Najib Razak membidas dakwaan “layanan berbeza”yang dibangkitkan Dr Mahathir Mohamad ke atasnya, berhubung keputusan mahkamah membenarkan Najib mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara.
“Layanan berbeza apa? Saya mohon melalui mahkamah. Bukan minta pada kerajaan,” kata bekas perdana menteri keenam itu di Facebooknya.
Dia memberikan respons terhadap kenyataan Mahathir semalam yang menyifatkan Najib sebagai penjenayah VIP pertama di Malaysia kerana menerima layanan berbeza, dan pemulangan pasport itu sebagai satu 'kes yang luar biasa'.
Kata Mahathir yang merupakan bekas perdana menteri keempat dan ketujuh, layanan terhadap Najib berbeza dengan layanan terhadap orang kebanyakan yang telah didakwa dan dihukum sehingga masuk penjara, sebaliknya Najib yang telah dihukum bersalah itu tidak masuk penjara, bahkan mendapat perkhidmatan pengiring seperti VIP.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib berhubung kesalahan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan, manakala Mahkamah Rayuan menyita pasport Najib ketika mendengar rayuannya.
Kata Najib, permohonan mendapatkan pasportnya itu dibuat hanya supaya dia dapat melawat anak perempuannya yang bersalin di Singapura, yang tidak dapat pulang ke Malaysia semasa hamil kerana peraturan dan larangan rentas negara semasa pandemik.
“Yang benarkan pelepasan ke Singapura pada saya adalah Mahkamah Rayuan dengan keputusan sebulat suara ketiga-tiga hakim.
“Melalui proses mahkamah. Bukan kerajaan yang benarkan.
“Jika Atok (Mahathir) tak puas hati, boleh lah kecam hakim-hakim mahkamah rayuan yang berpengalaman. Buatlah sidang media untuk kecam hakim-hakim, kita nak,” kata Najib.
Menurut Najib, ‘layanan berbeza’ sebenarnya dia terima semasa Mahathir menjadi perdana menteri ketujuh.
Antara lain, dia membangkitkan mengenai hakim perbicaraan kes SRC, yang kata Najib merupakan hakim mahkamah sivil tanpa sebarang pengalaman kes jenayah yang tiba-tiba ditukar ke mahkamah jenayah untuk menggantikan hakim bagi kes SRC, selepas perbicaraan bermula.
Kata Najib, hal itu, sehingga berlakunya 307 kekhilafan dalam keputusan bersalah yang dijatuhkan ke atasnya, seperti yang dikemukakannya dalam petisyen rayuan terhadap sabitan dan hukumannya itu.
“Inilah layanan berbeza pada saya semasa Atok jadi perdana menteri ketujuh. Apa komen Atok tentang layanan ini pula?” soal Najib lagi.
Awal tahun ini, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali diberitakan akan dipindahkan semula dari mahkamah jenayah Kuala Lumpur ke mahkamah sivil berkuat kuasa Mac, enam bulan setelah menjatuhkan hukuman terhadap Najib.
Nazlan dipindahkan dari mahkamah komersial ke mahkamah jenayah pada Julai 2018 untuk mengetuai perbicaraan dkes rasuah SRC bernilai RM42 juta oleh Najib. Dia mengambil alih dari hakim sebelumnya, Mohd Sofian Abd Razak.