"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Khamis, 26 Ogos 2021

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 5- Indahnya Raya

 

Beberapa hari menjelang Hari Raya Aidilfitri, orang ramai akan memenuhi Pasar Payang, Kuala Terengganu bagi membeli pelbagai persiapan raya termasuk baju raya. Nama Pasar Payang diambil sempena “perahu payang” yang sering digunakan nelayan sejak awal proses perdagangan di Terengganu.

Pada tahun 1964, ia dibangunkan sebagai sebuah pasar dengan gerai-gerai kayu yang berderet, bagi menempatkan peniaga-peniaga dari Pasar Besar Tanjung yang dirobohkan. Pasar Payang telah dirasmikan oleh Sultan Terengganu ke-16, yang juga merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-4 iaitu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Haji Zainal Abidin III Mu’azzam Shah pada 31 Ogos 1968.

Pasar Payang kini lebih cantik

Bahagian bawah Pasar Payang menempatkan barangan dapur seperti ikan, sayur-sayuran, barangan kering dan kuih-muih tradisional. Sementara tingkat atas adalah tumpuan ramai kerana menjual pakaian terutama baju raya, batik Terengganu, sutera, dan songket tenunan Melayu.

Hajah Ramlah lebih senang menjahit sendiri baju raya anak-anak dan suaminya. Sejak sebelum Ramadhan lagi beliau menyiapkan baju raya keluarganya. Itu yang lebih utama kerana apabila tibanya Ramadhan atau 10 malam akhir Ramadhan, beliau dapat menumpukan kepada ibadah dan persiapan Hari Raya Aidilfitri.

********************

“Ayoh, jadi ke raye esok?”, tanya Khairul dengan penuh teruja.

Ustaz Mad ketawa kecil dan menjawab, “Aa’uu gok.[1] Kite tunggulah pengumumang Datuk Ahmad Zainal Abidin Muhammad Yusof, Penyimpang Mohor Besor Raje-Raje kekgi.”

Selepas Maghrib, Ustaz Mad sekeluarga berkumpul di depan televisyen. Debarannya seperti menonton perlawan akhir Itali dan West Germany dalam Piala Dunia FIFA 1982 di Santiago Bernabéu Stadium, Sepanyol. “Mung wase raye dop esok?”, Khairul bertanya pula kepada Zul. “Balok arok[2] aku dengang mung ning. Shhh…Nok mule doh tu.”, marah Zul kepada adiknya. Khairul mencebik tanda tidak berpuas hati.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Sabtu, 30 Jun 1984. Sekian, wassalamu ‘alaikum warahmatullah wabarakatuh…”

Berdentum-dentum bunyi bedil mengiringi tamatnya pengumuman sebentar tadi. Malam di Kampung Kubang Kekura dan sekitarnya hidup dengan warna-warni bunga api.

*******************

Masjid Abidin, Kuala Terengganu

“Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar…” Alunan takbir di pagi 1 Syawal memecah keheningan Subuh yang dingin. Sabda Nabi SAW:

‌زَيِّنُوا ‌أَعْيَادَكُمْ ‌بِالتَّكْبِيرِ

Maksudnya: “Hiasilah dua hari raya kalian dengan takbir.”[3]

“Sedak ork takbir raye kkapung kite ning?”, Mi bertanya pandangan Zul. Boleh lah. Tapi bagi aku Sejik[4] Negare sedak lagi. Bile la ade peluang nok gi sane.”, jawab Zul acuh tidak acuh kerana sibuk membetulkan songkoknya di hadapan cermin.

Solat hari raya pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah solat Aidil Fitri pada tahun ke-2 Hijrah. Waktu solat hari raya bermula dari matahari terbit hingga gelincir matahari. Hal ini berdasarkan hadis, daripada al-Barra’ raḍiyallāhu ʿanhu katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ فِيْ يَوْمِنَا هَذَا أَنْ نُصَلِّيَ

Maksudnya: “Perkara yang pertama kita mulakan hari ini ialah bersolat.”[5]

Pun begitu, disunatkan solat hari raya untuk dilewatkan sedikit ketika matahari naik tinggi segalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Shaykh Saʿīd bin Muḥammad Bā ʿAlī Bā ʿIshn dalam Sharh al-Muqaddimah al-Ḥadramiyyah.[6]

Zul dan adik beradiknya berebut-rebut masuk ke bilik air untuk mandi. Masing-masing tidak mahu terlepas untuk pergi ke balasoh bagi menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Baju raya anak-anak dan suaminya telah siap digosok oleh Hajah Ramlah. Masing-masing gembira nampaknya memakai baju baru. Ustaz Mad mencalitkan sedikit minyak atar kepada anak-anaknya sebelum bersama-sama ke balasoh. “Molek paka ning. Amalang sunat pagi raye.”, katanya kepada anak-anak.

Sebagaimana hari Jumaat, hari raya juga disunatkan untuk berwangi-wangian dan memakai pakaian yang cantik. Perbezaannya, hari raya disunatkan untuk memakai apa-apa sahaja pakaian yang terbaik walaupun bukan berwarna putih seperti yang disunatkan pada hari Jumaat.[7]

Selepas solat sunat hari raya, Ustaz Mad sekeluarga akan menziarahi ayahanda, Haji Bakar. Inilah rumah pertama yang wajib dikunjungi pada pagi hari raya. Ketupat, rendang, lemang, dan tapai, adalah antara juadah istimewa yang telah tersedia di meja makan. Nasi Dagang Ikang Aye sudah pasti adalah menu utama.

“Maghi sini segheme cucu-cucu Tokki. Haa, nok wi duit raye ning.”, kata Haji Bakar sambil ketawa. Habis berterabur makanan ditinggalkan di meja. Semuanya bertabur untuk bersalam seterusnya mendapat duit raya.

Hari raya pertama dipenuhi dengan aktiviti kunjung mengunjung sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga. Tidak perlu risau di mana hendak sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam. Makanan yang enak ada di mana-mana rumah! Ustaz Mad juga tidak lupa berkunjung ke rumah mereka yang susah seperti Pok Leh. Beliau akan menyampaikan bantuan berupa wang tunai dan juadah hari raya untuk Pok Leh sekeluarga. “Dalang kite bergembire hari ning, jangang lupe hok fakir misking.”, pesan Ustaz Mad kepada anak-anaknya.

Selepas Solat Zohor, Ustaz Mad membawa keluarganya berkunjung ke kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang juga bekas gurunya. Sudah menjadi kelaziman saban tahun, itulah rumah pembesar negeri yang menjadi singgahan setiap kali hari raya. Kerjaya Ustaz Mad sebagai Guru Pelawat Agama membolehkan beliau kenal dan rapat dengan orang-orang kenamaan, termasuk pegawai-pegawai di Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Mufti Negeri Terengganu.

Almarhum Dato’ Sri Amar Diraja Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad, Mantan MB Terengganu

“Sedak do’oh ayang golek ning. Wase nok ambik lagi la. Kikiki…”, bisik Khairul kepada abangnya, Zul. “Aduh…Dok rok skepeng[8] mung ni. Shhh…pellang gok sikek cakak tu!” Zul membalas sambil mencubit adiknya. Tan Sri Wan Mokhtar kebetulan terdengar perbualan dua beradik itu pantas mencelah, “Ha, ambik, ambik. Memang untuk tetamu blake tu. hehe.” Khising[9] Zul dan Khairul disapa Menteri Besar. Rasa kembang sekejap!

Tan Sri Wan Mokhtar kemudiannya menghulurkan not RM1 kepada Zul dan adik beradiknya. Buntang mata mereka apabila menerima wang kertas tersebut. RM1 pada era 80-an sudah dikira besar nilainya. Selepas berbual seketika, Ustaz Mad meminta izin untuk pulang kerana masih ada beberapa buah rumah yang akan dikunjungi.

Datsun Sunny 120Y nombor plat BBD 2949 berwarna hijau muda pun meluncur laju keluar daripada kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu. Destinasi seterusnya adalah rumah Ayoh Long Haji Mad Gemok, bapa saudara mereka. Ayoh Long Haji Mad Gemok orang berada. Anak-anaknya Nafisah, Kak Re, Abang Din, Abang Mi, Kak Dah dan lain-lain nampak berpelajaran tinggi. Jauh bezalah dengan Zul dan semua adik beradiknya, budok buah[10].

Beginilah model kereta Ustaz Mad.

Beliau selalu meraikan anak-anak saudaranya dengan juadah yang enak setiap kali hari raya. Namun hari itu nampaknya Zul dan adik beradiknya sudah keletihan. Se’eh perut[11] kerana kekenyangan menjamu selera di kediaman rasmi Tan Sri Wan Mokhtar.

“Ayoh, banyok lagi ke rumoh? Zul lembek lotteh doh ning.”, kata Zul sambil menyandarkan kepalanya ke bahu Mi. “Habih doh. Kite nok kelik la ni.”, Ustaz Mad menjawab.

Malam itu selepas selesai solat Maghrib berjemaah, Zul dan adik beradiknya berkumpul untuk mengira duit raya masing-masing. Wang yang terkumpul, sebahagiannya akan disimpan ke dalam Bank Simpanan Nasional dan sebahagian lagi dibuat belanja harian.

Satu hal yang menarik, ibadah puasa enam hari di bulan Syawal dilaksanakan beramai-ramai oleh orang tua-tua di Kampung Kubang Kekura bermula 2 Syawal. Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.”[12]

Imam al-Nawawi rahimahullah ketika mensyarahkan hadith di atas menyebut bahawa hadith ini menjadi dalil bagi mazhab Shāfiʿī, Ḥanbalī dan juga Dāwūd al-Ẓāhirī bahawa disunatkan untuk berpuasa enam pada bulan Syawal manakala fadhilat seumpama berpuasa sepanjang tahun adalah berdasarkan hadith Nabi SAW yang lain yang mana menyebutkan bahawa setiap kebaikan itu dibalas dengan 10 kali ganda (أَنَّ الْحَسَنَةَ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا  )[13]

Pada 7 Syawal, mereka yang selesai berpuasa akan meraikannya sebagaimana 1 Syawal. Aktiviti wajib adalah ziarah kubur. Antara kubur orang alim yang menjadi tumpuan adalah kubur Tok Khatib Siput.

Syeikh ‘Atiyyah Saqr dalam fatwanya Ahsan al-Kalām fī al-Fatāwā wa al-Aḥkām ada menjelaskan berkenaan hukum ziarah kubur pada hari raya. Menurutnya, hukum asal bagi ziarah kubur adalah sunat, kerana ia boleh mengingatkan seseorang tentang hari akhirat. Beliau menyimpulkan bahawa menziarahi kubur selepas dari sembahyang hari raya, jika ia bertujuan untuk mengambil peringatan dan mengingati mereka yang telah mati yang dahulunya bersama-sama mereka berseronok di hari raya, serta memohon rahmat daripada Allah SWT untuk mereka dengan berdoa, ini semua tidak mengapa dilakukan oleh orang lelaki.

Adapun bagi perempuan, beliau memakruhkannya jika dibimbangi akan berlakunya perkara yang haram seperti meratap dan lain-lain. Jika perkara haram tersebut tidak dapat dielakkan maka hukumnya adalah haram.

Adapun jika menziarahi kubur selepas solat hari raya untuk memperbaharui kesedihan dan menerima takziah di atas kubur, atau dengan mendirikan bangsal dan menyediakan tempat untuk menerima takziah, ia ditegah. Ini kerana takziah selepas daripada mayat dikebumikan lebih daripada tiga hari adalah dilarang, sama ada larangan dalam bentuk haram atau makruh. Begitu juga ia ditegah kerana hari tersebut adalah hari raya, hari bergembira dan berseronok yang sepatutnya tidak ditimbulkan perasaan sedih.

____________________

[1] Tak tahulah

[2] Serabut kepala

[3] Riwayat al-Ṭabarānī dalam al-Muʿjam al-Awsaṭ, no. 4373.

[4] Masjid

[5] Riwayat al-Bukhari (908)

[6] Shaykh Saʿīd bin Muḥammad Bā ʿAlī Bā ʿIshn. Sharh al-Muqaddimah al-Ḥadramiyyah, m. 421.

[7] Ibid., 422.

[8] Tak boleh pakai

[9] Tersengih-sengih

[10] Nakal

[11] Sengkak / perut sudah penuh

[12] Riwayat Muslim (1164)

[13] Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, (8/56). Adapun pahala berpuasa sepanjang tahun difahami seperti berikut: Setiap amalan kebaikan digandakan dengan 10 dan ini bermakna 30 hari x 10 = 300 dan puasa sunat 6 x 10 = 60. Ini menjadikan jumlahnya 360 dan daripada perkiraan inilah dikatakan seumpama bepuasa sepanjang tahun (mengikut kiraan hijriyyah). Wallahu a’lam.

Sumber Asal: zulkiflialbakri.com

Artikel Barkaitan:

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Prolog

 Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 1- Budak Kampung

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 2 - Bukan Lagi Yang Dulu

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 3 - Ramadhan di Kubang Kekura

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 4 - 10 Malam Akhir Ramadhan

PARALIMPIK: Nur Syaiful ke final 100m gaya bebas

Atlet renang paralimpik negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli menebus kekecewaan acara lelaki 200m gaya bebas dengan mara ke final 100m gaya bebas hari ini. - Foto BERNAMA
Atlet renang paralimpik negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli menebus kekecewaan acara lelaki 200m gaya bebas dengan mara ke final 100m gaya bebas hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perenang para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli mara ke aksi final 100 meter (m) gaya bebas lelaki S5 selepas menamatkan Saringan 1 dengan berada di tempat ketiga terbaik, sebentar tadi.

Syaiful mencatat 1 minit 16.33 saat (s) di Pusat Akuatik Tokyo untuk menempatkan dirinya berada di kedudukan ketujuh daripada lapan perenang terbaik yang menempah slot kelayakan ke saingan final pada jam 4 petang ini.

Mengungguli saingan saringan keseluruhan adalah atlet China, Weiyi Yuan yang mencatat 1:12.66s manakala Daniel de Faria Dias (Brazil) mencatat masa kedua terbaik, 1:13.02s.

Berada di tangga ketiga adalah Antoni Ponce Bertran dari Sepanyol yang mencatat 1:13.33s manakala rakan senegara Yuan, Tao Zheng di tangga keempat, 1:13.83s.

-BH Online

Jawatan Kosong: Pusat GENIUS@Pintar Negara UKM

 Jawatan Kosong Pusat GENIUS@Pintar Negara UKM


Tarikh Tutup 30 Ogos 2021 Maklumat lanjut »

Pelik Tapi Benar: Pelitup muka biji benih

 NITIN (kiri) dan pelitup muka mesra alam keluaran syarikatnya. FOTO Agensi

NITIN (kiri) dan pelitup muka mesra alam keluaran syarikatnya. FOTO Agensi

New Delhi: Aktivis alam sekitar dari Mangaluru, Karnataka, India menonjolkan kreativitinya dengan mencipta inovasi pelitup muka mesra alam yang diperbuat daripada biji benih.

Hindustan Times melaporkan, Nitin Vas, melalui syarikat sosialnya, Paper Seed Co, sudah menghasilkan produk kitar semula dan menggunakan biji benih sejak tahun 2017.

Dia bereksperimen dengan mengeluarkan pelitup muka jenis itu, selepas tercetusnya wabak Covid-19.

Nitin berkata, inisiatif itu dapat membantu melindungi alam sekitar ketika penularan pandemik berkenaan.

"Kami menghasilkan pelbagai barangan berasaskan biji benih, dengan salah satunya pelitup muka.

"Matlamat utama kami adalah untuk memberi produk alternatif iaitu pelitup muka mesra alam," katanya kepada Life Beyond Numbers.

Nitin memperkenalkan pelitup muka itu pada Mac tahun ini.

Antara produk pernah dihasilkan syarikatnya adalah pensil, pen, kad jemputan, kad lawatan, dan buku kecil yang apabila dibuang ke tanah berkembang menjadi tanaman.

"Kami memberikan latihan kepada wanita dan pemuda di kampung terpencil, termasuk penggunaan bahan mentah untuk menghasilkan barangan berkenaan.

"Pelitup muka yang kami hasilkan adalah boleh biodegradasi dengan talinya diperbuat daripada kapas.

"Keistimewaannya kerana ia mengandungi biji benih yang tersimpan di dalamnya dan boleh tumbuh jadi tanaman," katanya.

Menurut Nitin, dia pada mulanya mengedarkan pelitup muka itu secara percuma, tetapi kini tidak lagi.

"Bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar, kami menjualnya dengan harga 25 rupee (kira-kira RM1.40) dan ia adalah buatan tangan sepenuhnya.

"Selain India, syarikat kami turut menerima sebahagian besar pesanan dari luar negara," katanya.

Bahagian luar pelitup muka itu diperbuat daripada kapas yang dikumpulkan dari industri tekstil, manakala lapisan dalam diperbuat daripada kain kapas lembut.

-myMetro

Rabu, 25 Ogos 2021

Terkini: Antibodi llama hentikan penularan Covid-19

 

ANTIbodi llama menunjukkan tahap peneutralan kuat terhadap varian Delta yang mudah menular. - AFP

GHENT, BELGIUM: Antibodi haiwan Ilama kemungkinan besar akan mempunyai peranan global dalam membantu memerangi Covid-19.

Berita Mediacorp melaporkan, ini sekiranya ujian klinikal yang dijalankan oleh syarikat bioperubatan Belgium berjalan lancar seperti yang dijanjikan, menurut Reuters.

Penyelidik dari Pusat Bioteknologi Perubatan VIB-UGent di Ghent berkata, antibodi yang diambil daripada seekor Ilama yang diberi nama ‘Winter’ itu berjaya menghentikan penularan koronavirus termasuk variannya di dalam ujian makmal.

“Teknologi yang merupakan kemajuan terbesar ini dilihat dapat meningkatkan peranan vaksin dalam melindungi orang ramai yang mempunyai sistem berdaya tahan yang lemah, selain merawat para individu yang dijangkiti di hospital,” kata Ketua Pegawai Perubatan ExeVir VIB-UGent, Domunique Tersago.

“Antibodi Ilama yang luar biasa dapat bercantum dengan bahagian tertentu pada S Protein virus dan kami tidak melihat mutasi pada kadar tinggi di sana,” katanya.

Antibodi itu juga menunjukkan tahap peneutralan kuat terhadap varian Delta yang mudah menular.

Menurut Ketua Kumpulan VIB-UGent, Xavier Saelens, seperti Ilama dan spesis unta yang lain, Winter menghasilkan versi antibodi yang lebih kecil dan stabil berbanding haiwan-haiwan yang lain.

“Saiznya yang kecil membolehkan ia untuk mencapai sasaran hingga ke bahagian virus yang sukar diakses oleh antibodi biasa,” katanya.

Pencarian bagi rawatan Covid-19 itu adalah susulan kepada kajian yang dijalankan pada 2016 melibatkan penggunaan antibodi haiwan Illama untuk melawan virus SARS dan MERS.

-Utusan Online

"Saya bukan bapa ayam” –Kini, Tauke Nekad Tinggal Dunia Hiburan,

 

“Kebenaran terjawab. Saya bukan bapa ayam” – Tauke Nekad Tinggal Dunia Hiburan, Terkilan Asyik Terpalit Kontroversi

SUSULAN pengesahan polis yang menolak pendakwaan ke atasnya, Tauke akui berasa lega akhirnya kebenaran terjawab bahawa dia bukanlah ‘bapa ayam’ yang terbabit dengan kes pemerdagangan manusia seperti dihebohkan sebelum ini, lapor Kosmo.

Namun, kerana terkilan namanya seringkali dikaitkan dengan kontroversi, Tauke nekad membuat keputusan untuk meninggalkan dunia hiburan.

Menurut Gempak, Tauke berkata dia tidak menyesal dengan keputusan dibuatnya kerana percaya rezeki ada di mana-mana meskipun tidak lagi bergelar selebriti selepas ini.

Adik adik turut dihina, maruah dipijak-pijak

Katanya, ianya menjadi keterlaluan apabila ahli keluarganya turut dikaitkan dan dikeji oleh orang sekeliling. Disebabkan situasi tersebut, Tauke berkata dia menjadi tawar hati untuk terus berada dalam industri dan lebih rela melakukan kerja lain daripada terus menerus dimaki dan dihina.

Kawan-kawan menjauhi, keluarga lega lepas dibuktikan tak bersalah

Menurut Malaysiakini, pelawak berusia 45 tahun itu bagaimanapun bersyukur apabila nama dan reputasinya kembali dibersihkan selepas dia terbukti tidak bersalah. Namun, dia terkilan dengan sikap masyarakat yang suka menjatuhkan hukum hingga menjatuhkan maruah orang lain.

Dia turut berkata mahu memperbaiki diri dan akui redha serta perlu terus kuat untuk melalui ujian Allah kepadanya. Tetapi, apa yang lebih menyedihkan, kata Tauke kawan-kawan semakin menjauhinya.

Tauke berkata dia kini sedang mengusahakan bisnes menjual produk kecil-kecilan dan bagi sesiapa yang berminat untuk tahu lebih lanjut boleh lawati Instagram peribadinya.

-ibnuhasyim.com

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 4 - 10 Malam Akhir Ramadhan

 

Majlis Nnamat[1] di Surau Kampung Kubang Kekura dan sekitarnya biasanya diadakan pada malam ke-20 atau malam ke-15 Ramadhan ke atas. Memang meriah sambutannya. Ibu-ibu sibuk di dapur menyediakan juadah untuk Majlis Khatam al-Qur’an yang diadakan setahun sekali di balasoh. Masing-masing bawa lauk-pauk serba sedikit dan saling bertukar juadah.

Zul sudah merancang dengan adik beradiknya. “Kekgi kite bahang[2] lauk Pok Mat, orang kaye Kubang KKure. Jabir[3] ade banyok aku bowok ning.” Suke glekek[4] Mi dan Khairul mendengar idea Zul.

Di perkarangan balasoh, tersedia meja panjang yang memuatkan pelbagai jenis juadah. Nasi Dagang. Nasi Kapit Sambal, Laksa, Ketupat Sotong, Keropok Lekor, Kuih Beronok, Kayu Keramat, Pulut Lepa, Satar, Puteri Mandi, Nekbat, Nganang, Lempeng Nyior, Otak – Otak, Kuih Che Abas Demam, Bepang dan macam-macam lagi.

Malam itu juga Zul, Khairul dan Mi khatam 30 juzuk al-Qur’an. “Ddebor wase.”, bisik Mi pada adik-adiknya. “Aku tengok mung tak dop arroh doh.  Mende kecik je ning. Juzuk Amma mung hapal doh, ekpong.” Zul cuba menenangkan abangnya.

Alhamdulillah, Majlis Nnamat bermula hampir masuk waktu Maghrib dan selesai sekitar jam 10 malam dengan solat Tarawih dan solat Witir. Ustaz Mad dari jauh memandang Mi, Zul dan Khairul di hadapan dengan penuh bangga. Bergenang air mata. Memang jarang beliau menzahirkan kasih sayangnya kepada anak-anak. Namun, itulah umumnya sifat seorang ayah. Di sebalik tegas, ada sayang. Apa sahaja sanggup dilakukannya demi kejayaan anak-anak.

********************

“Abangku, dengar-dengar ku berkata. Malam ini kita sambut tujuh likor. Hanyalah tinggal tiga hari saja lagi. Kita akan menyambut Hari Raya…” Lagu A.Ramlie dan Maria Bachok mula berkumandang dari corong radio.

Bagi masyarakat di Pantai Timur, 10 malam terakhir amat dinantikan terutamanya Malam Tujuh Likur iaitu pada 26 atau 27 Ramadhan. Ia diraikan dengan pemasangan ratusan bahkan ribuan pelita di sekeliling kampung. Kubang Kekura “hidup” dengan pelita panjut yang dibentuk dengan berbagai rupa. Saling bbadi[5] pelita panjut manakah yang paling gah. Tidak ada satu detik yang sunyi melainkan langit Kalau Terengganu bergegar dan dipenuhi warna-warni letupan bedil, ngecung keluang, ngecung jarung, ngecung lalat dan sebagainya.

“Ayub! Pasang cepat skek. Jangang wat keje catduh. Aku ajor doh mung kang? Sep kappung kite jangang kaloh dengan Wakaf Che Kapor. Bakpe wat keje supe dok aa’uu stabok?!”, marah Zul kepada Khairul. Batang buluh yang dipacak untuk dipasang pelita panjut agak longgar dan tidak betul-betul masuk ke dalam tanah.

Beliau menggoyangkan satu persatu batang buluh yang terpacak di hadapan rumah mereka. Lagaknya seakan bos yang sedang buat pemeriksaan Quality Assurance & Quality Control! Zul memang teliti orangnya. Apa sahaja kerja yang dibuat, beliau utamakan kesempurnaan dan kepantasan.

“Erk…ok, ok.”, balas Khairul menikus ketakutan. Khairul takut betul kalau abang-abangnya marah. Di rumah, beliaulah antara penyimpan besar rahsia abang-abangnya. “Rahsia” terjun baruh, mmukat, lage ayang, igak ikang sekila, bbaloh dengan sep kappung sebelah dan lain-lain aktiviti yang berisiko mengundang kemarahan Ustaz Mad, dijaga rapi olehnya dengan syarat beliau dibenarkan ikut sekali.

“Siap-siap blake! 10 minit lagi kite gi balasoh mayang tarawih!”, terdengar suara ayah mereka daripada ruang tamu. Biasanya selepas Solat Maghrib, Ustaz Mad akan membaca al-Qur’an dan menyelak surat khabar. Laghi khucuk[6] cucu-cucu Tok Aki Hj Bakar masuk ke dalam rumah apabila mendengar peringatan Ustaz Mad. “Projek Panjut Malam Tujuh Likur” ditinggalkan berterabur di perkarangan rumah.

*********************

Sarah begitu khusyuk mendengar Tok Aki bercerita. Beliau kemudiannya bertanya:

“Tok Aki. Best ke pasang-pasang pelita? Macam tak best je…”

“Awop budok bandor. Dop pahang erti keseronokang sebenor. Jamang dulu, itula aktiviti kami. Pasang panjut pelite ni buleh bine semangak kerjesame, kreativiti. Awop-awop jamang lening tau main Tiktok je.”

“Satu lagi, bab hukum malang tujoh likur ning…”, Tok Aki menyambung kata-katanya. “Ade hok kate ini ikut ajarang Hindu. Tak betul pandangang tu. Tradisi orang Melayu kite cume nok seronok-seronok. Tak dop pecaye ape-ape hok khurafat, syirik.”

Sarah mengangguk-angguk tanda faham.

*********************

“Meri. Kuih mende hok ade? Tok Su aku bowok pisang putor. Kalu ade hok sedak, kite retuh[7] dulu sutir due[8]. Hehe…”, ujar Zul kepada Zamri sambil terintai-intai kotak yang diletakkan di pintu masuk balasoh. Ketika itu, jemaah sedang menunaikan solat Tarawih.

Kotak disediakan oleh pihak balasoh untuk anak kariah meletakkan pelbagai juadah makanan dan kuih-muih yang boleh dimakan bersama selepas Solat Tarawih. Meriah moreh orang Kampung Kubang Kekura. Jika orang kaya, mewahlah juadahnya. Jika orang kebiasaan, tetap lazat hidangannya.

Malam raya adalah malam kemuncak bagi aktiviti Ramadhan di Kampung Kubang Kekura. Orang-orang kampung akan berbondong-bondong memikul beras untuk membayar zakat di sejik[9]. Bayaran zakat menggunakan wang masih nadir pada masa itu. Kewajipan menunaikan zakat pertanian telah disebutkan secara terang dan jelas dalam al-Qur’ān:

Maksudnya: “Dan Dia lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaiton dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.”[10]

Tanam-tanaman yang cukup nisabnya hendaklah dibayar zakatnya mengikut peratus penghasilan. Kadar peratus pembayarannya bergantung kepada kaedah siraman yang digunakan. Siraman menggunakan air hujan adalah 1/10 x hasil tuaian manakala siraman menggunakan teknologi moden adalah 1/20 x hasil tuaian.

Hasil tuaian yang wajib dikenakan zakat adalah 375 gantang Baghdad bersamaan 937.5 kilogram. Sebagai contoh, hasil tuaian yang menggunakan air hujan bersamaan 1000 gantang. Maka, zakat yang dikenakan adalah 1/10 x 1000 gantang iaitu 100 gantang hasil tuaian.

********************

“Kite nok buke pose ning, sunat makang woh kheme[11] dulu. Se lagi, bang je, bbuke slalu. Itu sunnoh Nabi kite. Nabi sebut:

لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ

“Manusie ni sokmo dalang kebaikang, selame mane mereke ning menyegerekang berbuke. Ndape menyegerekang berbuke hok Nabi sebut ning? Tok bilal bang je di sejik, bbuke slalu. Itu sunnoh.” Begitulah kupasan Ustaz Zakaria, Pegawai Agama Daerah Dungun dalam slot Ramadhan di Terengganu FM.

Zul khusyuk mendengar dan mencatat isi-isi penting. Radio lama jenama Aiwa itulah yang menjadi teman setianya sejak awal Ramadhan. Kalau tak keluar bermain, beliau akan mendengar kuliah-kuliah yang tersedia di Terengganu FM sepanjang Ramadhan.

“Manekale isu mendirikang semayang dalang keadaang makanang doh terhidang, Nabi bersabde:

لاَ صَلاَةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ وَلاَ وَهُوَ يُدَافِعُهُ الأَخْبَثَانِ

‘Tidok sempurne semayang jike makanang doh terhidang. Tidok juge sempurne semayang mereke yang tahang air kecil dan air besor.’[12]

Dialek ustaz muda lulusan al-Azhar itu tidaklah terlalu pekak beladok[13]. Sedap didengar. Mungkin kerana meraikan pendengar yang pelbagai walaupun masih tak hilang huruf “g” nya.

“Haa…Berdasorkang hadis di atah, kalimoh lā di situ adeloh lā nāfiyah yang menafikan kesempurnaang semayang. Ape maksudnye? Makruh semayang saat makanang terhidang. Makruh semayang dalang keadaan wase nok buang air kecil, air besor. Sebab ape makruh? Hilang khusyuk sebab lapor ceghuk. Itu Imam Nawawi kate.”

Begitulah indahnya Islam. Imam Al-Bukhārī menukilkan sebuah kata-kata dari Abū al-Dardā’ yang mana beliau berkata: “Antara kefahaman beragama seseorang itu adalah dia mendahulukan keperluannya dengan makanan kemudian barulah dia pergi menunaikan solatnya dalam keadaan jantung hatinya kosong (tenang dari gangguan)’’.

Demikian juga Imam Abū Dāwūd meriwayatkan dengan katanya:

وكان ابن عمر يوضع له الطعام ، وتقام الصلاة فلا يأتيها حتى يفرغ ، وإنه يسمع قراءة الإمام

Maksudnya: “Ibn Umar dihidangkan kepadanya makanan, lalu didirikan solat dan beliau tidak solat sehinggalah beliau selesai makan. Dan sesungguhnya beliau mendengar bacaan imam.”

Manakala dalam sebuah riwayat yang lain daripada Nafi’ beliau berkata:

وكان ابن عمر إذا حضر عشاؤه وسمع الإقامة وقراءة الإمام لم يقم حتى يفرغ

Maksudnya: “Ibn Umar apabila telah terhidang makan malam dan beliau mendengar iqamah serta mendengar bacaan imam, beliau tidak bangun (untuk menunaikan solat) sehinggalah selesai makan.”

Demikian juga terdapat sebuah riwayat yang menceritakan berkenaan dengan Abū Hurayrah dan juga Ibn ʿAbbās raḍiyallāhu ʿanhumā bahawa ketika keduanya sedang menjamah hidangan lalu muazzin hendak iqamat bagi mendirikan solat, maka Ibn Abbās berkata kepadanya:

لا تعجل لئلا نقوم وفي أنفسنا منه شيء

Maksudnya: “Jangan kamu bersegera (untuk iqamat) supaya kita tidak berdiri dalam keadaan dalam diri kita ada memikirkan sedikit tentang makanan tersebut.[14]

Oleh itu, sekiranya juadah berbuka puasa telah dihidangkan, hendaklah juadah berbuka puasa dijamahterlebih dahulu dan kemudian barulah menunaikan solat Maghrib. Hal ini adalah supaya jiwanya akan lebih tenang dan tidak terganggu untuk mendirikan solat Maghrib.

Kaedah berbuka puasa dengan kurma dan air mineral sebagaimana yang dijalankan oleh masjid-masjid di mana sebelum menunaikan solat Maghrib dan menjamah makanan berat selepasnya tidak bercanggah dengan syariat bahkan lebih afdhal kerana mengambil sunnah berbuka puasa segera dan dapat juga menunaikan solat secara berjamaah di awal waktu.

Ini bertepatan dengan kata-kata Al-Hafiz Ibn Hajar:

لأنه يكون قد أخذ من الطعام ما دفع شغل البال به

Maksudnya: “Ini kerana dia telah mengambil dari makanan dengan kadar yang dapat menghalang sibuknya fikiran dirinya dengan makanan tersebut.”

“Hok ngelah skali ambe nok pesang, kalu nok bahang tu, sekodar je. Sebab lepas Maghrib kite nok semayang Isyak. Lepah tu, Tarawih lagi. Jangang biar nafsu jadi raje di bulang yang mulie ning. Wallahu a’lam.” Ustaz Zakaria menutup bicaranya pada petang itu dengan nasihat yang ringkas.

“Zul…Bo bo lah[16] dengar radio. Gi tengok lemang di bowoh tu. Angit nettong[15] kekgi!, kata Hajah Ramlah di dapur.

“Baik Chik!”[17] Zul lantas berlari turun melihat lemang yang sedang dibakar. Meninggalkan radio yang berterusan memutarkan lagu-lagu “wajib” raya nyanyian Saloma, P. Ramlee. Dahlan Zainuddin, Sharifah Aini, Rafeah Buang, Hail Amir, Uji Rashid dan pastinya duet Anuar dan Elina.

____________________

[1] Majlis Khatam al-Qur’ān

[2] Makan dengan cara menyerbu

[3] Plastik

[4] Ketawa berdekah-dekah

[5] Bertanding

[6] Lari pecut

[7] Makan

[8] Sebutir dua

[9] Masjid

[10] Surah al-Anʿām: 14

[11] Kurma

[12] Riwayat Muslim (560)

[13] Terlalu pekat

[14] Lihat Fath al-Bari, Ibn Hajar (2/188)

[15] Hangus / hangit

[16] Sudah-sudahlah

[17] Panggilan ibu untuk masyarakat di Terengganu

Sumber Asal: zulkiflialbakri.com

Artikel Barkaitan:

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Prolog

 Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 1- Budak Kampung

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 2 - Bukan Lagi Yang Dulu

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 3 - Ramadhan di Kubang Kekura