"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Jumaat, 26 September 2025

JANJI BOHONG DAN PROJEK GAJAH PUTIH DENGAN BEBAN HUTANG KESELURUHAN RM2.86 BILION KERAJAAN PHBN TINGGALKAN UNTUK RAKYAT KEDAH SENGSARA

 JANJI BOHONG DAN PROJEK GAJAH PUTIH DENGAN BEBAN HUTANG KESELURUHAN RM2.86 BILION KERAJAAN PHBN TINGGALKAN UNTUK RAKYAT KEDAH SENGSARA

Kedah merupakan negeri yang kaya dengan sejarah dan budaya, selain menjadi nadi pengeluaran padi negara. Namun, di sebalik kekuatan ini, Kedah turut berdepan dengan kelemahan besar dalam pengurusan ekonomi dan pembangunan ketika diperintah oleh gabungan PHBN. Rakyat Kedah tidak boleh melupakan bagaimana gabungan tersebut meninggalkan legasi penuh kepincangan, janji bohong, projek mega gagal, hutang bertimbun, serta beban kewangan yang kini terpaksa ditanggung oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama rakyat Kedah.

Setelah PN Kedah yang diketuai Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor berjaya sedikit sebanyak selesaikan masalah yang ditinggalkan, timbullah pula irihati dan dengki membara maka dilaungkan oleh PHBN dengan himpunan 'Honggaq' kononnya untuk alihkan perhatian rakyat kepada kejayaan Sanusi di Kedah.

Sejarah tidak dapat dipadam. Apa yang diwarisi oleh kerajaan PN hari ini bukanlah sebuah negeri yang stabil dengan projek-projek bermanfaat, sebaliknya sebuah negeri yang terikat dengan beban hutang lebih RM2.86 bilion. Angka ini hanya berdasarkan projek yang dapat dikira secara rasmi, tidak termasuk janji-janji kosong dan projek mega yang tiada angka didedahkan tetapi meninggalkan kesan besar terhadap imej dan ekonomi negeri. Kebobrokan PHBN telah merosakkan masa depan negeri dengan budaya politik lama yang hanya pandai berjanji tetapi gagal melaksanakan.

Salah satu contoh paling jelas ialah projek Litar Lumba Motosikal yang diumumkan pada 31 Januari 2013. Projek ini asalnya dijanjikan BN dengan kos RM30 juta sebelum dimasukkan dalam manifesto PRU 2013. Malangnya, projek ini tidak pernah bermula. Lebih mengecewakan apabila kerajaan PH kemudian meneruskan projek ini dengan reka bentuk lebih besar bernilai RM73 juta, namun sehingga kini ia tetap terbengkalai. Soalan besar yang masih bergema di kalangan anak muda Kedah ialah mengapa kedua-dua kerajaan, baik BN mahupun PH, gagal menyiapkan sesuatu yang mereka sendiri umumkan dengan penuh bangga?

Apakah tujuan sebenar janji itu, kalau bukan semata-mata untuk membeli undi rakyat? Mengenangkan kebaikan dan manfaat projek ini kepada rakyat maka Dato Seri Sanusi gagahkan untuk teruskan projek walaupun banyak halangan yang ditinggalkan serta cabara kerajaan pusat PHBN yang mahu melihat projek ini gagal.

Begitu juga dengan projek tebatan banjir yang melibatkan aliran Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit. Projek yang sudah lebih sedekad dimulakan itu menelan kos RM79.5 juta, tetapi sehingga kini masih tidak siap. Rakyat Kedah, khususnya di kawasan sekitar, terus dihantui banjir kilat saban tahun. Apa maknanya projek tebatan banjir jika setelah berbelanja puluhan juta ringgit pun masalah masih berulang? Inilah bukti nyata bahawa PHBN gagal memahami keutamaan sebenar rakyat.

Tidak cukup dengan kegagalan projek kecil, PHBN juga menjanjikan projek mega bernilai berbilion ringgit. Pada 26 Jun 2019, Kerajaan PH mengumumkan pembinaan Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) di Kuala Kedah dengan kos mencecah RM1 bilion. Projek ini kononnya akan mengubah lanskap ekonomi perikanan negeri.

Namun sehingga kini, ia hanya tinggal nama. Begitu juga dengan projek Aman Laut ala ‘Dubai’ yang dilancarkan pada 7 Oktober 2018 dengan keluasan 123.2 ekar dan nilai projek RM1.2 bilion. Hari ini, rakyat hanya mampu tersenyum sinis apabila mendengar projek ala Dubai itu kerana apa yang ada hanyalah janji yang tidak pernah menjadi realiti.

Lebih memilukan ialah apabila projek-projek kecil yang sepatutnya lebih mudah untuk direalisasikan turut gagal. Chalet Muzium Padi di Gunung Keriang yang bernilai jutaan ringgit terbengkalai lebih 15 tahun walaupun pembinaannya sudah dimulakan. Begitu juga dengan kuarters guru di Tajar, Hosba, Hutan Kampung, dan Kubur Panjang yang menelan kos ratusan juta ringgit tetapi kini hanya menjadi bangunan usang yang tidak digunakan.

Apabila ditanya, kerajaan terdahulu tidak pernah memberi jawapan memuaskan mengapa projek sebesar itu dibiarkan terbengkalai. Jika mereka benar-benar ikhlas membela rakyat, mengapa tidak dirancang semula supaya kuarters tersebut dapat dimanfaatkan untuk orang awam, pelajar, atau golongan miskin?

Kegagalan PHBN bukan hanya dalam bentuk projek terbengkalai, malah juga dalam bentuk hutang besar yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri kini. SADA misalnya, ditinggalkan dengan hutang RM147 juta. Hutang ini terpaksa dilunaskan secara berperingkat oleh kerajaan PN.

Begitu juga dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang meninggalkan hutang cukai kepada LHDN sebanyak RM10 juta, hasil salah urus kewangan ketika era PH. Hutang-hutang ini bukan sahaja membebankan kerajaan, tetapi juga membantutkan usaha PN untuk memberi tumpuan kepada pembangunan baru.

Selain hutang, terdapat juga pampasan besar yang perlu dibayar akibat kegagalan projek PHBN. Contohnya, projek Jerai International Park yang gagal, memaksa kerajaan negeri membayar pampasan sebanyak RM21 juta kepada syarikat swasta.

Satu lagi kes yang disembunyikan melibatkan Yayasan Islam Negeri Kedah, yang diarahkan oleh mahkamah untuk membayar RM11 juta kepada syarikat Long Island akibat kegagalan memindah milik 16 lot tanah di Tandop. Semua ini adalah bukti nyata bahawa kerajaan terdahulu tidak mengurus projek dengan baik dan akhirnya rakyat yang menanggung kerugian.

Kegagalan PHBN juga jelas dalam pengurusan asas kehidupan rakyat. Air terawat misalnya, masih berdepan dengan masalah non-revenue water (NRW) yang mencecah hampir 50%. Punca utamanya ialah paip lama yang tidak pernah diganti sejak puluhan tahun. Akibatnya, hampir separuh bekalan air terawat bocor sebelum sampai ke pengguna. Berbilion ringgit melayang begitu sahaja, tetapi kerajaan terdahulu tidak mengambil langkah serius untuk menyelesaikan masalah ini.

Sektor pertanian, khususnya pesawah, turut menjadi mangsa janji kosong. Pada 11 Jun 2024, kerajaan Madani mengumumkan insentif kepada pesawah berupa RM160 per hektar untuk membajak dan RM50 per hektar untuk menuai. Janji dibuat bahawa bayaran penuh akan diselesaikan sebelum 31 Julai 2025. Namun, apabila masuk 1 Ogos 2025, tiada sebarang bayaran diterima pesawah, apatah lagi penjelasan daripada kerajaan. Inilah wajah sebenar pentadbiran yang hanya pandai menabur janji tetapi tidak mampu menunaikan.

Lebih memalukan lagi, PHBN turut terlibat dalam projek-projek mega yang tidak pernah wujud. Contohnya, Bandaraya Sains Perubatan Kedah dan Bandaraya Aero Kedah yang diumumkan dalam Sidang DUN hanya tinggal nama. Begitu juga dengan projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang kononnya akan mewujudkan industri baru di Kedah, tetapi hari ini tidak ada apa-apa yang boleh ditunjukkan. Semua ini adalah simbol kepada budaya lama politik yang menggunakan projek mega sebagai alat propaganda pilihan raya.

Jika diteliti, apa yang ditinggalkan oleh PHBN kepada kerajaan PN bukan sahaja hutang, tetapi juga imej buruk kepada negeri Kedah. Projek terbengkalai dan janji kosong ini menjadikan pelabur luar hilang keyakinan terhadap keupayaan kerajaan negeri untuk melaksanakan sesuatu projek dengan serius. Apabila keyakinan pelabur runtuh, negeri tidak mendapat peluang pekerjaan baru, ekonomi terbantut, dan rakyatlah yang akhirnya menanggung akibatnya.

Sebaliknya, kerajaan PN yang mengambil alih kini berusaha menutup kelemahan lama ini. Projek tebatan banjir di Taman Wira Mergong yang dijanjikan PHBN sejak dulu hanya berjaya direalisasikan selepas PN mengambil alih pentadbiran. 

Hutang SADA yang besar juga kini sebahagiannya telah berjaya dilangsaikan. PN tidak menjual mimpi ala Dubai atau bandaraya aero, tetapi memberi tumpuan kepada perkara asas yang menyentuh kehidupan rakyat.

PHBN telah gagal secara menyeluruh dalam pentadbiran Kedah. Mereka meninggalkan hutang lebih RM2.86 bilion, projek gajah putih yang memalukan, janji kosong yang memperdaya rakyat, serta kegagalan asas dalam mengurus air dan pertanian. Legasi ini bukan sahaja menyusahkan kerajaan hari ini, tetapi juga membantutkan pembangunan negeri untuk jangka panjang.

Rakyat Kedah berhak menuntut penjelasan, gantirugi, dan permohonan maaf terbuka daripada PHBN. Kegagalan demi kegagalan yang direkodkan bukanlah sekadar kelemahan pentadbiran, tetapi satu bentuk pengkhianatan kepada mandat rakyat. Jika mereka benar-benar ikhlas, mereka seharusnya mengaku kesilapan, bukannya terus menjual janji palsu.

Kerajaan PN kini mewarisi negeri yang penuh dengan luka kewangan dan projek terbengkalai, namun tetap berusaha memulihkan maruah Kedah. Apa yang berlaku ini adalah pengajaran besar kepada rakyat, bahawa mandat tidak boleh diberikan lagi kepada PHBN. 

Kedah memerlukan pentadbiran yang berfokus, berintegriti, dan tidak tunduk kepada budaya politik lama. Hanya dengan itu, negeri ini boleh benar-benar bangkit menjadi sebuah negeri yang dinamik, maju, dan berdaya saing sebagaimana dengan wawasan yang berani dan jauh ke hadapan yang digagaskan oleh Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor iaitu "The Greater Kedah".

Khalid Hamka 

Penganalisis Politik 

Alor Setar


Source 

Sabtu, 20 September 2025

Raja Faisal dan Sekatan Minyak 1973: Kisah Keberanian yang Menggoncang Dunia!

 "Raja Faisal dan Sekatan Minyak 1973: Kisah Keberanian yang Menggoncang Dunia!" 

Pada Oktober 1973, dunia dikejutkan dengan keputusan berani Raja Faisal bin Abdulaziz Al Saud dari Arab Saudi. Ketika perang Yom Kippur tercetus antara negara Arab dan Isbiol, baginda memilih untuk menggunakan senjata paling ampuh yang dimiliki, iaitu minyak. Keputusan itu menjadikan nama beliau terpahat dalam sejarah dunia moden.

Langkah sekatan minyak ini dilakukan bersama negara anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak Arab. Mereka menamatkan bekalan kepada Amerika Syarikat dan sekutu Barat yang menyokong Isbiol. Kesan tindak balas ini sangat besar sehingga harga minyak dunia melonjak empat kali ganda dalam tempoh singkat.

Barat yang terlalu bergantung pada minyak Timur Tengah mula panik. Amerika dan Eropah menghadapi krisis tenaga paling buruk sejak Perang Dunia Kedua. Lampu jalan dipadamkan, stesen minyak beratur panjang dan ekonomi mereka goyah dalam masa beberapa minggu sahaja.

Raja Faisal melihat langkah ini bukan semata-mata strategi ekonomi, tetapi senjata politik. Baginda mahu dunia menyedari bahawa penderitaan rakyat P tidak boleh dipandang enteng. Minyak yang selama ini mengalir ke Barat menjadi alat tekanan agar mereka mengubah pendirian.

Keberanian Raja Faisal amat menakutkan Washington. Henry Kissinger, Setiausaha Negara Amerika ketika itu, dilaporkan berulang kali datang berunding. Ada naratif popular yang menyebut beliau mengugut untuk mengebom telaga minyak Saudi jika sekatan tidak dihentikan. Walaupun tiada dokumen rasmi membuktikan ugutan itu, cerita ini tetap hidup sebagai gambaran tegangnya rundingan ketika itu.

Raja Faisal dikatakan menjawab dengan tegas bahawa bangsa Arab mampu hidup semula dengan kurma dan susu seperti nenek moyang mereka. Jawapan ini menjadi simbol bahawa baginda tidak gentar dengan ancaman kuasa besar. Walaupun mungkin tidak disebut verbatim, ia melambangkan pendirian baginda yang teguh.

Sekatan minyak 1973 memberi kesan domino kepada geopolitik dunia. Barat mula mencari alternatif tenaga dan mengubah dasar luar mereka terhadap Timur Tengah. Negara Arab pula merasakan buat pertama kali mereka memiliki kekuatan kolektif yang mampu menggoncang dunia.

Amerika akhirnya terpaksa meningkatkan hubungan diplomatik dengan negara Teluk. Washington sedar bahawa mengekalkan aliran minyak lebih penting daripada menekan Riyadh secara kasar. Sejak itu, hubungan antara Saudi dan Amerika menjadi lebih kompleks, penuh tawar-menawar dan kepentingan strategik.

Keberanian Raja Faisal tidak hanya dilihat dari sudut minyak. Baginda dikenali sebagai pemimpin yang tegas menolak sebarang bentuk penguasaan Barat terhadap dunia Arab. Beliau menolak sebarang hubungan rasmi dengan Isbiol dan konsisten memperjuangkan isu P di pentas antarabangsa.

Dalam dunia Islam, Raja Faisal dihormati kerana keprihatinan beliau terhadap Masjidil Aqsa. Baginda menyeru umat Islam agar bersatu mempertahankan tanah suci dan menyalurkan kekuatan ekonomi untuk perjuangan itu. Semangat ini memberi inspirasi kepada jutaan umat Islam ketika itu.

Namun keberanian itu tidak datang tanpa risiko. Pada 25 Mac 1975, ketika menerima tetamu di Riyadh, Raja Faisal ditembak mati oleh anak saudaranya sendiri, Putera Faisal bin Musaid. Dunia Arab terkejut dengan tragedi itu kerana ia berlaku sebaik sahaja baginda berjaya mengangkat martabat dunia Islam di mata dunia.

Motif pembunuhan masih menjadi tanda tanya. Versi rasmi menyatakan ia dilakukan kerana dendam peribadi. Ada juga pandangan yang melihatnya sebagai kesan daripada tekanan antarabangsa terhadap dasar berani Raja Faisal. Walaupun tiada bukti kukuh, teori konspirasi terus hidup hingga kini.

Pembunuhan itu segera meragut seorang pemimpin yang digelar "raja minyak" dan "pembela P". Dunia Islam kehilangan seorang tokoh yang berani mencabar kuasa besar dengan senjata ekonomi. Keberanian yang jarang ada pada pemimpin lain telah berakhir dengan darah di tanah air sendiri.

Krisis minyak 1973 tetap dikenang sebagai titik perubahan dalam sejarah moden. Buat pertama kali, negara Arab menunjukkan bahawa mereka bukan sekadar pengeluar minyak tetapi juga pemegang kuasa politik global. Raja Faisal menjadi wajah utama kepada detik bersejarah ini.

Bagi Barat, pengalaman itu meninggalkan trauma ekonomi. Inflasi melambung, pengangguran meningkat dan dasar tenaga mereka perlu dirombak sepenuhnya. Mereka belajar bahawa bergantung terlalu banyak kepada satu sumber boleh mengundang bencana.

Bagi dunia Arab, sekatan minyak mengajar mereka tentang kekuatan bersama. Ia membuktikan bahawa apabila umat Islam bersatu, Barat tidak mampu berbuat apa-apa. Namun sayangnya semangat itu tidak berterusan apabila perpecahan politik kembali menghantui negara Arab selepas krisis berlalu.

Raja Faisal dikenang kerana keberanian dan kesederhanaannya. Beliau hidup sederhana walaupun menjadi raja. Gambarnya yang sering duduk di atas tikar biasa, jauh daripada kemewahan melampau, menunjukkan keperibadian seorang pemimpin yang dekat dengan rakyat.

Sikap beliau memberi inspirasi hingga kini. Generasi muda dunia Arab masih menyebut nama Raja Faisal apabila membincangkan keberanian menentang Barat. Beliau menjadi lambang bahawa kuasa besar juga boleh ditekan dengan strategi yang bijak.

Kata-kata beliau tentang hidup dengan kurma dan susu terus hidup dalam memori umat Islam. Ia mengingatkan bahawa kekuatan sebenar bukan pada minyak atau wang, tetapi pada keimanan dan ketahanan jiwa. Inilah warisan yang paling berharga.

Sejarah mencatat bahawa sekatan minyak itu berjaya memberi nafas baharu kepada perjuangan P. Walaupun akhirnya Barat tetap menyokong Isbiol, tetapi mereka terpaksa mengakui bahawa isu P tidak boleh dipandang ringan. Itu semua kerana pendirian Raja Faisal.

Hari ini, dunia Arab masih berpecah dan isu P belum selesai. Namun kenangan terhadap keberanian Raja Faisal menjadi peringatan bahawa pemimpin berjiwa besar mampu mengubah arah sejarah walaupun seketika.

Pengajaran daripada kisah Raja Faisal ialah keberanian berprinsip mampu menggoncang dunia. Walaupun Barat memiliki senjata, teknologi dan kuasa ekonomi, sekatan minyak 1973 membuktikan bahawa satu keputusan tegas boleh menundukkan mereka. Dunia Islam memerlukan lebih ramai pemimpin seumpama itu.

MasyaAllah, Allah mengurniakan kita akal untuk melihat dan menilai sejarah. Kisah Raja Faisal mengajar bahawa kekuatan sebenar umat tidak terletak pada harta semata-mata tetapi pada iman dan keberanian. Semoga generasi akan datang menjadikan kisah ini inspirasi untuk membina masa depan Islam yang lebih gemilang.

___

Source 

Khamis, 18 September 2025

Kenyatan Akhbar Sultan Selangor berhubung isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

 18 September 2025 ~ 

KENYATAAN AKHBAR D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR

Beta ingin memberi pandangan berhubung isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

Selepas membaca maklumbalas daripada pelbagai pihak, Beta mahu agar isu ini dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.

Beta tiada halangan sekiranya kawasan Kampong Bharu hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.

Sebab itu, Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampong Bharu harus diambil kira.

Kampong Bharu telah ditubuhkan pada tahun 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian, hasil kurniaan daripada nenda Beta, Sultan Selangor Ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 sebagai rizab Malay Agricultural Settlement (M.A.S).

Beta ingin mengimbas semula susur galur sejarah dan peristiwa penting orang Melayu yang telah berlaku di Kampong Bharu dan harus dipelihara. Ini kerana Beta sendiri pernah menetap dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raja Muda di Kampong Bharu, ketika ayahanda Beta, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi Raja Muda Selangor. Allahyarham ayahanda kepada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga lahir di Kampong Bharu di mana Tengku Permaisuri sekeluarga tinggal dan membesar.

Sebagai nadi pembangunan Kuala Lumpur pada suatu ketika, Kampong Bharu menempatkan Kelab Sultan Sulaiman, lokasi berlangsungnya Kongres Melayu SeMalaya pada tahun 1946 yang mencetuskan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Semasa tragedi 13 Mei 1969, Kelab Sultan Sulaiman juga dijadikan tempat perlindungan orang-orang Melayu. Padang Kelab Sultan Sulaiman turut digunakan sebagai tempat latihan pasukan bola sepak Selangor sebelum terbinanya Stadium Merdeka. Kini, Bangunan Warisan Kelab Sultan Sulaiman masih menjadi hakmilik Kerajaan Negeri Selangor.

Bukan itu sahaja, sebelum Kuala Lumpur diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, kediaman rasmi  Dato’ Menteri Besar Selangor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga berada di Kampong Bharu.

Lebih nostalgik, persefahaman pernah dicapai supaya Masjid Jamek Kampong Bharu yang telah dirasmikan oleh Sultan Selangor ke-6, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, harus dikekalkan di lokasi sedia ada dan tidak boleh dipindahkan ke tempat lain.

Sesungguhnya, Kampong Bharu adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak tahun 1900.

Justeru, Beta ingin menegaskan sekali lagi bahawa Kampong Bharu memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur. Maka, sebarang keputusan atau usaha-usaha pembangunan di Kampong Bharu harus mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan juga untuk jangka masa panjang.

“PERTAHAN DAN SETIA KEPADA AGAMA ISLAM"

“BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT DAN NEGARA”

D.Y.M.M. SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH AL-HAJ

SULTAN SELANGOR

Tarikh :   18 September 2025

Source 





Selasa, 16 September 2025

Wajarkah diberi 21% Pelajar Antarabangsa Tumpu di 5 Universiti Penyelidikan Awam

 Dalam akhbar Sin Chew Daily, saya mengulaskan seperti berikut. Saya terjemahkan ke bahasa melayu untuk kefahaman semua.

Oleh:Prof Haim Hilman Abdullah

21% Pelajar Antarabangsa Tumpu di 5 Universiti Penyelidikan Awam

Kenyataan Haim Hilman: Lebih ramai daripada pelajar Cina tempatan

Ahli Dewan Undangan Negeri Jitra merangkap Exco Kedah, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menegaskan isu pengambilan pelajar antarabangsa di universiti awam negara perlu diberi perhatian serius.

Menurutnya, di lima universiti penyelidikan utama negara iaitu UM, UKM, USM, UPM dan UTM, jumlah pelajar antarabangsa mencecah 21.3%. Angka ini lebih tinggi daripada jumlah pelajar Cina tempatan yang hanya 13.5%.

Beliau memetik data Kementerian Pendidikan Tinggi 2024, menunjukkan jumlah keseluruhan pelajar di universiti awam adalah 617,798 orang, dengan 53,322 daripadanya (8.72%) merupakan pelajar antarabangsa. Namun, di lima universiti penyelidikan tersebut, nisbah pelajar antarabangsa adalah 21.3%, jauh lebih tinggi daripada purata nasional 8.72%.

Tidak Adil Kepada Pelajar Tempatan

“Kalau sekadar 5%, boleh diterima kerana ia membantu dari segi pertukaran budaya. Tetapi apabila mencecah 21%, malah melebihi jumlah pelajar Cina tempatan, ini sudah tidak adil kepada rakyat Malaysia sendiri,” katanya.

Haim Hilman menegaskan isu ini bukan soal perkauman, sebaliknya soal keadilan terhadap rakyat tempatan. “Malaysia terdiri daripada 70% Melayu, 20% Cina dan 7% India, selebihnya kaum lain. Mengapa jumlah pelajar Cina di universiti awam cuma 13% sedangkan pelajar antarabangsa boleh sampai 21% di universiti penyelidikan?” soal beliau.

Beliau menambah, pelajar antarabangsa datang dengan membayar yuran lebih tinggi, tetapi tempat pengajian mereka adalah milik rakyat Malaysia. Jika terlalu ramai tempat diberikan kepada pelajar antarabangsa, maka rakyat sendiri akan terpinggir.

Perlu Semakan Semula Sistem Kuota

Haim Hilman menyeru kerajaan supaya menyemak semula sistem kuota pengambilan pelajar universiti awam, termasuk UM, UKM, USM, UPM dan UTM, agar keutamaan diberikan kepada rakyat tempatan.

Katanya, universiti awam dibiayai oleh wang rakyat, maka peluang yang wajar diberikan adalah kepada rakyat Malaysia dahulu.

Pelajar Antarabangsa Rebut Skim Biasiswa & Kerja

Selain itu, beliau turut membangkitkan isu pelajar antarabangsa yang menikmati biasiswa dan peluang kerja selepas tamat pengajian (“Graduate Pass”), sekali gus menambah tekanan kepada graduan tempatan untuk bersaing dalam pasaran kerja.

Haim Hilman memberi contoh, lebih 30,000 pelajar antarabangsa kini diberikan pas kerja sementara selepas tamat pengajian. Hal ini menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan, khususnya dalam keadaan pasaran kerja yang semakin terhad.

Beliau menegaskan: “Kita mesti utamakan anak Malaysia. Kalau mahu tarik pelajar antarabangsa, biarlah dengan kadar munasabah, bukan sampai menindas hak rakyat sendiri.”

Source 

Jumaat, 12 September 2025

Kampung Sungai Baru: Warisan Melayu di Tengah Kota

 🏘️ Kampung Sungai Baru: Warisan Melayu di Tengah Kota

📖 Di tengah hiruk-pikuk Kuala Lumpur, ada sebuah kampung kecil yang sarat dengan cerita. Namanya: KAMPUNG SUNGAI BARU. 

Walaupun diapit Menara Berkembar KLCC dan deretan kondominium mewah, kampung ini pernah menjadi bukti bahawa orang Melayu tidak pernah hilang tanahnya di tengah kota.

⏳ Asal-usulnya bermula lebih 100 tahun lalu.

Pada tahun 1890-an, penjajah British mula membuka Kuala Lumpur sebagai pusat perlombongan bijih timah dan perdagangan. 

Pekerja dari pelbagai bangsa datang, bandar membesar, dan harga tanah naik mendadak.

Melihat orang Melayu semakin terhimpit, pada tahun 1900, British mewartakan kawasan khas bernama Malay Agricultural Settlement (MAS) supaya orang Melayu ada hak milik tanah kekal di bandar.

📌 Di sinilah lahirnya Kampung Sungai Baru.

Penduduknya membuka rumah kayu, berladang kecil, dan membina masjid. Sungai kecil yang mengalir jadi nadi kampung, tempat anak-anak mandi manda. Dari situlah nama Sungai Baru diambil.

⚔️ Zaman Jepun (1941–1945).

Kampung ini tidak terkecuali dari kesengsaraan. Ramai lelaki ditangkap jadi buruh paksa. Namun, kampung ini juga jadi tempat orang Melayu, Cina, dan India saling berlindung daripada kekejaman tentera Jepun. 

Ada kisah orang Melayu di Sungai Baru menyembunyikan anak-anak jiran Cina agar tidak dibawa askar. Dari situ, lahirlah semangat persaudaraan yang menjadi kenangan turun-temurun.

🏠 Selepas Merdeka.

Kampung Sungai Baru berkembang. Dari rumah kayu, muncul rumah batu, kemudian flat kos sederhana dibina pada 1970-an untuk menampung generasi baru. Ia sangat unik kerana kampung Melayu ini di tengah kota metropolitan, hanya beberapa langkah dari KLCC.

🌆 Hari ini.

Namun, Sungai Baru berdepan ujian besar. Projek pembangunan mega mahu mengambil alih tanah kampung. Ada yang melihatnya sebagai peluang moden, tapi ramai menganggapnya sebagai ‘pembunuhan warisan.’

Persoalan yang timbul:

➡️ Apakah nilai tanah hanya pada wang ringgit?

➡️ Atau pada kisah dan darah yang pernah menitis di atasnya?

👉 Kampung Sungai Baru bukan sekadar sebuah kampung kecil. Ia adalah cerita Melayu bertahan di tengah kota moden, antara warisan yang ingin dipelihara dan pembangunan yang sukar dielak.

📚 Rujukan:

• Hussin Mutalib, Malay Identity in Postwar Malaysia (1990)

• “Inside KL’s longest-running housing dispute: The Kampung Sungai Baru redevelopment row”, Malay Mail, April 2025

• Arkib Negara Malaysia – Koleksi Malay Agricultural Settlement (1900)

• “Kampung Baru issue: Additional compensation disbursed”, The Star, 2024

#KampungSungaiBaru #SejarahMelayu #Warisan #KualaLumpur #MalayDiscovery #malaydiscovery

Source 

Selasa, 9 September 2025

Berhentilah berebut jadi Perdana Menteri.Fokus kepada keadilan dan kemakmuran negara demi rakyat

 Wahai Bersatu!

Berhentilah berebut jadi Perdana Menteri

Fokus kepada keadilan dan kemakmuran negara demi rakyat

Oleh :Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Sebagai Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), saya bersetuju dengan pandangan Presiden MN, Annuar Musa, dan MB Kedah, Sanusi Md Nor, supaya agenda siapa jadi PM tidak terlalu difokuskan, jika PN berjaya memerintah. Jika mahu juga diketengahkan siapa yang akan menjadi PM, berbincanglah dalam kalangan pimpinan PN, baharu betul, bukan dengan menonjolkan seorang sahaja, seolah-olah orang lain tidak layak.

Wal hal, ramai yang layak, cuma malu alah untuk bercakap. Maklumlah, perkara macam ini sensitif. Siapa kita untuk tentukan siapa yang paling layak jadi PM. Cermin diri dahulu, kita ni kuat ke tidak? Atau sekadar menumpang kekuatan orang (parti lain). 

Kenalah ada rasa malu sedikit. Kena ada rasa izzah, kemuliaan dalam berpolitik. Baharu orang boleh hormat. Kalau belum ada apa-apa sudah nakkan jawatan, nampak sangat kita terdesak. Persoalannya, kita hebat sangatkah?

Pada hemat saya, ramai dalam kalangan parti PAS dan PPBM (Bersatu) yang berwibawa menjadi PM. Kenapa hanya fokus seorang sahaja untuk jawatan tertinggi itu? Ini belum menang lagi, bila dah menang esok, pasti Bersatu mahu lebih jawatan daripada PAS, sedangkan siapakah atau parti manakah yang mendapat lebih banyak kerusi? 

Sebenarnya, Bersatu mahu apa dalam berpolitik? Mahu menegakkan keadilan hidup bernegara atau mahu merebut jawatan? Nampanya, DNA UMNO masih bersarang dalam perut Bersatu. Kuasa untuk tiket jadi kaya (dahulu). UMNO pun sudah berubah sekarang, mula cakna masalah rakyat. Takkan nak jadi teruk daripada UMNO. 

Jika beginilah cara pemimpin Bersatu berfikir, tak payah mimpilah untuk memimpin kerajaan. Pasti lebih ramai yang akan melompat apabila kuasa ditawarkan. Enam lompatan pemimpin Bersatu sebelum ini, sudah jelas menunjukkan bahawa pemimpin Bersatu ini gilakan kuasa. 

Jadilah macam PAS, paling penting menang dahulu. Siapa akan menjadi PM, kemudianlah bincang. Ramai sahaja orang dalam PAS dan Bersatu boleh jadi PM. Muhyiddin, juga Presiden PAS, sudah berumur. Saya yakin mereka pun sedar diri. Lagipun Muhyiddin dah pernah jadi PM. Takkan nak jadi macam Tun Mahathir. Tun M lainlah, usia dia panjang. 

Muhyiddin berbeza sedikit. Saya tidak nampak beliau akan sepanjang umur Tun M, melihat kepada keadaannya sekarang. Kesihatannya tidak mengizinkan. Tengok muka pun dah tahu. Sepatutnya Muhyiddin, berterus teranglah. Berehatlah, jaga kesihatan. 

Lagipun Muhyiddin ada kes, ditakdirkan kesnya lekat ketika menjadi PM, kena cari PM baharu pulak nanti. Takkan negara kita asyik bertukar PM. Sampai bila orang luar nak percaya dan melabur? 

Berbeza dengan Thailand, walaupun PM negara itu sering bertukar ganti, tetapi ia tidak menakutkan negara lain untuk melabur, kerana mereka tahu, Thailand tetap akan stabil. Almaklumlah, jawatan PM di sana tidak mutlak. Mahkamat (Hakim) boleh tentukan sama ada dia berhak atau tidak menjadi PM. Bukan macam kita, PM korup pun sampai mati boleh jadi PM. Kalaulah sistem kita macam Thailand, rasanya bukan sepuluh PM kita, tetapi sudah berpuluh-puluh. 

Jadi, sudah sampai masanya kita ikut demokrasi macam Thailand, mahkamah ada kuasa untuk melucutkan seseorang PM jika terbukti PM tersebut salah guna kuasa dan ternyata tidak layak, berpihak kepada musuh.   

Nasihat ikhlas saya kepada Bersatu, adakah jawatan menjadi begitu penting kepada parti ini jika PN jika menang pilihan raya nanti? Jagalah hati parti lain sama, yang lebih banyak kerusi, sudah tentu lebih kuat daripada Bersatu. Adanya Bersatu hari ini, maaf cakap, kerana ada PAS. Jentera PAS jauh lebih kuat memenangkan calon (wakil rakyat) Bersatu. Ini fakta. Tanpa PAS, Bersatu sudah lama terkubur. Bukan saya cakap, semua orang cakap. 

Dalam hal ini, saya suka pendekatan, Isham Jalil. Rasional dan berpijak di bumi nyata. 

Hari ini, siapa yang lebih layak menjadi PM, bukanlah agenda utama. Paling penting negara ini mesti diselamatkan daripada dibolot dan dikongkong oleh ultra kiasu. Ternyata, sejak PH memerintah, yang berkuasa adalah ultra kiasu. PKR terpaksa tunduk kepada ultra kiasu, untuk terus berkuasa. Sebab itu, kita lihat yang berhak tidak dapat haknya, yang tidak berhak, dapat lebih-lebih hak. Contoh, Sekolah Persendirian Cina, yang ditatang seperti minyak yang penuh.  

Kepada pemimpin PKR, saya tidak fikir PN akan beriya-iya untuk ‘menjatuhkan’ PH, jika kamu benar-benar dapat menjaga negara ini dengan baik, selain pembangunan ekonomi, sudah tentu perkara berkaitan dengan Islam, Melayu dan bumiputera mesti dijaga, begitu juga hak bangsa lain. Masalahnya, parti ultra kiasu dilihat seolah-olah membolot kuasa pemerintahan itu. Itu yang menyebabkan PN (PAS) dan rakyat geram (marah).

Sepanjang pengamatan terhadap PAS, kuasa, jawatan PM dan menteri, bukanlah penting sangat kepada mereka. Tetapi jangan ambil kesempatan. Mentang-mentang PAS kata kuasa atau jawatan tidak, maka Bersatu nak bolot semua. Tak boleh macam itu dalam berpolitik. Jangan tamak, jangan ada sifat nampak diri kita sahaja yang hebat. Orang lain tidak. 

PAS pulak janganlah terlalu malu alah.  Cukup-cukuplah saya selalu dengar cakap-cakap, kuasa atau jawatan PM (menteri), bukanlah perkara utama dalam PAS. Tak jadi PM pun tak pe? Tak boleh cakap macam tu selalu, nanti orang pandang rendah…

Sedangkan, dalam PAS banyak kekuatan, agamawan? Professional? Macam-macam ada. Janganlah terlalu merendah diri. Apa yang kurang?

Sebab itu, saya tidak mahu komen banyak pasal PAS seperti penganalisis sampah di luar sana. Contoh, bila tidak ada pertandingan dalam jawatan tertinggi PAS, penganalisis sampah itu kata, PAS ini dah tepu. Tepu kepala bapak kau? Kamu, penganalisis bodoh yang tidak faham budaya politik PAS. Sebelum kamu mahu komen pasal PAS tepu atau tidak? Baca dahulu apa  maksud budaya politik, khusus budaya politik dalam PAS. Ini tidak, makna budaya politik pun dia tidak tahu, sedap sahaja komen. Bukankah nampak bodoh?

Kepada penganalisis politik murahan ini, baliklah semula, belajar asas ilmu politik. Apa itu politik, bermula daripada konsep city state yang dibincangkan oleh Plato, Hobbes, Rousseau, dan lain-lain. Begitu juga dengan politik Islam, sebagaimana yang dibincangkan oleh al-Mawardi, Ibn Taimiyyah, al-Ghazali dan lain-lain. Jangan pakai sedap cakap sahaja, tepu atau tak tepu. Dalam Bahasa mudah, sediakan gelanggang, mari kita berdebat. Mudah cerita. Jangan jadi penganalisis politik cari makan. Macam lalang, kita kena ada pendirian. Baru orang lain hormat.

Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

9 September 2025