Golongan miskin dan isi rumah B40 tetap perlu membayar hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kerana kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) tidak bercadang memansuhkannya secara bersasar.
Keputusan itu, berbeza dengan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) PH pada 19 November 2022, yang berjanji memberi pengampunan hutang PTPTN secara bersasar bagi mengatasi masalah pinjaman pendidikan tidak munasabah dalam kalangan siswa.
Pada 2 November tahun lalu, 17 hari sebelum PRU-15 diadakan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan manifesto itu berkata Program Pengampunan Hutang bersasar khas kepada golongan miskin dan isi rumah B40 akan diperkenalkan, jika pakatan memerintah.
Ini bermakna PH bersetuju memansuhkan secara bersasar hutang pinjaman PTPTN oleh golongan miskin dan B40.
Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi (BN), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan tidak merancang untuk memansuhkan hutang pinjaman PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40, buat masa ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Perikatan Nasional-Machang) mengenai bila Program Pemansuhan Hutang PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40, di Dewan Rakyat hari ini (14 Februari 2023).
Memetik laporan BH, Khaled berkata berdasarkan unjuran awal PTPTN, cadangan pemansuhan hutang pinjaman kepada golongan itu akan membabitkan 1.84 juta peminjam, dengan jumlah pelupusan hutang sebanyak RM42.34 bilion.
“Bagaimanapun, kerajaan sentiasa prihatin dan memberi perhatian kepada peminjam PTPTN dan kemudahan membayar balik pinjaman.
“Sehingga kini, terdapat pelbagai cara dan inisiatif dilakukan dalam usaha memudahkan peminjam daripada golongan itu, antaranya penangguhan bayaran balik jika menyambung pengajian atau belum mendapat pekerjaan dan penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan.
“Selain itu, pemberian diskaun bayaran balik jika dilakukan bayaran secara sekali gus dengan penuh dan bayaran balik hanya bermula selepas 12 bulan peminjam menamatkan pengajian bagi memberi ruang membuat persediaan sewajarnya serta memperoleh pendapatan yang stabil sebelum memulakan bayaran balik,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat.
-Agenda Daily
0 comments:
Catat Ulasan