"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Ahad, 28 November 2021

Covid19: Varian Omicron lebih bahaya daripada varian Delta

 

Pakar kesihatan mencadangkan kerajaan membuat saringan terhadap pengembara dari Afrika sejak sebulan lalu. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Jumlah mutasi luar biasa dikesan pada varian baharu B.1.1.529 yang dinamakan sebagai Omicron me­nimbulkan kebimbangan kepada penyelidik berikutan sistem imunisasi manusia berkemungkinan sukar untuk mengawal jangkitannya.

Pakar Mikrobiologi, Jabatan Mikrobiologi dan Imunologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Umi Kalsom Ali berkata, walaupun jumlah mutasi bukan penentu kepada tahap bahaya sesuatu varian, namun jumlah mutasi luar biasa mewujudkan kebimbangan.

“Untuk permulaan, maklumat awal tentang varian baharu perlu kita fahami selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkelaskan varian ini sebagai variant of concern (VOC).

“Berdasarkan data awal dari Afrika Selatan menunjukkan ia merebak dengan pantas di mana 100 kes dikesan awal November dan lebih 1,200 kes pada minggu akhir November. Jadi, kebanyakan saintis menjangkakan kebolehan Omicron untuk merebak seperti varian Delta adalah sangat tinggi,” katanya kepada Kos­mo! Ahad semalam.

Menurutnya, varian itu turut menunjukkan bilangan mutasi yang tinggi iaitu sebanyak 32 mutasi ‘spike protein’ virus SARS-CoV2 berbanding Delta sekitar lapan mutasi sahaja.

“Jumlah mutasi yang luar biasa itulah yang membimbangkan penyelidik kerana kemungkinan menyebabkan sistem imuniti manusia sukar untuk mengawal jangkitan daripada varian itu,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada kemungkinan wujud gelombang baharu akibat varian berkenaan, Dr. Umi menyifatkan jangkaan itu terlalu awal untuk dibuat.

“Bagaimanapun, jika tiada sebarang langkah diambil untuk mengekang penularan, pastinya risiko jangkitan lebih tinggi dan kesannya sama seperti varian Delta,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar mencadang­kan kerajaan untuk mengenal pasti individu yang masuk ke Malaysia dari Afrika sejak sebulan lalu.

“Proses mengenal pasti individu terbabit ialah bagi tujuan saringan dan mempertingkatkan survelan genomik seterusnya menjadi langkah awal dalam mengekang penularannya,” ujarnya.

-Kosmo Online

Restoran tular siakap “Kayangan” tetap diserbu pelanggan luar


Restoran tular siakap “Kayangan” tetap diserbu pelanggan luar. Walaupun pernah tular kerana menjual hida­ngan siakap seberat 7 kilogram (kg) pada harga RM1,196, operasi Restoran Terapung Sas Rimba, Taman Geoforest Karst Kilim di sini tidak terjejas dan masih beroperasi seperti biasa.

Tinjauan Kosmo! di restoran tersebut mendapati, rata-rata pelanggan mengetahui status restoran tersebut sebagai restoran yang tular sebelum ini, namun tetap mahu menjamu selera di situ.

Pelancong yang berkunjung ke situ biasanya menaiki bot bagi pakej lawatan ke kawasan bakau di Taman Geoforest Karst Kilim bagi melihat pertunjukan ikan di sangkar selain menjamu selera di restoran berkenaan.

Seorang pengunjung dari Temerloh, Pahang, Aida Fasiha Mohd. Azman, 26, berkata, mereka memilih untuk makan di situ kerana mengetahui status restoran tersebut telah tular.

“Saya dan keluarga datang ke sini sebab tahu tempat ini sudah tular dan kerana kami ingin melihat sendiri harga yang ditawarkan di restoran ini.

“Kami faham bahawa harga yang diletakkan oleh peniaga adalah munasabah kerana ikan yang dijual betul-betul segar kerana ikan tersebut masih be­renang ketika kami memilihnya,” katanya.

Seorang lagi pengunjung dari Segamat, Johor, Che Nur Syuhadah Mohd. Nawawi, 20, berkata, dia biasa berkunjung ke restoran makanan laut dan akan memilih dan melihat sendiri ikan yang ditimbang sebelum meneruskan pesanan.

“Pekerja restoran turut beri­tahu kepada saya untuk melihat menu dan harga terlebih dahulu.

“Mereka juga menunjukkan kepada kami berat ikan yang ditimbang dan apabila kami bersetuju, barulah ikan tersebut akan dimasak,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! pada 5 November lalu melaporkan sekumpulan pelancong ke Pulau Langkawi terkejut apabila terpaksa membayar kira-kira RM1,196 bagi hidangan se­ekor ikan siakap seberat 7kg di salah sebuah restoran dekat Langkawi, Kedah awal bulan ini.

-utamadaily.com

Sabtu, 27 November 2021

Covid19: Siap sedia senario terburuk hadapi varian Omicron, kerajaan digesa tingkatkan kawalan

 

Seorang penyelidik Universiti Malaya menggesa kerajaan meningkatkan kawalan sempadan dan penjujukan genom, khasnya ke atas pelancong asing. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang penyelidik berkata, Malaysia dan dunia perlu bersedia menghadapi kemungkinan terburuk dalam berdepan varian baharu Omicron menggunakan kawalan sempadan dan sekatan perjalanan tidak popular sehingga mempunyai lebih banyak maklumat berhubung strain baharu itu.

Dr Lam Sai Kit, perunding penyelidikan di Universiti Malaya dan Felo Kanan Akademi Sains Malaysia, berkata kerajaan boleh menyesuaikan respons mereka apabila mempunyai lebih banyak maklumat dalam beberapa minggu akan datang.

“Pada masa sama, Malaysia dan dunia perlu bersedia menghadapi senario terburuk,” katanya, dengan langkah seperti larangan perjalanan, meningkatkan kawalan sempadan dan penjujukan genom, khasnya untuk pelancong asing dari negara terjejas.

“Untuk melaksanakan semula sebarang bentuk larangan perjalanan bukan langkah popular dan sudah tentu akan merosakkan lagi ekonomi dunia. Tetapi, apa lagi yang kita boleh lakukan untuk mengelakkan atau sekurang-kurangnya memperlahankan varian itu daripada menular ke luar Afrika Selatan?

Dr Lam Sai Kit.

“Kita perlu bertindak proaktif dalam melindungi sempadan kita dan satu-satunya cara ialah melaksanakan sekatan perjalanan, tidak kira betapa tidak popularnya langkah ini.”

Hari ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengklasifikasikan varian Omicron sebagai varian membimbangkan – kategori paling mengancam untuk varian Covid-19. Ia dikesan sebahagian besarnya di Afrika Selatan, tetapi turut ditemui di Hong Kong, Belgium dan Israel.

Lam berkata, “kita tidak tahu sejauh mana keterukan Omicron” dan sama ada ujian PCR serta Antigen Rapid Test (ARTs) masih berguna untuk mengesannya, atau jika vaksin yang digunakan sekarang masih berkesan terhadap Omicron.

Tetapi, langkah semasa seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal, kebersihan tangan, mengelakkan ruang sesak dan meningkatkan pengudaraan di ruang dalaman masih berguna.-FMT

Tauke Jambu jawab isu kahwin lagi, jelaskan majlis berlaku dengan izin isteri

 

Beberapa hari lepas, tular di media sosial berkenaan beberapa video memperlihatkan pelawak terkenal, Tauke Jambu berpakaian nikah disamping seorang wanita yang turut berbusana sedondon.

Ramai yang membuat spekulasi bahawa Tauke dan wanita tersebut yang dikenali sebagai Shu telah bernikah memandangkan masing-masing bergambar di hadapan sebuah masjid.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang penjelasan daripada kedua-dua belah pihak dan ia seakan menjadi tanda tanya kepada netizen berhubung rumah tangga Tauke dengan isterinya, Nadia Mohd Effendi.

Majlis mendapat restu isteri

Namun begitu, menerusi temu bual bersama Mstar, Tauke dan wanita yang dikenali sebagai Shu telah tampil menjelaskan hal sebenar.

Menurut pelawak itu, memang benar dia yang berada di majlis pernikahan tersebut dan apa yang dilakukannya mendapat restu daripada isterinya, Nadia.

Atas desakan netizen, umum hal sebenar

Menurut Tauke lagi, dia tidak berniat merahsiakan perkara tersebut namun berasa tidak selesa memandangkan sudah beberapa kali berkahwin. Akan tetapi, atas desakan daripada netizen, dia ikutkan sahaja kehendak mereka yang ingin mengetahui hal tersebut.

Hubungan semua baik2 saja

Dalam pada itu, wanita yang dikenali sebagai Shu itu juga menyatakan yang dia sama sekali tidak mempunyai masalah dengan perkahwinan ini kerana hubungannya dengan isteri Tauke juga baik-baik sahaja.

Isteri reda dengan majlis, tapi tak jawab soalan tentang dimadukan

Ditanya perihal penerimaan isterinya apabila dimadukan, Tauke memaklumkan yang Nadia meredai majlis tersebut dan sangat beruntung mempunyai isteri yang baik sepertinya. Namun, dia sama sekali tidak menjawab sama ada isterinya reda ataupun tidak jika dimadukan.

Dia juga menjelaskan tiada sebarang masalah antara mereka dalam perkahwinan ini dan semuanya dalam keadaan damai.

Sebelum ini, tular di media sosial berkenaan video-video Tauke Jambu yang didakwa telah bernikah lagi dengan seorang wanita bernama Shu.

Wanita itu juga sebelum ini pernah viral susulan kontroversi sehingga mendapat perhatian ramai terutamanya pengguna TikTok.

Sumber: Mstar (Ali Toupan Rajali)

Kredit:ohmymedia.cc

[VIDEO]: ‘Headbutt’ Ala Zidane Oleh Safiq Rahim Kepada Faisal Halim


Mendahului aksi dengan tiga gol tanpa balas dalam tempoh 15 minit, secara tiba-tiba perlawanan menjadi panas dan diikuti layangan kad merah kepada Safiq Rahim kerana membuat ‘headbutt’ terhadap Faisal Halim.

Perlawanan ini memang dari awal dijangka akan menjadi panas namun tiada siapa menjangka, Terengganu akan dibolosi tiga gol dalam tempoh yang singkat. Dua gol hasil jaringan penyerang, Bergson da Silva dan Gonzalo Cabrera memberikan Johor Darul Ta’zim (JDT) satu kelebihan besar mendahului 4-1 secara agregat

 Masih di awal permainan dan sedang mendahului selesa tiga gol di halaman sendiri, Stadium Sultan Ibrahim, seharusnya JDT lebih tenang dan tidak terpancing dengan permainan mental oleh pemain-pemain Terengganu. Dan sebagaimana diketahui, pemain sayap pelawat, Faisal Halim ‘pakar’ dalam serangan mental kepada lawan.

Beliau pernah beberapa kali terlibat dalam insiden ‘pancing’ mental pemain lawan antaranya pemain sayap Kedah, Syazwan Zainon. Insiden ini mengimbau semula insiden antara Zinedine Zidane dan Marco Materazzi.

Dalam aksi final Piala Dunia 2006, Zidane yang mewakili Perancis telah dilayangkan kad merah selepas membuat ‘headbutt’ ke dada Materazzi ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1 dan perlawanan sedang dilanjutkan di masa tambahan. Apa yang menarik, mereka berdua merupakan penjaring gol buat pasukan.

Perancis akhirnya berjaya ditewaskan oleh Itali dalam penentuan sepakan penalti dengan keputusan 5-3.

Untuk ‘headbutt’ Safiq Rahim, provokasi mulut oleh Faisal Halim selepas beliau dikasari menyumbang kepada tindakan di luar kawalan bekas kapten skuad kebangsaan itu. Ia seharusnya boleh dikawal oleh Safiq Rahim.

Begitupun, JDT tetap berjaya bertahan sehingga ke penghujung perlawanan, menyaksikan mereka menang 3-0 ke atas Terengganu, 4-1 secara agregat, seterusnya mara ke pentas final Piala Malaysia 2021.

Saksikan video ‘headbutt’ oleh Safiq Rahim yang menyebabkan pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin akhirnya melayangkan ‘direct’ kad merah terhadapnya. Ini menyaksikan JDT terpaksa beraksi kurang seorang pemain untuk tempoh 75 minit, sesuatu yang tentunya sukar buat juara bertahan tersebut.

-semuanyabola.com

Jumaat, 26 November 2021

Kecoh poster ikan siakap di Dataran Lang, sotong di Komtar

Poster yang sengaja dicipta warganet

 PETALING JAYA: Selepas tular isu sotong kayangan RM100 untuk dua ekor di Georgetown, Pulau Pinang, warganet membuat kerja-kerja nakal dengan membuat poster melambangkan identiti dua negeri yang menawarkan lauk mahal.

Warganet membuat gambar poster Dataran Lang, Langkawi dengan imej ikan siakap RM1,196 manakala Kompleks Tuanku Abdul Rahman (Komtar) dengan lambang sotong Apollo.

Bagaimanapun, gambar tersebut memberi mesej sindiran yang benar-benar mencuit hati warganet.

Pemilik akaun Amigosviral berkata; “Itulah kata sangat kan kat negeri orang. Hotel yang sama, bilik yang sama, tetapi dua harga yang berbeza..”

Mas Aidaa pula berkata; “normal la kan nasi kandaq mahal hoho ,nasi+ikan goreng seketoi pon RM7-RM8 ,apa ada haii , kami hari-hari ja panah nasi kandaqqq haha..” -UTUSAN ONLINE

Bubarkan sahaja Muafakat Nasional, habis cerita. – Veteran UMNO

 


BUBARKAN sahaja Muafakat Nasional (MN) kerana banyak faktor yang menunjukkan tindakan itu keputusan yang lebih baik untuk semua pihak.

Bukan setakat itu, dengan pembubaran gagasan yang bukan satu gabungan berdaftar tersebut, kekeliruan dapat dielakkan dalam kalangan ahli UMNO dan Pas.

Saranan oleh Kelab Veteran UMNO itu juga diusulkan supaya Muafakat Nasional (MN) polemik berpanjangan dengan parti yang pernah menerajui kepimpanan negara itu dan Pas.

Setiausaha Agung Kelab Veteran UMNO, Mustapha Yaakub berkata, masing-masing telah membuat keputusan muktamad apabila UMNO menolak Perikatan Nasional (PN) dan Pas memilih PN.

“Sekiranya status MN dibiarkan tergantung maka akan berlaku tuduh menuduh dan salah menyalah diantara kedua parti.

“Oleh itu lebih baik dibuat keputusan muktamad dengan membubarkannya. Habis cerita dan tutup buku,” katanya.

Hubungan UMNO dan Pas yang dirintis selepas pilihan raya umum lalu melalui jalan berliku selepas Pas memilih 

Beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pada petang Jumaat turut berkata, MN bukan ada ikatan berdaftar.

“Ia hanya satu gagasan yang telah gagal dan tidak diperlukan lagi,” katanya.

Katanya, jika MN dibubarkan, UMNO dan Pas tidak perlu bersusah-susah untuk menjaga hati masing-masing.

“Biarlah masing-masing meneruskan perjuangan berdasarkan tujuan dan matlamat masing-masing.

“UMNO menghormati keputusan Pas untuk bersama PN dan Pas juga mesti menghormati Umno yang tidak mahu bersama PN,” katanya.

Mustapha menegaskan, pembubaran MN bukan atas dasar marah atau kecewa, tetapi bagi mengelakkan kekeliruan dan salah tafsir di kalangan ahli UMNO.

Katanya, masih ada menganggap MN masih ujud sedang “hakikatnya MN telah terkubur”. – SB

Pasca PRN Melaka: Dua muka lama, lapan muka baharu barisi Exco Melaka

 

SULAIMAN Md. Ali ketika sidang akhbar khas pengumuman barisan Exco di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP

MELAKA: Dua muka lama dan lapan muka baharu membarisi senarai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dibentuk selepas Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu memegang portfolio Jawatankuasa Perancang Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama.

Dua muka lama ialah ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang memegang jawatan lamanya iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan manakala ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman bertukar portfolio kepada Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri.

Mengetuai lapan muka baharu ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dengan mempengerusikan Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan manakala ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan pula dengan portfolio Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar.

Turut tersenarai ADUN Telok Mas yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani; ADUN Gadek, VP. Shanmugam memegang Jawatankuasa Pembangunan Belia,  Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin dengan portfolio Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan, Keluarga dan Kebajikan.

Tiga lagi muka baharu ialah ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh menjawat portfolio Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah yang sebelum ini disandang Rahmad; ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin pula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi manakala ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem memegang portfolio Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna

Sulaiman berkata, barisan Exco yang dibentuk adalah yang terbaik untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Mereka mampu menggalas tanggungjawab dan merealisasikan aku janji dan manifesto Kestabilan Demi Kemakmuran yang ditawarkan untuk rakyat di negeri ini selepas BN menang dalam PRN,” katanya ketika sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Khamis, 25 November 2021

Covid19: Kit ujian kendiri kini RM4.90 seunit

 Penurunan harga Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen COVID-19 membantu masyarakat memantau tahap kesihatan dengan lebih kerap jika mengalami simptom. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Penurunan harga Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen COVID-19 membantu masyarakat memantau tahap kesihatan dengan lebih kerap jika mengalami simptom. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

KUALA LUMPUR: Kit ujian pantas (RTK) antigen menggunakan sampel air liur kini dijual pada harga lebih rendah, iaitu RM4.90 tanpa menjejaskan aspek kualiti peranti berkenaan.

Penurunan harga sebanyak 87.7 peratus sejak kit berkenaan pertama kali dijual di pasaran bagi kegunaan orang ramai disifatkan selari usaha kerajaan bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, ketika mengumumkan perkara itu berkata kit ujian kendiri COVID-19 sudah menjadi keperluan seisi rumah, memandangkan kadar penularan pandemik masih tinggi di Malaysia.

Susulan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, pekerjaan, sekolah dan institusi pengajian, beliau mengakui bahawa keperluan untuk membuat ujian kendiri menjadi lebih mendesak serta perlu dilakukan dengan kerap.

"Kementerian sentiasa mendengar keluhan rakyat yang terkesan akibat penjualan kit ini pada harga tinggi sebelum ini, justeru menerusi usaha bertali arus, kita berjaya menurunkan harga kit ujian kendiri daripada RM39.90 kepada harga siling RM19.90, di peringkat runcit.

"Melalui perbincangan berterusan yang diadakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Kesihatan (KKM), saya bersetuju harga kit ini perlu diturunkan lagi, tanpa berkompromi dengan kualiti kit ujian.

"Semestinya saya mahu kit ini dapat dibeli dengan harga mampu milik supaya semua rakyat dapat melakukan sendiri ujian secara kerap dan antara strategi yang dilaksanakan adalah dengan memberikan kebenaran kepada lebih banyak premis seperti di pasar raya dan kedai rangkaian.

"Setakat ini, KPDNHEP sudah memberikan kebenaran kepada 7,302 premis di seluruh negara untuk menjual kit ujian kendiri ini yang diberikan kebenaran oleh KKM dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kit ujian pantas (RTK) antigen menggunakan sampel air liur kini dijual pada harga lebih rendah, iaitu RM4.90. - Foto hiasan
Kit ujian pantas (RTK) antigen menggunakan sampel air liur kini dijual pada harga lebih rendah, iaitu RM4.90. - Foto hiasan

Terdahulu, Alexander menyumbangkan 2,000 naskah akhbar BH kepada rangkaian pasar raya, 99 Speedmart untuk diedarkan kepada pengunjung dan pelanggan, sempena pembukaan cawangan kedai berkenaan yang ke-2,000 di Puncak Sentul, di sini.

Alexander berkata, keputusan memperluaskan penjualan kit ujian kendiri kepada rangkaian sektor peruncitan di negara ini menyaksikan harga peranti berkenaan berupaya diturunkan sehingga mencecah paras RM6.90 sebelum ini.

"Tetapi hari ini, saya amat gembira melihat inisiatif yang diambil oleh 99 Speedmart yang sudah mula menjual kit ini pada harga RM4.90 seunit.

"Kerjasama dari peniaga seperti ini amat kami hargai, bagi kita sama-sama membantu meringankan beban rakyat, terutama dalam usaha kita mengawal dan menurunkan jumlah kes COVID-19 di Malaysia.

"Saya berharap lebih banyak premis akan mengambil langkah yang sama dalam waktu terdekat," katanya.

-BH Online

Isu sotong RM100: Mungkin boleh makan janggut sotong saja - persatuan pengguna

Che Hassan Che Johan

 Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) mengingatkan pihak berkuasa supaya tidak melepaskan batuk di tangga dalam menangani aduan harga nasi kandar mahal.

Presidennya Che Hassan Che Johan berkata harga sotong di Kedai nasi kandar memang daripada dulu cukup mahal.

Merujuk kes melibatkan Restoran Hameediyah yang tular, Hassan menyindir, pelanggan mungkin mampu membeli janggut sotong saja, berdasarkan harga yang dijual.

Katanya, dia percaya harga barang mentah lebih murah berbanding harga yang dimaklumkan restoran.

“Saya harap pihak KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) tolong lebih kerap pantau harga di restoran nasi kandar yang selalu jadi rungutan dengan harga yang tidak munasabah ini.

“Perlu diingat mereka turut menjual sotong yang bersaiz kecil, yang harga di pasaran RM29/ sekilo, jangan bagi alasan sotong itu dibela dalam sankar dah 11 tahun dulu,” katanya, mengaitkan isu masakan siakap di sebuah restoran di Langkawi sebelum ini.

Restoran Hameediyah, restoran nasi kandar tertua di Pulau Pinang, yang tular kerana menjual dua ekor sotong goreng berharga RM100 mempertahankan harga tersebut.

Pengarah Restoran Hameediyah di Lebuh Campbell Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata pihaknya membeli sotong segar pada harga RM35 hingga lebih RM40 sekilogram.

Dia juga berkata harga kesemua makanan yang dijual disenaraikan dengan jelas termasuk sotong antara RM10 dan RM150 seekor berdasarkan saiz.

KPDNHEP Pulau Pinang berkata pihaknya mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi mendapatkan maklumat serta harga kos dan jualan.

Sekiranya gagal mengemukakan maklum balas yang diminta, pengusaha boleh dikenakan tindakan bawah AKHAP 2011.

-malaysiakini