaan dan mengarahkan beliau hadir ke mahkamah pada sebelah petang.

Bagaimanapun, peguam Hamidi Mohd. Noh yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan, doktor pakar itu ketika dihubungi sejurus selepas sidang ditangguhkan memberitahu beliau tidak berkelapangan hari ini.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan, Presiden UMNO itu tidak dapat hadir kerana akan menjalani prosedur pada bahagian tulang belakangnya di sebuah hospital swasta.

Menurut peguam bela, Ahmad Zahid mengalami kesakitan akibat terjatuh dan tidak mampu duduk terlalu lama. Beliau dimasukkan ke wad sejak Ahad lalu.

Beliau turut memaklumkan, pihak pembelaan mempunyai empat bahagian penghujahan yang mana salah satunya melibatkan isu-isu perlembagaan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, pihaknya dimaklumkan melalui surat berhubung ketidakhadiran Ahmad Zahid pagi ini.

Bagaimanapun jelasnya, surat itu tidak menyatakan bahawa tertuduh bersetuju prosiding penghujahan dijalankan tanpa kehadirannya.

Raja Rozela berkata, jika penghujahan berlangsung tanpa kehadiran Ahmad Zahid, dikhuatiri akan memperlihatkan seolah-olah haknya selaku tertuduh dinafikan.

Beliau turut membayangkan jika perbicaraan diteruskan, mungkin prosiding boleh diakses secara maya demi berlaku adil kepada tertuduh.

Namun Hakim Collin berpendapat, Seksyen 264 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan kehadiran tertuduh perlu bagi mengelak wujud situasi yang membawa kepada perbicaraan yang tidak sah.

Sehubungan itu, beliau berpendapat adalah lebih baik tertuduh hadir bagi membolehkan beliau mengeluarkan arahan kepada peguam jika terdapat sebarang isu berbangkit.

Prosiding selanjutnya ditetapkan pada 6 September ini.

Mahkamah sepatutnya mendengar penghujahan kes Ahmad Zahid, 68, yang menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

-Utusan Online

Hari pertama Ismail Sabri sebagai PM – yang baik dan yang buruk

 

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (berdiri tengah, berbaju putih) semasa lawatannya ke kawasan dilanda banjir di Yan, Kedah, semalam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ismail Sabri Yaakob memulakan hari pertamanya sebagai perdana menteri semalam, yang tidak kurang sibuk bagi bekas timbalan perdana menteri itu.

Selepas masuk kerja pada 8.30 pagi di Perdana Putra, Ahli Parlimen Bera itu segera berangkat untuk lawatan kerja rasmi pertamanya ke daerah Kuala Muda dan Yan di Kedah untuk memeriksa kawasan yang dilanda banjir baru-baru ini.

Dalam tindakan umumnya yang pertama sebagai perdana menteri, beliau mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM78 juta buat mereka yang terjejas akibat banjir dengan keutamaan diberikan untuk pembaikan infrastruktur dan bantuan tunai segera bagi mereka yang mengalami kerosakan rumah.

Katanya, RM500 akan diberikan kepada setiap keluarga yang terjejas dan RM5,000 kepada mereka yang kehilangan insan tersayang dalam banjir, manakala RM3 juta akan diperuntukkan untuk pembaikan rumah dan jalan raya.

Bagaimanapun, lawatan berkenaan menerima kecaman oleh warganet, yang pertama sekali mempertikaikan bagaimana papan tanda didirikan dengan segera oleh Pejabat Daerah Kuala Muda untuk menyambut perdana menteri.

Keutamaan Pejabat Daerah salah kata warganet, dengan papan tanda yang baharu dibina berkenaan kelihatan menonjol dalam latar belakang kemusnahan akibat banjir.

“Bayangkan pergi ke kawasan dilanda bencana dan perkara pertama yang difikirkan mereka adalah dirikan papan tanda untuk menyambut dan mengucapkan tahniah kepada perdana menteri,” kata @zahdIDGAF2 di Twitter.

Ini disusuli kritikan mengenai saiz rombongan Ismail dalam lawatannya dengan Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad; Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid; Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim antara yang dilihat turut serta.

Sebuah video yang disiarkan Berita Harian menunjukkan rombongan Ismail hanya mengamalkan sedikit penjarakan fizikal ketika beliau memeriksa jambatan yang rosak akibat banjir.

Berkenaan video itu, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mengingatkan polis, “… sementara menyiasat kes Dataran Merdeka, jangan terlupa video ini.”

Lewat hari sama, tersebar gambar penerbangan Ismail dalam Perdana 1, pesawat rasmi perdana menteri.

Satu gambar menunjukkan beliau disertai Tajuddin, Mahdzir dan Ahli Parlimen Kuala Krau Ismail Mohamed Said, mendedahkan rupa dalaman pesawat berkenaan yang jarang dilihat umum.

Dalam satu lagi gambar, makanan dilihat dihidangkan buat keempat-empat pemimpin Umno berkenaan dan ini mendapat komen Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir yang berkata, “bila dah boleh dine-in.”

Gambar terbaru yang menjadi tular menunjukkan Ismail mempengerusikan mesyuarat dengan pemimpin Umno, yang dipercayai diambil di Kedah semasa lawatannya.

Dengan jarak fizikal yang kecil antara mereka yang duduk di meja, Tajuddin dan Mahdzir khususnya tidak memakai pelitup muka ketika Ismail bercakap.

Warganet segera mengecam ketidakpatuhan terhadap SOP itu, termasuk Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran, yang berkata, “kerajaan baharu? Sama sahaja, terang-terang tak endahkan SOP.”-FMT