
BALING - Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) mengisytiharkan solat Jumaat buat kali pertama dilaksanakan di Surau Nurul Hidayah Kampung Orang Asli Lubuk Legong di sini sekali gus memberi kemudahan kira-kira 100 penduduk lelaki komuniti tersebut.
Setiausaha MAIK, Datuk Dr Abdul Ghani@Zulkifli Zainuddin berkata, keputusan itu sudah tentu khabar gembira buat satu-satunya komuniti Orang Asli Suku Kensiu di Malaysia dalam usaha memudahkan pelaksanaan kewajiban mereka.
"Hari ini hari pertama surau ini boleh menyempurnakan ibadah sembahyang Jumaat, mufti dah bagi kebenaran...jika tidak, mereka perlu ke masjid luar yang berjarak kira-kira 2.3 kilometer," katanya.

Beliau ditemui ketika menyempurnakan pengisytiharan dan menyertai solat Jumaat kali pertama tersebut.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Datuk Zakaria Othman dan Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Kedah, Datuk Mohd Azam Abd Samat.
Abdul Ghani yang juga Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) berkata, pelaksanaan ibadat solat Jumaat dikendalikan oleh komuniti Orang Asli memandangkan terdapat lepasan institusi agama dan universiti tempatan dalam kalangan mereka.
Sementara itu, Zakaria berkata, satu kajian lengkap telah dibuat JHEAIK dan LZNK mengenai keperluan masyarakat Orang Asli Suku Kensiu Lubuk Legong melaksanakan solat Jumaat bersama kelompok mereka sendiri.
Perkara ini diangkat dan jawatankuasa fatwa memutuskan mereka boleh melakukan solat Jumaat tanpa secara pecah kariah dengan jemaah asal bagi membolehkan semua masyarakat Orang Asli Lubuk Legong mendirikan solat Jumaat," katanya.
Jelas beliau, keputusan itu diyakini memberi sinar baharu buat mereka dalam usaha memperkukuhkan iman dan memantapkan ibadat.
Sejak 2018, kita sudah ada 17 pelajar anak Orang Asli Kensiu belajar di sekolah agama di sekolah LZNK di Belantek Sik...Pada 2024, pemgambilan pertama ada tiga pelajar Orang Asli dah menduduki SPM...berjaya masuk universiti.
"Mereka sudah ada calon untuk baca khutbah, kita dah latih dan Alhamdulillah...bagi lepasan SPM pula, kita beri peluang enam bulan kursus intensif di Institut Dakwah Islamiah Perkim Pengkalan Chepa," katanya.

Dalam perkembangan sama, Tok Batin, Razali Kulim, menzahirkan kesyukuran apabila keputusan mendirikan solat Jumaat di kampung mereka dibenarkan.
Anak-anak Orang Asli teruja sebab jarang ke masjid luar...nak bergaul sukar sebab kebanyakan mereka masih rendah diri.
"Pelaksanaan ini membolehkan mereka belajar, menambah keyakinan, faham dan tahu kewajiban sembahyang Jumaat, membuatkan mereka berani berhadapan komuniti luar," katanya.
-SH Online
0 comments:
Catat Ulasan