"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Ahad, 11 Disember 2022

4 MP Bersatu perlu kosong kerusi? Bekas menteri, peguam beza pendapat

 

Bekas menteri undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan peguam Fuad Tengku Ahmad memberi pandangan berbeza berhubung kedudukan empat Ahli Parlimen Sabah.

PETALING JAYA: Empat Ahli Parlimen Bersatu Sabah yang keluar parti mesti mengosongkan kerusi mereka, jika peletakan jawatan mereka diterima, kata bekas menteri undang-undang, manakala seorang peguam Perlembagaan berpendapat sebaliknya.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang merupakan menteri undang-undang sebelum PRU15, berkata pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan di bawah undang-undang anti-lompat parti, yang digubal jawatankuasa Parlimen diketuainya.

Pandangannya berbeza dengan peguam Perlembagaan, Fuad Tengku Ahmad yang berkata, empat Ahli Parlimen itu bertanding sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bukannya calon Perikatan Nasional (PN) atau Bersatu.

“Oleh itu, tiada pelanggaran Perlembagaan kerana empat Ahli Parlimen itu dipilih bawah GRS,” katanya.

Mereka adalah Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata, tidak penting empat Ahli Parlimen itu bertanding atas tiket GRS atau mewakili mana-mana gabungan lain kerana ia hanya relevan sama ada mereka meninggalkan parti mereka.

Beliau juga menolak cadangan Bersatu Sabah adalah entiti berasingan daripada Bersatu. Katanya, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan tidak akan membenarkan permohonan sedemikian.

“Saya merangka undang-undang itu untuk melarang perkara seperti ini berlaku dan untuk mewujudkan kestabilan politik dalam negara,” katanya.

Semalam, pemimpin Bersatu Sabah mengumumkan mereka meninggalkan parti itu dan akan menubuhkan parti tempatan baharu.

Wan Junaidi berkata, peletakan jawatan empat Ahli Parlimen itu perlu diterima secara rasmi Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin untuk mengesahkan mereka telah keluar parti.

“Jika ya, mereka perlu mengosongkan kerusi dan pilihan raya kecil perlu diadakan.”

FMT sudah menghubungi pembantu kepada Hamzah untuk mengulas sama ada empat Ahli Parlimen itu sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada parti.

Di bawah undang-undang anti-lompat parti, yang dibuat melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen kehilangan kerusi jika mereka melompat ke parti lain. Pengecualian untuk Ahli Parlimen yang dipecat parti atau jika parti mereka dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran.

Wan Junaidi berkata, mengikut prosedur, Ahli Parlimen akan memaklumkan Speaker Dewan Rakyat berlaku kekosongan dan selepas pengesahan, beliau akan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya kerusi itu diisi dalam masa 60 hari.

Apabila speaker mengesahkan fakta bahawa peletakan jawatan Ahli Parlimen itu diterima parti, mereka akan kehilangan kerusi mereka. Saya tidak pasti sama ada mahkamah akan mentafsirnya dengan cara lain kerana ia jelas termaktub dalam undang-undang,” katanya.

Fuad yang berpangkalan di Sabah berkata, kedudukan Hajiji sebagai ketua menteri dan status kerajaan gabungan Sabah tidak terjejas dengan keputusan pemimpin Bersatu Sabah meninggalkan parti itu.

Katanya, GRS-BN mempunyai 46 ADUN, dengan sokongan tujuh wakil rakyat Pakatan Harapan dan tiga daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat. Hajiji jelas mempunyai majoriti dalam DUN yang mempunyai 79 kerusi itu.-FMT

Jumaat, 9 Disember 2022

11 `muka lama' dilantik timbalan menteri Kerajaan Perpaduan

 Dari kiri; Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Steven Sim, Fuziah Salleh dan Datuk Mohamad Alamin.

Dari kiri; Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Steven Sim, Fuziah Salleh dan Datuk Mohamad Alamin.

KUALA LUMPUR: Seorang bekas menteri dan 10 pemimpin yang pernah menjawat timbalan menteri disenaraikan dalam barisan timbalan menteri baharu Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Beliau adalah antara 27 timbalan menteri baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam ini.

Selain itu, Setiausaha Agung UMNO, yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Ahmad Maslan pernah menjawat jawatan yang sama ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2013 hingga 2015.

Turut dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan adalah Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim daripada DAP, yang sebelum ini pernah menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 hingga 2020.

Bekas Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, dilantik sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, yang mana ketika pentadbiran PH yang lalu, beliau adalah Timbalan Menteri Pendidikan.

Turut tersenarai, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Chin Tong pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan pada 2018-2020 atas kapasitinya sebagai Senator.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin kini dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar Negara.

Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib diberikan portfolio sebagai Timbalan Menteri Ekonomi. Sebelum ini, beliau menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bawah pentadbiran PN.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dilantik Timbalan Menteri Kerja Raya, manakala Ahli Parlimen Limbang daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Hasbi Habibollah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Kurup pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Sebelum ini, Arthur, yang juga Ahli Parlimen Pensiangan memegang jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya ketika pentadbiran PN dan BN.

-BH Online 

Khamis, 8 Disember 2022

Tauke dan syarikat judi hanya layak bersama PH -Hadi Awang

 

HANYA akal yang berpusing sahaja boleh menerima tuduhan yang mengatakan bahawa tauke dan syarikat judi menyumbang kepada Perikatan Nasional (PN), sedangkan sahamnya jatuh menjunam setelah mendapat maklumat kemaraan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

Sahamnya hanya naik semula, apabila Pakatan Harapan (PH) mendapat kuasa secara luar biasa daripada amalan demokrasi yang bersih. Diikuti pula dengan pembentukan kabinet yang tidak bersih, kerana telah melibatkan bekas banduan walaupun telah diampun, kluster mahkamah yang belum selesai perbicaraannya, pemberi dan penerima rasuah serta golongan penipu yang selari dengan kemahuan tauke dan syarikat judi.

Adalah tidak masuk akal tauke dan syarikat judi menyumbang kepada kumpulan yang terdapat di dalamnya yang dituduh sebagai Taliban, pihak yang paling agresif merobohkan pusat judi dengan ganas. Hal ini bermakna tauke judi itu sangat bodoh, walaupun pandai menipu dan paling banyak menyumbang rasuah kepada penerima rasuah yang ditarik bergabung dengan bekas banduan kluster mahkamah, sehingga menjadi penyokong kuat PH bagi menubuhkan kerajaan.

Apabila PAS memerintah Kelantan, maka diambil suatu langkah bagi menutup tempat perjudian yang diharamkan oleh Islam dan diadakan dialog dengan para pemimpin semua agama. Mereka memaklumkan bahawa judi turut diharamkan oleh semua agama.

Selepas itu, kami menghadapi masalah apabila bidang kuasa kerajaan negeri hanya terhad kepada premis perjudian. Adapun lesen kebenaran berjudi adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, dan Menteri Kewangan pada masa itu ialah Perdana Menteri sekarang yang dilantik oleh PH, merangkap Menteri Kewangan juga.

Apabila kerajaan PAS Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah menutup premis perjudian dan lain-lain di bawah bidang kuasanya, tiba-tiba tindakan itu mendapat protes daripada parti komponen PH, walaupun dalam perkara yang hanya berkait dengan hak umat Islam. Malangnya, mereka yang berwajah Islam dalam PH diam membisu.

Pepatah Melayu ada menegaskan, “Kalau rumah berdinding kaca jangan dikacau rumah orang lain,  nanti kalau dibalas maka berkecailah dinding rumah kamu itu.”

Mereka juga boleh melakukan dengan cara menipu orang-orang yang sangat bodoh, khususnya melalui media yang boleh melariskan penipuan itu, laksana penjual ubat yang boleh menjual biji-biji tahi kambing, jika pandai mensyarahkannya maka boleh ditafsirkan menjadi majun yang laris dijual.

Zuhair bin Abi Salama, seorang pujangga Arab pada zaman sebelum Rasulullah SAW pernah menegaskan:

‌وَمَهْمَا ‌تَكُنْ ‌عِنْدَ ‌امْرِئٍ ‌مِنْ ‌خَليقةٍ … وَإِنْ خَالَهَا تَخْفَى عَلَى النَّاسِ تُعْلَمِ.

“Sekalipun seseorang itu mempunyai perangai yang disembunyikan kepada orang ramai, akhirnya ia akan tetap terdedah juga.”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 12 Jumadal Ula 1444 / 7 Disember 2022 – HARAKAJDAILY 7/12/2022

PRU15: PN rampas kerusi Parlimen Padang Serai [METROTV]

 

Kulim: Perikatan Nasional (PN) Datuk Azman Nasrudin mengakhiri penguasaan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Padang Serai selepas memenangi kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), hari ini.

Calon PN Datuk Azman Nasrudin memperoleh majoriti 16,260 undi mengalahkan lima calon lain termasuk saingan terdekat, Dr Mohamad Sofee Razak (PH).

Keputusan pilihan raya itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai Datuk Abdul Bari Abdullah di pusat penjumlahan undi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di sini.

Hadir sama, Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas memperoleh 51,637 undi, manakala Mohamad Sofee memperoleh 35,377 undi, diikuti calon Barisan Nasional (BN) Datuk C Sivaraj (2,983 undi), calon Bebas Sreanandha Rao (846 undi), calon Pejuang Hamzah Abd Rahman (424 undi) dan calon Warisan Mohd Bakhri Hashim (149 undi).

Sivaraj dan Mohd Bakhri sebelum ini mengumumkan menarik diri daripada pilihan raya itu bagi memberi laluan kepada calon PH, namun nama mereka kekal pada kertas undi kerana pencalonan telah disahkan berdasarkan peraturan pilihan raya.

Pilihan raya di kerusi itu sepatutnya berlangsung pada 19 November lalu, namun ditangguhkan susulan kematian calon disahkan bertanding iaitu M Karupaiya daripada PH.

Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 November dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.

AZMAN (tengah) bersama Muhammad Sanusi (dua, kiri) serta Shahidan selepas memenangi PRU15 Parlimen Padang Serai. FOTO Luqman Hakim Zubir.

AZMAN (tengah) bersama Muhammad Sanusi (dua, kiri) serta Shahidan selepas memenangi PRU15 Parlimen Padang Serai. FOTO Luqman Hakim Zubir.

-myMetro

Rabu, 7 Disember 2022

PRU 15:BN kekalkan kerusi DUN Tioman, majoriti tipis 573 undi

 Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain. - BERNAMA

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain. - BERNAMA

ROMPIN: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Hussain mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman untuk penggal keempat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dilangsungkan siang tadi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Tioman, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek, mengumumkan kira-kira jam 9.20 malam tadi mengenai kemenangan Johari yang mendapat 8,080 undi pada pertembungan lima penjuru berkenaan.

Kemenangan dengan majoriti tipis 573 undi itu menyaksikan BN kini menguasai jumlah kerusi DUN yang sama dengan Perikatan Nasional (PN), iaitu 17, manakala Pakatan Harapan (PH) dengan lapan kerusi dimenanginya pada PRU15, 19 November lalu.

Pasca PRU15 lalu, tiada parti atau blok parti berjaya mendapat majoriti mudah untuk menguasai DUN Pahang dengan BN ketika itu menang 16 kerusi, kurang satu kerusi berbanding PN.

Berikutan itu, Pemangku Raja Pahang yang juga Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah memberi perkenan kepada pembentukan kerajaan perpaduan membabitkan BN dan PH.

Ia juga menyaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail daripada BN mengekalkan jawatan berkenaan.

Pada PRU siang tadi, calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly yang menarik diri untuk memberi laluan kepada calon BN, mendapat 784 undi.

Calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Osman A Bakar pula memperoleh 79 undi, manakala calon Bebas, Sulaiman Bakar sekadar meraih 58 undi. Undi rosak pula sebanyak 91 undi dengan peratusan keluar mengundi 58.39 peratus.

Pilihan raya DUN Tioman yang membabitkan 28,108 pengundi, dilaksanakan secara berasingan daripada PRU15 pada 19 November lalu berikutan kematian seorang calon yang bertanding di kerusi itu sebelum hari mengundi.

Calon asal PN, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada awal pagi 19 November.

-BH Online 

'Lantik Zahid, Anwar tak berpegang kepada kedaulatan undang-undang' kata Tun M

 Dr Mahathir berkata, tindakan Anwar melantik Ahmad Zahid sebagai TPM adalah sesuatu yang janggal dan tidak memungkinkan usaha kerajaan membersihkan negara daripada gelaja rasuah dan kleptokrat. - Foto NSTP

Dr Mahathir berkata, tindakan Anwar melantik Ahmad Zahid sebagai TPM adalah sesuatu yang janggal dan tidak memungkinkan usaha kerajaan membersihkan negara daripada gelaja rasuah dan kleptokrat. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dianggap tidak berpegang kepada kedaulatan undang-undang atau 'rule of law' apabila melantik seseorang yang sedang berdepan kes mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, tindakan Anwar melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai TPM adalah sesuatu yang janggal dan tidak memungkinkan usaha kerajaan membersihkan negara daripada gelaja rasuah dan kleptokrat.

"Ya, betul belum dihukum tetapi orang ini sudah dihadapkan ke mahkamah, kalau kita ada orang sebegini jadi pemimpin, akan rosaklah negara kita.

"Saya berpendapat, kalau kita nak bersihkan negara kita, tidak boleh pilih orang yang semua orang berpendapat dia seorang yang melakukan jenayah.

Jadi saya hairan bagaimana Anwar boleh pilih orang ini walaupun dia pemimpin parti tetapi dia menghadapi tuduhan di mahkamah. Ya betul tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

"Tetapi kalau dia dihadapkan dengan satu-satu kes itu sudah menunjukkan dia (Ahmad Zahid) tidak layak jadi pemimpin," katanya melancarkan buku 40 tahun Dasar Pandang ke Timur di ibu negara hari ini.

Beliau mengulas penubuhan Kerajaan Perpaduan membabitkan kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan beberapa Ahli Parlimen lain.

Ahmad Zahid dilantik sebagai TPM oleh Anwar ketika mengumumkan barisan 28 anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan pada 2 Disember lalu.

Mahkamah Tinggi pada 24 Januari lalu, memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Ahmad Zahid yang juga pengasas yayasan terbabit.

Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan pendakwaan.

Prosiding bela diri Ahmad Zahid yang berjalan sehingga 2 November lalu, ditangguhkan hingga disambung semula pada Januari depan.

Sequerah membenarkan penangguhan prosiding dan menetapkan perbicaraan didengar selama 21 hari iaitu pada 16 hingga 19 Januari, 30 dan 31 Januari, 7 hingga 9 Februari, 27 hingga 30 Mac, 10 hingga 13 April dan 15 hingga 18 Mei 2023.

-BH Online 

KENYATAAN MEDIA: JAWAB TUDUHAN PENERIMAAN DANA ASING OLEH PH,USAH PERJUDIKAN KEDAULATAN NEGARA

 KENYATAAN MEDIA

DEWAN ULAMAK PAS PUSAT .

JAWAB TUDUHAN PENERIMAAN DANA ASING OLEH PH,USAH PERJUDIKAN KEDAULATAN NEGARA


.

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menegaskan dakwaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa Perikatan Nasional (PN) mendapat dana pilihan raya daripada syarikat perjudian sememangnya sangat dangkal dan jauh meleset. 


2. Bagaimana seorang Perdana Menteri menjustifikasikan dakwaan beliau sebagai sekadar "membayangkan" wujudnya penerimaan dana tersebut, bukan sebaliknya daripada bukti yang jelas dan nyata. Usah jadikan Kerajaan tempang yang dibentuk pasca PRU ke-15 sebagai Kerajaan Pak Pandir.


3. Komitmen Kerajaan PN sangat jelas dalam isu perjudian. Kerajaan Negeri Kedah pimpinan PN tegas dengan komitmen menutup premis perjudian di seluruh negeri ini bermula tahun 2023. Ia menuruti langkah yang diambil Kelantan dan Terengganu. 


Sejak bila syarikat perjudian sangat mesra dengan PN sehingga sanggup mendanai perjalanan pilihan rayanya?


4. Malah, kutipan cukai sektor perjudian semasa era pemerintahan singkat PH mencecah RM3.43 bilion (2019), tertinggi sejak tahun 2010. Apakah Anwar mempunyai tekad politik untuk menutup terus premis perjudian sebagaimana langkah yang diambil Kerajaan PN ini? 


5. Persoalan paling mustahak di sini adalah penerimaan dana asing oleh PH yang telah mencetuskan kebimbangan ramai sebelum daripada ini. Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining pasca PRU ke-14 yang lalu.


6. Dakwaan ini lebih berbahaya kerana mendedahkan kedaulatan negara kepada kepentingan asing. Ironinya masih tiada siasatan mahupun jawapan yang tuntas terhadapnya. 


7. DUPP turut menyokong langkah yang diambil oleh PN/PAS untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan yang sangat tidak bertanggungjawab itu.


YB USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAHYA

KETUA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT


12 Jamadilawwal 1444 Hijri | 7 Disember 2022 Miladi




Isnin, 5 Disember 2022

‘Pecah rekod saya masuk lokap’, Rafizi minta PN jadi pembangkang baik, dedah seleweng.

Rafizi Ramli memuat naik klip video berdurasi hampir 10 minit di TikTok mengenai kerajaan perpaduan selepas mengunci mulut sejak PRU15.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mencabar Perikatan Nasional (PN) menjadi pembangkang yang baik, dengan mengambil alih peranannya dahulu dalam membongkarkan sebarang penyelewengan dalam kerajaan.

Dalam pendedahan di aplikasi TikTok malam tadi, menteri ekonomi itu turut mencabar PN agar memecahkan rekod beliau yang disaman sebanyak 16 kali, selain berkali-kali dimasukkan ke lokap disebabkan pendedahannya.

“Yang jadi pembangkang seperti PN, jadilah pembangkang yang baik… kalau ada penyelewengan di sebelah kami, bongkarkanlah seperti apa yang saya buat dulu.

“Kalau boleh sampai pecah rekod saya masuk lokap berkali-kali dan sampai kena saman 16 kali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah klip video berdurasi hampir 10 minit yang dimuat naik di TikTok, selepas beliau mengunci mulut sejak keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov diumumkan serta terbentuknya kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan itu meminta PN yang enggan akur titah Yang di-Pertuan Agong agar bersama membentuk kerajaan perpaduan supaya berbahas secara berilmu dengan membawa idea di Parlimen.

“Bahaslah secara berilmiah dengan baik membawa idea di Parlimen,” katanya.

“Nasihat saya kita utamakan rakyat, yang jadi kerajaan seperti saya, rakyat akan menilai setiap gerak-geri kita. Ini masa untuk bekerja siang dan malam melaksanakan semua idea yang kita pernah ada sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi turut mendakwa PN marah mengenai pembentukan kerajaan perpaduan kerana gagal mencuri sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

“Kenapa PH membentuk kerajaan perpaduan bersama BN, Warisan, GPS dan GRS? Kegagalan PN dalam episod curi ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan menyebabkan mereka naik marah

“Macam-macam mereka panggil, kerajaan zina, luar tabii dan perkara ini akan berterusan dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.

Semalam, Rafizi, salah seorang tokoh PH yang merundingkan pembentukan kerajaan perpaduan berkata, rundingan itu tidak “cantik”.

“Tapi bising di luar,” katanya di Twitter.

Beliau adalah antara lapan orang Ahli Parlimen PH yang dinamakan sebagai anggota Jemaah Menteri pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Jemaah Menteri Anwar dianggotai 15 Ahli Parlimen PH, enam daripada BN, lima daripada Gabungan Parti Sarawak, seorang daripada Gabungan Rakyat Sabah dan seorang lagi Ahli Parlimen yang bukan ahli mana-mana gabungan parti.

Ahad, 4 Disember 2022

Usaha gabungan dengan BN digerakkan sebelum PRU-15 dedah Saifuddin


SETIAUSAHA Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan pembentukan gabungan dengan BN bukan bermula pada tarikh keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diumumkan pada 19 November lalu, sebaliknya digerakkan lebih awal daripada itu.

Beliau yang menjadi sebahagian daripada watak utama yang turut menyumbang kepada pembentukan kerajaan pasca PRU-15 itu menyatakannya menerusi hantaran di Facebook.

Menceritakan kisah di belakang tabir bagaimana bermulanya gerakan membentuk kerajaan menerusi pintu rundingan bersama parti atau gabungan di luar PH, katanya beliau bertuah kerana diberi peluang dan peranan seluas-luasnya untuk membina rangkaian politik rentas parti selama aktif dalam PKR, malah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri turut mendukung pendekatan itu.

“Kita sudah lama membaca perubahan landskap politik negara yang tidak memungkinkan sebuah parti atau gabungan membentuk kerajaan sendiri.

“Semua parti atau gabungan adalah potensi rakan untuk diajak berunding. Saya bertuah kerana pandangan jauh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ikut mendukung pendekatan ini (iaitu) pendekatan politik inklusif, meramaikan kawan dan mengurangkan musuh.

“Saya diberi peluang dan peranan seluas-luasnya untuk membina rangkaian politik rentas parti selama aktif dalam KEADILAN,” katanya, lapor Berita Harian.

Prinsip ‘percaya dan hormat’ kunci rundingan

Kerajaan Perpaduan dibentuk atas saranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas tiada mana-mana parti atau gabungan politik berjaya mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan selepas PRU15.

Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar sebagai Perdana Menteri dianggotai PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata atas dasar ‘percaya dan hormat’ hubungan sesama pimpinan dalam PH cukup akrab dengan masing-masing saling memahami gerak politik satu sama lain.

“Hubungan peribadi sekian lama dengan pimpinan BN pula khususnya UMNO, MIC dan MCA memudahkan saya berunding dan berbincang. Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Wee Ka Siong (Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong) dan Tan Sri Vicky (Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran) dan Saravanan (Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan) rakan dekat sejak puluhan tahun.

m“Rakan dari Sarawak Joseph Salang (Presiden Parti Rakyat Sarawak, Datuk Joseph Salang Gandum); Alex Linggi (Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi); Tiong (Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing); Ibrahim Baki (Ahli Parlimen Satok, Datuk Ibrahim Baki) dan Wan Junaidi (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Parlimen dan Undang-Undang, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar) antara beberapa nama amat mudah untuk diajak berbicara.

“Shafie Apdal (Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal); Darell Leiking (Datuk Darell Leiking) dan Hajiji (Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor) dari Sabah juga kalangan teman yang ikut mendokong,” katanya.

Gerakan rundingan pasca PRU15

Mengulas gerakan sejurus keputusan PRU15 diumumkan pula, beliau berkata memandangkan tiada parti memperoleh majoriti, pimpinan PH membuat ketetapan segera berunding dengan parti lain.

Beliau mengakui, menjadi pembangkang bukannya satu pilihan kerana PH mesti menjadi kerajaan dengan Anwar diletakkan sebagai Perdana Menteri.

“Bermula dari situ, saya diarah mengatur gerak mendekati watak utama parti bukan PH yang memenangi sejumlah kerusi untuk diajak ikut serta.

“Ternyata langkah diatur kali ini menjadi jauh lebih mudah tatkala idea Kerajaan gabungan dengan BN disyorkan tepat pada masanya oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Mengambil kira rentetan berlaku, Saifuddin mengakui pendekatan politik terbuka yang sentiasa diamalkan menjadi kunci kepada kejayaan pembentukan Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar.

“Politik itu dinamik, justeru pendekatan politik juga harus fleksibel

“Hormat kawan dan lawan kerana kita tidak tahu bila kita akan saling memerlukan, selain bersabar kerana politik suatu ‘marathon’ yang lambat untuk mencapai destinasinya,” katanya.

https://wartarakyat.com.my

Bila bersama DAP, Perak nak buat kerajaan Tempatan... Orang Melayu terpinggi luar bandar

 


1. Bila bersama DAP, Perak nak buat kerajaan Tempatan... Orang Melayu terpinggi luar bandar

IPOH, 9 Jamadilawal 1444H, Ahad – Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berhasrat mengkaji semula pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di negeri itu.

Sandrea berkata, pada masa ini beliau masih di tahap permulaan dengan langkah awal ke arah itu adalah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Negeri pada bulan ini bagi mula mengkaji.

"Jadi kami akan mula mengkaji. Cuma saya rasa tidak adil apabila tiba-tiba ada pihak timbulkan kekeliruan kepada rakyat (mengenai pilihan raya kerajaan tempatan).

“Dalam jangka masa panjang sebenarnya, adalah baik untuk kita mula kaji semula, adakah sesuai, mampu dan bagaimana ‘road map’ untuk kita laksanakan balik (proses) undi ketiga dalam tangan rakyat ini (pilihan raya kerajaan tempatan),” katanya seperti dipetik Berita Harian, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, usaha mengembalikan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di Perak, memerlukan kajian lanjut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja itu menegaskan, usaha mengembalikan pilihan raya itu tidak disenaraikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) atau dalam kerjasama kerajaan campuran dengan Barisan Nasional (BN).

“Pastinya, di bawah portfolio saya, akan mengkaji semula sama ada dari segi perundangan, praktikaliti, implikasi kewangan dan setakat mana kesediaan kita untuk melaksanakan semula pilihan raya ini kerana saya rasa dalam jangka masa panjang ini (pilihan raya kerajaan tempatan) sesuatu yang patut kita laksanakan.

“Cuma saya tak boleh komen berkenaan jangka masa dan berapa lama lah (proses). Cuma saya memang ada hasrat untuk semak balik dan untuk kita sekurang-kurangnya ada pelan untuk kita semak,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan portal berita dalam talian yang mendakwa pelaksanaan semula pilihan raya kerajaan tempatan yang dilapor diperjuangkan DAP yang juga komponen PH sejak sekian lama.

-Ibnu Hasyim